‘Ada budak astro cari’ kata Naga kepada kami. ‘nak buat apa’ tanya kami pula kepada Naga. ‘Entah’, jawab Naga. Dia memang begitu, selalu meng-entah-kan bila malas melayan kami. Kerana sentiasa perasan sangat terkenal, kami mengandaikan yang ‘orang astro’ itu mahu menemuramah kami dan kerana belum memiliki kekuatan untuk duduk ditemuramah, kami tidak mengambil endah perkara tersebut. Ini berlaku entah berapa tahun nan lalu. Lama sebelum kami bertemu sendiri ‘orang astro’ tersebut.
Naga tidak menyebut siapa ‘budak astro ‘ itu dan kami juga tidak bertanya.
Semasa sedang gembira dengan terbitnya majalah KOLUMPO ART, kami terpandang satu portal yang menggunakan nama SENI MALAYA. Kami menyumpah diri sendiri kerana tidak terfikir untuk menggunakan nama tersebut untuk majalah yang kami mulakan bersama dengan beberapa sahabat lain. Nama SENI MALAYA tentu saja lebih gengsi berbanding KOLUMPO ART yang sangat poyo itu.
Jika mahu dikira, KOLUMPO ART dan SENI MALAYA ini sebaya dengan KOLUMPO ART lahir sedikit awal.
Selang beberapa lama, kami pun di hubungi oleh pemula SENI MALAYA. Kami lupa bagaimana dia menghubungi kami. Mungkin melalui email gamaknya. Kami mengandaikan dia mendapat email kami dari editor Malaysiakini kerana Naga tidak menyimpan email yang kami gunakan. Waktu itu kami menggunakan email Budak Hitam dirumah untuk menghantar artikel kepada Malaysiakini.
Jika ini adalah benar maka kami mengucapkan terima kasid kepada editor berkenaan kerana telah memperkenalkan kami kepada SENI MALAYA.
Pemula Seni Malaya itu rupanya adalah ‘budak astro’ yang disebut oleh Naga lama dulu.
Dia meminta kami menulis untuk portal tersebut tapi ‘ SENI MALAYA takde duit bang’ kata dia. Kami katakan yang kami ini suka menulis walaupun tidak dibayar dan akan sangat rajin jika dibayar tambah pula jika diberikan sebuah kolum. Dia bersetuju dan kami pun mula menulis. Rancangan awalnya dia mahukan artikel setiap minggu yang akan disiarkan setiap sabtu namun setelah portal tersebut mula berkembang dengan lebih ramai penulis, kami memperlahankan sumbangkan kesana.
Tiga bulan setelah SENI MALAYA terbit, dia memberitahu yang dia akan melepaskan jawatannya di Astro. Dia ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada portal tersebut. Kami ada menyatakan kebimbangan namun dia terus nekad. Dia berhenti kerja dan meneruskan usaha untuk memajukan portal ini dengan sepenuh tenaga.
Dari berhubung melalui email, kami kemudian bertemu dengan dia. Lupa sebenarnya bila pertama kali berjumpa, namun kerana sudah sering berbalas email dan juga pesanan kami seperti kami lama.
Semasa pertama kali itu kami berkata didalam hati,’ wartawan kebende dia ni, bercakap pun tidak’.
Satu perkara yang kami sedar ialah hampir semua orang yang kami kenal di Kuala Lumpur ini mengenal dia. Cuma kami saja yang tidak pernah berlanggar bahu dengan dia sebelum kami masuk ke SENI MALAYA.
‘ hah.. girlfriend cari ni..’ kata Mak Budak Hitam menghulurkan telefon. Dia membahasakan ‘budak asto’ itu sebagai kekasih kami. Ini kerana ‘budak astro’ itu akan menghantar pesanan ke telefon dia jika ada apa-apa pesanan.
Biasanya jika mahu berbual, dia akan menghubungi kami melalui google yang kami layari melalui komputer meja di studio. Dia tahu kami akan berada di studio untuk melukis dan juga menulis mulai jam lapan pagi sehingga sedikit tengahari setiap hari. Tetapi jika ada pesanan penting diluar waktu tersebut atau jika pesanannya tidak dibalas pada waktu pagi, dia akan menghantar pesanan kepada Mak Budak Hitam.
Kadang bukan ada hal penting pun. Sekadar bertanya keberadaan kami. Mungkin dari situ kami lihat kesungguhannya dalam mahu berkawan. Kami pun suka. Di telefon dia mengelar kami sebagai ‘om’ dan ‘abang’ bila bertemu muka.
Dia juga adalah di antara manusia yang paling tidak berpuas hati dengan keengganan kami untuk menggunakan telefon bimbit.
‘esok engkau dah mati tiga empat minggu baru aku tahu!’ kata sahabat kami Husin di kampung Gajah di Perak sana marahkan kami juga kerana tidak menggunakan telefon sementara Naga pula sudah lama malas mahu berurusan dengan kami juga kerana hal tersebut. Namun ‘budak astro’ ini di level lain.
Setiap rungutan yang datang dari kami akan dikaitkan dengan telefon. ‘kalau ada telefon kan senang’ kata dia, ‘sebab tu kena ada telefon bang’ kata dia dilain kali berulang-ulang. Dan jika kamu baca byline di kolum kami, kamu akan dapati ayat yang hampir sama digunakan. Seperti yang diketahui, kami tidak menulis sendiri tajuk dan juga byline kepada mana-mana artikel yang kami hantar kemana-mana penerbitan. Semua kami serahkan kepada editornya.
Kami tidak menulis tajuk kerana tahu yang sang editor tentu saja lebih faham apa judul yang sesuai dan tidak menulis byline kerana segan. Dan ‘budak astro’ ini menggunakan kedua-duanya yakni judul dan byline sebagai senjata jenaka yang kadang difahami hanya oleh kami berdua.
Lalu dengan ‘kekasih’ juga kami maksudkan bahawa dia kuat merajuk. Ini buka rajuk yang betul-betul tetapi rajuk yang manja dan kami suka. Setiap kali dia melihat tulisan kami di portal lain, dia akan menghantar pesanan yang bernada jauh hati. ‘ialaaaahhhh..tulis untuk Malaysiakini je..’ atau ‘ tulis kat kolumpo art je ye bang…’ kata dia lagi. Dan kami pula mudah makan pujuk. Lalu segeralah kami menghantar tulisan untuk dia. Rajuk ini akan kami rindu untuk waktu yang lama.
Dalam dunia yang orang sibuk untuk mengecilkan lingkaran sahabat, kami berterima kasih kerana dia mahu menerima kami. Boleh dikatakan kami adalah rakan yang datang dari Kumpulan terakhir yang masuk campur urusan hidupnya. Mungkin Ku Syafiq juga dalam Kumpulan ini.
‘saya buat podcast, bila abang nak jadi guest?’ tanya dia kepada kami. Kami katakan yang kami akan menjadi tamu podcastnya sesudah kami menerima jemputkan Haji Zainal ZRA. Ini kerana beberapa bulan dulu dia ada menyampai pesanan dari Haji Zainal. Dia mengatakan yang Haji Zainal menjemput kami untuk berbual di podcast nya yang terkenal itu. Kami takut dan mengatakan tidak hendak walaupun di dalam hati berbunga-bunga. Mahukan tidak, ZRA Podcast adalah diantara podcast yang terbaik dan juga sangat terkenal.
Entah kerana menyampah dia menjawab ‘ Haji Zainal taknak panggil abang dah!’
‘salam bang, Launching show water colour 23 Dis pukul 3 ptg’ adalah kata terakhir dari dia. Kami berada diluar Kawasan dan hanya membaca pesanan ini setelah lima hari dia meninggal dunia.
Kami terbaca mengenai pemergianya di internet sekitar jam lima petang hari tersebut dan mahu segera berkejar pulang untuk memberi penghormatan namun tidak berkesempatan. Bukan rezeki kami untuk menyembahyangkan dia di masjid namun kami lakukan juga dari jauh.
Beberapa bulan lalu dia meminta kami menguruskan satu pameran untuk galeri Ruang Teduh. Dia mahu mengadakan satu pameran cat air dan meminta kami mencari pelukisnya. Kami usahakan dan setelah beberapa penolakan, kami Berjaya mengumpul 14 orang pelukis. Dia sendiri membawa seorang rakan pelukis yang rapat dengannya ke pameran tersebut.
Pameran ini pada mulanya dinamakan sebagai ‘POLITIK’ namun telah ditukar kepada ‘SIASAH’ atas Cadangan U-wei Haji Shaari.
Kami dimaklumkan oleh Im, iaitu rakan rapat dia bahawa pameran ini akan bermula pada 22/12/25. Acara peresmiannya akan dimaklumkan kemudian.
Disini kami ingin menjemput semua untuk datang memeriahkan pameran tersebut sebagai tanda kenangan terakhir kami dengan dia.
Jika kita semua terkesan dengan kepulangannya maka Im tentu saja lebih merasakannya.
Kami juga lupa bila kali terakhir bertemu tubuh dengan dia. Mungkin di acara yang diadakan di Balai Seni Negara. Biasanya bila kesana kami akan mengajaknya ke kafe dibelakang bagunan tersebut. Kami suka akan kuey teow goreng disitu dan dia pun tahu akan hal tersebut dan akan senang hati melayan kami disitu.
Disana kami berbual. Kami kata berbual tetapi jika kamu kenal akan dia, maka kamu tahu kamu akan lebih banyak termenung bila duduk berdua dengan dia.
Pernah sekali dia mengajak kami minum. Dan kami ke Pulau Meranti mengambil dia di rumah. Kemudian kami ke satu Kawasan kampung yang berdekatan dan duduk minum berdua. Hampir empat jam dan tiga gelas nescafe ais yang kami habiskan sambil menunggu patah-patah perkataan yang keluar dari mulutnya. Selebihnya kami gunakan masa tersebut untuk melihat pakcik menebar roti canai, makcik menjual kuih, budak hipster rambut cendawan keluar masuk dan menyelam jauh ke dalam diri mencari apa ertinya hidup ini.
Dia suka roti canai melayu namun dia bukan ‘melayu dulu baru malaya’. Ini dia tanya khusus kepada kami, ‘abang geng melayu melayu ke?’ kami katakan yang kami ini manusia dulu dan tak peduli pun siapa melayu atau tidak dan dia bersetuju.
Dia memang terkenal pendiam dan jika dia bersuara pun adalah seperti suara sang kekasih sedang berbisik. Punyalah perlahan sehingga kamu akan menyangka kamu itu mempunyai masalah pendengaran. Hari ini suara perlahan itu sudah tidak dapat kami dengar lagi. Kesedihan adalah perasaan yang tidak memberi keadilan pada apa yang kami rasai.
Dalam dunia yang akan melupakan apa saja dalam masa tiga hari seperti hari ini, kami berharap untuk mengingati dia dalam setiap doa yang kami pohon.
Terima kasih Irwan di atas persahabatan yang singkat ini. Saya akan sentiasa merindui kamu.
al-Fatihah
