Satu paradoks dalam bidang fotografi ialah bahawa sesiapa yang ada kamera boleh ikut serta dalam kraf ini, tetapi bukan semua boleh hasilkan foto yang bagus. Foto yang bagus mencerminkan peribadi fotografer, wawasan dia, permahamannya terhadap realiti, kebolehannya menyusun-letak, ketajaman deria menangkap cahaya dan bayang.
Memang pun kualiti-kualiti tersebut terdapat dalam foto sembarangan tetapi itu semua adalah kebetulan. Banyaknya selfie yang kita ambil bertujuan menjadi barang kenangan. Di dalamnya, terdapat juga komposisi yang betul tetapi kebanyakkan senget, berat sebelah, tembak sembrono.
Karya Faisal Ahmad dalam fotozine “Out There” menunjukkan adanya gambar yang ditangkap rapi, ada juga tangkapan yang selamba. Foto-foto dalam zine ini adalah adegan di Kota Bharu, Kuala Lumpur, Jogjakarta dan Jakarta.

Berasal dari Kota Bharu, Faisal Ahamad sudah mengasuh matanya untuk meneliti dengan pantas. Termasuk adalah sejumlah imej-imej yang kabur, seperti adegan naik-turun tangga, seorang penjual satay, sesakan trafik semasa senja, seekor kucing di tepi tingkap, skrin wayang kulit, simpang jalan ke arah Pengkalan Chepa.


Kualiti kabur dan samar-samar itu tidak sengaja, hasil tangkapan ketika tangan bergerak tanpa terfokus pada itu atau ini. Hasil itu, walau bagaimana pun, menyimpan isi psikologi, seperti keterputusan dan keterasingan Faisal Ahmad hadapi dengan memasang strategi berdiam diri, memerhati, dan senyap-senyap, melayani jari-jemarinya.



Satu lagi motif yang Faisal Ahmad suka ialah bentuk lengkung. Satu tangkapannya ialah sebuah flyover atau exit ramp, dan satu lagi ialah besi rusuk yang menyokong bumbung melengkung di sebuah stesen MRT. Foto flyover ditangkap itu dari bawah menunjukkan suatu lengkungan yang berfungsi untuk melegakan laluan yang sesak.

Bahagian bawahnya yang gelap itu berlaga pula dengan langit yang cerah sehingga terciptalah satu komposisi terang-gelap yang ketat. Dua tiang di bawah flyover itu berdekatan dengan minivan berparkir, berfungsi pula sebagai skala dalam susun letak komposisi gambar ini. Binaan yang simetri antara bentuk dan saiz ini menandakan satu cetusan rasa estetik kejuruteraan yang amat memuaskan.
Di lapangan terbang Kota Bharu, Faisal Ahmad merakam dua penumpang yang sedang menunggu di dewan berangkat. Seorang sudah tanggalkan kasut, merehatkan kaki di kepala bangku di hadapan, satu kesalahan airport yang pasti kena teguran kasar security sebentar nanti. Lengan si penunggu itu terkulai, kepalanya tersandar, pura-pura tertidur.

Kawannya duduk di sebelah merenung handsetnya, membaca dan mengirim teks. Lengang, tiada penumpang lain. Oleh itu, mereka ingat dewan itu rumah sendiri. Mereka menunjukkan jari-jemari kaki yang kembang, sehingga menjadi siluet kepada latar belakang berisi cerah tingkap kaca yang menampakkan sebarisan fasiliti stor.
Ketika dalam perjalanan dari Jakarta ke Bandung, Faisal Ahmad ternampak kubur koc keretapi. Penampakan itu susah dilupakan sebab koc-koc tersebut disusun bertingkat tiga lapis. Pembuangan ini mengingatkan betapa kita masih berlajar mengurus bangkai gerabak. Memang belanja besar untuk membiayai proses melumat, atau merombak atau membuang gerabak tersebut.

Keputusan telah dibuat supaya biarkan saja gerabak itu berkarat reput, sesudah menjual tempat duduk, kipas, dan alat-alatan dalaman, kepada peraih besi buruk. Tanpa merancang pun, Faisal Ahmad telah mencipta sebuah metafora tentang betapa sementaranya hidup ini. Tiada yang kekal, hatta besi sekali pun. Semua benda pulang ke tempat rehatnya yang abadi.
Foto Prambanan itu Faisal Ahmad sengaja susun menjadi dua bahagian, satu di atas, dan satu lagi di bawah. Bahagian atas ialah berhala Hindu berbentuk pucuk rebung, 154 kaki tinggi. Bahagian bawah bersepah blok-blok batu andesite dari runtuhan berhala kecil bernama Pervara, akibat gempa bumi. Tapak senibina berisi himpunan struktur yang masih berdiri, dan himpunan struktur yang sudah ranap.

Kedua-dua himpunan memberi peluang untuk belajar seni tafsir bahawa dengan melambaknya bukti itu maka memang susah menjalin untuk satu jalur naratif yang tunggal. Rakyat Indonesia boleh saja melaungkan bahawa bangsanya itu punya local genius, terbukti oleh Prambanan. Prambanan itu terbina oleh gabungan keringat ahli tukang, pengikat batu dan wawasan arkitek demi menghasilkan ukiran sejumlah figura, dewa-dewi, flora dan fauna yang bercerita tentang hikmah di dalam Ramayana.
Dalam sebuah foto yang berupa satu kritik dan satu satira, Faisal Ahmad menangkap adegan dua lelaki bermain dam di tepi dinding bangunan di Pasar Siti Khatijah di Kota Bharu. Kedua-dua lelaki ini sedang memikirkan langkah selanjutya, demi menyekat langkah yang telah diambil oleh lawan. Di latar belakang pula sebuah mural menunjukkan makcik tercangkung, dikelilingi oleh himpunan barang-barang jualannya, petai, semangkuk cili, sepingan salad, dan sejumlah ikan.

Satu alat timbang yang ramai percaya sudah dibetul-alihkan terletak di sebelah makcik. Tangan makcik bergelang emas, cincin memacar berlian. Kain sarung batiknya adakah rekaan bunga-bungaan yang biasa di Kelantan. Di Kelantan kaum ibu mencari nafkah, kaum lelaki pula habiskan duit. Makcik ini melabur dengan mengumpul barang-barang emas yang kini sengaja ditayang-tunjuk, tapi sebenarnya adalah tanda betapa cekapnya dia menabung. Mana tahu, besok sekiranya ekonomi jatuh maka dia ada bekalan untuk bertahan, satu langkah stretegik yang bijak.
Kepada saya, foto yang paling berkesan ialah sebarisan ayam yang sudah disembelih, dengan kepalanya terkulai di tepi meja. Jeritan minta ampun sebelum ini disarankan oleh jari-jari kakinya berkembang terangkat ke langit yang bisu tidak peduli.

Faisal Ahmad mahu kita membayangkan bahawa ayam itu dibela di rumah sendiri di kandang belakang, diperhatikan dari telur, ke anak ayam, hingga ke dewasa. Kita terasa cubitan bersalah bila kita letakkan pisau di leher ayam-ayam itu, baca bismillah, sehingga tersemburlah darah sembelihan.
Kita tidak ambil pot pun macamana ayam-ayam itu disembelih untuk KFC bila kita memamah seketul peha. Sebaliknya, dalam foto Faisal Ahmad ayam-ayam terlentang ini sudah secara ajaib telah memperolehi maruah sebab mereka itu berubah menjadi haiwan yang berketunggalan, yang boleh dikira dari satu ke sembilan ekor.
20 June 2026
Nota Editorial:
Out There, fotozine terbaharu oleh Faisal Ahmad, mengandungi 64 halaman yang menampilkan 32 fotografi hitam putih mengunakan kamera analog. Fotozine ini turut disertakan dengan esei oleh Adam Taufiq Suharto. Diterbitkan menggunakan art paper 128 gsm dengan saddle stitch berukuran 145 mm × 200 mm
Dapatkan disini: OUT THERE
