Johor Bahru bukan sebuah kota yang lazimnya dikaitkan sebagai pusat wacana seni graffiti serantau.
Tetapi untuk selama tiga hari, dari 25 hingga 27 September 2026, sebuah ruang yang pernah membawa fungsi dan sejarahnya sendiri berubah menjadi medan pertemuan seni jalanan apabila KotaJail menjadi lokasi Graff For Nation 2.0 (GFN 2.0).
Dianjurkan oleh Balai Seni Negara dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), edisi kedua program ini menghimpunkan 24 artis graffiti dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Itali.

Tetapi angka itu bukan perkara paling menarik tentang GFN 2.0.
Yang lebih penting ialah cara program ini cuba mengalihkan graffiti daripada sekadar imej pada permukaan dinding kepada persoalan yang lebih luas: siapa yang menggunakan ruang bandar, bagaimana ruang lama boleh dihidupkan semula, dan sejauh mana seni boleh mengubah cara sesebuah tempat dibaca.
Jika edisi pertama GFN berlangsung di Hospital lama Kuah, Langkawi pada 2024, edisi KotaJail pula membawa gagasan Spatial Creative Zone sebagai kerangka utama.
Premisnya mudah tetapi signifikan: ruang terbiar dan bangunan lama tidak semestinya berakhir sebagai tinggalan kota. Ia boleh menjadi tapak untuk kegiatan kreatif, interaksi sosial dan pembentukan komuniti baharu.

Pemilihan KotaJail dengan demikian bukan sekadar soal menyediakan dinding yang sesuai untuk graffiti.
Menurut kurator kanan Balai Seni Negara, Zuriyadi Sarpin, lokasi tersebut membolehkan graffiti bertemu dengan sejarah ruang, budaya kota dan masyarakat.
Dalam kesinambungan ini, dinding tidak lagi hanya menjadi permukaan; ia menjadi titik pertemuan antara karya dan lokasi.
Dinding sebagai ruang pertemuan
Segmen utama, Break The Wall: International Graffiti Art Festival, memperlihatkan 24 artis menghasilkan karya secara langsung berasaskan tema “Selamat Datang ke Malaysia” atau Greeting Malaysia.
Bagi pengunjung, pengalaman ini penting kerana graffiti biasanya hadir sebagai hasil akhir yang sudah siap.
Di KotaJail, prosesnya menjadi sebahagian daripada tontonan.

Karya berkembang di hadapan mata: daripada lakaran dan huruf kepada bentuk, warna dan komposisi yang akhirnya memenuhi permukaan.
Perbezaan gaya dan teknik antara artis dari enam negara pula menjadikan dinding sebagai semacam arkib sementara tentang kepelbagaian bahasa visual graffiti.
Namun, istilah “antarabangsa” dalam hubungan seperti ini tidak seharusnya hanya difahami melalui jumlah negara yang diwakili.
Nilai sebenar pertemuan tersebut terletak pada pertukaran pengetahuan antara penggiat yang datang daripada sejarah budaya jalanan yang berbeza.
Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Itali dan Malaysia masing-masing mempunyai konteks urban, tradisi graffiti dan hubungan yang berbeza dengan ruang awam.

Graffiti, dalam hal ini, berfungsi sebagai bahasa yang tidak memerlukan satu sistem bahasa tunggal untuk difahami.
Ia boleh bergerak antara identiti, simbol, tipografi, watak dan abstraksi, sambil mengekalkan akar yang kuat pada budaya jalanan.
GFN 2.0 juga menjadi lebih menarik apabila ia tidak sekadar berhenti pada dinding.
Daripada graffiti kepada ekosistem budaya
Melalui JAIL Project, program ini memperluaskan definisi festival kepada pasaran kreatif, pendidikan, pameran dan wacana.
KotaJail Market x NAG misalnya memperkenalkan 30 usahawan muda dan pereka tempatan yang membawa bersama kraf, ‘custom culture’, ‘streetwear’ dan elemen budaya urban.
Di sini, graffiti mula kelihatan sebagai sebahagian daripada ekosistem yang lebih besar. Ia bersentuhan dengan reka bentuk, fesyen, produk koleksi, keusahawanan dan budaya pengguna.
Penyertaan Jejak Seni Malaysia, NAGstore dan Young Art Entrepreneurs (YAE!) pula menunjukkan bagaimana sebuah program seni boleh menjadi platform pertemuan antara penghasilan budaya dan ekonomi kreatif.

Begitu juga dengan Graff For Kids, yang membawa seni graffiti kepada kanak-kanak dan remaja melalui bengkel serta aktiviti kreatif.
Kehadiran designer toys, papan selaju dan BMX mengingatkan bahawa graffiti tidak pernah berdiri sendirian. Ia tumbuh bersama budaya jalanan yang merangkumi muzik, fesyen, sukan ekstrem, reka bentuk dan bentuk ekspresi visual yang lain.
Pameran ulang tahun ke-10 Malaysian Graffiti Artist Database (MAGAD) menambahkan satu lagi lapisan yang lebih penting: dokumentasi.
Dimulakan oleh Balai Seni Negara pada 2015, MAGAD merupakan usaha merekod penggiat graffiti tempatan dan perkembangan bidang tersebut.

Dalam budaya graffiti yang sering bersifat sementara, karya boleh berubah, dilitupi, dipadam atau hilang bersama perubahan sesuatu bangunan, dokumentasi menjadi persoalan yang penting.
Apa yang kekal apabila karya di dinding sudah tiada?
Kehadiran MAGAD dalam GFN 2.0 sekurang-kurangnya menunjukkan kesedaran bahawa budaya urban juga mempunyai sejarah yang perlu direkodkan.
Seni di luar galeri
Perkembangan ini membawa GFN 2.0 kepada persoalan yang lebih besar tentang tempat seni dalam kehidupan bandar.
Selama bertahun-tahun, graffiti sering dibaca melalui pertentangan yang terlalu mudah: seni atau vandalisme, ekspresi atau gangguan, budaya atau pencemaran visual.
Tetapi realiti graffiti jauh lebih kompleks. Ia mempunyai sejarah, komuniti, sistem pengetahuan, teknik, ekonomi dan jaringan antarabangsa sendiri.
GFN 2.0 cuba membawa perbincangan tersebut ke ruang yang lebih terbuka.

Wacana mengenai seni, budaya dan masyarakat yang dianjurkan sepanjang program memperlihatkan usaha untuk membicarakan graffiti bukan hanya sebagai bentuk visual, tetapi sebagai sebahagian daripada pengalaman bandar.
Dalam konteks Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Johor 2026, pendekatan ini turut memperlihatkan bagaimana seni boleh digunakan untuk mengubah pengalaman pelancongan.
Bukan sekadar membawa pelawat ke mercu tanda yang sudah dikenali, tetapi mengarahkan mereka kepada ruang, komuniti dan budaya yang mungkin tidak termasuk dalam laluan pelancongan konvensional.
Namun, cabaran sebenar konsep Spatial Creative Zone bukanlah mengubah sebuah bangunan lama selama tiga hari.
Cabarannya ialah apa yang berlaku selepas festival berakhir.

Adakah ruang tersebut terus digunakan? Adakah komuniti kreatif tempatan mendapat manfaat jangka panjang? Bolehkah aktiviti sebegini membentuk ekosistem yang tidak bergantung sepenuhnya kepada acara bermusim?
Dan yang paling penting, adakah seni benar-benar mampu mengubah hubungan masyarakat dengan ruang bandar, atau ia sekadar memberi lapisan baharu kepada ruang lama untuk sementara waktu?
Persoalan-persoalan ini tidak sedikit pun mengurangkan kepentingan GFN 2.0.
Sebaliknya, ia menunjukkan mengapa program seperti ini perlu dibaca melampaui ukuran jumlah artis dengan seberapa banyak karya yang dihasilkan.
Apabila 24 artis dari enam negara berkumpul di KotaJail, yang terhasil bukan hanya semata-mata tentang festival graffiti, ia adalah tentang fitrah kerja seni itu sendiri yang senantiasa mencari dan meneroka kemungkinan serta potensi baharu yang terlahir selepasnya.
Ia juga adalah sebuah eksperimen tentang bagaimana sebuah ruang boleh digunakan semula melalui seni, mengaktifkannya semula sebagai tempat menghasilkan karya, bertemu, belajar, berniaga, mendokumentasi dan berdialog.

Pada akhirnya, nilai GFN 2.0 mungkin tidak terletak pada seberapa besar atau karya dinding yang dihasilkan, tetapi pada keupayaannya mengubah cara kita melihat dinding itu sendiri dengan meneroka sesuatu kemungkinan baharu yang tidak kita diketahui sebelumnya.
Dinding boleh menjadi halangan, tetapi dinding juga boleh menjadi pintu masuk kepada sejarah, identiti, komuniti dan kemungkinan baharu untuk sebuah kota.
Dan jika Spatial Creative Zone mempunyai makna yang lebih jauh daripada slogan program, ia terletak di sini: bahawa ruang yang dianggap telah selesai fungsinya masih mempunyai potensi untuk kehidupan yang seterusnya, bukan dengan melupakan kekewujudanya, tetapi dengan membenarkan seni dan masyarakat memberi makna serta lapisan baharu di atasnya.
