“The painting is dead”.
Ujar pelukis Paul Delaroche selepas terciptanya fotografi pada pertengahan abad ke-19. Ungkapan ini meledak seperti berita tragis yang mengoncang dunia catan. Lalu pelukis atau pencatan berkabung sambil mencari relevensi terhadap penyataan kasar yang diumumkan oleh Delaroche. Dengan sekelip mata kehebatan pelukis sebagai perakam alam realiti selama ini dicabar oleh jurugambar yang bukan saja memperkenalkan teknologi baru tapi sensasi pengalaman visual yang jauh lebih superior. Ternyata, audien terus digoda dan dinoda dengan ketelitian (details) subjek tanpa mengalah kepada realiti alam semulajadi.
Fotografi lantas menjadi alternatif baru dikalangan pengemar seni rupa dan terus mendapat perhatian umum. Warga Eropah mengalami kejutan sensasi melalui imej-imej fotografi yang tiada tolok bandingnya. Akhirnya, catan atau lukisan dengan tragis menghembuskan nafas terakhir secara perlahan-lahan keluh Delaroche dalam perbualan akademik beliau dikalangan teman-teman pelukis dan pendidik di kafe-kafe lorong kota Paris.
Namun, apakah benar catan sudah mati? Kerana dalam suasana kemurungan kerjaya, ironisnya kematian ini membuka pintu emansipasi bila tidak kurang juga pelukis yang merasakan tragedi ini membebaskan mereka dari belenggu meniru alam yang diwarisi sejak era Renaissance hingga ke Impressionisme. Sekian abad, pelukis tidak pernah diberi kebebasan mutlak meluahkan emosi dan ekspresi dalam karya-karya mereka tanpa naungan para patron. Mereka dijerut pra-syarat ketat sebagai pelukis yang bekerja dengan penaung dan pelanggan aristrokrat.

Sememangnya emansipasi ini menyemai benih-benih inovasi baru serta mengubah konvensi tradisional dalam sejarah seni catan. Paul Cezanne umpamanya, yang dari awal menyedari konflik dilema ini, mengambil langkah bijak dalam memberi nafas baru dengan mengubah semula (reinvention of painting) amalan catan Impressionisme. Meneliti karya-karya pasca-impressionisme beliau, terutama sekitar 1904 (Mont Sainte-Victoire – 1904), memberi isyarat bagaimana pelukis membebaskan diri dari peraturan ketat tradisi meniru alam dengan memperkenalkan konvensi observasi yang baru (new way of seeing) melalui kanta geometrik Cubisme. Cezanne menterjemahkan alam dengan ‘inner emotion’ (emosi dalaman) menjangkaui ‘optical impression’ (impresi optikal) lalu membuka ruang pandang baru kepada pelukis ketika itu. Ramuan baru ini ternyata bemberi nafas kesegaran dalam karya yang tidak mungkin ditangani oleh teknologi baru (fotografi).
Persepsi alam yang lebih rengkas (simplification), analitikal, berjiwa abstrak dan dinamik ini memberi satu kebebasan autonomi kepada pelukis seperti Kandinsky, Mondrian, Kirchner, Munch dan Nolde. Mereka kini berupaya menyuntik serum emosi dan spiritualiti dalam karya-karya abstrak modernisme masing-masing terutama sekitar awal 1930an. Lalu catan seni modern akhirnya lahir dengan resminya dan dijulang sebagai pengaman jiwa masyarakat pelukis yang gundah ditekan kesengsaraan hidup terutama selepas perang. Generasi pelukis moden seperti Pollock, de Kooning, Rothko dan Newman semakin dirai bukan hanya sebagai manusia genius tapi lambang kebebasan ekspresi individu. Catan yang dianggap sudah wafat itu, sebenarnya menemui jiwa yang baru bila ia bermutasi menjadi wahana ekspresi, bukan lagi cerminan realiti.
Perbincangan ekspresi dalam catan sememangnya telah membuka tirai baru sejarah seni catan sejak Braque dan Picasso menerjah ke ruang tiga dimensi dengan memperkenalkan kolaj dalam karya catan ‘Synthetic Cubism’ mereka pada 1913. Di sini daya ekspresi pelukis itu tidak dilihat sebagai tangkal pendinding untuk self-revelation semata-mata tapi pencetus dialog, makna, teknologi dan masyarakat.
Jika diteliti, kebebasan ekspresi diri (self expression) yang dikecapi pelukis Mordenis tidak semestinya bertahan lama. Wabak konflik nilai merebak bila catan didignosis semula mengalami ‘relapse’ malah semakin nazak lagi sejak pelukis Marcel Duchamp (Dadaism) merombak tradisi ekspressionisme dengan memperkenalkan ‘ready-made’ (objek ) dalam tradisi seni moden hingga ke awal 1960an. Langkah ini secara langsung ‘membunuh’ daya ekspresi peribadi pelukis yang dianggap kebal satu ketika dulu tanpa dicabar oleh mana-mana manifesto.
Nah, agak aneh kalau bukan lucu bila seni catan yang sudah mati (Delaroche – 1829), tiba-tiba bangkit dari kubur modernisme bila kini nazak dan menunggu mati semula. Sekali lagi berita kemangkatan seni catan menular ke seluruh pelusuk dunia seni rupa bila pelukis minimalis Donald Judd mendakwa kepentingan bahan (material significance) sebagai penghayatan nilai baru dalam dunia seni rupa. Justeru, kepesatan teknologi canggih terus mencetus bahan dan media baru seperti ‘virtual reality’, ‘’augmented reality’, ‘block chain’ dan artificial intelligent (AI) yang menjadi penanda aras kepada seni kontemporari.
Apa yang kita dapat pelajari dari kemelut pusaran dunia seni rupa yang tidak pernah tenteram ini? Tidak lain tidak bukan ialah darah resillien catan yang sentiasa mengalir dirongga-ronga kanvas semakin menebal menutupi segala kepincangan zaman dan cabaran masa depan. Sebab itu catan tidak pernah mati walau kelihatan seperti nyawa-nyawa ikan kerana ia akan segera bermutasi, beradaptasi dan berasimilasi menjadi lebih kental, fleksibel dan panjang umur. Walaupun ekspresi dikritik, dicemuh relevensinya, ia terus sebati dari kanvas ke instalasi, dari studio ke jalanan dari tangan pelukis ke kod digital. Ekspresi tidak lenyap ditelan zaman, malah berasimilasi menjadi agen koloborasi, komuniti, protes dan satira.
Sebagai pelukis saya mengambil iktibar akan peredaran iklim seni ini dengan penuh keterbukaan yang teliti. Kerana merasakan untuk terus menjadi releven, seniman harus sentiasa beradaptasi dengan sebarang perubahan nilai yang tidak boleh dielakkan (inevitable) di era serba-serbi ini. Namun saya juga tidak harus melepaskan hak milik ekspresi pelukis dengan sewenangnya demi merangkul status seni kontemporari semata-mata. Saya berkeyakinan ekspresi bukanlah peninggalan legasi modernisme, tapi sebagai ‘currency’ seni kontemporari. Unsur-unsur ekspresif dalam pengkaryaan tidak harus dilihat dari teropong sempit modernisme sahaja. Ekspresi bukan tidak releven tapi dibingkaikan semula (reframed) mengikut kerangka pasca-modernisme. Banyak pelukis-pelukis kontemporari hari ini meraikan koloborasi, adaptasi, komuniti dan meditasi digital seperti AI dan proses ‘coding’ dalam kegiatan seni rupa yang semakin merancak ini. Ekspresi sentuhan tangan pelukis tidak semesti ketara dengan mata kasar tetapi dengan pengalaman, ilmu pengetahuan dan penglibatan pelukis diarena sosial, politik dan sejarah. Resonan-resonan ekspresi seni itu bukan tertumpu kepada kegagahan heroisme pelukis semata tapi lebih dicambahkan meliputi dareah hermeneutik yang lebih luas dan inklusif.
Jalan tuntas yang difikirkan releven ialah dengan memaksumkan makna ekspresi dalam seni itu sendiri agar tidak bercanggah dengan kontek kesenian yang syumul. Sememangnya dalam benak pengkarya, ekspresi tidak pernah mati cuma berubah fungsi dalam proses mutasi. Kerana ia lahir dari uri rasa, dalam rahim naluri di rongga emosi yang membiak menjadi gumpalan sel-sel seni. Ternyata ekspresi terus bersemi kerana ia sentiasa berubah fungsi mengikut rejim estetik dan tabiat politik zamannya. Jika seni ialah refleksi naluri manusia, maka menafikan ekspressi bererti menafikan hakikat seni itu sendiri.
Sebab itu usaha meremehkan ekspresi pelukis dengan sewenang-wenangnya sebagai tidak releven sungguh tidak wajar, malah dilihat membantutkan kesuburan seni itu sendiri. Memandangkan akar ekspresi itu tumbuh menjalar dari lubuk jiwa seniman, ia menjadi urat belikat (visceral core) kepada praktik pengkaryaan lalu membezakan kerja seni dengan kerja akademik, gimik sosial media atau kegiatan politik yang kering, didaktik dan berlumuran birokrasi.
Nah, ekspresi dalam catan bukan tidak releven tapi sebaliknya bertambah penting. Ini kerana tanpanya, dunia kontemporari akan terjerumus ke lembah birokrasi, polisi dan iklim pasaran kapitalis yang memualkan. Jiwa dalam karya akan beku dan seniman hanya menjadi pemain industri yang rakus tanpa emosi.
Mari kita sama-sama maklumi bahawa dalam pusaran ekologi seni kontemporari yang semakin dikawal pasaran, globalisasi dan institusi, ekspresi seniman bukan lagi sekadar luahan peribadi (personal expression), tapi menjadi medan resistensi – satu peringatan bahawa seni perlu dialami secara relatif bukan semata-mata ditafsir melalui makna atau didagang sebagai komoditi.
NOTA: Karya – Menjaga Periok Nasi (2025) menjadi testimoni perbincangan ini dengan melihat ekspresi pelukis sebagai nilai ‘currency’ seni kontemporari yang mengalir melalui koloborasi, protes, satira politik, komentar sosial dan ironi. Bahasa bahan (material language) menjadi jambatan ekspresi berbentuk metafora. Penggunaan bitumen sebagai pencetus naratif sejarah, ekonomi dan politik menjadi teras utama mendukung makna-makna baru. Bitumen mampu menghemburkan ekspresi toksiknya sendiri sambil menjadi pendinding (resistence)) menepis sterilisasi dan normalisasi kuasa politik. Ia pekat mengalir, melekit, tengit dan sukar dikawal seperti kuasa yang cuba mensterilkan masyarakat. Dalam hal ini, ekspresi bukan nostalgia kerinduan tapi medium propaganda, pencetus dialog politik terkini, teknologi dan institusi. Imej periuk nasi dan polis rusuhan (FRU) menjadi metafora survivalisme bila obsesi autoritarian sering bermain dengan ‘politic of fear’, kompromi dan kepatuhan. Nah, ekspresi pelukis itu bukan nostalgia kerinduan tapi senjata propaganda, medium perjuangan dan pencetus wacana.
