KITA tersilap kalau menganggap filem F1 lakonan Brad Pitt dibuat semata-mata kerana ceritanya — silap besar.
Mungkin betul filem itu dibuat kerana ceritanya tetapi tentulah tidak salah juga kalau kita kemudiannya yakin bahawa cerita itu difilemkan sebagai strategi perniagaan untuk menambah keuntungan. Ini kerana menontonnya tidak ubah seperti melihat sebuah filem iklan yang panjang, sampai 156 minit.
Setiap kali layar memaparkan adegan perlumbaan atau pasukan APXGP yang bertungkus lumus di belakang — jurutera, mekanik, dan krew di pit stop, setiap kali itu jugalah kita ditayangkan dengan cap dagang jenama yang menaja pasukan lumba kereta itu.
Pasukan APXGP adalah pasukan rekaan yang dicipta untuk filem F1 tetapi cap dagang yang tertempel pada kereta lumba dan pada pakaian anggota pasukannya adalah jenama yang nyata: Mercedes, Expensify, Tommy Hilfiger, Heineken, dan IWC Schaffhausen, sekadar menyebut beberapa nama. Semuanya 12 jenama yang membayar penajaan berjumlah AS$40 juta.

APXGP menjadi jenama rekaan yang berbaris sama megah dengan pasukan F1 lain di litar lumba. Tommy Hilfiger mengeluarkan koleksi khusus pakaian APXGP lama sebelum filemnya siap. Pengeluar kereta mainan Hot Wheels menghasilkan model kereta lumba APXGP. EA Sports melancarkan permainan video F1 25 pada hujung Mei 2025 dengan menampilkan pasukan APXGP dan watak-watak dalam filem F1, lebih sebulan sebelum filem itu tayang di pawagam.
Dalam F1, cap dagang muncul bukan lagi ditempel untuk menempatkan produk atau semata-mata product placement. Kita melihat bagaimana jenama ini menyusup ke dalam cerita tanpa kita rasa terganggu seperti melihat kopi Wonda dalam Keluang Man. Dalam F1, pasukan APXGP itu sendiri menjadi watak utama cerita. Kita lalu menonton cerita ini dengan motivasi mahu melihat berjaya atau gagalnya pasukan lumba kereta yang dipandu oleh Pitt dan pelakon pembantu Damson Idris sebagai pelumba kereta Sonny Hayes dan Joshua Pearce.
Filem ini mengisahkan tentang Hayes yang dipujuk oleh bekas regu lumbanya Ruben Cervantes yang sekarang pemilik pasukan APXGP untuk kembali ke litar F1. Cervantes mencari Hayes untuk membantunya menyelamatkan APXGP daripada dijual. Hayes setuju walaupun sedar APXGP adalah pasukan yang paling buruk prestasinya di Formula One.
Tiada yang baharu sebenarnya tentang cerita begini. Cerita dengan tema yang sama sudah dibuat sejak lama dulu. Kita selalu berjumpa cerita seperti ini. Seorang tokoh penyelamat muncul semula, datang dengan satu misi khusus melakukan keajaiban terhadap satu kelompok atau dirinya sendiri yang sedang berhadapan segala rintangan, dan seterusnya berjaya mengubah keadaan.
Ada beberapa filem sukan dengan tema yang hampir serupa misalnya CREED (2015) dan GRAN TURISMO (2023). Tema dan alur cerita yang hampir sama juga lama sebelumnya sudah kita jumpa pada novel THE OLD MAN AND THE SEA yang terbit dua tahun sebelum pengarangnya Ernest Hemingway dianugerahkan Hadiah Nobel Sastera pada 1954. Filem TOP GUN: MAVERICK (2022), RED (2010), dan sebelum itu UNFORGIVEN (1992) pun sama.
Filem F1 adalah satu usaha melanjutkan perjuangan untuk menyelamatkan sukan lumba kereta itu sendiri. Ia satu usaha strategik mengukuhkan semula jenama F1, memastikan sukan itu ada pengikut dan peminat yang baharu dan seterusnya menjana sebanyak mungkin pendapatan daripada iklan.

Usaha ini sudah bermula sejak hampir 10 tahun lalu, ketika sukan itu sedang menuju mati. Ia tidak lagi mendapatkan peminat baharu apalagi orang muda. Jualan tiket acara perlumbaan rendah. Sambutan penonton di televisyen juga menurun. Jumlah penonton yang pertama kali menonton perlumbaan F1 menurun dari tahun ke tahun sejak tahun 2008 dan mencapai tahap terendah pada tahun 2017. Lebih parah, pada masa itu, F1 hampir tidak wujud di ranah digital dan media sosial. Singkat kata, sukan itu tidak berubah mengikut masa dan hampir tiada masa depan.
Pihak pengurusan F1 kemudian meminta bantuan penerbit filem James Gay-Rees yang beberapa tahun sebelum itu terlibat menerbitkan SENNA (2010), filem dokumentari riwayat hidup pelumba Ayrton Senna dari Brazil yang terbunuh dalam kemalangan di litar San Marino pada 1994. Selebihnya adalah sejarah, dan statistik.
Siri dokumentari FORMULA 1: DRIVE TO SURVIVE yang terbit dengan kerjasama Netflix menjadikan sukan permotoran itu kembali popular, terutamanya dalam kalangan peminatnya yang baharu, orang muda, dan wanita. Pada tahun 2022, rating perlumbaan F1 meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2018, sebelum dokumentari Netflix itu terbit. F1 kembali menjadi acara sukan yang seksi.
Filem F1 tentu sekali mengingatkan kita kepada musim pertama dokumentari FORMULA 1: DRIVE TO SURVIVE. Musim pertama itu menampilkan pasukan yang corot kerana pada masa itu, pasukan terkemuka seperti Ferrari dan Mercedes tidak mahu ikut terlibat. Malah daripada musim pertama dokumentari itu jugalah pengarah Joseph Kosinski mengaku mendapat ilham cerita filem F1 yang menampilkan pasukan rekaan APXGP.
Selepas kejayaan Netflix mengangkat semula sukan F1, Apple TV muncul memotong di dengan menerbitkan filem cereka F1. Selepas tayang sejak 25 Jun 2025, filem itu mengutip lebih AS$$401.2 juta di seluruh dunia. Ia juga dianggap filem Apple Studio yang paling berjaya di pasaran selepas syarikat itu menerbitkan antaranya KILLERS OF THE FLOWER MOON dan NAPOLEON, kedua-duanya pada tahun 2023.
Sementara itu, media perniagaan baru-baru ini melaporkan F1 kini cenderung memilih Apple sebagai penyiar rasminya di Amerika Syarikat pada tahun 2026 untuk menggantikan ESPN yang kontraknya tamat pada tahun ini. Apple TV pada masa ini menjadi penyiar siaran langsung liga besbol dan bola sepak di Amerika Syarikat.
Rundingan bidaan untuk kontrak jangka panjang yang lumayan itu berlaku ketika filem F1 ditayangkan kepada umum. Barangkali bukan kebetulan. Barangkali inilah sebuah filem iklan — yang panjang, sekali gus sebuah bidaan perniagaan daripada Apple kepada Formula One.
– F1 masih tayang dalam format IMAX, seperti dihajatkan oleh pengarahnya, di pawagam terpilih TGV sehingga Rabu ini (23 Julai 2025).
