Festival Filem Raintown (Raintown Film Festival) bakal kembali untuk edisi ketiga pada awal September 2026 nanti, yang dijadual berlangsung di Taiping, Perak bagi meneruskan peranannya sebagai platform kreatif dan juga sebahagian daripada usaha bagi memperkukuh ekosistem serta memperkasa budaya filem tempatan.
Berikutan kejayaan penganjuran pertandingan pada edisi sebelumnya yang menarik 103 penyertaan daripada pelbagai lapisan pengkarya, pertandingan ‘Filem Pendek Raintown’ yang merupakan program utama dalam edisi Festival kali ini kini dibuka secara rasmi dengan mengangkat tema “Selepas Hujan”, dengan durasi kurang dari 10 minit merupakan syarat bagi setiap filem. Filem-filem ini akan dipertandingkan dalam 8 kategori, dengan penghormatan tertingginya akan menerima anugerah ‘The Rainmaker Award’.
Pembuat filem baharu dan berpengalaman diajak untuk meneroka naratif berkaitan transformasi, pembaharuan dan emosi sama ada secara literal mahupun metafora dalam menafsirkan makna dan naratif pasca-hujan melalui pelbagai pendekatan kreatif untuk dapat berkongsi karya serta bertukar pandangan dalam merangsang perkembangan seni perfileman, di samping membuka peluang kerjasama kreatif serta meningkatkan apresiasi filem di kalangan masyarakat.

Diasaskan pada tahun 2024 oleh pembikin filem Malaysia, Jacky Yeap, festival tahunan ini terus berkembang sebagai ruang pertemuan antara pengkarya dan penonton dalam suasana yang mengangkat identiti Taiping yang terkenal dengan jolokan “Bandar Hujan”.
Sejak penganjuran sulungnya, Festival Filem Raintown telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, dengan jumlah kehadiran penonton meningkat daripada sekitar 800 orang kepada lebih 2,000 orang pada edisi kedua. Festival ini bukan sahaja menayangkan karya filem tempatan, malah turut menganjurkan pelbagai program sokongan seperti sesi bicara filem, bengkel, tayangan terbuka (wayang pacak) dan lawatan berpandu, sekali gus memperkayakan pengalaman audiens.
Selaras dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, edisi kali ini akan berlangsung selama tiga hari dengan pelbagai pengisian menarik. Antaranya termasuk tayangan filem yang dirakam di sekitar Taiping serta sesi bicara dokumentari yang menyentuh isu pemindahan SJK (C) Aik Hua Terong, sebuah projek yang mendapat pembiayaan penuh kerajaan dan pernah diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh. Selain itu, peserta juga berpeluang menyertai lawatan berpandu ke Bukit Larut bagi meneroka keunikan landskap dan sejarah bandar tersebut.
Sebanyak 20 karya terpilih akan ditayangkan sepanjang festival, dengan anugerah Filem Pendek Terbaik menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM8,000. Hadiah-hadiah lain turut disokong oleh CK Music, GoPro, Logitech, N4 Camera Store, Ulanzi, dan Lumos, bagi menggalakkan kreativiti berterusan untuk penghasilan karya berkualiti. Selain peluang memenangi anugerah, pembikin filem yang disenarai pendek akan dijemput menghadiri festival selama tiga hari itu, dengan karya mereka ditayangkan di layar lebar, memberi pengalaman eksklusif serta peluang jaringan dalam kalangan penggiat industri.
Festival ini dibawakan oleh West Coast Expressway dan dianjurkan oleh Jawatankuasa Festival Filem Raintown bersama WuBen Film Magazine serta Studio 1914, dengan sokongan PORT Ipoh melalui Dana Kreatif Perak.
Dengan pendekatan inklusif dan tema yang terbuka kepada interpretasi kreatif, Pertandingan Filem Pendek Raintown 2026 dijangka terus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta mengembangkan landskap filem pendek tempatan.

Maklumat Penyertaan Pertandingan Filem Pendek Raintown 2026:
Tema: Selepas Hujan
Genre: Terbuka (Fiksyen, Dokumentari, Animasi dan lain-lain)
Durasi: Maksimum 10 minit
Bahasa: Terbuka (dengan sari kata Bahasa Inggeris)
Format: H.264 MP4/MOV, resolusi minimum 1920×1080
Kelayakan: Terbuka kepada warganegara Malaysia
Tarikh Tutup: 14 Jun 2026
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta menghantar penyertaan melalui laman rasmi festival di: www.ckmusic.com.my/rff-2026
atau imbas Kod QR pada poster.
Nota Editorial:
Dan garis cahaya menyuluh ke bumi
Sambil melukis pelangi
Pertumbuhan hijau membuka matanya
Dan kehidupan menari
Kita nyanyi setelah hujan
Kita mimpi setelah hujan
Dan aku cinta padamu
Dan aku cinta padamu
– Setelah Hujan (Search)
