WAKTU menemubualnya dulu, AG Coco ada senaraikan beberapa kerja terbitannya yang jadi kegemaran. Ia termasuk album Jika Sempat (Hujan), Esok Belum Tiba (Nastia), Siang & Malam (Amir Jahari) serta Puisi Tepi Jalan (Fynn Jamal).
Dari kesemua album tersebut, saya hanya ada album fizikal Puisi Tepi Jalan. Baru dibeli di Carousell.
Mendengar album tersebut buat kali pertama, saya teruja. Sebab keseluruhan treknya ada 18, sedangkan di Spotify hanya ada 10.
Ini bermakna pembelian saya sangat berbaloi. Selain mahu ada rasa pemilikan, saya beli album fizikal sebab mahu benda-benda yang tak ada di platform digital — buku lirik, seni sampul dan trek bonus, jika ada.
Puisi Tepi Jalan belanja lapan trek bonus (yang kebanyakannya intermisi) termasuk satu lagu penuh yang hanya menampilkan Fynn bercakap diiringi muzik latar yang menyerupai lagu Suatu Pernah.
Ini belanja bukan sekadar belanja. Trek-trek tersebut menyuntik lebih makna kepada lagu-lagu yang mengiringi. Dan yang bercakap itu pula Fynn. Dia memang pakar dalam bercakap.
Fynn di awal usia (saya)
Saya kenal Fynn Jamal kira-kira 14 tahun lepas. Anak cikgu paling hot dalam kelas kami, Arif Samsudin mahu ubah lirik 150 Juta jadi lagu untuk cikgu-cikgu dan persembahkannya dalam majlis Hari Guru.
Tapi 150 Juta terlalu renyam dan saya belum pandai menghargai seni renyam. Maka nama Fynn dilupakan terus.
Masuk Tingkatan Enam, seorang rakan yang dah ada lesen kereta, Amirul Shafeq atau yang kami panggil Amoi memperkenalkan lagu-lagu puisi Fynn kepada saya. Di situ saya tersangkut.
Sepertinya, Malam Ini Kita Semua Menangis dan – sebab umur belasan memang umur kita angkat tinggi kawan-kawan – Kawan Hujan Ribut Taufan jadi kegemaran.
Saya terus meneroka lagu dan puisi Fynn di Youtube. Buku Puisi Tepi Jalan terbitan Rabak-Lit pula jadi pembelian dalam talian pertama saya seumur hidup. Blognya saya baca, Instagram-nya jadi kegemaran.
Saya jumpa Fynn pertama kali di UPSI. Kami bikin Hari Terbuka dan Fynn jadi panel dalam satu forum. Saya ditugaskan untuk menjemput, merunding harga dan jadi moderator.
Saya ingat lagi, kami atur kejutan buat kawan, Izzati Natasha yang turut meminati Fynn dan sedang berdepan cabaran penyakit jantung. Dia dapat berbual berdua dengan Fynn malam itu.
Ketika Fynn mula atur langkah jadi ‘penyanyi’, saya sudah alih minat pada banyak hal lain. Fynn Jamal sebagai penyanyi saya sambut biasa-biasa.
Mentah yang mencair
Afifah Gentayang buat saya teroka Fynn semula, terutama produk muziknya. Kami berbual panjang tentang sosok yang kami sama minati itu, menggali dalam setiap karya dan catatannya.
Penerokaan ketika itu masih di kelabu nostalgia, maka saya tulis di Instagram, lagu-lagu Fynn versi mentah yang dimuat naik di Youtube dahulu lebih memikat. Produksi bersih dan gah dalam album buat kejujurannya mencair.
Tapi saya tak nafikan, produksi sebegitu buat nama Fynn naik dalam industri muzik. Ia sesuai dihidang kepada khalayak ramai.
Selepas beberapa bulan, saya kini lebih menghargai kerja produksi album Puisi Tepi Jalan. Kalau bukan yang terbaik pun, ia sangat baik.
Ada beberapa lagu yang mencair kejujuran dan kementahannya tetapi tindakan itu boleh difahami.
Fynn sudah dikenali dalam lapangan jalanan yang mahukan kejujuran dan kementahan. Album Puisi Tepi Jalan adalah untuk dia tembus ke pasaran massa, para pendengar kasual yang tidak meneliti muzik dengan mendalam.
Saya kurang mahir bab produksi muzik. Tentang susunan, gubahan, adunan dan lain-lain. Hanya faham permukaan.
Dan fahaman permukaan saya begini: kerja-kerja teknikal dalam penerbitan muzik adalah untuk ia boleh didengar dengan selesa dan sihat. Bunyi diadun supaya tidak menyakitkan dan memenatkan telinga.
Ambil contoh Jangan Jatuh. Saya selalu dengar versi rakaman persembahan langsung, kalau tak silap, di sebuah universiti. Versi itu sangat menangkap, jujur dan mentah. Jeritan Fynn bergetar sampai lohong dada.
Tapi ia tak boleh didengar dengan kerap. Bunyinya yang tidak ‘dirawat’ buatkan telinga mudah penat.
Banyak perubahan dibuat pada lagu sama dalam album. Ada bahagian seakan-akan rap dan melodi korusnya diubah sedikit. Yang menggetar lohong dada tadi tak lagi ada.
Tapi tetaplah ia lebih mudah didengar berulang kali. Komposisinya lebih mesra telinga, mudah diingati dan sederhana, tidak terlalu intense.
Menolak merdu
Namun, tak semua lagu lesap jujur dan mentahnya. Sebaliknya, ada yang meningkat.
Paling jelas pastilah lagu terbaik dalam Puisi Tepi Jalan, iaitu Suatu Pernah. Dengan produksi mewah, rasanya masih sampai malah lebih dinamik. Perasaan digoncang dengan dinamik susunan yang berkesan.
Lebih menarik, Fynn tak cuba jadi penyanyi yang ‘penyanyi’. Dia tak cuba nak memerdukan suara. Mana bahagian yang suara terpecah atau terserak lebih dibiarkan.
Dan itu pilihan yang tepat sebab lagunya tentang kekecewaan yang dalam. Dalam kecewa tak ada merdu.
Di sini datang fungsi AG Coco sebagai penerbit. Pilihan-pilihan kreatif yang dibuat memaparkan keseimbangan. Dia tahu apa yang perlu ditambah, apa yang perlu dikekalkan.
Satu faktor, AG kenal rapat Fynn. Dia tahu artis bagaimana yang Fynn mahu jadi. Faktor kedua lebih penting – julat pengalaman AG luas.
Dia dikenali sebagai penerbit untuk banyak barang yang kemas dan perdana. Kerja-kerjanya untuk stesen TV, korporat dan artis arus perdana menuntut kekemasan dan keperdanaan.
Tapi dia juga ada banyak pengalaman dengan barang alternatif, lo-fi dan luar lazim. Sebelum Hujan lagi, dia pernah ikut ikon indie pop, Fathullah Luqman Yusof (Spiral Kinetic Circus, Infectious Maggots), kemudian bikin Hujan yang memang awalnya ‘indie’, baik secara genre atau praktis.
AG juga, saya fikir, faham kehendak artis yang mahu terbitannya sedikit kotor dan tidak kemas. Ketika menerbitkan sebuah album indie pop dan jurutera rakamannya seperti pelik dengan permintaan artis tersebut, AG cakap: “Dia nak apa hang bagi ja”. Itu cerita yang saya dengar.
Sebagai penerbit, yang paling penting ialah kelurusan visi. Tahu apa yang sesuai untuk artis yang dikendali. Dalam kes Puisi Tepi Jalan, saya fikir AG cukup lurus. Malah, itu mungkin produk terbitannya yang paling lurus visi.
Kegemilangan sajagu
Tahun depan, usia Puisi Tepi Jalan mencecah 10 tahun. Sedekad. Dah darjah 4.
Jarang dibicara tapi penerbitannya signifikan. Ia boleh menjadi kajian kes yang jelas untuk meneliti kesan penerbit terhadap karya seseorang artis.
Lebih menarik lagi, album itu merakam penglibatan penyair dalam muzik, seperti yang dibuat Fazleena Hishamuddin bersama kugirannya, Fazleena & The Lasykar melalui EP terbitan Dubook Records (2015) dan Wani Ardy melalui album Raskat (2020).
Ketiga-tiga terbitan itu juga merakam kewujudan sajagu (gabungan sajak dan lagu, saya ilhamkan dari lagu Poetrusic yang didendangkan Charlie Dalton dalam Dead Poets Society) yang penuh mengisi sebuah terbitan.
Dan harus diakui, Puisi Tepi Jalan merupakan album sajagu paling berjaya setakat ini, baik secara komersial atau kualiti.
Tahap itu boleh dicapai kerana kolaborasi penulis dan penerbit yang cemerlang dalam ruang tugasnya, saling mengenal roh kreatif satu sama lain dan lurus visi. Begitulah gemilangnya kolaborasi Fynn Jamal dengan AG Coco dalam Puisi Tepi Jalan.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.

