Filem arahan Chong Keat Aun, Pavane for an Infant, akan membuka Festival Filem Antarabangsa Hong Kong pada 10 April ini bersekali dengan sebuah filem Jepun, The Brightest Sun.
Filem itu sebelum ini tayang perdana di Festival Filem Antarabangsa Tokyo pada Oktober 2024.
Selepas menanggapi beban sejarah dalam Snow in Midsummer yang berlatarbelakangkan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, melalui filem ketiganya kali ini Keat Aun cuba menyelongkar isu buang bayi dan hak wanita dalam masyarakat patriarki.

Pavane for an Infant mengisahkan Lai Sum, seorang pekerja sosial di pusat perlindungan bayi, yang cuba membantu Siew Man, seorang perempuan bawah umur yang hendak menggugurkan kandungan.
Filem ini menampilkan Fish Liew, pelakon Malaysia yang menempa nama di Hong Kong, sebagai pelakon utama.
Idea projek ini bermula selepas Keat Aun berkunjung ke sebuah pusat perlindungan bayi pada 2017.
“Seorang pekerja wanita Muslim memberitahu kami bagaimana mereka bekerja keras untuk menyelamatkan bayi (daripada dibuang).
“Tetapi katanya orang di luar menganggap pusat perlindungan ini pintu neraka kerana menggalakkan sumbang mahram dan akan dihukum oleh Tuhan suatu hari nanti,” katanya.
Tambah Keat Aun, kunjungan keduanya ke pusat perlindungan bayi pada 2022 mendedah ada peningkatan dalam kes buang bayi kerana kehamilan di luar nikah dan serangan seksual yang berlaku semasa perintah kawalan pergerakan akibat pandemik.
Festival Filem Antarabangsa Hong Kong akan berlangsung antara 10 hingga 21 April.
Ia akan ditutup dengan pemenang Golden Bear di Festival Filem Antarabangsa Berlin, Dreams (Sex Love), arahan Dag Johan Haugerud dari Norway.
