EMPAT filem Malaysia termasuk sebuah filem pendek akan tayang di dua festival di Jakarta sebelum akhir bulan ini (Oktober 2025).
Tiga filem tayang di Festival Filem Antarabangsa Madani ke-8 yang akan berlangsung pada 8 hingga 12 Oktober, sementara sebuah lagi dipilih untuk membuka Minggu Filem Jakarta pada 22 Oktober.
Festival Filem Antarabangsa Madani
Ninavau arahan Bebbra Mailin dan Memori arahan Abid Hussain terpilih untuk tayang dalam program Tenggara di Festival Filem Antarabangsa Madani. Program ini khusus menampilkan filem-filem yang menggambarkan pengalaman hidup sebagai Muslim di Asia Tenggara.

Ninavau mengisahkan seorang perempuan Kadazan yang diam-diam memeluk Islam dan kemudian harus berhadapan dengan keluarganya yang kuat memegang fahaman Kristian Katolik dan adat masyarakat.
Ninavau masih menunggu tarikh tayangan umum selepas membuka Festival Filem Antarabangsa Malaysia (Miffest) ke-8 pada Julai 2025 dan tayang di Pesta Filem Kota Bharu beberapa minggu kemudian.

Memori arahan Abid Hussain juga akan tayang dalam program yang sama, yang membariskan lapan filem termasuk lima dari Indonesia dan sebuah dari Thailand. Memori tayang di pawagam pada awal Ogos 2025.
Antara filem Indonesia yang tayang dalam program sama ialah Under the Moonlight atau Nur yang menang anugerah filem dokumentari terbaik Festival Filem Indonesia 2024. Dokumentari ini mengangkat isu kekerasan terhadap transgender melalui cerita tentang kelompok transgender yang tinggal dan belajar di sebuah pondok pesantren di Yogyakarta.
Panyi I See You, arahan Arinchai Rattanavijit dari Thailand, pula mengisahkan seorang doktor dari Bangkok yang dihantar berkhidmat di sebuah kampung nelayan Muslim di pesisir Laut Andaman.

Sementara itu, filem pendek Aku Lelaki arahan Feisal Azizuddin terpilih bertanding, bersaing dengan 14 filem lain dari Indonesia, United Kingdom, Iran, Belanda, dan Itali. Penampilan di Festival Filem Antarabangsa Madani ini adalah tayangan perdana dunia.
Festival Filem Antarabangsa Madani dianjurkan sejak tahun 2018 khusus menampilkan filem yang bernuansa Islam sama ada yang mengetengahkan nilai Islam atau menggambarkan pengalaman Muslim dan dunia Islam.
Minggu Filem Jakarta 2025
Sementara itu, The Fox King arahan Woo Ming Jin akan membuka Minggu Filem Jakarta 2025, menambah senarai festival antarabangsa yang disinggahinya selepas tayang perdana dunia di Festival Filem Antarabangsa Toronto dan kemudian untuk Asia di Festival Filem Antarabangsa Busan pada bulan lepas (September 2025).

Ini adalah filem kedua usaha sama antara Greenlight Pictures di Malaysia dan Kawan-Kawan Media di Jakarta selepas Stone Turtle yang terbit pada tahun 2022. The Fox King turut diterbitkan bersama oleh Da Huang Pictures dan Sunstrong Entertainment.
Filem ini mengisahkan adik-beradik kembar Ali (Idan Aedan) dan Amir (Hadi Putra) yang diuji dengan kedatangan seorang guru, Laura (Dian Sastrowardoyo). Lakonan mereka dibantu oleh Amirul Affendi dan Chew Kin Wah.
