Pendahuluan
Ada beberapa soalan yang sering ditanya oleh Rafiee Ghani kepada dirinya sendiri.
Pertama, sampai bilakah dia hendak menjadi pembuat imej?; kedua, bagaimanakah hendak mengucapkan perkara-perkara baharu dengan kaedah-kaedah visual yang juga baharu?; dan ketiga, dalam berkarya, kadang-kadang dia menjawab persoalan-persoalan lama, jadi bagaimanakah dia hendak menjawab persoalan-persoalan lama itu menerusi pendekatan yang segar lagi mengujakan? (Rafiee Ghani, temu bual bersama Penulis di Studio Gunung Nuang, Bukit Bandaraya Shah Alam, Ahad, 13 September 2026, 11.00 pagi).
Persoalan-persoalan ini mungkin boleh menjadi asas dan petunjuk kepada proses menghayati dan memahami karya-karya baharu Rafiee Ghani dalam pameran yang diberi judul “Dusun Laut”.
Menurut Rafiee Ghani, “Dusun Laut merupakan sebuah pameran lukisan abstrak yang lahir daripada pengalaman mengembara, berlayar dan menelusuri ruang-ruang di Nusantara. Ia bukan sekadar catatan tentang tempat yang pernah dilalui, tetapi sebuah himpunan ingatan terhadap laut, pulau, persisir, hutan, kampung, kota dan manusia yang ditemui sepanjang perjalanan” (Rafiee Ghani, Pernyataan Karya, Ahad, 27 September 2026).

Rafiee Ghani adalah seorang pelukis dan pengembara. Sebelum ini, hampir kesemua pameran solonya tercetus hasil daripada pengalaman kembaranya.
Antaranya “Rainbow Warrior” (Perjalanan ke Jerman, 2007); “Perfumed Garden” (Perjalanan ke India, 2011-2012); “Desert Rose” (Perjalanan ke Tunisia, Algeria dan Morocco, 2014); “Dusun Raja” (2014) perantauan di negaranya sendiri, khususnya di negeri Kelantan tempat dia dibesarkan; “Bumi Bertuah” (2023) merentasi kesemua kembara ini, suatu sintesis tentang perantauannya; “Arca Samudera”, perihal kembara yang diterjemahkan dalam bentuk seni arca (2024) dan yang terakhir “Rafiee Ghani in Morocco” (2025).
Rafiee Ghani menyatakan yang dia sebenarnya tidak begitu cenderung memberikan apa-apa gelar atau nama siri tertentu pada karya-karyanya kerana beliau percaya menghasilkan karya seni adalah suatu proses yang berterusan.
Maksudnya, hal ini tidak bermakna apabila telah selesai satu-satu siri, maka dia harus memulakan siri yang baharu.
Nama-nama yang diberikan bagi kumpulan karya-karyanya adalah bagi tujuan merujuk atau memberi tema pada sesebuah pameran, bukanlah secara rigid bagi mengklasifikasikan sekumpulan karya. Ia boleh berubah dan berkembang, sebagaimana dia percaya bahawa seseorang pelukis itu haruslah versatil sifat dan pengucapan seninya.

Rentetan daripada itu, semakin banyak negara dan daerah yang dikunjunginya, maka semakin karya-karyanya itu berkembang dari segi bentuk dan maknanya.
Dalam “Dusun Laut”, Rafiee Ghani menampilkan karya-karya yang terhasil daripada kembaranya di Nusantara, merujuk kepada rantau Kepulauan Melayu dan Asia Tenggara, termasuklah Indonesia, Borneo, Myanmar, Thailand, Papua New Guinea dan lain-lainnya.
Bagi Rafiee Ghani, karya-karya baharunya ini bukan sahaja mengenai tempat atau lokasi, tetapi merupakan catatan dan himpunan ingatan terhadap laut, pulau, persisir, hutan, kampung, kota dan manusia yang ditemui sepanjang perjalanannya.
Dia juga terpikat dengan hal-hal berkaitan sosiobudaya, tentang adat, tradisi, seni dan budaya yang menyatukan dan menggambarkan peribadi masyarakat yang dikunjungi dan disapanya.
Rafiee Ghani kagum bagaimana manusia diikat atau disatukan dengan kesenian, kraf dan kerjatangan tradisi serta warisan mereka. Karya-karya baharu ini adalah perihal pertembungan, asimilasi, difusi dan alkulturasi antar budaya yang menyentuh sensitivitinya atau yang menarik perhatiannya, di samping menjawab persoalan- persoalan kreativiti yang berlingkar dalam fikirannya.
Rafiee Ghani Si Pengembara dan Pembuat Imej
Rafiee Ghani sudah dikenali khalayak seni sebagai seorang pelukis dan pengembara. Dia mengembara dari satu daerah ke daerah-daerah lain, dari satu negara dan benua ke negara-negara dan benua-benua yang lain.
Meskipun cintanya jatuh di bumi Afrika, terutamanya Morocco, kerana baginya benua itu bagai suatu “melting pot” yang mengandungi segala-galanya, dia tetap kagum dengan benua-benua dan tempat-tempat lain yang dikunjunginya.
Bagi Rafiee Ghani, setiap kembara dan kunjungan memberi inspirasi, menghasilkan bentuk dan imejan baharu. Kehidupan, seperti berkarya juga adalah suatu kembara dan perjalanan.
Rafiee Ghani selalu bertanya pada dirinya, sampai bilakah dia hendak menjadi pembuat imej? Dia khuatir terperangkap dan terjebak dengan tabiat asyik mengulangi benda-benda dan perkara-perkara yang sama. Justeru itu, baginya dia perlu versatil dalam kegiatan kesenimanannya.
Terperangkap dalam kegiatan yang sama, mengulang- ulang pendekatan, gaya dan perkara yang sama kadang- kadang berpunca daripada diri yang memasuki ruang dan zon yang selesa: tiada cabaran, pergelutan dan dugaan.

Persekitaran yang tenang, tiada cabaran dan pergelutan, bukan hanya dalam diri, malahan dalam masyarakat dan persekitaran juga boleh membuatkan seseorang seniman, malahan khalayak dan manusia berasa terlalu selesa.
Apabila tiada yang mendesak atau menggugat, tiadalah perjuangan dan usaha keras yang hendak dilakukan bagi mengatasi keadaan.
Rafiee Ghani tidak mahu terperangkap dalam keadaan yang begitu, dia tidak mahu berdiam diri, justeru itu dia terus mengembara dan berusaha mencari sesuatu yang baharu.
Rentetan itu, terimbau kata-katanya ketika menghasilkan kumpulan arca “Samudera” pada tahun 2024:
“Saya ingin mencabar diri saya. Selama ini saya menggunakan tangan untuk menghasilkan catan yang lebih menekankan kepada ekspresi dan ilusi ruang dua dimensi, tetapi apabila menghasilkan arca, saya cuba keluar daripada terperangkap dengan ruang cetek itu kepada ruang fizikal dan rupa bentuk tiga dimensi” (Rafiee Ghani, temu bual bersama Penulis, Selasa, 5 Disember 2023, jam 10.00 pagi, di Studio Puncak Alam dalam Arca Samudera. Galeri PUTEH, 2024: 6).
Tambah Rafiee Ghani lagi: “Saya membuat arca kerana saya ingin mencabar diri saya kerana selama ini saya hanya membuat catan. Saya teringat kata-kata guru saya Choong Kam Kow, adalah bahaya sekiranya seseorang pelukis itu terperangkap dengan stail. Pablo Picasso menghasilkan lebih 35,000 karya atas kertas dan kanvas dan tidak kurang 700 arca. Bila dia mencari masa untuk membuat itu semua? Justeru itu, saya ingin mencabar diri saya” (Ibid).
Hal ini menunjukkan bahawa Rafiee Ghani cuba beralih daripada semata-mata membuat imej,kepada membuat bentuk. Dia terus mahu mencari pembaharuan. Dia selalu memikirkan, bagaimanakah kaedah dan caranya untuk membuat sesuatu yang baharu: sesuatu yang boleh melahirkan keterujaan di kalangan penghayat dan khalayak.
Daripada sekian banyak perjalanan dan kembaranya, Rafiee Ghani percaya bahawa manusia diikat dan disatukan oleh adat, tradisi dan kesenian yang mereka warisi. Ini hal yang indah, mengamati dan memahami bagaimana asimilasi, difusi dan alkulturasi budaya berlaku dan terjadi menerusi penjajahan, penghijrahan, kepercayaan dan pendidikan lalu tercermin dalam kesenian.

Budaya sering berubah, ada budaya yang diwarisi atau “inherited culture”; ada budaya yang ditentukan oleh pihak berkuasa atau kerajaan yang dipanggil “authority- defined culture”; dan akhirnya ada budaya popular, budaya yang ditentukan umum atau “everyday-defined culture” (Shamsul Amri Baharuddin, Budaya Yang Tercabar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007).
Rafiee Ghani terpikat dengan budaya tradisi terutamanya yang tercermin dalam seni sesebuah masyarakat, negara dan benua yang dikunjunginya. Contohnya, sewaktu berkunjung ke Afrika, dia tertarik dengan batik kitenge yang memiliki ciri-ciri batik Indonesia, termasuklah motif dan reka coraknya.
Menelusuri sejarah batik di Afrika, Rafiee Ghani kemudiannya menghayati bagaimana sesuatu bentuk seni itu melalui perjalanan yang panjang daripada satu benua ke benua-benua yang lain, dalam konteks ini melalui penjajahan dan perdagangan yang dibawa oleh Belanda.
Setelah percubaan mengkomersilkan batik menerusi teknik cetak industri tidak mendapat sambutan dan gagal di Indonesia, pedagang-pedagang Belanda beralih arah ke bumi Afrika Barat pada abad ke-19 dan ternyata batik gaya baharu dengan kaedah pembikinan cetak industri itu mendapat tempat di hati pengguna-pengguna yang baharu.
Rafiee Ghani faham bahawa inilah kisah perjalanan seni fabrik itu hingga memunculkan reka corak dan motif-motif batik tradisi Indonesia seperti pucuk rebung dan parang rosak di benua Afrika.
Bagi Rafiee Ghani, ini menunjukkan bahawa penjajahan, pelayaran, penghijrahan dan perdagangan membawa seni dari satu lokasi ke lokasi-lokasi yang lain. Dia memahami bahawa manusia itu memang tidak boleh terpisah daripada ekspresi dan kesenian biarpun di mana lokasi dan kedudukan mereka.
Naluri estetik dan keinginan mencari sesuatu yang baharu sentiasa tercerna menerusi asimilasi, difusi dan alkulturasi budaya, sebagaimana dia sentiasa mahu mencari sesuatu yang baharu dalam kembara dan kegiatan seninya.
Perihal Perkara dan Kaedah Baharu: Seniman Perlu Versatil.
Rafiee Ghani bertanya pada dirinya lagi, bagaimanakah hendak mengucapkan perkara-perkara baharu dengan kaedah-kaedah yang juga baharu?
Hal ini tentunya mengingatkan kita kepada pernyataan-pernyataan beliau sewaktu menghasilkan kumpulan karya “Bumi Bertuah” untuk pameran solonya di Galeri G13 pada tahun 2023 dan “Arca Samudera” di Galeri PUTEH pada tahun 2024: “Tidak ada rintangan kreatif atau creative block bagi pelukis,” (Rafiee Ghani dalam Bumi Bertuah. Galeri G13, 2023: 9).
Rafiee Ghani percaya bahawa seseorang pelukis itu perlu terus berfikir dan mengembara, meskipun hanya dalam kotak mindanya. Pelukis dan seniman perlu bersifat versatil dan bersedia menerima cabaran kreatif, tidak kira dalam keadaan atau suasana apa mereka berada, sama ada cabaran itu datang dari dalam dirinya sendiri atau dari luar. Rafiee memberi contoh, misalnya seorang sasterawan yang versatil itu mungkin bukan sahaja boleh menulis, tetapi juga boleh berpuisi, berlakon teater dan menulis skrip.
Oleh itu, Rafiee Ghani sering mencabar dirinya sendiri.
Dalam “Bumi Bertuah”, dia menggunakan medium akrilik, berbanding cat minyak yang digemari dan biasa digunakannya sebelum itu.

Hal ini bertitik-tolak daripada prinsipnya bahawa pelukis perlu versatil, dia tidak mahu terperangkap dengan sesuatu teknik, media dan gaya sahaja. Dia mahu mencabar minda dan proses kreatifnya. Justeru itu, dia kemudiannya menghasilkan kumpulan arca kayu “Arca Samudera”, bahan hidup yang amat mencabar menurutnya, terutamanya dalam menghadapi proses penuaan dan dimakan masa.
Bagi Rafiee Ghani, kreativiti dan desakan untuk menghasilkan sesuatu yang baharu juga bertitik- tolak daripada rasa ‘curiosity’: rasa ingin tahu terhadap sesuatu: perihal tempat, manusia, tingkahlaku dan budaya mereka. Hal ini yang menggerakkan bahawa pengembaraan dan perantauan itu memberinya banyak ilham untuk terus berkarya.
Fikiran dan tubuhnya tidak pernah berhenti mengembara dan merayau untuk meneroka pelbagai kemungkinan dalam mencari ilham dan pengucapan baharu dalam kesenian. Bagi Rafiee, pengetahuan sahaja tidak mencukupi, tanpa pendedahan dan penerokaan.
Ada masanya, rasa ingin tahu atau curiosity itu menghasilkan sesuatu di luar jangkaan atau secara kebetulan. Dia teringatkan Henri Matisse yang terperap di kamarnya sewaktu di Morocco kerana cuaca tidak elok akhirnya membuatkan dia menghasilkan karya- karya yang menggambarkan suasana interior atau pemandangan dalaman yang indah.
Kadang-kadang ada perkara-perkara yang radikal dalam seni yang mengubah persepsi dan cara penghayat melihat dan menghayati seni, atau kaedah dan cara pelukis berkarya. Menurut Rafiee Ghani, apa yang penting ialah bagaimana pendekatan-pendekatan baharu atau yang radikal itu mampu memberikan rasa keterujaan, keterangsangan atau excitement di kalangan penghayat dan khalayak.
“Dusun Laut” dan Pengucapan Baharu yang Mengujakan.
Sebagai seorang pelukis, Rafiee Ghani sedar bahawa kadang-kadang dia merenung kembali dan menjawab persoalan-persoalan lama, justeru itu dia memikirkan, bagaimanakah dia hendak menjawab persoalan-persoalan lama itu menerusi pendekatan yang segar lagi baharu, yang mengujakan atau yang merangsangka para penghayat. Baginya, seni adalah suatu proses yang berterusan.
Sebagai contoh, dalam “Dusun Laut”, tema dan subjek figura, landskap dan alam benda muncul kembali, selepas sekian lama dia tertumpu kepada karya-karya abstrak dan separa abstrak yang berwarna-warni. Namun begitu, bagaimanakah dan apakah perbezaan karya-karya ini berbanding dengan karya-karya terdahulu?
Kembara Rafiee Ghani membawa dirinya bertemu dengan pelbagai bentuk dan ragam manusia. Itu yang dikatakannya sebelum ini: “Saya mengembara bukan untuk mencari mercu tanda, tetapi untuk melihat kehidupan, menemui manusia dan memahami tingkahlaku dan budaya mereka” (Rafiee Ghani, temubual bersama Penulis, Ahad 30 Oktober 2022, 10.00 pagi, Studio Alam Budiman dalam Bumi Bertuah. Galeri G13, 2023: 4).
Manusia memang makhluk unik lagi luar biasa. Faktor-faktor geopolitik, budaya, kepercayaan, dan persekitaran membentuk tingkahlaku dan kesenian mereka.
Sewaktu mengembara di Nusantara, Rafiee Ghani cuba memahami itu semua, termasuk menghayati landskap, persekitaran dan keseniannya.

Namun begitu, tidaklah mudah baginya untuk merakamkan kesemuanya menerusi lensa kamera, dron ataupun lakaran, ada yang hanya tersemat dalam memori atau ingatan, lalu muncul di dalam catan.
Memetik kata-kata Rafiee Ghani mengenai “DusunLaut”: “Bagi saya, setiap pulau mempunyai bahasa warna dan iramanya sendiri. Dalam “Dusun Laut”, semuanya bercampur menjadi sebuah landskap imaginasi, tanpa sempadan geografi yang jelas” (Rafiee Ghani, Pernyataan Karya, Ahad, 27 September 2026).
Kembara Rafiee Ghani juga didorong oleh rasa ingin tahu atau ‘curiosity’ yang mendalam terhadap sesuatu. Dia mengimbau masa lalu, pada tahun 1980 sebelum menyambung pengajian di ITM lagi dia sudah mengembara ke Indonesia dengan menaiki kapal dari Singapura ke Tanjung Pinang, kemudiannya ke Sumatera dan Tanah Jawa.
Dia mencari jawapan dan cuba merungkai pelbagai misteri, tambahan pula kagum dengan sejarah pelayaran masyarakat di rantau ini.
Penerimaan manusia dan masyarakat yang dikunjunginya berbeza-beza. Di Indonesia, masyarakat di desa yang dikunjunginya begitu ramah dan mesra.
Aktiviti mereka bekerja di sawah dirakam dengan kamera atau dron tidak mengganggu atau meresahkan mereka. Mereka terus bekerja.
Sewaktu menaiki kereta api di Myanmar, dia merakam video penumpang dalam perjalanan dengan tenang, malah berkunjung serta melewati daerah-daerah bergolak juga tanpa sebarang masalah atau halangan.
Di Papua New Guinea, Rafiee Ghani melihat masyarakat Lote masih mengamalkan budaya tradisi yang kuat. Apabila ada kematian, dilihatnya masyarakat setempat mengenakan pakaian tradisional yang sama dan kelihatan berbangga dengan seni yang diwarisi mereka.
Di banyak tempat yang dikunjunginya, Rafiee Ghani dapati banyak masyarakat yang menghargai adat dan tradisi. Dia kagum dan melihat ke dalam diri dan masyarakatnya sendiri.
Di Morocco atau di negara-negara Afrika yang lain, Rafiee Ghani menyesuaikan diri terlebih dahulu dengan masyarakat setempat, bergaul dan mengenali mereka dengan lebih dekat. Dia berusaha memahami keadaan dan latar budaya untuk berasa lebih selesa dan diterima bagi menghasilkan karya-karya yang punya jiwa.
Kesemuanya ini menjadikan keinginan untuk memahami manusia itu lebih mendalam. Di samping ingin mewujudkan kesan keterujaan, digerak oleh rasa ingin tahu atau curiosity itulah maka imejan-imejan figura manusia, landskap dan alam benda muncul kembali dalam karya-karya terkini. Imej-imej figura juga menjawab persoalan, dialog dan perbahasannya dengan kanvas selama ini.
Dia bermain dan mencuba pelbagai komposisi. Sebagai contoh, jika figura diletakkan berlatarbelakangkan warna hitam atau warna-warna tertentu yang lain, apakah kesan visual yang akan terjadi atau ditemui.
Dalam konteks ini, imejan-imejan figuranya kini lebih bersifat gestural berbanding realiti, sebagaimana dilihat dalam “The Arrival of Zapin”, media campuran atas kanvas, 122cm x 91.5cm, (2026). Sapuan-sapuan berus yang tegas diperkukuhkan oleh kesan-kesan garis yang membayangkan serta membentuk struktur dan bentuk.

Dalam karya berjudul “Sambung Bicara”, media campuran atas kanvas, 183cm x 274cm, (2026), Rafiee Ghani mengimbau kembaranya ke Papua.
Di situ, dia teringat akan Gauguin dan pengembaraannya di Tahiti, dunia tropika yang sarat dengan warna. Manusia, alam dan kehidupan kelihatan begitu dekat, semuanya seolah- olah sebuah lukisan yang sedang bergerak.
Lautnya biru pekat, gunung batu menjulang di kejauhan sementara perahu kecil berlabuh di persisir. Pasarnya meriah, masyarakatnya ramah, duduk, berbual, bercerita dan berbicara tanpa henti (Ibid).

Menurut Rafiee, dalam “Sambung Bicara”, dia menghidupkan kembali suasana itu melalui warna yang berani, bentuk organik dan garisan spontan, menerusi pertembungan warna-warna merah, hijau dan biru seperti irama kehidupan tropika.
Di situ, figura manusia hadir di tengah-tengah rimbunan warna dan tumbuh- tumbuhan. Tambah Rafiee, “Saya tidak melukis Papua sebagai pemandangan semata-mata. Saya melukis ingatan terhadapnya. Seperti Gauguin di Tahiti, saya tertarik kepada keindahan kehidupan pulau, hubungan manusia dengan alam dan cerita yang tidak pernah berpenghujung” (Ibid).
Catan landskapnya pula tidak terikat dengan format landskap yang hakiki. Landskapnya mengenepikan pengolahan ruang konvensional yang jelas bagi membahagikan latar depan, tengah dan belakang, semuanya bersatu penuh kesatuan, seperti dalam karya “Daerah Kemuning”, media campuran atas kanvas, 122cm x 106.5cm, (2026).

Dalam “Teluk Panglima Rindu”, media campuran atas kanvas, 101.5cm x 101.5cm, (2026), warna panas jingga dan kemerahan yang berani menguasai karya, semacam metaforakerinduan yang membara bagi seorang pengembara.
Di negeri Selangor, ada tempat bernama Teluk Panglima Garang, namun di hati seorang pengembara seperti Rafiee, mungkin ada daerah kecil bernama Teluk Panglima Rindu, kiasan kepada semua yang ditinggalkan dan menjadi ingatan juga kenangan.

Catan alam bendanya lebih longgar, bersifat sugestif dan bukan realistik, mengingatkan kembali kepada karya- karya “The Painted Garden” (1996) dengan sapuan tegas warna-warna imaginatif, bukannya deskriptif.
Dalam “Everything Is On The Table”, media campuran atas kanvas, 183cm x 244cm, (2025), imejan-imejan objek alam benda dalam olahan garis kelihatan di pelbagai sudut karya dalam komposisi luas yang mengandungi motif-motif flora dan figura manusia.

Pengolahan warna yang meriah serta motif-motif flora yang berlingkaran itu pastinya mengingatkan khalayak kepada keindahan seni batik Nusantara yang turut dikagumi pelukis.
Dalam “Dusun Laut”, Rafiee Ghani menyebut, karya- karyanya lahir daripada ingatan terhadap pengembaraan di pulau-pulau terpencil di Indonesia.
Sepanjang perjalanan, dia tertarik dengan warna-warna kehidupan masyarakat kepulauan, khususnya kain tenunan, batik dan motif tradisional yang begitu kaya dengan cerita dan sejarah.
Dia tidak cuba menyalin motif-motif tersebut secara langsung, sebaliknya membiarkan bentuk, corak dan warna yang tersimpan dalam ingatan muncul kembali secara spontan di atas kanvas seperti dalam karya “Kedai Kopi Sejuta Impian”, media campuran atas kanvas, 183cm x 274cm, (2026) (Ibid) ataupun “Everything Is On The Table”, media campuran atas kanvas, 183cm x 244cm, (2025).

Judul-judul karya Rafiee Ghani mengingatkan khalayak kepada lokasi-lokasi, tempat-tempat atau perkara- perkara yang mungkin pernah kita kunjungi, lalui atau dengar namanya, justeru itu membuatkan diri kita hampir dan mudah mesra dengan karya-karyanya itu.
Dengan kata-kata lain, judul-judul ini memudahkan kita untuk menyesuaikan diri dengan karya karyanya. Seperti ilham yang membentuk dan mendasari karya- karyanya ini, dia mengolah dan memberi judul-judul karyanya berdasarkan nama-nama tempat, memori atau kenangan terhadap sesuatu tempat atau peristiwa yang dilaluinya (Rafiee Ghani, komunikasi bersama Penulis, Jumaat, 2 Oktober 2026).
Judul-judul yang puitis juga terbit daripada kecenderungannya terhadap kesusasteraan tradisional Melayu dan Nusantara seperti pantun, puisi, peribahasa dan simpulan bahasa, seperti “Gunung Daik Bercabang 3”, media campuran atas kanvas, 101.5cm x 101.5cm, (2026), yang terletak di Pulau Lingga, Riau yang muncul dalam pantun tradisional perihal budi bahasa:
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Rafiee Ghani mencuba pengolahan-pengolahan visual yang baharu, dan ada kalanya dia merujuk pada yang lalu. Dia melakar garis-garis pastel dan ada waktunya dengan aplikasi pelbagai titik bagaikan seni batik, mengimbau kembali pelbagai bentuk, rupa dan motif fabrik yang ditemuinya sepanjang kembaranya.
Oleh itu, baginya, jika melihat karya-karyanya berasaskan satu- satu siri sahaja mungkin tidak berapa tepat kerana proses kesenimannan itu sentiasa berkembang dan berterusan, sambil meneroka yang baharu, dia juga melihat kepada yang lalu.
Kesimpulan
Rafiee Ghani percaya, bahawa pengetahuan semata-mata tidak mencukupi, tanpa pendedahan atau penerokaan dalam dunia realiti. Penerokaan itu pula, selalunya didorong oleh rasa ingin tahu atau curiosity dalam mencari sesuatu yang baharu atau merungkai persoalan- persoalan lalu yang penuh misteri.
Dia sering bertanya dalam diri, sampai bilakah dia hendak menjadi pembuat imej, bagaimana mencari kaedah-kaedah mengucapkan perkara-perkara baharu dengan pendekatan-pendekatan visual yang juga baharu, dan mengungkap serta menjawab persoalan-persoalan lalu menerusi pendekatan yang segar lagi mengujakan.
Dalam “Dusun Laut”, khalayak seni menemui Rafiee Ghani menjawab persoalan-persoalan ini menerusi citra memori dan imaginasi.
Pengembaraan banyak mengajar Rafiee Ghani perihal manusia dan kemanusiaan, identiti dan jati diri, nilai dan tingkahlaku: melangkaui persoalan lokasi dan geografi.
Pengembaraan juga banyak memberi jawapan perihal persoalan-persoalan yang mencetuskan ilham dan inspirasi untuk dia terus berkarya sebagaimana tercermin dalam pameran ini.
Itulah Rafiee Ghani, seniman versatil yang tidak pernah berhenti!
Tulisan ini diambil dari Katalog Pameran ‘DUSUN LAUT’ yang sedang berlangsung di Galeri Puteh dari 11 Oktober hingga 7 November 2026.
Silakan hadir dan alami sendiri pengalaman ini di GALERI PUTEH
L3-01, Level 3, INC KL Eco City, 3, Jalan Bangsar, 59200 Kuala Lumpur (Stesen LRT Abdullah Hukum) Tel: +60 3 2201 1922
Bibliografi.
Muliyadi Mahamood, 1996. “A Stylistic Analysis of Rafiee’s Intimisme” dalam Rafiee Ghani, The Painted Garden. Kuala Lumpur: Rusli Hashim Fine Art.
Muliyadi Mahamood, 2007. Modern Malaysian Art: From the Pioneering Era to the Pluralist Era (1930s-1990s). Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Muliyadi Mahamood, 2011. Seni Lukis Moden Malaysia: Era Perintis hingga Era Pluralis (1930-1990). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Muliyadi Mahamood, 2017. The Tale of Rafiee Ghani’s Moroccan Journey. Kuala Lumpur: ITBM dan Visioncy.
Muliyadi Mahamood, 2023. “Memahami Kehidupan di Bumi Bertuah” dalam Rafiee Ghani: Bumi Bertuah. Kuala Lumpur: G13 Gallery.
Muliyadi Mahamood, 2024. “Arca Samudera: Cerminan Pendidikan dan Kesyukuran” dalam Rafiee Ghani: Arca Samudera. Kuala Lumpur: Galeri Puteh.
Muliyadi Mahamood, “Morocco dari Kaca Mata Rafiee Ghani“ dalam portal Senimalaya, 8 April 2025.
Ooi Kok Chuen, 2025. “Magical Morocco Melancholia” dalam Rafiee Ghani in Morocco. Kuala Lumpur: G13 Gallery.
Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (prpm.dbp.gov.my).
Rafiee Ghani, temu bual bersama Penulis di Studio Gunung Nuang, Bukit Bandaraya Shah Alam, Ahad, 13 September 2026, 11.00 pagi.
Rafiee Ghani, Pernyataan Karya, Ahad, 27 September 2026.
Shamsul Amri Baharuddin, 2007. Budaya Yang Tercabar.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Kachinggg!!!” – Wazir Husin.