Grandparents: A Living Archive 1.0 bermula dengan sebuah pertanyaan yang kelihatan sederhana tetapi agak radikal: apakah yang berlaku apabila gambar-gambar keluarga yang selama ini dianggap terlalu peribadi, terlalu kecil atau terlalu biasa untuk menjadi sebuah sejarah, dibawa keluar daripada album gambar lalu dipamerkan di ruang awam?
Dengan pertanyaan tersebut, pameran ini mempertaruhkan kebiasaan itu.
Bakal berlangsung dari 8 hingga 10 Oktober 2026 di Badan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur, pameran ini menghimpunkan fotografi yang disumbangkan oleh orang ramai bersama gambar dari koleksi datuk dan nenek kuratornya, Sonia Latha.
Tiada institusi atau arkib besar yang menjadi sumber utama dan tiada agenda naratif nasional yang ingin dibangunkan.
Yang ada hanyalah gambar-gambar yang pernah hidup dalam ruang domestik: disimpan dalam album, laci dan kotak, diwariskan bersama nama, wajah dan cerita yang mungkin semakin sukar diingat.
Dengan memindahkan bahan-bahan tersebut ke dalam ruang pameran, Sonia Latha melakukan satu gerakan kuratorial yang kelihatan kecil tetapi mempunyai implikasi epistemologi yang besar: siapa yang mempunyai kekuatan untuk menentukan sesuatu sebagai bahan sejarah?
Persoalan itu bukan sesuatu yang asing dalam amalan Sonia Latha sebagai ahli sejarah dan kurator bebas. Latar akademiknya merentasi sejarah Asia dan Asia Tenggara, dengan perhatian terhadap pertukaran budaya, hubungan rentas wilayah serta cara bahan, imej dan objek digunakan untuk membina pengetahuan tentang masa lalu.

Pendidikan beliau merangkumi pengajian Sejarah di Queen Mary, University of London, sebelum melanjutkan pengajian dalam Sejarah Antarabangsa dan Asia di London School of Economics.
Yang lebih menarik ialah arah penyelidikan Latha sendiri.
Pada 2025, beliau membentangkan kajian “Between Tribute and Tide: Siam-Pahang Relations in the Malay World” dalam bengkel Pahang and the Sea di St Antony’s College, University of Oxford dengan kerjasama dari muzium Pahang dengan kertas kerja tersebut akan diterbitkan oleh pihak muzium.
Kajian tersebut melihat hubungan Siam-Pahang bukan sebagai hubungan kuasa yang mudah atau linear, tetapi sebagai sesuatu yang terbentuk melalui rundingan politik, diplomasi, pertukaran maritim dan pengiktirafan yang bersifat episodik.
Ada kesinambungan intelektual yang jelas antara penyelidikan sejarah tersebut dengan Grandparents: A Living Archive 1.0.
Kedua-duanya bermula daripada rasa ragu terhadap sejarah yang terlalu mudah.
Jika sejarah politik tidak semestinya dapat dijelaskan melalui model kuasa yang tunggal, sejarah sosial juga tidak semestinya dapat difahami hanya melalui dokumen rasmi.
Sonia Latha bergerak ke arah bahan-bahan yang lebih tidak stabil: objek, imej, ingatan dan kesan kehidupan manusia yang terselamat secara tidak sekata.
Maka disini fotografi keluarga menjadi penting.

Arkib tidak pernah neutral
Apa yang disimpan sentiasa berkaitan dengan apa yang dianggap bernilai untuk disimpan.
Institusi negara cenderung memelihara dokumen pentadbiran, rekod kerajaan, tokoh, peristiwa dan struktur kuasa.
Sebaliknya, kehidupan harian, kerja, rumah, perjalanan, pakaian, pendidikan, perniagaan kecil, perkahwinan dan hubungan kekeluargaan, sering kekal di luar kerangka sejarah rasmi.
Bukan kerana ia tidak berlaku, tetapi kerana ia tidak semestinya dianggap cukup penting untuk direkodkan.
Fotografi keluarga mengganggu hierarki tersebut.
Sebuah gambar datuk dan nenek pada hari perkahwinan, misalnya, pada mulanya mungkin hanya mempunyai nilai sentimental kepada keturunan mereka.
Tetapi apabila ditempatkan bersama gambar keluarga lain, ia mula menghasilkan lapisan pembacaan yang berbeza: bagaimana orang berpakaian, bagaimana ruang sosial digunakan, jenis perayaan yang diraikan, bagaimana keluarga disusun di hadapan kamera, atau bagaimana sebuah masyarakat membayangkan dirinya sendiri pada sesuatu zaman.
Sekeping imej tidak semestinya dapat memperkatakan banyak perkara, tetapi arkib yang terkumpul didalam sekeping gambar akan mula berbicara secara semiotik.

Inilah pertentangan yang menarik dalam Grandparents: A Living Archive: semakin peribadi sesebuah imej, semakin besar potensinya untuk memperlihatkan sesuatu tentang struktur sosial yang lebih luas.
Namun pameran ini tidak seharusnya dibaca sebagai usaha romantik untuk “menyelamatkan” sejarah orang biasa daripada dilupakan.
Istilah “Living Archive” sendiri membawa satu ketegangan yang perlu dipertahankan.
Arkib yang hidup bukan arkib yang lengkap. Ia adalah arkib yang sentiasa berubah mengikut ingatan, tafsiran, kehilangan dan hubungan antara generasi.
Fotografi mungkin menyimpan potret, tetapi tidak semestinya menyimpan makna.
Kita boleh melihat seseorang dalam gambar, tetapi tidak mengetahui apa yang dirasakannya.
Kita boleh mengenal sebuah bangunan, tetapi tidak mengetahui siapa yang meninggalkannya. Kita boleh mengenal pasti tarikh, tetapi kehilangan cerita.
Dalam pengertian ini, fotografi bukan bukti yang sempurna terhadap masa lalu. Ia adalah bukti yang punya kelompangan, sebuah permukaan yang menyimpan sesuatu sambil pada masa yang sama menyembunyikan yang lain.

Dan apa yang berada di luar bingkai mungkin sama penting dengan apa yang berada di dalamnya.
Persoalan ini menjadi semakin mendesak apabila memori lisan mula terputus. Setiap generasi yang pergi membawa sebahagian daripada konteks yang menjadikan fotografi itu bermakna.
Sebuah gambar yang pernah mempunyai nama, lokasi dan cerita boleh berubah menjadi sekadar wajah tanpa keterangan.
Grandparents: A Living Archive dengan demikian tidak hanya mengumpulkan gambar. Ia turut memperlihatkan kerapuhan sistem ingatan manusia.
Dalam perkaitanya dengan Malaysia, persoalan tersebut mempunyai gemanya yang tersendiri.
Sejarah negara sering dibingkaikan melalui peristiwa dan naratif makro: pembentukan negara, politik, ekonomi, kolonialisme, kemerdekaan dan pembangunan.
Tetapi negara juga dibina melalui kehidupan yang jauh lebih kecil, keluarga yang berpindah, individu yang membuka kedai, anak-anak yang bersekolah, pekerja yang membina kehidupan di bandar, dan generasi yang menyesuaikan diri dengan perubahan sosial.
Sejarah makro tanpa sejarah mikro mudah menjadi abstrak.

Sebaliknya, sejarah mikro juga tidak boleh dianggap sebagai kebenaran yang lengkap. Memori keluarga mempunyai biasnya yang tersendiri.
Apa yang dikenang juga dipilih. Apa yang dirakam oleh kamera juga sudah melalui proses pemilihan. Siapa yang mengambil gambar, siapa yang berdiri di tengah, siapa yang tidak hadir dan siapa yang tidak pernah difoto semuanya merupakan suatu bentuk kuasa.
Di sini Grandparents: A Living Archive 1.0 boleh amati bukan sebagai sebuah pameran nostalgia, tetapi sebagai eksperimen terhadap politik keterlihatan.
Apabila gambar peribadi dipamerkan, ia memperoleh status baharu. Ia tidak lagi hanya “milik keluarga”. Ia menjadi objek yang boleh dilihat sebagai budaya, bukti, kesaksian dan sejarah.
Peralihan ini tidak neutral. Ia mengubah cara kita melihat bukan sahaja gambar, tetapi juga keluarga yang menghasilkan dan menyimpannya.
Pilihan untuk mengekalkan pameran dalam skala yang intim di Badan Warisan Malaysia turut penting.
Pameran ini tidak cuba meniru autoriti sebuah muzium nasional, sebaliknya, ruang yang lebih kecil membenarkan fotografi berfungsi dalam keadaan yang hampir bertentangan dengan logik institusi besar: perlahan, dekat dan bersifat perbualan.

Pengunjung boleh duduk. Mengingati. Bertanya. Bercerita.
Kurator juga hadir sepanjang pameran, menjadikan arkib ini bukan sekadar himpunan objek tetapi sebuah proses sosial yang masih berlangsung.
Angka “1.0” pada judulnya akhirnya terasa lebih daripada penanda edisi. Ia mengakui bahawa arkib ini belum selesai dan mungkin tidak akan pernah selesai.
Rancangan untuk mengembangkan Grandparents: A Living Archive 2.0 membuka ruang kepada persoalan yang lebih besar tentang bagaimana sebuah koleksi fotografi awam boleh berkembang tanpa kehilangan kerumitan asalnya.
Apa yang akan berlaku apabila lebih banyak keluarga menyerahkan gambar mereka? Siapa yang akan menentukan konteksnya? Bagaimana cerita yang bercanggah akan diletakkan bersebelahan? Dan pada titik manakah sebuah koleksi memori peribadi mula memperoleh autoriti sebagai sejarah awam?
Soalan-soalan itu mungkin lebih penting daripada jawapan yang diberikan oleh pameran ini.
Kerana nilai Grandparents: A Living Archive 1.0 bukan pada kemampuannya untuk melengkapkan sejarah Malaysia, tetapi pada keupayaannya untuk menunjukkan betapa tidak lengkapnya sejarah yang kita warisi.
Di antara album keluarga dan arkib institusi terdapat satu ruang kosong, ruang yang selama ini jarang diperiksa.
Sonia Latha memilih untuk masuk ke dalam ruang tersebut bukan dengan mendakwa bahawa fotografi keluarga boleh menggantikan sejarah rasmi, tetapi dengan mengganggu keyakinan kita terhadap sempadan antara kedua-duanya.

Dan mungkin, di situ, sejarah mula kelihatan bukan sebagai sesuatu yang sudah selesai, tetapi sebagai sesuatu yang masih dipertikaikan: siapa yang diingati, siapa yang dilupakan, siapa yang dirakam, siapa yang tidak pernah masuk ke dalam bingkai.
Sejarah, akhirnya, bukan hanya persoalan tentang masa lalu.
Ia juga persoalan tentang siapa yang diberi hak untuk menentukan apa yang patut diingati.
Kunjungi Grandparents: A Living Archive 1.0 untuk merasai pengalamannya.
Grandparents: A Living Archive 1.0
Kurator: Sonia Latha
Tarikh: 8 hingga 10 Oktober 2026
Lokasi: Badan Warisan Malaysia, 2 Jalan Stonor 50450 Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 09:30 pagi hingga 4:30 petang
Kemasukan Percuma (Terbuka kepada orang awam dan tiada pendaftaran diperlukan)
