OTAK manusia terhubung untuk melihat segala struktur, logik dan pola. Keadaan ini sebenarnya membantu kita untuk memahami dunia. Pada tahun 1920-an sekelompok ahli kaji jiwa (psikolog) Jerman antaranya adalah Wolfgang Kohler, Kurt Koffka dan Max Wertheimer telah mengembangkan teori tentang bagaimana manusia memandang dunia di sekitar mereka, yang disebut prinsip gestalt. Misalnya, apa yang dapat kita perhatikan tatkala mengamati visual ini?

Teori persepsi gestalt merupakan cabang ilmu psikologi yang menekankan kepada keupayaan minda manusia memaknai bentuk dan corak berasaskan rangsangan (stimuli) yang mereka tanggapi. Bidang ini merupakan reaksi dan kesinambungan daripada pemikiran filsuf Jerman, Immanuel Kant (1724-1804) yang menganggap persepsi merupakan komponen bersepadu (integral) dalam memberi tanggapan serta pemaknaan terhadap apa yang dilihat oleh manusia.
Pada peringkat awal, bidang ini telah dimulai oleh usaha Ehrenfels (1890), yang mengkaji kecenderungan fikiran manusia untuk bertindak balas terhadap kualiti pada bentukan corak-corak tertentu yang mana ia berbeza antara sebahagian dan keseluruhan. Usaha kepada penyelidikan ini telah diteruskan oleh Rubin (1915) yang memberi penjelasan yang spesifik mengenai hubungan antara objek (figure) dan latar (ground) dalam persepsi yang menjadi katalis kepada kelahiran pergerakan dan pemikiran Gestalt. Aliran ini mula dipelopori oleh Ahli Psikologi Jerman, Max Wertheimer pada musim panas 1910 di Universiti Frankfurt dan dikembangkan oleh Wolgang Kohler dan Kurt Koffka.
Persepsi ditanggapi sebagai satu unsur yang dinamik dan prosesnya sangat teratur. Bila mana seseorang manusia membuka mata untuk melihat sesuatu, dia tidak melihat sensasi cahaya, sebaliknya menanggapi dan menikmati objek serta permukaannya. Kecenderungan ini telah mengorganisasi persepsi manusia untuk berupaya memberi perbezaan di antara objek dan latar yang melingkungi persepsi pengamatannya.
Justeru, jika teori persepsi Gestalt ingin dikaitkan dengan cara manusia memaknai sesuatu imej visual, ada kewajaran dan penjelasan spesifik yang boleh kita cermati. Hujahnya adalah kerana teori ini melibatkan perhatian menyeluruh, hal persepsi manusia yang dipengaruhi oleh kepelbagaian kesan seperti kebiasaan menanggapi imej, praktis dan pembelajaran, yang mana perkara ini telah menjadi ketetapan secara alami.
Apakah Gestalt?
Secara sederhana, prinsip atau teori Gestalt dapat ditakrifkan sebagai suatu keupayaan fikrah untuk memahamkan keseluruhan ‘corak’ yang tersusun di dalam fikiran. Manusia mengamati serta melihat sesuatu secara ‘menyeluruh’ bukan hanya ‘bahagian-bahagian’ tertentu (yang terpisah malah terasing), agar ia terjelma sempurna dalam persepsi fikirannya.
Bagaimana kita menafsirkan apa yang kita lihat?
Gestalt adalah aliran pemikiran yang menyatakan bahawa manusia mendapatkan makna daripada keseluruhan rangkaian pengamatan daripada mana-mana rangsangan individual. Justeru, kita melihat sesuatu secara “Menyeluruh“

GESTALT (1): Figura dan Latar (Figure and Ground)
Figura adalah objek yang kita persepsikan, Latar adalah apa yang ada di latar belakang. Kita hanya dapat mencerap imej secara satu per satu dalam satu masa. Otak manusia akan menghantar signal berkenaan hal-hal sebagai dekat atau jauh, ruang negatif atau positif. Prinsip figura menyatakan bahawa manusia secara nalurinya akan menganggap objek sebagai latar depan atau latar belakang.

GESTALT (2): Kesamaan (Similarity)
Prinsip kesamaan membahaskan tatkala sesuatu kelihatan mirip di antara satu sama lain, kita cenderung untuk mengelompokkannya dalam kumpulan yang sama. Kita juga cenderung untuk berfikir bahawa ia memiliki fungsi yang serupa. Ini adalah prinsip yang meletakkan keseluruhan sebagai suatu yang terintegrasi, misalnya bulu-bulu pada burung, produk ‘Cadbury’ yang menggunakan warna ungu sebagai tatanan kesamaan, warna produk makanan segera McDonald’s dan sebagainya.

GESTALT (3): Kedekatan (Proximity)
Prinsip kedekatan menyatakan bahawa hal-hal yang berdekatan kelihatan lebih terkait daripada hal-hal yang berjarak lebih jauh. Prinsip ini mempunyai daya persepsi yang begitu kuat, sehingga berupaya untuk ‘menyingkirkan’ kesamaan warna, bentuk dan faktor-faktor lain yang mungkin membezakan sekelompok objek.

GESTALT (4): Penutup (Closure)
Prinsip Penutup menerangkan saat kita melihat susunan elemen visual yang kompleks, kita cenderung untuk mencari satu pola yang dapat dikenali. Dengan kata lain, di ketika kita melihat visual yang mempunyai bahagian yang hilang atau tidak lengkap, otak kita secara automatik (yang berdasarkan kepada segenap pengetahuan dan pengalaman), akan mengisi bahagian yang kosong tadi serta menjadikan visual tersebut kelihatan sempurna (cuba melengkapkannya dalam persepsi) sehingga kita dapat mengenali pola-polanya.

GESTALT (5): Kesinambungan (Continuity)
Prinsip kesinambungan memberi dalih bahawa unsur-unsur yang disusun pada garis atau lengkungan dianggap lebih terkait daripada unsur-unsur yang tidak berada pada garis atau lingkungan tersebut.

GESTALT (6): Titik Fokus (Focal Point)
Prinsip Titik Fokus mengutarakan tentang segala apa pun yang menonjol secara visual, tentunya dapat menarik perhatian para pemerhati terlebih dahulu.

Kesimpulan
Teori Gestalt, secara psikologi mewajarkan bagaimana manusia memproses maklumat dan pengalaman hidupnya. Dalam kehidupan harian, teori ini membantu kita mengenali pola dan hubungan antara elemen, umpamanya untuk memahami situasi yang kompleks atau membuat keputusan berdasarkan gambaran keseluruhan, bukan sekadar fokus kepada fragmen-fragmen kecil yang tepisah. Justeru, ia mencerminkan bagaimana otak manusia secara semula jadi mencari struktur, ‘corak’ dan makna. Dalam menafsirkan seni pula, gagasan Gestalt berupaya untuk menjelaskan bagaimana elemen-elemen seperti warna, bentuk, ruang, dan jalinan digabungkan untuk mencipta kesan visual yang harmonis dan interpretif. Prinsip seumpama ‘closure’misalnya, yakni melengkapkan bentuk yang tidak sempurna atau ‘proximity’(persepsi elemen yang berdekatan sebagai satu kumpulan), dapat membantu seniman dan pereka mencipta karya yang menarik perhatian, bahkan senang untuk difahami oleh khalayak pemerhati. Maka, Gestalt mengajar kita untuk melihat dunia dengan perspektif yang menyeluruh, meningkatkan keupayaan memahami hubungan dan keindahan dalam segenap aspek hidup.
RUJUKAN
Arnheim, R. (1974). Art and Visual Perception: A Psychology of The Creative Eye. California: UC Press.
Meredith Davis (2012). Graphic Design Theory. London: Thames & Hudson.
Saiful Akram Che Cob (2023). Pro.sa Seni: Esei-esei Propaganda, Sastera & Seni. Petaling Jaya: The Biblio Press.

