Saya tanya, kenapa guna frinjan? Kenapa bukan indie atau underground?
Fendi jawab, “(Perkataan) indie telah di-bastardize.”
Terus kepala saya pergi ke buku Muzik Independen terbitan Port Ipoh, yang diterbit bersempena Simposium Muzik Ipoh yang pertama pada 2020, yang ucaptamanya ditulis oleh Joe Kidd.
Joe Kidd dan Fendi sama-sama main Carburetor Dung, kugiran punk legenda Malaysia. Apa yang disebut Joe dalam ucaptama itu lebih kurang sama dengan apa yang Fendi cakap pada saya.
Waktu mula-mula baca ucaptama itu dulu, saya tertanya, apa yang otai-otai ini tak suka sangat tentang indie? Makan tahun baru saya faham bagaimana perkataan indie dicairkan nilainya, menjadi kata deru yang cetek makna. Sekadar diguna sebagai bahan promosi tanpa memahami konteks sejarah dan budayanya.
Dalam bahasa Fendi, bastardized. Terbangsatkan.
Jadi, mereka bukan tak suka indie. Mereka cuma tak suka bagaimana orang menggunakan terma indie secara melulu.
Subtajuk festival Jabat Erat memilih ayat Fringe Art Festival atau Festival Kesenian Frinjan. Ia lebih tepat menyampaikan hasrat penganjuran festival itu yang mahu mengangkat seni-seni terpinggir, khususnya genre terpinggir dalam lapangan muzik di Malaysia.

Emosi pertama yang mengalir bersama darah apabila melihat nama-nama yang menghiasi poster Jabat Erat ialah cemburu. Bukanlah kugiran yang akan beraksi itu saya minat sangat. Mereka hebat tapi itu bukan cawan teh saya. Tapi saya cemburu pada keberanian Jabat Erat mengetengahkan barisan kugiran yang – seperti yang Aidil Rusli cakap pada saya ketika sidang media festival itu – biasa beraksi di Rumah Api.
Jalan mudah untuk penganjur festival: Ambil artis yang muziknya boleh diterima ramai dan trendy. Kalau alternatif pun, alternatifnya jinak. Tapi Jabat Erat pilih alternatif yang ekstrem.
Dari electro pop, darkwave, shoegaze, punk reggae hingga folk, genre-genre yang dipilih biasa beraksi dalam litar gig berskala kecil. Jabat Erat mengangkat mereka ke pentas besar, acara yang lengkap dengan ciri festival.
Kemampuan mereka meletakkan line-up sebegitu buat saya cemburu. Saya tak tahu bagaimana kira-kira yang dibuat penganjur untuk merealisasikan idea ini. Saya tak perlu tahu pun. Yang mustahak, mereka buat.
Rayakan kecemerlangan
Sudah lebih sebulan 12 perenggan di atas saya tulis. Lebih sebulan mencari ilham tapi tak jumpa-jumpa. 12 perenggan terbiar tak bersambung.
Sepanjang lebih sebulan itu juga, ada beberapa perkara terjadi pada Jabat Erat. Paling mengejutkan, pastinya penarikan diri kugiran hardcore punk, Swindle atas alasan pendirian yang tak lagi selari. Saya tak tahu alasan lanjut, sampai situ maklumat yang ada tapi saya tahu, mereka akan diganti dengan Kias.
Kias, kugiran screamo yang dulu dikenali sebagai Kias Fansuri, menerbitkan album Swatantra tahun lepas. Secara peribadi bagi saya, Swatantra antara album terbaik pada 2025, selain langlang oleh Joni Mustaf dan mana-mana satu dari dua EP yang diterbit Francoe.

Satu hal tentang Malaysia, kugiran atau artis boleh terbitkan album yang cemerlang tapi hasilnya selalu terhenti pada senarai akhir tahun oleh media-media. Tiada lanjutan.
Fikirkan apa yang terjadi pada Di Simpang Tiga (2023) oleh Johny Comes Lately, atau In Doldrums (2024) oleh Roadiarc, atau Swatantra sendiri. Usia album berkualiti sebegitu biasanya tak panjang kerana selepas diterbit, tak banyak keraian dapat dibuat.
Kias layak masuk dalam senarai Jabat Erat (malah, sepatutnya layak sejak awal) kerana Swatantra saja. Perlu ada festival yang menjemput mereka mempersembahkan lagu-lagu dalam album itu untuk dinikmat lebih ramai orang.
Kerana penganjur festival kita tak ramai yang berani ambil risiko (saya faham tentang masalah kewangan para penganjur, tak perlu defensif, saya cuma menyatakan situasi), tak banyak kugiran atau artis yang mampu memperaga katalog hebat mereka dalam persembahan langsung.
Sebab itu kita perlu nyatakan sokongan dan penghargaan pada Jabat Erat. Yang saya dengar, jualan tiket kurang memberangsangkan. Harapnya, akan ada lonjakan dalam masa terdekat. Walau bagaimanapun, mereka dah berjaya membuktikan yang mereka ada telur.
Mengisi makna frinjan
Festival Kesenian Frinjan Jabat Erat akan berlangsung di ODEON KL, bangunan pawagam legenda yang kini semakin menjadi pilihan untuk acara muzik berskala besar. Acaranya terbahagi kepada dua lokasi, iaitu pentas utama (ODEON Hall) dan pentas akustik (Laman ODEON).
Entah dirancang atau tak sengaja, persembahan akustik di Laman ODEON semua membariskan artis wanita (atau dikepalai wanita), iaitu Viona, The Impatient Sisters, Amrita Soon, Straw Lim, Women & Children dan Leaism. Artis-artis lain, yang semuanya kugiran, akan beraksi di pentas utama di dalam dewan ODEON.
Selain persembahan muzik, akan turut diadakan keraian Record Store Day, yang mana para kugiran digalakkan membawa produk fizikal untuk dijual. Juga ada sesi borak yang dinamakan Sembang ODEON, dikendalikan Wan Hazril (Tandang Records) dan Ci Chaan (Hot A Fest), menampilkan panel seperti Mak Wai Ho (Soundscape Records), Mailen (Tampui Records), Faidhil (Into The Fray Records), Agusto (pereka grafik), Mira Sutan (Piri Reis) dan Talib (Hardcore Detonation).

Cara Jabat Erat dianjur; pemilihan artis yang membuat persembahan, atau pengisian sampingan festival, memberi keadilan pada perkataan frinjan. Ia satu cubaan – yang menjadi atau tidak, kita belum tahu – untuk mengembalikan sikap berseni yang semakin dilupakan.
Dalam kesenian frinjan, muzik bukan hanya muzik. Ada semangat berkomuniti, paksi produk fizikal antikorporat dan nolej. Nolej – yang sekarang terpalit nuansa negatif – ada fungsi penting dalam subbudaya. Sarah Thornton, penulis dan pengkaji pelbagai subbudaya dunia, meletakkan pengetahuan eksklusif (dalam bahasa orang sekarang, nolej) sebagai satu daripada modal subbudaya.
Sebab itu saya memandang tinggi mana-mana festival muzik yang memasukkan sesi berborak, atau forum, atau pembentangan etc etc dalam aturcara mereka. Ia satu usaha untuk memelihara pengetahuan eksklusif dalam sesebuah subbudaya.
Sokong Jabat Erat
Di peringkat dunia, festival kesenian frinjan sudah jadi genre festival yang besar dan popular. Edinburgh Fringe Festival di Scotland akan masuk usia 80 tahun depan. Pengunjungnya berjuta. Begitu juga Adelaide Fringe dan Fringe World Festival di Australia, Hollywood Fringe di Amerika Syarikat dan beberapa festival frinjan lain.
Ada sifat yang berbeza pada festival frinjan berbanding festival muzik atau seni lain. Festival sebegini menegakkan semangat independen, menolak tajaan syarikat besar, lebih banyak bereksperimentasi dan bersifat terbuka.
Tak semuanya boleh diikut Jabat Erat kerana dari sudut seni, masyarakat kita belum cukup terbuka untuk merai seni-seni terpinggir dan eksperimental. Tapi, ia satu permulaan.
Ketika tak berduit, saya banyak berangan mahu ke sana ke sini kalau berduit. Festival seni frinjan salah satunya, selain festival sastera, selepas menonton temu bual Patti Smith di Lousiana Literature Festival di Youtube.
Dan saya mahu lebih ramai juga guna nama frinjan, yang guna bukan sekadar guna, tapi sebab faham apa yang terkandung dalam perkataan itu. Selain sebab frinjan lebih berisi maknanya sekarang berbanding independen, saya juga dapat tahu yang nama frinjan itu diberi arwah Amri Rohayat (Ruhayat X).
Semoga legasi itu panjang selepas ini.
Tiket Jabat Erat masih dijual dan untuk anda yang mahu kelainan, yang tepu dengan festival muzik klise, datanglah ke Jabat Erat. Saya yakin ia mampu memberi pengalaman yang segar dan baharu untuk anda.
Nota Editorial:
‘Ada Telur’ adalah slanga atau istilah jalanan yang membawa maksud ‘Punya Wibawa’, bukan bersifat ‘Gender Bias’ atau ‘Seksis’ (untuk rujukan Millennials & Gen Z)
TERKINI dari website jabaterat.com.my
We’re Sorry
Kami minta maaf, kawan-kawan. JABAT ERAT Is Postponed!
We are sad to announce that the festival will be postponed til later notice.
Full refunds are processed for all local and international ticket holders, credited to original payment method & currency within 14 business days.
We sincerely apologise for any travel inconveniences, do reach out to us via email (jabaterat26@gmail.com) for assistance & customer care.
The team shared that the decision came after reflecting on feedback from supporters and the public, with a renewed focus on building the festival organically around DIY values in existing artists & communities with integrity, especially with economic disparity throughout independent scenes and livelihood.
We are truly grateful to our early ticket supporters who held on trusting us!
Thank you to all 24 lineup artists, Odeon KL, Noisy Headspace, Loket, friends and the internal team for this ongoing journey in music.
We’ll return soon with a stronger celebration to showcase friendship and collaboration for audiences, organisers, artists and art workers.
Tidak rasa malu kepada yang betul, semoga dipermudahkan untuk semua.
Selamanya berterima kasih.
