SECARA umumnya, komik ditafsirkan sebagai seni bersekuen yang menggabungkan teks atau tulisan dengan imejan yang dipersembahkan dalam format berturutan, iaitu dalam bentuk lerang atau strip. Komik berkomunikasi secara visual dan verbal, ada kalanya hanya visual untuk menyampaikan sesuatu naratif atau cerita, serta mesej dan makna. Justeru itu, komik sering kali juga disebut sebagai naratif visual.
Kemajuan teknologi digital telah mencetuskan perubahan kepada kaedah seniman komik berkarya hingga melahirkan pelbagai jenis komik dalam bentuk fizikal dan digital. Komik juga muncul dalam transformasi bentuk lain seperti filem dan animasi. Seperti cabang seni visual lain, para seniman komik sentiasa berusaha mencari pendekatan-pendekatan baharu dalam berkarya bagi menyampaikan pemikiran, falsafah, penceritaan, mesej dan makna.
Rentetan daripada itu, kunjungan ke Muzium Seni Moden Centre Pompidou di Paris Jun lalu telah memberi peluang kepada saya untuk meninjau eksplorasi dan pendekatan-pendekatan baharu dalam seni komik yang dihasilkan oleh sekumpulan pekomik alternatif Perancis dalam pameran berjudul “Lagon: Le chemin de terre.”

Lagon adalah judul bagi sebuah penerbitan majalah komik alternatif di Perancis yang menerbitkan karya-karya bersifat konseptual dan eksperimental, berbeza daripada penerbitan majalah komik arus perdana. Mula diterbitkan pada tahun 2004, Lagon disifatkan oleh pengkarya-pengkaryanya sebagai sebuah karya seni, bukan produk industri kerana pendekatannya yang melibatkan proses dan kreativiti manual, bukan semata-mata bergantung kepada mesin. Menerusi pameran ini, khalayak berpeluang menghayati sejumlah karya seniman daripada penerbitan ini dalam skala besar memenuhi ruang peragaan dan dinding galeri.
Undangan oleh Centre Pompidou kepada Lagon untuk berpameran di muzium seni moden tersohor itu bukan sahaja merupakan suatu pengiktirafan buat majalah itu, malahan untuk seni komik secara umumnya. Pada tahun ini, muzium itu meraikan seni komik di setiap aras dan ruang galeri bangunannya, sebelum ditutup panjang selama lima tahun untuk kerja-kerja menaik taraf bangunan dan pemuliharaan mulai tahun hadapan.
Di samping menghayati karya-karya fizikal yang diperagakan, penelitian terhadap pernyataan-pernyataan kumpulan pekomik ini memungkinkan khalayak memahami falsafah dan teras pengkaryaan mereka serta melihat kemungkinan-kemungkinan baharu dalam seni komik dari segi konsep, bentuk dan makna.
Diberi judul “Lagon: Le chemin de terre” atau bermaksud “Perkembangan Lagon,” pameran ini menjadi kiasan kepada pengembaraan atau perjalanan pekomik dan khalayak memasuki alam komik.
Antara pengkarya dalam pameran ini ialah Bettina Henni, Joe Kessler, Olivier Schrauwen, Jean-Philippe Bretin, Alexis Beauclair, Tiger Tateishi, Gaspard Laurent dan Denis Boudonard. Berdasarkan latar belakang dan kecenderungan yang berlainan, mereka menampilkan idea dan karya yang saling berbeza.

Bettina Henni cenderung kepada seni naif dan prihatin dengan isu-isu alam sekitar. Dia tertarik dengan tema kehidupan petani dan kisah-kisah ahli sihir. Justeru, dia memetik ilham daripada aksi si tukang sihir dalam melakukan aksi-aksi silap mata dan hal-hal luar biasa dalam ritual hariannya mentransformasi makhluk hidup. Si petani pula berinteraksi dengan alam sekitar.
Bagi Bettina, idea datang sewaktu dia melukis dan tidak memerlukan lakaran awal. Seni naif dan kerja-kerja pengamal seni outsider memberi ilham kepadanya. Dia menghabiskan banyak masa di luar rumah, berjalan dan mengutip apa-apa objek yang memberi inspirasi kepadanya. Baginya, dengan membuat objek sendiri, dia memulihkan apa yang telah diambil oleh kemajuan teknologi tentang kebebasan, imaginasi dan pengetahuan dalam berbuat sesuatu.
Karya komik Joe Kessler pula merakam persekitaran hidup bandar Renaisans daripada perspektif kanak-kanak. Justeru itu, watak-watak dalam karyanya dibentuk menerusi himpunan titik-titik yang membentuk imejan figura, seni bina dan garis dengan bentukan imejan yang biasa dilihat dalam manuskrip Renaisans. Baginya, komik adalah laluan untuk memahami wawasan dan inspirasi orang lain. Komik adalah satu kaedah untuk membaca gambar. Ini ditunjukkannya dalam karya berjudul “Truce” (2024).

Olivier Schrauwen pula cuba menghindarkan pendekatan penceritaan dalam karyanya. Hal ini amat bertentangan dengan sifat komik yang umum ketahui atau fahami. Dia berusaha menggambarkan idea-idea yang ringkas tetapi menerusi imejan-imejan yang kuat. Dia bercerita tentang banyak kemungkinan untuk meluahkan ekspresi peribadi tetapi pada masa yang sama merasakan realiti kehidupan amat menekan. Hal ini yang dijelmakannnya menerusi watak seorang wanita tua yang mengalami masalah psikologi dalam “The Scatman” (2017).
Jean-Philippe Bretin pula menegaskan dia bukanlah seorang pelukis komik ataupun seorang ilustrator, tetapi seorang pereka grafik. Apa yang hendak disampaikannya menerusi karya “La nouvelle ordeur du monde” (2023) adalah imejan visual yang terhasil daripada ketip bunyi. Dalam konteks ini, komiknya bersifat abstrak dan imejannya merupakan suatu bentuk tanda.
Seperti Jean-Philippe Bretin, karya Alexis Beauclair juga bersifat formalis semata-mata dan menganggap komik adalah medium yang mempersoalkan tentang tanda dan kaedah membacanya seperti dalam karyanya “Photon” (2014). Bagi Tiger Tateishi pula, komik adalah cara terbaik untuk menggambarkan sesuatu idea dengan menunjukkan minat kepada tema sains fiksyen seperti dilihat dalam karya berjudul “The Moon’s Surface.”

Gaspard Laurent menyifatkan komik seperti sebuah buku lakaran atau papan cerita, semacam suatu bentuk seni yang masih berada pada tahap awal. Baginya, tidak seperti filem, kita boleh mengambil masa untuk membaca komik. Komik adalah seni ruang di mana kita boleh bergerak ke hadapan atau ke belakang dan kembali semula ke hadapan. Menurutnya, inilah keunikan muka surat pada komik, berbanding dengan filem.
Pameran “Lagon: Le chemin de terre” ini menunjukkan kemungkinan-kemungkinan baharu dalam seni komik, sama ada dari segi tema, subjek, idea, naratif, pengolahan bentuk dan makna. Para pekomik ini menunjukkan bahawa komik tidak semestinya membawa satu-satu cerita dengan penampilan watak-watak khusus, sebaliknya boleh bersifat abstrak, konseptual dan eksperimental.
Di samping persoalan bentuk, idea serta persepsi tentang komik yang mereka ketengahkan juga memperlihatkan keunikan komik serta hubungannya dengan seniman dan penghayat. Dalam konteks ini, seni komik dilihat sebagai suatu bahasa dan tanda.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
