Menyusur Peristiwa
Sejak dari zaman primitif hingga menjengah ke era keampuhan digital (abad ke-21), manusia telah menjadi penghasil dan pembuat imej yang aktif. Tujuan utama penciptaan imej adalah sebagai sumber utama untuk merekod segenap interaksi. Hal yang sama terjadi pada konsepsi dan tahap pemikiran yang ada pada kanak-kanak.
Kanak-kanak merupakan seniman serta pengkarya yang polos. Mereka begitu jujur dalam merepresentasikan apa yang dilihatnya, yang justeru menyamai pula konsep simbolik lukisan-lukisan gua manusia primitif. Kanak-kanak mempraktikkan seni konsepsual, berbanding seni persepsi.
Mereka berekspresi secara simbolik dalam merepresentasi sesuatu bentuk dan elemen di dunia realiti. Kecenderungan kanak-kanak merepresentasi objek, dalam bentuk-bentuk geometrik dan simbolik menjadi justifikasi pengamatan konsepsual mereka, disamping keupayaan motor yang masih terbatas, jika dibandingkan dengan ekspresi manusia dewasa.
Kanak-kanak sedari usia tiga tahun, sudah boleh didedahkan dengan aspek estetik, melalui pengamatan dan lakaran-lakaran bersesuaian dengan peringkat umurnya. Pada peringkat usia 6 tahun, sensitiviti dan gerak hati (intuitive) mereka dalam persepsi melihat, menilai serta menganalisis perkara-perkara berkaitan estetik, menyamai pengamatan seorang dewasa yang telah berusia 60 tahun.

Representasi imej yang dijelmakan itu adalah ekspresi visual yang tidak sama bagi setiap individu. Ekspresi visual seseorang pelukis, pengarca atau pereka terhadap sesuatu objek yang dihasilkan misalnya, merupakan suatu penjelmaan (manifestasi) perasaan yang boleh dianggap sebagai pernyataan perasaan. Seorang pemikir seni yang bernama H. Gene Bloker, ada menyatakan bahawa;
“para ekspresionis menggunakan istilah ‘ekspresi’ hanya untuk merakamkan fakta yang jelas bahawa seni mempunyai hubungannya dengan emosi dan perasaan manusia. Tetapi dengan menyatakan bahawa kata ‘ekspresi’ ini adalah suatu yang istimewa dan sama sekali tidak jelas untuk ia diandaikan secara intuitif, yang menunjukkan bahawa seni merupakan suatu luahan atau ‘pertunjukan’ emosi. Dan kecenderungan ini sebahagian besarnya ditentukan oleh makna biasa daripada istilah ‘ekspresi’ itu sendiri”.
(the expressionist uses the term expression simply to record the obvious fact that art has something to do with human emotions and feelings. But by articulating this in term of “expression” a special and by no means obvious slant is placed on this intuitively obvious assumption which suggests that art is the venting or exhibition of emotion. And this slant is largely determined by ordinary meaning of the term expression)
Perihal Ekspresi Secara Teoretis
Secebis tinjauan teori ekspresi seperti yang dinyatakan oleh pujangga dan ahli fikir Rusia, Leo Tolstoy (1828-1910). Tolstoy menganggap ekspresi datangnya daripada peranan yang dimainkan oleh seni dalam masyarakat dan perkembangan sejarah manusia. Seni muncul dalam segenap kehidupan serta mempunyai keupayaan untuk menyatukan manusia sebagai sebuah komuniti.
Ekspresi dalam seni merupakan satu bentuk komunikasi, sepertimana yang terdapat di dalam ilmu linguistik (bahasa). Lalunya, berdasarkan kepada konsep ekspresi visual ini, setiap orang melukis atau mencipta imej sesuai dengan tanggapan daripada apa yang mereka tahu dan lihat.
Perkara ini tertakluk kepada persepsi dan daya tafsir mereka yang berbeza-beza. Dalam erti kata lain, sebarang ungkapan yang terpancar melalui imej yang diciptakan ialah apa yang dirasai oleh pelukis itu sebagai satu ekspresi dalaman yang mempengaruhi ekspresi visualnya.
Dalam pengamatan filsuf, sejarawan dan arkeolog Inggeris yang bernama R.G. Collingwood, ekspresi merupakan perhubungan yang rapat antara perasaan pelukis dan hasil kerjanya. Pelukis tidak perlu meluahkan perasaannya kepada khalayak. Collingwood mempunyai teorinya sendiri yang dinamakan sebagai ‘Gangguan Kesedaran’ (Corruption’s of Consciousness). Emosi sebegini sebenarnya tidak berlaku jujur dan telah difahami sebagai pernyataan pelukis.
Khalayak pula tidak berhajat untuk mengalami perasaan itu. Pada beliau, karya seni yang sama, dapat jua memiliki kualiti ekspresi yang berlainan. Contohnya, kerja seni yang sama boleh berkongsi kualiti ekspresi tentang keriangan, kemurungan dan kebimbangan, dalam masa yang sama, boleh menggambarkan ketenangan. Collingwood melihat perasaan yang sebenarnya adalah bersifat individual serta kontekstual.


Ekspresi visual yang membugar pendidikan seni
Sekiranya diperhatikan dalam lensa teori ekspresi daripada konteks pengajaran dan pembelajaran pula, ahli teori pendidikan seni, Laura Chapman (1985) ada mendalilkan bahawa terdapat tiga aspek yang menentukan perbezaan ekspresi, yakni daya intuisi, persepsi dan konsepsi. Ketiga-tiga aspek ini mempunyai pengertian yang berbeza bahkan terdapat pelbagai faktor yang akan membawa kepada perbezaan bentuk-bentuk ekspresinya.
Konsep ekspresi visual pada sebuah lukisan atau rekaan umpamanya boleh membawa bermacam-macam maksud, bergantung kepada penghasilnya itu. Sebenarnya terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan oleh manusia bagi tujuan ekspresi antaranya melalui pernyataan lisan, perasaan, emosi, tulisan, bahasa, rekaan dan penghasilan pergerakan. Yang paling lazim dan tradisional ialah membuat penggambaran visual.
Misalnya bagi kanak kanak, seperti yang telah dihuraikan pada perenggan di atas. Dengan menjalankan aktiviti-aktiviti seni, ia merupakan cara yang paling mudah bagi kanak-kanak untuk mengembangkan daya imaginasi, kreativiti serta mampu untuk menghasilkan ekspresi visual (pernyataan hasrat diri atau ekspresi diri).
Pengalaman mereka dalam penghasilan karya seni, secara tidak langsung akan dapat membantu pelajar dalam pembelajaran dan perkembangan mereka dari peringkat paling asas seperti mengenali diri, memahami seni dan kebudayaan, menyalurkan isi rasa, menyemai konsepsi serta ekspresi diri. Alhasil, maka dengan sebab itulah terdapatnya keberagaman lukisan serta rekaan, sebagai luahan pernyataan serta gagasan yang dipersembahkan oleh seseorang pelukis atau pereka.
Menyimpul Makna
Ekspresi visual bukan sekadar tindakan menghasilkan imej yang indah, tetapi merupakan manifestasi terdalam pengalaman manusia terhadap dunia. Sejak manusia prasejarah meninggalkan lakaran pada dinding gua sehingga lahirnya karya-karya agung seni moden, proses berkarya sentiasa menjadi penghubung antara pengalaman dalaman dengan realiti luaran.
Justeru, setiap karya seni sebenarnya membawa sejarah, emosi, imaginasi, kepercayaan, budaya, bahkan cara seseorang memahami kewujudannya. Pandangan tokoh-tokoh masyhur semisal H. Gene Blocker, Leo Tolstoy, R. G. Collingwood dan Laura Chapman, memperlihatkan bahawa ekspresi visual tidak boleh difahami hanya sekadar luahan emosi semata-mata, namun dapat ditanggapi sebagai proses pembentukan makna.
Emosi yang dizahirkan melalui seni bukan sekadar dipindahkan daripada pelukis kepada khalayak, malahan diolah jua berdasarkan pengalaman, imaginasi, intuisi dan konteks budaya sehingga menjelmakan kemajmukan interpretasi. Oleh yang demikian, tatkala mencermatinya dalam konteks pendidikan seni pula, ekspresi visual menjadi wahana penting bagi membentuk kreativiti, kepekaan estetik, pemikiran kritis dan kesedaran kendiri. Melalui proses melukis, mereka bentuk atau menghasilkan karya, seseorang bukan sahaja mempelajari teknik, tetapi turut membina identiti serta cara melihat dunia.
Seni akhirnya menjadi bahasa yang melampaui batas linguistik, kerana ia berbicara terus kepada pengalaman manusia. Maka pada akhirnya, tatkala kita cuba untuk memahami ekspresi visual, bererti kita sedang memahami kemanusiaan itu sendiri. Selagi manusia punya daya imaginasi, ledakan emosi dan cetus keinginan untuk mencari makna terhadap kewujudannya, selama itulah ‘bahasa seni’ akan terus menuai bahasa sejagat, buat menelusuri citraan cerminan jiwa manusia dan kemanusiaannya dalam gerak sejarah.
Rujukan
Blocker, H. G. (1993). The aesthetics of art. University Press of America.
Chapman, L. H. (1985). Approaches to art in education. Harcourt Brace Jovanovich.
Collingwood, R. G. (1938). The principles of art. Oxford University Press.
Langer, S. K. (1953). Feeling and form. Charles Scribner’s Sons.
Lowenfeld, V., & Brittain, W. L. (1987). Creative and mental growth (8th ed.). Macmillan.
Tolstoy, L. (1960). What is art? (terjemahan oleh A. Maude,). Oxford University Press. (karya asal dipublikasi pada tahun 1897).
