
ALANGKAH baiknya jikalau Presiden Vladimir Putin belajar dari novel Haji Murat karya Leo Tolstoy. Begitulah pandangan saya menerusi rencana yang tersiar dalam akhbar New Straits Times pada 19 November 2011. Saya menghujahkan bahawa novel itu banyak pengajaran buat mana-mana pemimpin yang mahu menundukkan sebuah wilayah kecil bernama Chechnya.
Lebih 12,000 tentera Rusia terkorban dan ribuan rakyat Chechnya menjadi pertaruhan dalam kempen terbaru untuk menguasai Chechnya. Itu bukan kali pertama pemerintah Rusia cuba menakluk wilayah kecil di Pergunungan Caucasus. Penentangan orang Chechen melawan Rusia menjadi sejarah bangga mereka. Rusia dengan segala kekuatan bala tenteranya masih belum berjaya menundukkan mereka.
Watak Haji Murat dalam novel ini berdasarkan pada kisah besar seorang pejuang pembebasan Chechnya yang hidup dari tahun 1818 hingga 1852. Beliau meninggal dunia pada usia 34 tahun. Beliau menjadi simbol perjuangan menentang penjajahan dan hero rakyat yang sebenar.
Malah, demikian kagum Tolstoy oleh keberanian dan pengorbanan Haji Murat, beliau merakamkannya dalam novel ini.
Haji Murat digeruni dan sekaligus dihormati oleh musuh-musuhnya. Beliau seorang yang dianggap terhormat (honourable) dalam dunia persengketaan yang penuh muslihat, penipuan dan pengkhianatan. Dalam novel ini tertera pelbagai intrig dalam perjuangan pembebasan itu. Ada musuh dalam selimut. Ada teman-teman pejuang yang tidak senang dengan beliau.
Semangat tokoh pejuang asal seperti Kazi Mulla yang dikatakan pelopor jihad Chechnya menentang Rusia mula terhakis. Selain manusia seperti Gamzat, Ahmad Khan juga bersekongkol untuk menjatuhkannya. Demikian juga ketamakan, dendam dan cemburu menyebabkan rakan seperjuangannya sendiri , Imam Syamil mengkhianatinya.
Apabila beliau meninggal dunia salah satu watak memberitahu ketuanya, “Dia meninggal sebagai orang yang berani.”
Kehidupan Haji Murat yang sebenar diteliti dan dikaji oleh Tolstoy dengan tekun. Di tangan Tolstoy Haji Murat menjadi satu watak yang sangat istimewa.
Dalam novel ini, Tolstoy menampakkan Raja Nicholas 1 sebagai kejam, tidak bertimbang rasa, angkuh dan sama sekali terpisah dari rakyatnya. Percubaan menundukkan kaum Chechen membawa malapetaka kepada kerajaannya, pengajaran yang tidak dipelajari oleh pemimpin Rusia selepas beliau dan juga Putin pada masa ini.
Pimpinan tertinggi Rusia cuba menyamakan pemberontakan Haji Murat semudah menghancurkan bunga tisel (thistle). Tisel merujuk pada spesis tumbuhan berbunga dalam keluarga Asteraceae. Dalam novel ini ia digunakan sebagai metafora untuk menunjukkan bagaimana bunga kecil yang dilengkungi oleh daun berhujung tajam dan berduri boleh menyakitkan.

Bunga ini mengingatkan pembaca pada Haji Murat yang tegak dan teguh serta enggan mengaku kalah atau menyerah diri. Tisel menjadi simbol ketahanan Haji Murat dan pengikutnya yang berpegang pada prinsip moral dan agama bagi menentang pencerobohan bala tentera Rusia.
Tolstoy sendiri adalah bekas anggota tentera yang tentunya melihat sendiri kekejaman, kematian dan penanggungan mereka yang terlibat atau yang terjejas dalam kancah peperangan itu. Malah sewaktu terlibat dalam perang Rusia-Turki Tolstoy mendapat pingat keberanian. Ini merupakan novel beliau yang terakhir. Beliau berusia 76 tahun sewaktu menghasilkan novel ini. Tidak hairanlah jikalau banyak penelaah menganggap novel ini amat matang.
Seorang pengkritik tersohor Rusia bernama D.S. Mirsky menganggap Haji Murat adalah “masterpiece of the highest order.” Harold Bloom yang terkenal kerana bukunya The Western Canon: The Books and School of Ages membuat komentar ini: “My personal touchstone for the sublime of prose fiction, to me the best story in the world.”
Tolstoy dikenal sebagai novelis yang menghasilkan Anna Karenina, War and Peace dan Resurrection. War and Peace dianggap novel yang mendefinisikan beliau. Novel ini luar biasa skopnya dengan 580 watak yang menggabungkan sejarah sebenar dengan cereka. Maka itu Haji Murat melanjutkan tradisi naratif Tolstoy yang menggunakan sejarah sebagai terasnya.
Pergunungan Caucasus yang menjadi latar novel ini punya banyak cerita. Sewaktu Maharaja Rusia mahu meluaskan empayarnya maka Chechnya menjadi sasaran. Novel ini bukan sahaja memperlihatkan pertembungan nilai di antara manusia di dua wilayah berlainan tetapi juga nilai berbeza yang dicorakkan oleh agama. Tidak kurang pentingnya adalah pertembungan budaya Timur dan Barat. Turut didedahkan adalah tamadun yang mula merosak dan empayar yang semakin lumpuh.
Haji Murat adalah novel yang punya pelbagai dimensi dan lapisan. Tentulah menarik untuk melihat bagaimana novel ini diadaptasi ke pentas. Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan telah melakukan adaptasi pentasnya.
Tugas menterjemahnya ke pentas di tangan A. Wahab Hamzah dan Aris Othman yang menjadi pengarah bersama. Drama ini dipentaskan atas banner Badan Budaya DBP dan menjadi persembahan Teater Perdana DBP buat tahun ini. Drama ini akan dipentaskan di DBP dari 26 hingga 29 Jun.
************************
Tan Sri Johan Jaaffar pernah aktif di pentas sebagai penulis naskhah, pelakon dan pengarah. Pembabitan beliau selama lebih 50 tahun dirakamkan dalam buku Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad.
