DUA filem dari Malaysia, Sitora dan Mencari Ramlee, yang diinspirasikan daripada P Ramlee adalah antara enam penerima geran Purin Pictures untuk pusingan kedua tahun ini, umum dana itu.
Pengarah bersama Purin Pictures Anocha Suwichakornpong berkata pihaknya menerima lebih banyak permohonan dari Malaysia berbanding biasa, yang disifatkannya sebagai “menggalakkan”.
“Kami akhirnya membiayai dua (permohonan), dan menariknya, kedua-dua filem adalah penghormatan kepada P Ramlee, pembikin filem Malaysia yang paling ikonik,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-duanya juga adalah filem cereka arahan sulung pengarahnya. Mereka juga adalah penerima Dana Kandungan Digital (DKD) Kementerian Komunikasi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) masing-masing sebanyak RM1 juta.
Daripada Purin Pictures, Sitora arahan Diffan Sina Norman menerima geran produksi AS$30,000. Filem itu diilhamkan daripada filem terbitan 1964, Sitora Harimau Jadian yang ditulis dan diarahkan oleh P Ramlee bersama Merdeka Films Production.
Mencari Ramlee arahan Megat Sharizal pula menerima geran pasca produksi AS$50,000. Kisahnya berlatarkan tahun 1970-an mengenai cabaran seorang pelakon menghadapi perubahan zaman, sama seperti yang dialami oleh P Ramlee pada masanya.
Mencari Ramlee akan tayang perdana di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam di Belanda pada 30 Januari hingga 9 Februari 2025.
Filem lain yang menerima bantuan Purin Pictures kali ini ialah Daughters of the Seas arahan Martika Ramirez Escobar dari Filipina dan Other People’s Dreams arahan Daniel Hui dari Singapura. Masing-masing juga menerima AS$30,000.
Dua filem dokumentari masing-masing menerima geran AS$15,000 iaitu Black River, tentang etnik minoriti di Vietnam, dan When A Poet Goes To War mengenai penyair yang melawan junta tentera di Myanmar.
Purin Pictures adalah dana filem yang mendukung sinema independen di Asia Tenggara yang diperkenalkan oleh Yayasan Purin pada 2017. Ia membiayai filem pada peringkat produksi dan pasca produksi serta aktiviti berkaitan filem.
Antara filem tempatan yang pernah mendapat bantuan Purin Pictures termasuk Sometime, Sometime arahan Jacky Yeap dan Oasis of Now arahan Chia Chee Sum. Pesta Filem Kota Bharu yang bermula pada 2023 juga menerima geran aktiviti.
Purin Pictures akan membuka pusingan baharu gerannya yang pertama untuk 2025 pada 1 Februari akan datang.
Maklumat lanjut tentang Purin Pictures: <https://www.purinpictures.org/faq>

