KOMIK dan kartun versi cetak masih mempunyai peminat dan pasaran yang baik. Hal ini dapat dirasakan ketika mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 baru-baru ini. Di samping membeli buku, bertemu rakan-rakan kartunis dan penulis, kunjungan ke PBAKL yang berlangsung daripada 24 Mei hingga 2 Jun 2024 di WTCKL itu telah memungkinkan saya meninjau sambil lalu status penerbitan dan pasaran buku komik dan kartun versi cetak. Ternyata bahan bacaan cetak masih ada permintaan meskipun trend dunia pembacaan kini beransur-ansur beralih kepada media baharu atau media dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutif Komik-M, Wanzu Alwan dalam catatan facebooknya pada 30 Mei 2024 menyebut, bahawa ada pembeli yang datang membeli sekali gus 400 naskah Komik-M di reruai PTS Book Truck. Hal ini menunjukkan komik versi cetak masih mempunyai peminat yang tersendiri, sebagaimana catatan facebook Prof. Madya Dr. Azaini Manaf, Presiden Persatuan Komik dan Web-Komik Malaysia (MYCOMIC) keesokan harinya, bahawa “old school reading masih menjadi pilihan!”: merujuk kepada hantaran Wanzu Alwan itu.
Permintaan yang masih memberangsangkan terhadap komik dan kartun versi cetak ini mengingatkan saya kepada penyelidikan Sarjana Sains (Multimedia Kreatif) yang dilakukan Anuar Hassan, atau lebih dikenali sebagai Kartunis Sireh pada tahun 2017 dengan judul Factors Influencing Reading Preference among Comic Readers (Multimedia University, Julai 2017).
Dapatan kajian beliau menunjukkan terdapat enam faktor yang mempengaruhi pemilihan pembaca sama ada terhadap komik versi cetak ataupun komik digital, iaitu: “Daya Tarikan,” sama ada dari sudut visual, pembacaan, bentuk fizikal ataupun inovasi dalam komik; “Kemampuan Kewangan” untuk membeli, sama ada dari sudut harga dan penjimatan; “Pengaruh Emosi,”misalnya yang bersifat personal, pengalaman ataupun keprihatinan terhadap persekitaran; “Kemudahan” dari aspek perolehan dan penyelenggaraan; “Pengumpulan”yang mempertimbangkan aspek nilai, ruang dan kepuasan diri dan akhirnya, “Kebolehcapaian” sama ada dari sudut digital mahupun fizikal.
Amat menarik sekiranya dapatan kajian Sireh yang dilakukan tujuh tahun lalu itu dapat diuji terhadap para peminat, pembeli atau pembaca komik fizikal masa kini. Faktor manakah yang paling signifikan dalam mempengaruhi mereka ketika membaca atau membeli komik versi cetak pada hari ini? Atau mungkinkah ada faktor-faktor tambahan lain, misalnya dari sudut tema dan naratif dalam komik, jenama atau “branding” produk, reputasi dan imej korporat penerbit, gaya lukisan, populariti pelukis dan kartunis, atau faktor promosi? Dapatan kajian Sireh itu amat menarik bagi melihat perubahan trend pembaca dan pembeli komik dan kartun tempatan masa kini.
Di samping faktor-faktor ini, budaya mengumpul komik dan kartun versi cetak serta produk-produk dagangan sampingan komik seperti baju T, mug, poster, buku lakaran, figura dan autograf karyawan semakin mendapat tempat di kalangan peminat tegar dan kolektor kesenian ini. Kecenderungan terhadap komik dan budaya mengumpulnya kini bukan lagi bersifat hobi, malahan menjadi suatu kegiatan yang serius.
Hal ini mungkin disokong juga oleh pasaran komik global yang baik, peningkatan aktiviti berkaitan komik seperti bengkel, seminar, simposium, kolokium, pameran dan bazar komik, insentif dan dana industri kreatif, perhatian dan lonjakan harga komik dalam lelongan seni, transformasi komik kepada bentuk seni lain seperti filem dan media digital, serta peningkatan dan pengiktirafan terhadap seni komik dan kartun sebagai suatu disiplin ilmu.
Dalam konteks seni lukis kontemporari, budaya mengumpul karya seni sudah lebih jauh ke hadapan berbanding kegiatan mengumpul komik dan kartun dengan kewujudan pelbagai galeri seni awam dan swasta serta rumah lelongan seni yang aktif mendukung budaya ini di samping sokongan para pengumpul seni persendirian itu sendiri.
Sektor pemasaran seni kontemporari juga menjana pulangan yang lebih lumayan jika dilihat dari sudut pengkomersilan lantaran ekosistem seni yang lebih mantap dan sistematik. Kewujudan rumah lelongan, galeri dan penulisan sejarah dan kritikan seni menjadi semacam suatu penanda aras dan rujukan penting dalam menentukan harga jualan dan belian karya, di samping status dan kedudukan pelukis itu sendiri.
Lazimnya, kegiatan mengumpul seni didorong oleh beberapa faktor seperti pelaburan, lambang status, minat, kepuasan diri, dekorasi, naluri estetik, pemupukan dan pemeliharaan budaya dan warisan. Dalam konteks seni komik, para kolektor persendirian mempunyai hasrat dan wawasan tersendiri, seperti menjadikan kegiatan mengumpul itu sebagai suatu hobi, minat terhadap seseorang kartunis dan kerja-kerja seninya, di samping menyokong kartunis dan dunia kartun tempatan secara umumnya.
Meskipun budaya mengumpul komik dan majalah kartun ini belum berkembang dengan agresif seperti di Barat ataupun kegiatan mengumpul karya seni kontemporari, sudah ada petunjuk bahawa minat ini mula mendapat tempat di kalangan peminat kartun dan komik di negara ini. Manakan tidak, ada kolektor yang sanggup membayar RM10,000 bagi mendapatkan senaskah majalah Gila-Gila keluaran pertama yang diterbitkan pada 1 April 1978.
Justeru itu, ekosistem bagi budaya ini perlu dipertingkatkan misalnya dengan pengukuhan kaedah pengukuran mutu karya, pewujudan galeri dan institusi seni yang mendukung dan memfokus kepada kesenian ini. Hal ini boleh membantu kecenderungan kolektor-kolektor persendirian ini serta meningkatkan nilai komersial dan aspek pelaburan karya seni komik.
Dari aspek pendidikan, telah wujud institusi-institusi pengajian seni yang menjurus kepada seni komik, kartun dan animasi sama ada menerusi penawaran kursus ataupun pelaksanaan penyelidikan. Hal ini dilihat amat positif dan baik untuk cabang seni ini serta menyokong budaya pengumpulan seni. Tidak mustahil, suatu hari nanti komik tempatan mencapai harga jualan dan belian yang tinggi, sebagaimana Action Comics No. 1 yang pertama kali menampilkan watak Superman, terbitan tahun 1938 yang harga asalnya hanya 10 sen, mencecah harga USD6 juta dalam lelongan baru-baru ini (IG. bbcnews, 8 April 2024).
Scott McCloud dalam bukunya Reinventing Comics (Paradox Press, 2000) menyarankan bahawa terdapat 12 perkara yang perlu diberi perhatian jika ingin memajukan seni komik, iaitu mengangkat komik sebagai seni kesusasteraan, komik sebagai seni, hak cipta pengkarya, inovasi industri, persepsi khalayak, kawalan institusi, keseimbangan gender, representasi golongan minoriti, kepelbagaian genre, produksi digital, penyampaian digital, dan komik digital. Dalam konteks ini, jika perkara-perkara ini sudah diberi perhatian sejak awal alaf baharu, hasilnya sudah tentu dapat dilihat dalam komik hari ini, baik dalam versi cetak mahupun digital.
Dalam konteks dunia penerbitan tempatan, PBAKL adalah antara gelanggang paling baik untuk memperkenalkan judul-judul baharu, termasuklah komik dan kartun di samping menemukan penulis, pelukis komik dan kartunis secara langsung dengan pembaca bagi tujuan mendapatkan autograf, bertemu sapa dan beramah tamah. Banyak persoalan yang mungkin selama ini terpendam dalam benak hati pembaca terjawab ketika bertemu pengarang secara langsung begitu. Bagi kartunis yang melukis karikatur, pada kesempatan itu mereka juga menerima banyak permintaan melukis karikatur mahupun potret dengan harga serendah RM10 bagi satu lakaran.
Pesta Buku itu juga memberi laluan kepada penerbit mandiri dan alternatif mempromosi dan menjual produk mereka, dan hal ini tidak terkecuali bagi pelukis komik dan kartunis. Menariknya karya-karya alternatif ini menampilkan tema, naratif dan gaya lukisan yang rencam dan tidak terikat dengan polisi mahupun kawalan editor syarikat penerbitan. Hal ini memungkinkan khalayak pembaca mengesan pengolahan kreatif yang luar jangka dan bebas serta memiliki edisi terbitan terhad yang suatu masa kelak mungkin melonjak nilai dan harganya.
Permintaan yang baik terhadap komik dan kartun versi cetak menunjukkan cabang kesenian ini mempunyai peminat dan pembacanya yang tersendiri yang bakal melestarikan dan menyambung kelangsungannya di samping menyemarakkan budaya membaca.
Selain menghibur, komik dan kartun bukanlah bahan bacaan picisan sebagaimana persepsi klise sesetengah orang, sebaliknya mencerminkan nilai budaya bangsa dan mendukung aspek pendidikan. Seperti seni kontemporari, budaya mengumpul karya komik dan kartun juga semakin berkembang dan mendapat perhatian di kalangan peminat tegarnya. Hal ini baik untuk industri kreatif, pelukis komik, kartunis dan penerbit, justeru menunjukkan bahawa buku komik dan kartun versi cetak memang mempunyai “harga.”

Penulisan yang bagus untuk dijadikan rujukan… terimakasih Prof…