HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati bukan sahaja meninggalkan nama, akan tetapi khazanah pemikiran yang boleh dimanfaatkan oleh generasi selepas itu. Khazanah pemikiran itulah yang membezakan antara yang hanya ada nama dengan yang berfikiran jauh selepas zamannya.
Banyak yang boleh meninggalkan nama, apa lagi kalau di bidang politik kepartian. Bagaimanapun tidak banyak nama yang ditinggalkan itu melampaui sanjungan disebabkan kedudukan yang dicipta dalam masyarakat. Sebab itulah nama sahaja tidak memadai melainkan idea, gagasan atau pemikiran yang merentas zaman.
Mansor Puteh sudah tiada. Kemalangan jalan raya yang tragis pada 7 Julai 2024 telah meragut nyawanya pada detik usia 71 tahun. Siapa Mansor? Sebenarnya Mansor bukanlah sesiapa dan tidak memiliki apa-apa yang berupa benda.
Mansor meninggalkan sebuah filem, Seman yang dihasilkan pada 1986, Tetapi yang lebih besar ditinggalnya adalah gagasan pembentukan sinema Islam (muslim cinema) sebagai wacana balas (counter discourse) penjajahan pemikiran dalam filem-filem Barat.
Sepatutnya gagasan sebesar itu tidak datang daripada Mansor yang bukan sesiapa.
Sebaliknya datang daripada agensi yang mengawal selia pembangunan filem tempatan kita. Bagaimanapun hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Kempen Road To Oscar pula yang dicanang secara besar-besaran disebabkan kemaruknya sesetengah dalam kalangan menteri dan birokrat hendak menjulang Oscar.
Gagasan sinema Islam bukan sahaja tidak mendapat tempat malah tidak dipedulikan. Hal itu barangkali disebabkan kritikan keras Mansor terhadap pelan pembangunan filem tempatan yang seolah-olah menggalakkan penerbitan filem ‘fake Hollywood.’ Dalam bahasa mudahnya ‘fake Hollywood’ itu sama tarafnya dengan segala jenama palsu yang boleh diperoleh dengan mudah dan murah di Jalan Petaling.
Saya memahami gagasan sinema Islam itu sebagai benteng menahan propaganda Barat yang digerakkan melalui kebanyakan filem Hollywood. Sasaran propaganda itu tidak lain negara-negara yang hilang jati diri dan berkiblatkan Barat dalam semua hal kehidupan.
Gagasan sinema Islam adalah satu usaha yang sepatutnya sudah lama membumi, tumbuh dan berakar tunjang dalam perfileman tempatan. Tujuannya tidak lain untuk mengekang penjajahan pemikiran, pemesongan akidah serta agenda-agenda melemahkan jati diri melalui filem dari Barat.
Mansor adalah seorang yang pernah mendapat pendidikan filem peringkat sarjana dari Universiti Columbia, Amerika Syarikat (AS). Sepatutnya Mansor yang menjadi ejen ‘menghollywoodkan’ atau ‘mengamerikakan’ filem tempatan kerana terdidik dengan filem Barat.
Maka tentulah suatu yang sangat ironi apabila seorang yang mendapat pendidikan filem di Barat terbuka pemikirannya menggerakkan gagasan sinema Islam. Masa yang sama menolak filem Hollywood dari AS dan ‘fake Hollywood’ yang banyak dihasilkan dan diraikan di negara ini.
Perkara yang dibuat oleh Mansor itu sebenarnya tidak berani dibuat oleh orang kita kerana dua sebab, pertama bimbang dianggap kolot kerana menolak filem Barat, dan kedua tidak tentang faham agenda mengarusperdanakan filem yang memberi ‘kerosakan’ pada saraf otak masyarakat.
Tetapi Mansor adalah ikan hidup. Ada dua situasi persamaan ikan hidup dengan keberadaan Mansor dalam perfileman tempatan. Pertama, Mansor sebagai ikan hidup yang sama sekali tidak menjadi masin walaupun berkurun terendam di lautan. Sebaliknya pula hanya ikan yang mati mudah menjadi masin hanya dengan sesudu garam. Menuntut ilmu perfileman di Barat tidak semestinya menjadi Barat.
Kedua, hanya ikan hidup yang menongkah arus sementara ikan mati membiarkan diri dibawa ke mana sahaja. Mansor memilih menjadi ikan hidup yang menongkah arus utama kerana percaya itu tidak betul. Malah bukan sekadar percaya, akan tetapi bersandarkan pengalaman dan penelitian.
“Aku ke Amerika untuk belajar ilmu filem, bukan untuk menjadikan filem Malaysia seperti Amerika,” kata Mansor kepada saya beberapa tahun lalu apabila banyak pihak dalam kalangan karyawan menyanggah dakwaan filem tempatan sebagai ‘fake Hollywood.’
Sejak mengenali Mansor lebih kurang 40 tahun lalu, dia bukan seorang yang mudah putus asa dengan sekatan dan halangan. Malah terus memberi pandangan yang kritikal, telus dan sangat terus terang hingga ada kalanya melukakan pihak dan individu tertentu.
“Aku tengok banyak filem kita yang anti Islam. Mempromosi pemikiran dan gaya hidup yang tidak selari dengan Islam. Tetapi kau buat apa? Kau diam sahaja langsung tak bersuara. Sejak bila kau pun dah jadi macam orang politik tidak berani bercakap benda yang betul,” kata Mansor dengan selamba kepada saya. Sebenarnya itulah Mansor, cakapnya sangat terus terang tanpa bertapis atau ditimbang-timbang atau disukat-sukat.
Pada tahun 1999, selepas berdepan laluan yang penuh liku akhirnya Mansor mendapat peluang membentangkan gagasan sinema Islam dalam kertas kerja bertajuk, ‘Muslim cinema as an anti-thesis to Hollywood’ di Khalil Sakakini Cultural Centre di Ramallah, Palestin.
Dalam kertas kerja yang sama juga Mansor mencadangkan penganjuran The World Muslim Film Festival yang mempertandingkan filem-filem memaparkan nilai, pemikiran dan budaya hidup Islam. Bagaimanapun semua itu sudah menjadi sejarah, tidak nampak ada pihak yang meneruskan gagasan itu selepas ketiadaannya. Setahu saya belum ada mana-mana pihak di negara ini yang menyahut atau memberi reaksi terhadap gagasan sinema Islam.
Selain menghasilkan filem Seman, Mansor yang tidak pernah berpisah dengan kamera itu banyak menulis skrip drama televisyen. Antaranya Basikalku (1985) diarahkan oleh Adman Salleh dan diterbitkan oleh TV3. Basikalku menjadi drama pertama bekas wartawan Utusan Malaysia, Zulkifli Ismail sebagai pelakon utama.
Selain itu skrip drama Novel Oleh Atikah (1988) diarahkan oleh pengarah kontroversi Nasir Jani diterbitkan oleh Ogy Productions dan drama bersiri Kadir Dan Kim yang menceritakan tentang kehidupan masyarakat pelbagai kaum.
Tahun 2020, buku tulisannya, Palestine Stories diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan di AS. Selain Palestine Stories, Mansor sudah menulis 86 manuskrip yang bercorak fiksyen dan non fiksyen. Dia mengisi hidupnya dengan berkarya dan memberi pandangan jujur mengenai filem.
Mansor yang pernah menjadi wartawan Utusan Melayu pada 1977 juga mencatat rekod sebagai penderma darah terbanyak di negara ini iaitu 631 kali. Bagaimanapun Mansor melakukan semua itu bukan untuk mencatatkan rekod sebaliknya sebagai sumbangan kepada pihak yang memerlukan.
Mansor juga adalah seorang yang sangat menjaga bahasa, tidak kira bahasa Melayu atau Inggeris. Adab berbahasanya sangat tinggi, dalam semua tulisan bahasa Melayunya di surat khabar atau kertas kerja, hampir tidak ada istilah atau frasa Inggeris. Malah dalam perbualan dengan kawan-kawan juga hampir tidak pernah menyulam seli dengan bahasa Inggeris.
Suatu ketika Mansor merungut kepada saya apabila beberapa surat khabar menyiarkan perihal seorang duta di Kuala Lumpur bertutur bahasa Melayu dengan baik. Kata Mansor dengan sinis yang menghiris, “Aku rasa tak ada pula surat khabar Amerika menyiarkan berita tentang orang bukan Amerika fasih berbahasa Inggeris di Amerika.”
Walaupun kritikan yang berterus terang banyak mendatangkan kemarahan kepada pihak tertentu, tetapi Mansor tidak pernah marah. Keadaannya sentiasa tenang dalam berdepan semua situasi yang tegang biarpun dikecam secara berdepan dalam majlis atau forum.
Pandangannya kritikal, tidak bertapis malah sangat berterus terang meninggalkan kesan yang amat melukakan kepada pihak tertentu. Dia tidak membezakan antara kawan atau sebaliknya, semua pandangannya diucap dengan rasa yang merdeka.
Masa yang sama dia meraikan semua pandangan yang cerdik sekalipun keras dan terus terang. Menerima dengan rasa gembira tidak kira yang sehaluan atau sama sekali bertentangan. Hal itu menurutnya yang membezakan antara pandangan yang telus dan cerdik dengan yang tidak membina dan bermuka-muka.
Berkawan dengan Mansor bukanlah bererti selamat daripada kritikan dan teguran yang terus terang dan melukakan. Bukan sahaja ketika berbual di warung teh tarik, malah di forum atau tulisannya di surat khabar, Mansor tidak teragak-agak membedal dan menghiris. Maka bagi yang tidak mengenali Mansor, dia dilabelkan sebagai biadab, kurang ajar, angkuh dan sombong.
Sikap yang sedemikian membuatkan dia tidak disenangi, sekalipun pandangannya wajar, tetap akan disanggah kerana banyak yang menganggap itu satu keangkuhan. Maka sebagai reaksi balas, dia diserang di kiri dan kanan hanya kerana pandangan itu datang daripada ‘Mansor bin Puteh.’
“Sebab itu aku suka berkelahi (berhujah) dengan orang cerdik, mereka tidak membuang masa aku dan tidak cepat menanggapi sesuatu di luar maksud sebenar,” Mansor pernah berkata kepada saya apabila ditanya reaksinya terhadap kecaman sesetengah individu dalam dunia perfileman.
Dalam satu forum perfileman lebih kurang 30 tahun lalu yang turut dihadiri oleh beberapa pengarah filem legasi dari Jalan Ampas, Singapura, Mansor dengan selamba dan seperti tiada rasa meminta pengarah di depannya berhenti mengarah filem.
“Saya minta berhentilah buat filem. Cukuplah merosakkan kerana sekarang kita hendak mendirikan filem Melayu.” Dia menyebut satu demi satu nama pengarah yang berada di depannya tanpa sedikit pun rasa ‘segan’. Saya yang berada dalam dewan itu ikut terkedu, rasa tidak tahu di mana hendak diletakkan muka kepada pengarah-pengarah itu.
Tetapi itulah Mansor. Tidak pernah berkompromi dengan hal-hal yang mesti dicakap dengan terus terang. Ketiadaan Mansor tentu akan diingat dengan cara dan tanggapan masing-masing.
– KU SEMAN KU HUSSAIN adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang kini menjadi wartawan bebas. Beliau telah menghasilkan dua buku, ‘Anekdot Ku Seman (2018) dan ‘Kata Ku Seman (2023). Kini sedang menyiapkan sebuah memoir yang mencatatkan insiden-insiden penting di sebalik tabir Jabatan Pengarang Utusan Melayu.
