FESTIVAL Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang telah berlangsung pada 1 November 2025 yang lalu telah mengundang pelbagai kritikan semenjak pihak penganjur mendedahkan senarai pencalonan akhir bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Sudah menjadi lumrah setiap kali FFM berlangsung, isu pencalonan akhir atau pemenang, di samping persoalan penilaian dan penjurian, sering menarik perhatian dan menerima respons pelbagai pihak. Namun, akar permasalahannya terkait dengan keseluruhan aspek penganjuran dan pengisian FFM, yang menuntut perhatian dan renungan secara serius.
Boleh dipersoalkan peranan pihak berkaitan, seperti Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia mahupun pengerusi dan para ahli lembaga FINAS. Kesemua pihak ini semacam tidak langsung berfungsi dalam menasihati pihak penganjur bagi menambahbaik atau merombak acara ini. Dalam tempoh 10 tahun atau dekad pertama, kita dapat memahami jika perjalanan FFM ini masih lagi berliku dan belum berturap sepenuhnya kerana usianya yang masih muda. Tetapi dalam tempoh 45 tahun dan telah 34 kali diadakan, FFM sepatutnya sudah mula mencapai kematangannya. Yang menghairankan, festival ini semakin keterbelakang dalam banyak perkara. Malah, proses penginstitusiannya juga masih lagi rapuh serta goyah.
Identiti dan ‘kemenjadian’
Isu paling asas yang membelenggu FFM adalah identiti dan ‘kemenjadian’nya yang tidak jelas. Tidak pasti sama ada FFM ingin menjadi sebuah ‘festival filem’ atau sebuah majlis penganugerahan filem seperti acara tahunan Hollywood, Anugerah Akademi (Oscars). Namun, dapat dikesan yang kecenderungan acara ini adalah kepada sebuah majlis malam anugerah. Sebagai majlis penganugerahan sekalipun, FFM sama sekali tiada identiti penjenamaan. Selama dua dekad ini, FFM hanyalah salah satu lagi versi majlis anugerah popular lain yang terdapat di negara kita, seperti Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular, Anugerah ERA dan Anugerah Seri Angkasa.
Menyorot kembali sejarah penganjurannya, pada dua tahun pertama, FFM yang ketika itu dikenali sebagai Pesta Filem Malaysia telah dianjurkan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA). Kiblatnya (mungkin) berpaksikan Anugerah Akademi (Oscars) yang penuh glamor dan gemerlapan itu. Pada tahun 1982, FFM3 mula diambil alih FINAS ketika Allahyarham Ismail Zain menjadi Ketua Pengarah FINAS yang pertama. Ismail cuba menyuntik pendekatan berbeza dengan lebih mementingkan pengisian festival, contohnya, penganjuran seminar perfileman. Ini termasuk mengurangkan fokus berlebihan terhadap aspek budaya pop majlis malam anugerah. Sudah tentu, perubahan yang ingin dibawa beliau tidak disambut baik para penggiat industri ketika itu.
Selepas Ismail tidak lagi berkhidmat di FINAS pada tahun 1985, FFM kemudian melibatkan GAFIM (Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia), yang ditubuhkan atas inisiatif FINAS sendiri bagi membantu menganjurkan FFM. Ketika penglibatan GAFIM, FFM dilihat cuba mengimbangi antara menjadi sebuah majlis malam anugerah ala Oscars dan berfungsi sebagai sebuah festival filem dengan pelbagai aktiviti dan acara. Di bawah kendalian GAFIM, beberapa kali tercetusnya isu dan kontroversi yang melibatkan pemenang dalam kalangan ‘orang kuat’ GAFIM. Akhirnya, FINAS mengambil alih sepenuhnya FFM sedekad yang lalu.
Namun, saban tahun, pengisian FFM kurang konsisten dan sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan. Ada ketikanya, FFM sarat dengan pelbagai acara. Pada ketika yang lain pula hanya didukung majlis malam anugerah. Justeru, jika penganjur hanya berminat dengan majlis malam anugerah, sepatutnya FFM ditukarkan formatnya menjadi majlis anugerah, seperti Anugerah Skrin atau Anugerah Seri Angkasa. Jika hanya bersandarkan majlis penganugerahan saja, acara ini akan terus menjadi ritual kosong yang tidak berpengisian.
Sudah tiba masanya FINAS mengundurkan diri dari menganjurkan FFM. FINAS boleh melantik sebuah badan atau organisasi lain untuk mengendalikan FFM dan hanya memberikan sokongan dan bantuan kewangan sahaja. Badan atau organisasi yang dilantik inilah perlu menggalas tanggungjawab menjayakan FFM sepanjang tahun, bukannya sebulan atau dua sebelum festival ini mengambil tempat. Badan atau organisasi ini perlu mengenal pasti dan menentukan format, pendekatan, dan jalur masa bagi festival ini. Contohnya, melantik pengarah dan beberapa kurator supaya terdapat pengisian program yang lebih baik dan teratur untuk FFM, selain memilih dan memastikan (sekurang-kurangnya) bulan yang sama setiap tahun FFM patut berlangsung. Dalam tempoh 45 tahun ini, penganjuran FFM tidak menentu, sehingga pada tahun tertentu acara ini tidak terjelma sama sekali.
Contohi negara lain
Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat kaedah negara lain menganjurkan acara perfileman tahunan atau festival filem nasional mereka. Lihat saja negara-negara jiran kita seperti Filipina, Indonesia dan Thailand. Acara penganugerahan dan festival mereka juga berhadapan dengan pelbagai isu dan masalah sebelum ini, tetapi pelbagai inisiatif telah diambil bagi merombak dan menjadikannya lebih baik. Di Thailand, Suphannahong National Film Awards telah melalui satu reformasi besar pada tahun 2023 yang membolehkan filem-filem independent dan berbajet rendah untuk turut serta. Manakala acara perfileman tahunan di Indonesia, Festival Film Indonesia (FFI) yang pernah beberapa kali melalui pengalaman gelap dan menyulitkan telah melalui pelbagai fasa rombakan dan penambahbaikan. Antaranya adalah komitmen penganjur dalam menjadikan FFI lebih inklusif bagi melibatkan khalayak dan pencinta sinema ke seluruh wilayah, daerah dan ceruk Indonesia, selain memberi penekanan terhadap aspek ‘festival’ berbanding hanya majlis malam anugerah.
Contoh terbaik di Asia Tenggara adalah Filipina dengan budaya filemnya yang sentiasa berkembang subur. Lihat saja Metro Manila Film Festival (MMFF) yang merupakan festival tahunan anjuran pihak pemerintah yang diuruskan Metropolitan Manila Development Authority. Festival yang saban tahun bermula 25 Disember hingga hujung minggu pertama Januari menyaksikan pihak pemerintah mewajibkan kesemua pawagam komersial menayangkan filem-filem Filipina yang menyertai festival ini. Festival lain seperti Cinemalaya Philippine Independent Film Festival pula meraikan filem-filem independent Filipina yang bukan berarus perdana, selain terdapatnya beberapa festival filem kedaerahan di serata Filipina. Terdapat dua acara penganugerahan utama yang menggunakan sistem pengundian ahli-ahli akademinya seperti Oscars: FAMAS Awards (the Filipino Academy of Movie Arts and Sciences Awards) – majlis penganugerahan filem yang tertua di Filipina (semenjak 1952) dan Luna Awards (The Film Academy of the Philippines Awards) yang bermula semenjak 1983.
Berdasarkan contoh di Filipina ini, mereka agak jelas dengan format dan identiti acara-acara perfileman mereka dan mampu membezakan antara festival filem dan majlis penganugerahan. Yang lebih signifikan, kesemua festival filem dan majlis penganugerahan di atas adalah usaha mempromosi dan meraikan karya-karya sinema Filipina yang rencam, dari yang popular ke independent, kepada khalayak masyarakat Filipina sendiri. Hal ini turut didukung kerjasama padu pihak pemerintahnya dan ekosistem perfilemannya yang baik. Kejayaan festival-festival filem mereka seperti Metro Manila Film Festival adalah bukti keterlibatan khalayak mereka yang luar biasa, dan hal ini turut menyumbang kepada ekonomi negara. Seperti yang dilaporkan, pada tahun 2018 dan 2023, pendapatan kasar Metro Manila Film Festival mencecah lebih P1 bilion (bersamaan RM70 juta) berdasarkan jualan tiket filem.
Pengisian dan keterlibatan khalayak
Yang menyedihkan, penganjur FFM seolah-olah bankrap idea. Contohnya, FFM34 baru-baru ini menampilkan acara apresiasi filem, namun fokus dan pengisiannya cukup mengelirukan. Akhirnya acara ini lebih meraikan tokoh-tokoh bintang veteran, bukannya filem. Sudah beberapa dekad, FFM menjadi sinonim dengan usaha dan majlis meraikan bintang veteran sahaja. Jika begitu berminat menghargai tokoh-tokoh bintang filem veteran, FINAS boleh sahaja mengadakan sesi penghargaan ini pada setiap bulan atau setiap minggu sekali pun. Sepatutnya penganjur mengambil inisiatif mengadakan sesi-sesi perkongsian atau masterclass yang melibatkan tokoh karyawan lain juga (selain pengarah dan bintang filem) yang jarang diketengahkan FFM. Mereka yang pakar dan berpengalaman luas dalam pengkhususan masing-masing, seperti pengarah fotografi, penyunting, penulis skrip, penerbit, penata bunyi dan pereka set produksi.
FFM sepatutnya menjadi wahana bagi menyemai dan memupuk rasa cinta dan cakna khalayak masyarakat terhadap sinema Malaysia. Pelbagai program tayangan dan apresiasi filem boleh diadakan dengan fokus atau tema tertentu. Contohnya, apresiasi filem-filem Melayu ‘era studio’ menerusi program retrospektif para pengarah terdahulu seperti Jamil Sulong, Hussain Haniff, M. Amin dan L. Krishnan. Ini dapat memperlihatkan sinergi antara khalayak hari ini – termasuk para pembikin dan penggiat filem Malaysia – dengan pengarah dan karya masa lalu. Fokus atau tema lain yang boleh ditonjolkan adalah karya para pengarah wanita Malaysia, filem-filem tentang Sabah dan Sarawak, dan filem-filem langka tempatan terdahulu yang signifikan atau unik, tetapi kurang diketahui umum. Selain apresiasi filem berformat atau bergenre tertentu seperti animasi, dokumentari, filem pendek dan karya eksperimental.
Siri jelajah promosi juga sepatutnya diperluaskan, bukan sahaja di kampus universiti dan sekolah, tetapi juga di ruang awam yang lain di seluruh negara, dari pantai timur, selatan dan utara Semenanjung Malaysia hinggalah ke Sabah dan Sarawak. Dalam siri jelajah promosi ini, program seperti siri tayangan dan diskusi filem bagi tujuan apresiasi perlu dijadikan agenda utama, bukan semata-mata sesi bertemu bintang filem.
Jika sekadar ingin menghargai para penggiat industri filem, lebih baik pihak Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia serta FINAS mengadakan majlis makan malam gala sahaja. FFM tidak sepatutnya dihadkan kepada karyawan dan penggiat industri sahaja, tetapi perlu melibatkan khalayak massa supaya filem dapat dibangunkan sebagai ‘budaya awam’ di Malaysia. Salah satu kaedah yang dapat memajukan sinema Malaysia adalah dengan mendidik dan membangunkan khalayaknya. Ini menuntut komitmen dan proses pendidikan jangka panjang lagi berterusan yang melibatkan pelbagai pihak.
Dalam jangka masa panjang, khalayak yang berkualiti dapat menentukan jenis dan pengisian filem yang dihasilkan. Justeru citarasa kita terhadap filem tidaklah dibatasi dan disempitkan genre filem aksi gaya blokbuster Hollywood sahaja, seperti trend penontonan hari ini. Yang lebih mengecewakan, apresiasi dan citarasa yang daif ini turut dicerminkan mereka yang bergelar ‘autoriti’ dalam bidang ini, dari penggubal dasar hinggalah kepada panel juri FFM. Maka, mengapa perlu hairan jika karya yang ‘selamat’ lagi konvensional – seperti dakwaan seseorang dari industri baru-baru ini – atau karya bertaraf drama TV, yang diangkat sebagai pemenang FFM?
Jika mahu diteruskan sebagai acara tahunan, FFM perlukan satu anjakan besar. Buat sementara waktu ini, alangkah baiknya jika festival ini direhatkan supaya perancangan yang lebih sistematik, termasuk proses rombakan secara besar-besaran, dapat dilakukan. FFM perlu diinstitusikan dengan mapan agar menjadi penanda aras kepada kualiti dan budaya filem yang menyeluruh di Malaysia, yakni yang turut membangunkan khalayak masyarakat. Selain meraikan filem, pengisian ilmu dan pertukaran idea seharusnya diberi penekanan utama, bukannya sekadar penyampaian anugerah, karpet merah dan glamor murahan.
– DR NORMAN YUSOFF merupakan pensyarah kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM Kampus Puncak Perdana.
