Seni rupa adalah satu cabang manifestasi visual, yang diungkapkan oleh seniman, dalam meluahkan perasaan, idea-idea, gagasan pemikiran dan juga kritikan kontroversi. Penzahirannya terjelma melalui pelbagai media seperti catan, lukisan dan arca.
Hakikatyang tidak dapat dinafikan ialah kita boleh menganggap seni rupa sebagai jiwa dan gerak hati seniman. Semangat kesenimanan terserlah dalam setiap susunan karyanya. Namun, masalah asasnya ialah makna dan tafsiran khalayak pemerhati, dalam memaknai dan mentafsir makna karya seni yang dipersembahkan.
Persoalan utamanya, adakah fikrah dan semangat seniman itu sampai kepada sudut fikir khalayak atau sebaliknya? Soal memahami, mengerti apa yang terpesona oleh kebijaksanaan mata, adalah sangat subjektif. Ini kerana wujudnya kemajmukan pemikiran, lapangan disiplin ilmu dan kepekaan pengamatan manusia dalam memerhati, seterusnya menghayati setiap hasil tampak yang mereka tontoni.
Bagi mereka yang sehaluan dengan seni tampak, perkara ini bukanlah masalah tunggal dan rumit. Namun, bagi mereka yang berada di luar kepakaran mereka, dikhuatiri akan berlaku salah faham visual, salah mengerti, kekeliruan, andaian yang bercanggah, kabur dan tidak menentu, saling tuduh menuduh, kesilapan, malah dikotomi mutlak dari segi tafsiran dan makna seni rupa.
Secara perbandingan, dalam bidang sains sekular, disiplin telah dibahagikan kepada empat cabang besar, iaitu pertama, sains sosial, yang dikembangkan oleh asas sosiologi.
Keduanya adalah ilmu pemikiran, yang sangat melekat pada saranan falsafah. Aliran ketiga iaitu ilmu kejiwaan, terkait dengan nama psikologi. Lantaran yang terakhir, adalah cabang keempat, ilmu kebendaan, yang mesra pula dengan pesona fiziknya (ilmu pasti).
Lain orang, lainlah tafsiran visualnya yang didasari oleh disiplin keilmuan mereka yang berbeza-beza. Seni rupa, yang mengaitkan hal-hal manusia dan kemanusiaan, lebih menjiwai cabang sosiologi dan menempatkan dirinya dalam aliran masyarakat dan kemanusiaan.
Seni rupa justeru mengubah dunia, mencorakkan ketamadunan, mengajari kefalsafahan tampak, mendewasai pemikiran, bahkan berupaya jua untuk merentas kemajmukan aliran pengetahuan. Buktinya, tamadun dan peradaban besar dunia tergerak dan mencapai bentuk melalui aktiviti-aktiviti kesenian. Barang tak ternafi, seni rupa dan tampak, turut ‘ada’ dalam memberikan buah-buah sumbangannya.
Kita sedar, baik di sudut Timur atau di belahan Barat dunia, sumbangan pengetahuan ilmu sains dalam mencorak serta memaju tamadun memang telah terabsah. Namun, ada perkara yang tidak boleh dikesampingkan, iaitu sumbangan estetika yang diperantarai oleh karya-karya seni rupa melalui ‘azimat’ serta kreativiti sang seniman.
Ketinggian peradaban dan keilmuan yang membenih di Yunani (Greek), sejak era Pra-Sokratik (599-399 SM), mencapai kemuncak di zaman Socrates, Plato dan Aristotle (300-100 SM) dan seterusnya mengikat jalinan dengan ketamadunan Rom, yang dikenal sebagai era Hellenistik, tidak dapat tidak, terselit jua sumbangan dan signifikasi karya-karya seni rupa (misalnya Mozek Hellenistik, karya Dioskourides of Samos). Era Renaisans di Eropah pada abad ke-16 Masihi, digemerlapkan pula oleh karya-karya seni rupa unggul, dari Giotto hingga ke zaman Cezzane di Perancis dengan mazhab Impressionisnya.
Seni rupa mencorakkan dunia
Sekiranya dihimbau-himbau rentetan zaman, perkembangan pesat doktrin Kristian di Eropah, antara lainnya merupakan sumbangan dan hasil daripada ‘tangan-tangan’ seniman seni rupa. Teologi Kristiani ‘terpancar’ dalam lukisan keagamaan, yang menghiasi altar-altar gereja serta bangunan sekular.
Sesiapa pun tidak boleh melupakan Micheangelo dengan catan ‘The Creation of Adam’, yang indah terhias di siling Sistine Chapel, di Itali, dan ukiran realis arca ‘David’ yang memperteguh seni rupa, berbasis teologi.
Sentuhan magis Leornado da Vinci pada catan ‘The Last Supper’ dan ‘Madonna of The Rock’ dapat dinikmati oleh khalayak penonton hingga ke hari ini. Di belahan Timur dunia pula, hasilan-hasilan seni rupa menaikkan semangat Renaisans Timur, yang bermula di zaman Gupta (320-520 SM), selari dengan perkembangan renaisans sains di India.
Pemikir dan ahli falsafah terkenal India, A.K, Coomaraswamy menyifatkan karya-karya seni rupa, memenuhi salah satu falsafah ‘rasa’ dalam menikmati hasil tampak. Rasavandana, disifatkan Coomaraswamy sebagai renungan estetika dalam memaknai hasil-hasil seni rupa. Seyogianya, perkembangan sains dan agama di zaman keemasan India, turut disumbangkan oleh hasil-hasil tampak, bahkan luhur dalam pemaknaan estetikanya.
Jika kita perhalusi perkembangan seni pada peradaban Parsi, catan-catan iluminasi dan miniatur telah menjadi katalis, akan peri pesatnya aktiviti-aktiviti keestetikaan.
Tidak sedikit khalayak dipersonai oleh karya Maqamat (perhimpunan) oleh Al-Hariri dari Basra (1054 Masihi). Catan-catan miniaturnya, memerihalkan kisah-kisah seharian masyarakat dalam bentukan visual yang indah, menarik dan penuh warna-warni. Imej-imej itu seolah-seolah memercikkan narasi, dalam merekod perjalanan rentas sejarah yang sehingga kini, dapat ia dinikmati oleh para pengamat seni rupa.
Elemen didaktik, hal kemasyarakatan, dinamika pemikiran terpapar jelas pada ruangan-ruangan khusus pada karya iluminasi sentuhan Yahya ibn Mahmud al-Wasiti. Beberapa contoh peradaban dan kemajuan perkembangan manusia yang disebutkan di atas, telah membawa justifikasi bahawa seni rupa sememangnya merentasi segenap disiplin ilmu dalam kerencaman paradigma dunia. Seni rupa meresap dan mengolah tamadun dengan gaya serta identiti estetikanya yang tersendiri.
Meneroka citra estetika pada karya-karya seni rupa era moden, kita dipersembahkan oleh konsep emosi dan intelek oleh para seniman-seniman pasca Renaisans seperti aliran Impresionisme, Post Impresionisme, Cubisme, Surrealisme dan Abstrak Ekspresionisme.
Di Indonesia misalnya, seniman Raden Salleh ‘menuangi’ emosi pembebasan bangsa, melalui catan gemilang ‘Penangkapan Pangeran Diponegoro’ yang bergaya Impresionis. Di Sweden, karya litografi ‘The Scream’ (1893-1896), hasil sentuhan Edward Munch memperihalkan kesan yang penuh dengan emosi.
Dalam buku catatan hariannya dengan judul “Nice 22 January 1892”, Munch menulis: “Suatu malam aku sedang berjalan, kota berada di satu sisi dan Fyord di bawah. Aku merasa lelah dan sakit. Aku berhenti dan melihat ke Fyord – matahari terbenam, dan awan berubah menjadi merah darah. Aku merasakan jeritan melewati alam; Aku merasa seperti mendengar jeritan tersebut. Lalu, aku melukiskan lukisan ini, citraan awan sebagai darah yang sebenarnya. Warna itu menjerit. Inilah yang memanifestasikan ‘The Scream”.
Kita juga dapat melihat penelitian komposisi warna, daripada artis Abstrak Ekspresionisme, Vasily Kandinsky yang menunjukkan elemen intelek yang terdapat pada siri catan Composition (1909–1923). Sebagai seorang seniman dan ahli teori, beliau memainkan peranan dalam perkembanganseni abstrak. Kandinsky merupakan orang pertama menemui prinsip non-representasi (pure abstraction).
Menelusuri catan Pablo Picasso, Guernica (1937), lukisan ini merakamkan peristiwa kezaliman perang, dalam bentuknya yang abstrak (pemecahan bentuk-bentuk realisme kepada inspirasi ‘Cubist’).
Namun, bagi pengamat yang kurang arif, mereka pastinya akan menuntut karya dalam bentuk representasi realistik buat menerbitkan rasa emosi, tetapi apabila dijelmakan dalam pendekatan abstrak, apresiasi terhadap karya tidak berlaku. Lalunya, ia terus dihukum tiada membawa nilai intelek, malah sukar pula untuk dimengerti.
RUJUKAN
Collingwood, R.G. (1972). The Principles of Art. Cambridge, Massachusetts: Harvard Univerity Press.
Frithjof Schoun (1990). The Feathered Sun: Plain Indians in Art & Philosophy. Bloomington: World Wisdom Books.
Martin Suryajaya (2016). Sejarah Estetika: Era Klasik SampaiKontemporer. Jakarta: Gang Kabel.
Read, H. (1949). Education Through Art. New York: Pantheon Books.
Rudolf Arnheim (1954). Art and Visual Perception. London: University of California Press.
