Dah beratus tahun sejak Giotto hingga Courbet (abad 13 hingga 19), pelukis bertungkus lumus mencuba sedaya upaya menggubah/membentuk illusi tiga dimensi di atas permukaan dua dimensi (nampak ‘real’ kata teman bukan pelukis saya) dalam usha memberi gambaran seolah-olah ada ruang yang boleh dirasai kedalamannya (sense of spatial illusion).
Khalayak yang menikmati gambaran illusi ini seolah melihat kedalam bingkai tingkap akan objek atau subjek atau juga permandangan yang berada di alam nyata.
Konsep ruang illusi dalam lukisan ini lalu diandaikan oleh Loen Batista Alberti, seorang pelukis, ahli matematik dan akitek di era Renaissance abad ke15, untuk menghuraikan perihal ruang perspektif seperti melihat ‘window to the outside’ (fenestra aperta).
Sejak itu konsep yang dipanggil ‘Alberti’s Window’ ini menjadi rujukan pelukis2 ‘Old Master’ zaman Renaissance dalam usha menggubah illusi ruang tiga dimensi dalam karya-karya lukisan mereka.
Sebab itu kebanyakkan karya-karya ‘Old Master’ memberatkan illusi ruang tiga dimensi dan kesan cahaya yang dramatik (chiaroscuro) untuk mengambarkan sesuatu peristiwa dalam ‘setting’atau landskap mereka.
Setelah 500 tahun, kaedah ini akhirnya dicabar dengan kehadiran seni moden (modern art) yang dibawa oleh Braque dan Picasso diawal abad 20 dalam usha memperkenalkan konvensi baru bagi melihat satah gambar (picture plane) sekaligus menolak tradisi ruang perspektif yang diamalkan berkurun itu.

Ini bermakna usha menggubah/membentuk illusi tiga dimensi dalam karya tidak lagi menjadi tanggungjawab besar untuk pelukis. Lihat saja lukisan Guernica (1937) oleh Picasso yang juga merakam peristiwa dalam catan.
Karya-karya lukisan juga tidak semestinya mentaati konvensi visual yang lapuk itu. Justeru, buat julung-julung kalinya Illusi ruang (depth) dalam karya lukisan dirombak tabienya.
Walau tidak semudah itu penerimaan pelukis dan pemerhati seni (apatah lagi masyarakat umum) diawal pengenalannya, namun konvensi visual baru ini begitu memberi impak besar kepada tercetusnya bahang Seni Moden.
Ledakkan ekperimentasi ini akhirnya mengegarkan dunia seni rupa barat yang sememangnya sentiasa mencari-cari pembaharuan terutama di era Revolusi Industri dan kemaruk Pemikiran Saintifik.
Ternyata Modenisme berjaya menimbus bukan sahaja keseluruhan illusi ruang tiga dimensi malah imej-imej representasi tepat (literal) yang terdapat dipersekitarannya, dengan timbunan satah-satah rata dan datar (flatness). Ruang gambar (pictorial space) kini lebih cetek dan tiada lagi kedalamannya (inside) tapi hanya keluarannya (outside) sahaja.
Khalayak tidak lagi melihat kedalam tingkap Alberti tetapi mengarap hanya tirai luar yang menutupi bingkai permukaannya (analogi samar yang diberi oleh Greenberg dalam mempertahankan Modernisme).
Menurut Greenberg, walau terdapat imej-imej di tirai tingkap, semuanya bertaburan di atas satu satah tanpa terjerumus kedalam illusi ruang tiga dimensi.
Pelukis-pelukis abstrak menjadi penyokong setia bersorak menyambut konvensi baru ini. Lukisan tidak semestinya bertanggungjawab mengumpan tumpuan mata kesatu arah (focal point) tetapi keseluruhan permukaan sekali gus.
Penghayatan sebegini terhadap karya ternyata lebih segera dan menyeluruh menurut testimoni penganut seni moden sejak 70 tahun dulu.
“Shall we continue to regret the three-dimensional illusion in painting?” Tanya Greenberg.
Bertepuklah dada bertanya selera kata saya,
Artikel ini pertama kali disiarkan pada Julai di Facebook Dr Jalaini Abu Hassan. Seni Malaya telah meminta izin untuk menyiarkan Kembali artikel ini.

