PARA peminat seni lukis dan seni tampak sama ada catan, arca, komik, grafik dan rencana-rencana mencabar imaginasi yang membesar pada tahun 80-an tentunya tidak akan lupa dengan FANTASI, sebuah majalah hebat yang mengangkat konsep sedemikian. Persembahan yang dihidangkan oleh majalah FANTASI bermula terbitannya pada tahun 1985 itu cukup unik sehingga tidak ada langsung saingannya pada waktu itu dan tiada lagi majalah yang mampu menggantikannya selepas penerbitannya ditutup pada era kegawatan ekonomi 1998.
FANTASI diterbitkan oleh Creative Enterprise Sdn.Bhd, syarikat yang sama menerbitkan majalah kartun ‘lejen’ GILA-GILA dan majalah kanak-kanak, BAMBINO. Pengasas syarikat tersebut memang sudah terkenal sebelum itu dengan komik dan lukisan hebat mereka di akhbar perdana tanahair sebelum wujudnya GILA-GILA dan FANTASI. Harus juga disebut, sebelum itu Jaafar Taib, Mishar, Azman Yusoff dan Zainal Buang Hussein telah menerajui majalah MURNI dan kemudiannya LELAKI.
Majalah FANTASI adalah kesinambungan majalah MURNI dan LELAKI kerana temanya hampir sama. Konsep 50 peratus komik dan bakinya adalah lukisan dan tulisan berunsur mistik, misteri dan futuristik telah membuka jalur baharu dalam dunia penerbitan majalah. Adi Alhadi dan Malungun adalah antara perancang awal penerbitan majalah FANTASI bersama Jaafar Taib, Azman Yusoff dan Zainal Buang Hussein. Merekalah yang bertanggungjawab merangka halatuju FANTASI. Kemasukan Rudi Mahmood kemudiannya sebagai editor menyemarakkan lagi kualiti FANTASI.
Dua tahun terawal keluaran majalah FANTASI adalah persembahan terbaik mereka. Isi kandungannya terarah. Teman-teman lama pelukis dari majalah MURNI waktu itu turut turun gelanggang menyumbang. Nama-nama hebat seperti Hassan Majid dan Mohas (sekadar menyebut beberapa nama) mengiringi komik karya Azman Yusoff dan Jaafar Taib yang terpaksa turun padang melukis awal-awalnya bagi memenuhi tuntutan konsep sebenar FANTASI. Kemudian ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran Jalaini Abu Hassan, Gopa, Tazidi Yusoff, Azman Shah, Akam dan lain-lain.
Apa yang menariknya ialah pelukis komik ini menampilkan cerita fantasi yang benar-benar bikin pecah-kepala berlandaskan budaya dan psyche Melayu. Tidak semestinya kisah hantu dan pendekar purbawara, mereka meneroka alam mistik Melayu yang seperti dunia bunian tetapi tidaklah ‘cliche‘ seperti yang selalu kita tonton di dalam filem di mana dunia bunian yang dipertontonkan seakan ketinggalan zaman.
Pekomik-pekomik hebat ini mampu membawa kita juga menjelajah ke dunia futuristik. Idea dan karya mereka memang lain macam. Mohas unggul dengan komik ‘psycho-thriller‘ Budak Pohon Beringin, Tazidi dengan komik Terasing dan juga Kasut yang berunsur misteri, Jalaini Abu Hassan bermain dengan eksperimentasi melalui komik Wajah dan Pyan (kisah penyair Pyanhabib). Elemen kemelayuan tetap kuat di dalam karya tersebut.
Pengarang kumpulan terus berusaha menjadikan FANTASI kekal unggul. Beberapa nama turut terlibat seperti Abdul Rahim Awang (penulis yang terkenal dengan novel jenayah) membantu Adi Alhadi dan Rudi Mahmood. Di jabatan reka letak, Hanafiah Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama kartunis Kerengge memikul tanggungjawab besar ini. Ilustrasi, grafik dan lukisan dihasilkan secara ‘manual’, masih belum ada digital lagi waktu itu.
Teknik ‘airbrush‘, akrilik, cat minyak masih menjadi medium yang disukai. Antara artis grafik yang memainkan peranan penting sepanjang penerbitan FANTASI selain Kerengge ialah Zunar, Gedek, Somat Somrat dan Rodin (juga sekadar beberapa nama).
Angkatan baharu pelukis komik pun muncul selepas itu. Rosli Hamid, Zaharuddin Sarbini, Baba Chuah, Fazrul Arhan, Nizam Bachok, Athool mengambil alih mengisi perjuangan. Seiring dengan perkembangan masa dan era, editor juga berubah.
Azmi Rambut (Allahyarham) pernah menjawatnya sehinggalah kemudiannya Rosli Mohd Sah (Allahyarham)mengambil alih sebelum FANTASI terkubur. Unsur seni-pop juga telah dicuba oleh sidang redaksi bagi mengimbangi FANTASI namun lama-kelamaan pengikutnya semakin mengecil.
Mengapa FANTASI berkubur sedangkan ia sebuah majalah yang cukup bermutu? Kerana membuatnya dari satu keluaran ke satu keluaran bukanlah mudah. Barang yang baik biasanya kurang laku. FANTASI mungkin gah dengan isi kandungannya yang hebat tetapi pasarannya tidak mampu menyaingi larisnya majalah hiburan lain. Ini sudah masuk bab perniagaan. Modal untuk menerbitkannya terlalu besar. Karya komik dan lukisan hebat di dalamnya takkan nak bayar murah? Artis hebat perlu buat kerja lain juga, ini membuatan mereka tak terkejar dengan tuntutan deadline setiap bulan.
Jika dunia lukisan sebuah bisnes yang baik, percayalah FANTASI akan kekal hidup. Dan satu lagi, konsep FANTASI itu sendiri amat rumit untuk dipertahankan jika pelukis-pelukis gagal melihatnya dengan mendalam. Apa yang berlaku selepasnya komik FANTASI yang dihasilkan oleh pelukis angkatan baharu hanya berkisar tentang kisah pertarungan manusia dengan ‘cyborg‘ atau raksasa. Ia tidak membuat pengamat merasai surreal-nya, sebagaimana dunia fantasi yang dianjurkan di dalam komik karya Azman Yusoff, Tazidi, Gopa, Mohas mahupun Jalaini Abu Hassan.
Kesimpulannya, barisan pelapis pelukis komik baharu yang muncul tidak dapat mengikut rentak FANTASI yang telah dibentuk identitinya oleh pekomik lama sebagai suatu penanda aras. Mungkin dari segi lukisannya boleh tetapi keupayaan bercerita tidak. Akhirnya ia tawar dan tidak melekat. Sayang sekali!
Persoalan hari ini ialah, dalam dunia internet dan digital yang semakin canggih sekarang apakah akan lahir lagi sebuah majalah grafik, tak kisahlah majalah fizikal atau digital, unggul seperti FANTASI, dengan persembahan hebat mengikut gaya masakini sehingga mampu kita banggakan? Kita menunggu!
********************
RONASINA adalah seorang pelukis, penulis dan pengendali podcast Selam Lagu di portal arenamuzik.com
