TANGGAL 25 hingga 27 Oktober 2025, di Seremban, kota utama Negeri Sembilan, negeri pusaka nan beradat, telah menjadi saksi berlangsungnya Hari Sastera Nasional ke-20/2025. Rapat ini menjadi medan pertemuan wacana, budaya, dan intelektual yang mempertemukan para ilmuwan, seniman, serta sasterawan daripada pelbagai lapangan serta cabang fikir.
Seniman Zaen Kasturi membuka gelanggang HSN 2025 sebagai pengucaptama, dengan bawaan judul “Kesedaran Tamadun Alam Melayu sebagai Sumber Integral Membina Kandungan dalam Karya Besar”. Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam di Klana Resort, diisi oleh pembentangan makalah dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan yang mempersudutkan ranah kesusasteraan, sebagai ‘sentuhan’ yang berupaya untuk mengampuhi akar-akar hikmah.
Saya sendiri turut diundang oleh pihak GAPENA bagi menuai bicara seputar Falsafah Sastera yang mengintimi dunia Eropah-Barat, bermula daripada epik Iliad dan Odyssey karangan Homer yang masyhur itu, sehingga ia menjengah ke zaman kepintaran buatan, edan rasio-teknokratis yang sedikit sebanyak menggugat jua akal kreatif sejati insani.

Dalam rencamnya sesi pembentangan selari oleh para sarjana yang arif di bidang keilmuan masing-masing, saya terpanggil untuk meramahi serta menyantuni bicara serta halaqah kecendekiaan yang dipimpin oleh sang guru, seorang sarjana seni visual tersohor di negara ini, Dr. Dzul Haimi Md Zain (beliau juga merupakan bekas Profesor dan mantan dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam). Dengan luasnya pandangan, gagasan serta pengalaman beliau dalam bidang seni Islam dan warisan Alam Melayu, sesi pembentangan makalah pada hari pertama (Dr Dzul Haimi mengutarakan tajuk; “Motif dan Cahaya: Paparan Genius dalam Seni Hias Al-Quran dan Seni Bina di Alam Melayu”), seterusnya dilanjuti oleh majlis ‘halaqah ilmu’ di hari terakhir (27 Oktober 2025), semacam menyiratkan kembali makna yang seakan-akan ‘mendiam’ dalam tradisi kesenian Nusantara, yakni ibrah cahaya (nūr) sebagai percikan kepada inti-inti pengetahuan, bahkan keindahan yang memancar daripada kitab suci Al-Quran.

Cahaya Sebagai Sumber Ilmu dalam Al-Qur’an
Dr. Dzul Haimi memulakan bicaranya dengan inspirasi seni bina di kota tua Sana’a, Republik Yaman yang beliau anggapkan sebagai simbolika bayangan syurgawi sepertimana termaktub di dalam Al-Quran, iaitu tentang soal seni, cahaya dan keimanan yang beradun dalam satu kesatuan estetika yang mengibrah. Konsep cahaya bukan sekadar kinayah mahupun metafora dalam keniscayaan Islami, tetapi ia menjadi petunjang epistemologi wahyu. Mendengar syarah ini, saya justeru teringat-ingat pula firman Tuhan dalam surah An-Nur (24:35), dengan mafhum-Nya;
اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْض
(Allah itu cahaya bagi sekalian langit dan bumi)
Ayat ini bukan sahaja mempedomankan segala sifat metafizik Ilahi sebagai sumber segala wujud, malah menjadi dasar keinsafan bahawa ilmu itu sendiri merupakan cahaya. Suluh cahaya yang difirmankan ini bukan sekadar daya pandang, namun sebagai azimat pencerahan batin, cetus kefahaman, peneguh cerdasnya akal, dan suntikan kejernihan rasa. Dalam falsafah pemikiran Islam, cahaya hadir, mengintimi serta tidak berdiri secara berasingan daripada insan. Secara berkias, manusialah penerima, menjadi cerminan, dan pemancar kepada bias-bias cahaya tersebut. Justeru, dari situlah hadirnya ilmu pengetahuan, berkat tuntunan serta wahyu dari Tuhan yang Esa. Maka, seni dan budaya bukanlah perkara pinggiran, ia wasilah cahaya yang termanifestasi dalam gerak hidup serta ekspresi keindahan manusia.
Ragam Hias Al-Quran: Jejak Cahaya dalam Kesenian Islam
Dr. Dzul Haimi menyambung bicaranya dengan membahaskan keindahan seni mushaf dan ragam hias Al-Quran yang berkembang dalam pelbagai tamadun dan empayar Islam di seluruh dunia. Seni hias yang bermuara dari Andalusia, Turki Uthmaniyyah, Parsi Safavid, Mughal India, sehinggalah ia tiba ke Alam Melayu, dikupas oleh Dr Dzul Haimi dengan bersahaja, terselit jenaka namun tetap kental dengan untaian erti. Beliau berhujah, keindahan mushaf bukan sekadar latihan estetika atau upaya memperelok hiasan, namun ia menjadi lambang adab serta kehormatan terhadap wahyu.
Secara rinci, kehalusan ragam hias mushaf di Alam Melayu dapat dicermati pada Mushaf Terengganu, Mushaf Patani, Mushaf Aceh dan Mushaf Riau-Lingga. Kesemua tradisi ini cuba untuk ‘mewajahkan’ identiti visualnya yang tersendiri. Dr. Dzul Haimi menerangkan tentang sepuhan emas yang serba cermat, letakkan geometri yang seimbang serta simetrikal, imej-imej flora yang digayakan (stailisasi), hingga sampai dan bertemu dengan kancah mujarad (abstrak), sebagai representasi tauhid. Ia adalah prinsip asas seni Islam yang mencitrakan pandangan dunia umat Muslim. Ragam hias tidak pernah melampaui teks-teks sakral, ia mengintimi, mengelus indah pada helaian-helaian suci, bahkan seperti sedang memuliakan kitab suci. Sentuhan artistik ini, membawa gambaran bahawa dalam tradisi seni Islam, keindahan merupakan sebahagian daripada ibadah. Seni bukan tercipta untuk kenikmatan-kenikmatan hedonis yang melalaikan, namun membawa manusia mengagumi karya Sang Khalik Yang Maha Indah.
Cahaya dan Seni Bina di Alam Melayu
Pada hari ketiga, hari akhir, pihak penganjur telah mengikhtiarkan satu sesi yang julung-julung kalinya diadakan. Sesi ‘halaqah’ bersama adiguru diperkenal, bagi mendekatkan lagi hubungan di antara pencari hikmah dengan para guru penunjuk jalan, agar suluh kebijaksanaan terus menyala. Ia tradisi lama yang cuba dihidupkan semula.
Dalam sesi halaqah lanjutan bersama para adiguru ini, Dr. Zul Haimi mencetuskan pula persoalan cahaya ke alam seni bina Melayu. Rumah Melayu tradisional, masjid, surau, dan istana lama di alam Melayu tidak pernah dibina secara sembarangan, semberono, apatah lagi tanpa makrifat-makrifat makna serta serapan falsafahnya.
Ekspresi seni bina Melayu mengambil kira soal pencahayaan, aliran angin, malah turut memperteguhkan keseimbangan di antara alam dunia dan akhirat. Seni bina rumah Melayu misalnya, bukan sekadar tempat berteduh, lebih daripada itu, ia dibangunkan dengan dilandasi oleh tiga prinsip utama, yakni tunas-adab, tunas-akal dan tunas-rasa.
Rumah Melayu tradisional dibina dengan penuh adab kosmologi. Ruang terbuka untuk menerima cahaya dan angin. Struktur meninggi sebagai tanda pengangkatan jiwa. Ruang serambi yang menjadi tempat ilmu dan musyawarah. Lalu, cahaya senja yang meresap melalui dinding atau tebar layang pada serambi, bukan dibina secara kebetulan, ia merupakan cara alam ‘mengajar’ manusia.
Masjid pula menjadi struktur yang paling jelas, saat menjelmakan cahaya sebagai prinsip bentuk. Selain peranan lampu dan ruang terbuka yang menerima cahaya semula jadi, susunan ruang solat yang terarah ke kiblat, kehalusan ukiran mihrab, dan keteraturan saf, menjadi simbol kearifan seni bina sebagai zikir yang dibentuk daripada batu, kayu dan ruang.
Konsep ‘Tumbal’: Segitiga nan Simbolik
Sesuatu yang agak menarik perhatian saya di sela-sela sesi halaqah ini, tatkala Dr. Dzul Haimi menyentuh tentang istilah ‘tumbal’ yang sering menempati ragam hias berbentuk segitiga pada mushaf dan seni bina Melayu. Ini hal baharu yang dapat saya fahamkan, kerana istilah ini sepenuhnya berbeza dengan kepercayaan mistik di tanah Jawa, yang menganggap tumbal sebagai ritual persembahan atau korban. Segitiga itu dinamakan ‘tumbal’ dalam konteks seni Melayu bukan ditanggapi sebagai korban, tetapi simbolisasi perjalanan rohani, dari bawah ke atas, dari alam syahadah menuju alam makna, yang mekar melatari tradisi sufisme dan estetika Islam.
Manifestasi ‘tumbal’ yakni segitiga simbolik, melambangkan puncak ketauhidan manusia sebagai hamba Tuhan, untuk kembali kepada-Nya. Dua sisi bawah menjadi cerminan kepada insan dan alam, untuk bergerak menuju Tuhan. Oleh itu, ragam hias pada mushaf atau lembar-lembar manuskrip lama, memperjelaskan fungsi segitiga sebagai penanda ‘pembukaan jalan’ kepada pembacaan wahyu. Pada binaan rumah Melayu, ia muncul pada tunjuk langit, tebar layar, dan kemasan bumbung, membawa erti simbol penyerahan ‘rumah’ itu kepada Allah. Manakala dalam ekspresi ukiran pula, segitiga menjadi asas komposisi yang meniru juzuk alam, yakni gunung, mihrab, seterusnya mengarah ke tingkat yang tertinggi, iaitu perjalanan menuju sumber cahaya. Maka, ‘tumbal’ dalam seni Melayu adalah manifestasi tauhid, bukannya azimat atau tuntunan korban nyawa.
‘Al-Quran Itu Rumah’: Simbolika Syurga di alam dunia
Salah satu gagasan yang paling mendalam daripada sesi halaqah bersama Dr. Dzul Haimi ialah kenyataan beliau bahawa; “Al-Quran itu rumah, yakni syurga.” Ungkapan ini sebenarnya sedang menghubungkan ilmu, ruang, dan makna hidup.
Rumah dalam budaya Melayu bukan hanya struktur bangunan, ia petanda kepada asal-usul, perlindungan, identiti, kasih, dan ketenangan. Slogan ‘rumahku-syurgaku’ yang sering kita kumandangkan bukanlah ucapan muluk penyedap kata, tetapi tersirat jelmaan iman serta akidah bahawa, impian syurga itu bukan sekadar destinasi akhir. Syurga berpaksi sebagai kehadiran cahaya dalam diri dan kediaman manusia.
Jika Al-Quran ialah ‘rumah cahaya’, maka kehidupan seseorang Muslim juga harus hidup, bahkan mampu ‘terbias’ di lingkaran keagungan ‘cahaya’ tersebut. Halaqah ini tidak hanya bersifat akademik. Ia tradisi belajar yang menuai jutaan ibrah. Ia seruan serta panggilan pulang kepada sesuatu yang telah lama berakar, namun bungkam dalam edaran waktu. Masyarakat di alam Melayu bukanlah berlegar-legar dalam lingkungan pesimis, yang hidup tanpa semangat falsafah. Ia berakar serta tegak dengan iringan kearifan, falsafah dan hikmah.
Menyimpul kalam halaqah, Dr. Dzul Haimi mengulang bicara sembari mempertegaskan empat model asas sebagai pedoman utama seniman. Pertama, sandaran nan tertinggi kepada zat Ilahi, kedua panduan suci daripada para rasul dan kitab suci, ketiga, renungan kemanusiaan dan keempat, interaksi di antara insan dan alam.
Pendekatan sebegini justeru mengingatkan saya kepada empat tuntunan sentral pra-Islam, bawaan pendeta skolastik Nasrani, St. Thomas Aquinas yang turut mewajarkan hal yang seakan-akan punya kemiripan, yakni konsepsi Lex Aeterna (hukum abadi), Lex Divina (hukum Ilahi/Wahyu), Lex Naturalis (hukum alam) dan Lex Humana (hukum manusia), hal yang saya tanyakan kepada beliau di sesi pembentangan pada malam pertama HSN 2025.
Dan, Dr. Dzul Haimi menyantuni pertanyaan ini dengan merungkaikan bahawa, pengaruh serta pewarisan itu tetap ada, yang mungkin sifatnya pun sudah ‘Islami’, sebelum ia dimaktubkan secara absah, apabila Al-Quran diwahyukan kepada junjungan rasul mulia, Muhammad S.A.W.
Terima kasih Dr. Dzul!
