Bagi Epicurus, kehidupan yang baik tidak semestinya ditemukan dalam kemasyhuran, kekuasaan atau keterlibatan dalam hiruk-pikuk masyarakat. Sebaliknya, kebahagiaan dapat ditemukan melalui kesederhanaan, persahabatan, kebebasan berfikir dan pemahaman yang mendalam tentang kehidupan.
Hidup secara tersembunyi (Lathe Biosos) memberikan ruang untuk seseorang menjauhkan diri daripada gosip, tekanan sosial dan persaingan yang tidak perlu. Dengan demikian, kehidupan menjadi lebih jernih dan tenteram, selain memberikan kebebasan untuk berfikir tanpa terlalu dipengaruhi oleh pandangan orang lain.
Falsafah sebagai Jalan Menuju Kebahagiaan
Bagi Epicurus, falsafah bukanlah sesuatu yang hanya perlu difikirkan oleh golongan tertentu atau dipelajari apabila seseorang sudah mencapai usia tertentu. Falsafah merupakan sebahagian daripada kehidupan itu sendiri.
Beliau melihat kebahagiaan sebagai hasil daripada penggunaan akal budi dengan baik. Seseorang yang berkata bahawa waktunya untuk berfalsafah belum tiba, atau sudah terlewat, sebenarnya sedang menangguhkan peluangnya untuk mencapai kebahagiaan.
Tanpa fikiran yang jernih dan pertimbangan yang rasional, manusia sukar menemukan kebahagiaan yang sebenar. Dalam pengertian ini, menangguhkan usaha untuk berfikir bererti menangguhkan kebahagiaan itu sendiri.
Aponia – Bebas daripada Kesakitan
Salah satu asas penting dalam pemikiran Epicurus ialah aponia, iaitu keadaan bebas daripada kesakitan tubuh. Kesihatan fizikal menjadi asas penting kerana tubuh yang sentiasa terganggu oleh kesakitan akan menyukarkan seseorang mencapai ketenangan.
Untuk memelihara tubuh, perkara paling asas ialah makan, minum dan berehat secukupnya. Namun, aponia bukan hanya berkaitan dengan penjagaan tubuh. Ia turut menuntut seseorang mengawal keinginan agar tidak berlebihan serta menjauhi perkara yang boleh merosakkan kesihatan.
Ringkasnya, aponia merupakan salah satu syarat bagi mencapai kehidupan yang lebih tenang. Apabila tubuh berada dalam keadaan baik, fikiran mempunyai ruang yang lebih luas untuk berfungsi dengan jernih, emosi menjadi lebih stabil dan seseorang lebih mudah menumpukan perhatian kepada perkara yang benar-benar penting dalam kehidupan.
Ataraxia – Ketenangan Batin
Jika aponia merujuk kepada keadaan tubuh yang bebas daripada kesakitan, ataraxia pula merujuk kepada ketenangan batin, suatu keadaan jiwa yang tenteram, aman dan bebas daripada kecemasan yang berlebihan.
Konsep ataraxia bukan hanya ditemukan dalam Epicureanisme, tetapi turut dikenali dalam tradisi ‘Stoikisme’. Dalam konteks ini, ia boleh difahami sebagai keupayaan untuk mengawal perkara yang berada dalam lingkungan kemampuan kita, di samping menerima perkara yang berada di luar kawalan kita.
Apa yang mampu kita atur, kita usahakan dan kendalikan. Apa yang berada di luar kuasa kita pula, perlu diterima sebagaimana adanya. Daripada penerimaan tersebut lahir suatu bentuk ketenangan yang tidak bergantung sepenuhnya kepada keadaan di luar diri.
Bagi Epicurus, terdapat beberapa asas penting untuk mencapai ketenangan batin. Pertama ialah kehidupan yang sederhana dan bijaksana dengan menghindari keinginan yang berlebihan kerana keinginan yang tidak terbatas sering membawa kepada kegelisahan dan ketidakpuasan.
Kedua ialah persahabatan. Bagi Epicurus, sahabat merupakan sebahagian penting daripada kehidupan yang baik. Persahabatan membolehkan manusia berkongsi beban, memberikan sokongan dan saling menasihati ketika berhadapan dengan kesukaran.
Ketiga ialah kehidupan yang berpandukan pemikiran rasional serta pemahaman terhadap alam dan dunia semula jadi. Dengan memahami sifat dunia secara lebih rasional, manusia dapat mengurangkan ketakutan yang lahir daripada kejahilan dan kepercayaan yang tidak berasas.
Falsafah sebagai Ubat Jiwa
Pada akhirnya, inti pati falsafah Epicurus bukanlah sekadar perbahasan teori yang tinggi atau permainan intelektual. Falsafah, bagi beliau, merupakan suatu latihan jiwa yang praktikal, satu cara untuk menjalani kehidupan dengan lebih sedar, sederhana dan tenang.
Secara keseluruhannya, falsafah Epicurus mengajarkan bahawa kebahagiaan tidak semestinya lahir daripada kemewahan, kekuasaan atau pemilikan yang berlebihan.
Sebaliknya, ia tumbuh daripada penggunaan akal budi yang bijaksana, kehidupan yang sederhana, keupayaan mencukupkan diri, persahabatan dan kesediaan menerima batas kemampuan manusia.
Mungkin di situlah relevannya Epicurus hingga hari ini. Dalam dunia yang semakin bising dengan tuntutan, keinginan dan kecemasan, falsafahnya mengingatkan bahawa kehidupan yang baik tidak semestinya perlu diperbesar-besarkan.
Kadangkala, ia hanya memerlukan tubuh yang tidak terlalu dibebani, fikiran yang jernih, sahabat yang baik dan jiwa yang tahu bila harus berkata: cukup.
Falsafah, akhirnya, bukan sekadar cara memahami kehidupan.
Bagi Epicurus, ia adalah ubat bagi jiwa.
Teks oleh: Azizi Nordin
Rujukan
Faiz, Fahruddin. Seni Menyikapi Hidup: Rahsia Melampaui Diri Sendiri. Noura Publishing, 2025.
