DALAM landskap puisi Melayu kontemporari, kehadiran dua naskhah baharu ini, Seperti Laut, Cinta Tak Pernah Surut Daripada Gelora karya Ramzah Dambul dan Percakapan dari Rimba Manusiawi nukilan Shamsudin Othman merupakan manifestasi kekuatan suara penyair dalam mengungkapkan keinsanan dan kebijaksanaan.
Kedua-dua buku ini diterbitkan melalui Projek Penerbitan Buku PENA–Malaysia MADANI yang menampilkan identiti dan keunikan perjalanan estetika. Menelusuri kedua-duanya, kita dapat menghayati keindahan kepengarangan, estetika bahasa, cara fikir penyair, serta daya inovasi dan kreativiti yang menjadikan naskhah mereka begitu penting pada zaman ini.
Kepengarangan: Wajah, Suara, dan Keinsanan Penyair
Ramzah Dambul, dengan latar belakang ahli klimatologi, membawa keunikan tersendiri kepada dunia puisi. Dalam prolognya, beliau berkongsi pergelutan antara pandangan saintifik dan spiritual, lalu memadukan sains dan sastera menjadi satu simbiosis yang “penuh anomali”, tetapi menemukan, “suara puisi tersendiri, yang membawa nada paling peribadi.”
Puisi-puisinya berakar daripada fenomena alam seperti angin, hujan, awan, dan laut, sebagai metafora kepada cinta, luka, dan rindu. Ini menjadikan kepengarangan Ramzah begitu “organik”, teradun pengalaman empirikal dan renungan hati, membentuk naratif puisi yang bukan hanya peribadi, malah menyentuh realiti kolektif pembaca.
Sementara itu, Shamsudin Othman adalah penyair yang sudah matang dalam dunia puisi, seperti diungkapkan dalam Prakata, “Berpuluh-puluh tahun memesrai puisi, saya mendewasa dan sangat istiqamah menekuninya dengan rasa insaf berbayang ketakutan.” Kepengarangannya sangat mementingkan dimensi kemanusiaan dan tanggungjawab insaniah.
Puisi-puisi Shamsudin berlandaskan pengalaman spiritual dan sosial, penuh renungan terhadap kehidupan, keadilan, dan makna sebagaimana pesannya, “Puisi adalah pohon rendang dan rimbun yang boleh menaungi perasaan manusia.” Kesedaran dan keinsafan menjadi tunjang, seolah-olah setiap bait adalah wasiat yang mahu ditinggalkan buat generasi mendatang.
Estetika Bahasa: Antara Sains dan Kesufian
Dari sudut estetika bahasa, Ramzah Dambul mempesonakan pembaca dengan gaya bahasa yang segar, penuh metafora alam, dan penegasan ironik. “Puisi-puisi dalam buku ini ialah cerita tentang cinta, luka, dan rindu. Tapi dilafazkan dengan bahasa cuaca: Angin, awan, hujan, dan deru laut,” ungkapnya di halaman X.
Terdapat sentuhan puitis Ramzah yang sangat cermat, bahasa lembut, namun sarat dengan falsafah yang mendalam. Kata-katanya mengalir, bagaikan riak air, misalnya dalam puisi “Gawat Musim Gelora” (halaman 4), beliau menulis:
“Memilih menjadi pejuang
bererti kau seorang nakhoda
yang mahu melawan samudera
ketika gawat musim gelora.”
Bahasa Ramzah mengajak pembaca menghargai hal-hal kecil, merasai “nikmat hidup” dan “nikmat rasa hidup”, suatu pencerahan yang mendorong kita untuk tidak sekadar melalui hidup, tetapi benar-benar “menikmati” setiap getir dan manis perjalanan itu.
Shamsudin pula memilih gaya yang lebih reflektif dan naratif. Puisi-puisinya sering berupa “percakapan”, seolah-olah dialog abadi antara penyair dan pelbagai watak (ibu, abah, sahabat, bahkan dirinya sendiri). Bahasa yang digunakan penuh hikmah dan kearifan tempatan, mengingatkan kita pada tradisi sufisme Melayu yang penuh tamsil, perumpamaan, dan sindiran halus seperti di halaman 1:
“Setiap kali membuka lembaran puisi
matahari ceria dalam langit diri
hanya satu inginku
biarlah sekuntum takdir
siangnya bersinar
malamnya bercahaya.”
Bait di atas menjadi semacam doa dan pengakuan, mengukir perasaan pembaca dalam lapisan makna yang tidak mudah pupus oleh masa.
Fikrah dan Renungan: Dimensi, Soal dan Jawapan
Satu ciri menonjol yang ada dalam kedua-dua karya ini adalah kekuatan pemikiran (fikrah) yang dizahirkan. Ramzah sering memerangkap makna hidup dalam metafora cuaca dan fenomena alam. Beliau mengajak pembaca “melihat lebih jauh, kau mesti sudi bertukar mata dengan orang lain,” (halaman 7) seolah-olah membina empati dan kesedaran lintas pengalaman manusia.
Puisi “Kami Unggas Berbeza” (halaman 6) menyeru penerimaan terhadap perbezaan:
“Kehidupan ibarat teduhan rimba luas
mergastua merayap dan terbang
memilih pepohon masing-masing.”
Dalam pelbagai puisinya, Ramzah turut mengangkat isu-isu kontemporari dan kemanusiaan, misalnya dalam “Dari Paris ke Parsi” (halaman 2), terdapat getaran simpati kepada pergolakan Palestin, menegur manusia yang “leka bermain fantasi” dan “dunia asyik mengulit falasi”.
Berbeza dengan Ramzah, Shamsudin menelusuri lapisan makna secara falsafah dan introspektif. Puisi-puisinya kerap membingkai sejarah peribadi, pengalaman hidup, dan soal-soal besar berkenaan iman, hakikat, dan takdir. Dalam “Percakapan dari Rimba Maknawi” (halaman 6), beliau menulis:
“Pada tanah air yang mendamba daulat
dengarkan laungan yang terbit dari gema kemakmuran ini
suara demokrasi seperti angin – sepoi mendodoi santun
mengutus bijaksana dan insaf diri.”
Shamsudin turut memperlihatkan kepekaannya terhadap isu kemanusiaan sejagat, seperti nasib Palestin dalam “Percakapan Lain kepada Palestin” (halaman 10), dan refleksi sosial dalam “Tanah Kehilangan Peta” (halaman 31). Kejernihan fikrah dan kematangan pengamatan menjadi teras dalam puisinya, memancarkan “hikmah ummah” yang mempertautkan iman dan kemanusiaan.
Inovasi dan Kreativiti: Eksperimen dan Eksplorasi
Kedua-dua buku ini memperlihatkan tahap inovasi yang tinggi dalam puisi Melayu mutakhir. Ramzah Dambul berani “menjinakkan” alam sains dalam puisi. Eksperimen metafora dan simbolik cuaca menjadikan puisinya berbeza daripada tipikal puisi romantik atau sosial.
Inovasi Ramzah bukan sekadar pada bentuk, tetapi juga pada sudut pandang. Puisinya menjadi ruang bagi menganyam suara saintis dan penyair. Ada keberanian dalam membawa naratif “empirikal” dalam ranah “spiritual”, yang membuahkan gaya baharu, “Ya, benar-benar hidup!”
Sementara Shamsudin menampilkan inovasi melalui eksplorasi tema dan bentuk “percakapan”. Judul-judul puisi yang dimulai dengan “Percakapan…” menjadi gaya konsisten, seperti pentas teater monolog yang kaya dialog batin dan pengajaran.
Kreativiti beliau terserlah melalui dialog antara watak, lokasi (dari Madrasah Sham al-Johori sehingga ke Sungai Rhine di Frankfurt), dan masa. Puisi-puisi beliau menjadi catatan perjalanan rohani dan intelektual, menyatukan naratif mikro dan makro kemanusiaan dalam satu suara; “hikmah”, “taubat”, “istiqamah”, dan “takdir” yang menjadi tunjang utama eksplorasi puisinya.
Simfoni Laut dan Rimba Insan
Kedua-dua buku ini mewakili dua arus kuat dalam puisi Melayu. Satu arus “seperti laut” yang penuh gelora, mengajak kita menyelami makna hidup dalam perubahan cuaca dan getir rasa. Satu lagi arus “rimba manusiawi”, di mana penyair menjadi pemandu hikmah, mengajak pembaca berjalan dalam belantara makna, lalu menuju cahaya insaf dan kebenaran.
Bait-bait terbaik daripada Ramzah seperti, “Untuk mengerti tuntas realiti dunia, kau mesti meniliknya dengan kedua-dua mata,” (halaman 3) atau Shamsudin yang menulis, “Puisi adalah pohon rendang dan rimbun yang boleh menaungi perasaan manusia,” (halaman X) menjadi manifestasi kekuatan dan kekayaan puisi mereka.
Dari perspektif kepengarangan, estetika, fikrah, serta inovasi, kedua-dua buku ini menampilkan kematangan penyair yang sentiasa mencari makna dan kebenaran. Malah kedua-duanya merintis jalan puisi yang lebih manusiawi, progresif, dan relevan dalam zaman yang penuh kegelisahan ini. Maka, pembaca yang dahagakan puisi bukan sahaja akan menemukan keindahan kata, malah akan berasa terhimbau dalam gelombang renungan dan hikmah yang tidak pernah surut daripada gelora kehidupan.
