Dongeng adalah kepercayaan imaginatif yang selalu berada di ruang sakral. Imaginatif ini nantinya diwariskan oleh tukang cerita kepada khalayak dari satu generasi ke generasi. Umumnya, dongeng sekadar ‘kepercayaan’ yang selalunya tidak begitu difahami maknanya .
Sang pencerita merupakan penghasil pengetahuan kepada sesebuah masyarakat. Mereka dapat mengawal naratif yang mahu disampaikannya. Khalayak hanya penerima pasif yang tidak akan mencabar apa-apa perspektif yang terhasil dari penceritaan tersebut.
Iklan raya Etiqa (2026) menyediakan tafsiran tersendiri mengenai dongeng keupayaan. Mitos yang menjadi ideologi baku dan dianuti oleh masyarakat tanpa disedari. Cerita ini mahu mencabar ‘dongeng’ semasa mengenai keupayaan luar biasa manusia.

Dongeng sebagai ‘pengetahuan’ akan mengumpulkan naratif di luar kebiasaan. Pak Delulu yang menceritakan tentang ‘kereta terbang’ dan ‘kucing bercakap’ hanyalah suatu khayalan yang cuba menarik perhatian khalayak agar menerima naratif yang disampaikan olehnya sebagai pusat utama pengetahuan.
Saya melihat ada tiga tema utama yang cuba disampaikan oleh naratif Dongeng Pak Delulu. Pertama, gambaran tanggapan masyarakat yang selalu menilai sesuatu perkara secara tergesa-gesa. Kedua, ssetiap manusia mempunyai kekuatan yang tidak selalu dilihat. Ketiga, naratif yang mahu disampaikan akan membuka pandangan dunia (worldview) yang baru mengenai kemanusian. Ketiga-tiga perihal Ini memerlukan satu latihan dan kemahiran tersembunyi bagi memperolehinya.
Dalam tradisi cerita rakyat watak yang dianggap pelik menjadi penyampai kebenaran yang tidak disedari. Mereka kelihatan tidak serius tetapi berperanan sebagai pengkritik secara halus. Watak ‘delulu’ berfungsi sebagai bingkai penceritaan utama. Pak Amirul digambarkan sebagai kaki kelentong, penghikayat mustahil dan tidak boleh dipercayai. Label ini sengaja dijadikan strategi naratif.
Struktur pengkisahan menggunakan teknik pembalikan naratif. Dalam plot pertama watak utama dianggap kaki kelentong kerana memberitahu bahawa wujudnya kereta terbang, kucing bercakap dan manusia di luar kebiasaan. Keadaan ini telah membina jangkaan penonton bahawa cerita tersebut sekadar fantasi.

“Super hero ni memang hebat. Kemana dia nak pergi, dia tak perlu ambil satu langkah, terus boleh bergerak”
“Super hero ni, apa saja di sekeliling dia peka. Apa saja gerakan atau ancaman, dia boleh rasa“
“Super hero ni dapat sampaikan apa saja kehendaknya tanpa mengucapkan sepatah kata”
Orang kampung mentertawakannya. Mereka menganggap itu satu pembohongan. Yang perlu berubah bukan riwayat. Tapi bagaimana kita memahami hikayat. Apa yang dianggap penipuan itu lapisan metafora. Khalayak yang intim menyedari bahawa “super hero” yang dimaksudkan sebenarnya adalah OKU penglihatan, OKU fizikal dan OKU pendengaran.
Dongeng sarat dengan imaginasi liar. Dalam bahasa ‘dongeng’: super hero boleh bergerak tanpa langkah, peka terhadap ancaman dan berkomunikasi tanpa suara. Dongeng sebagai metafora keupayaan individu OKU. Sang pentafsir naratif budaya. Mentafsir pengalaman manusia melalui cerita dan ‘bahasa’ dongeng sebagai alat bagi memaknakan realiti.
Dalam pembacaan akrab, naratif metafora super hero sedang diruntuhkan imaginasinya. Tanggapan masyarakat tentang OKU berlegar dalam tiga kerangka: simpati, tragedi dan keterbatasan. Langkah ini dilakukan dengan mentafsir ulang pencitraan dan imaginasi sosial tentang OKU. Selama ini, OKU dilihat dalam bingkai kekurangupayaan tubuh tetapi mengabaikan aspek ketidakupayaan sosial mereka.

Tafsir ini memperdebatkan kefahaman semasa. Cermin metafora keupayaan mencadangkan agar khalayak melihat OKU bukan lagi semata-mata imej kekurangupayaan tetapi mencermati spectrum ketidakupayaan yang dihadapi oleh mereka. Hal Ini akan membuka ruang kepada pemindahan corak imaginasi sosial tentang OKU yang lebih terangkum.
Sang pentafsir naratif menarik perhatian melalui imaginasi super hero. Super hero yang tergambarkan dalam komik dan wayang. Yang sudah berpindah-pindah dalam rencam naratif. Naratif keupayaan disampaikan dalam pencitraan separa dan metafora absurd. Dalam cerita, sesuatu yang dianggap biasa telah ditafsir semula sebagai perihal yang luar biasa.
Dalam cerita rakyat, tukang cerita sering dianggap pelik dan tidak serius. Pada hal mereka menyampaikan kebenaran melalui cerita. Ia akan lebih santai dan bersahaja. Bahasa dongeng diperlukan untuk memperkenalkan sesuatu perkara yang selama ini gagal difahami oleh masyarakat.
Sang pencerita yang mempunyai kuasa istimewa berupaya mentafsirkan naratif-naratif keupayaan yang berkembang dalam masyarakat. Sekiranya tukang cerita tidak berupaya menghasilkan ‘pengetahuan’ baru mengenai keupayaan; mitos lama akan menjadi baku. Ilusi ini nantinya menjadi ‘pengetahuan’ yang sah serta tidak lagi diperdebatkan kebenarannya.
Tukang cerita adalah tenaga sosial dalam mengubah worldview manusia memahami persekitarannya. Pak Delulu menjadi jambatan dua dunia; imaginasi dan realiti sosial. Sang periwayat yang bertindak sebagai pentafsir kebudayaan. Ia tidak sekadar berfungsi sebagai tukang hikayat semata-mata. Watak ini sedang membina jambatan antara dua dunia: dunia imaginasi (super hero) dan dunia realiti (OKU dalam masyarakat).

Dongeng ini mengambil tukang cerita. Tukang cerita yang menjadi pusat pembentukan naratif. Jika tukang cerita tadi mempunyai kesedaran tertentu mengenai keupayaan. Kesedaran ini akan dipindahkan dalam imaginative penceritaan. Namun, pengalaman hidup tukang cerita yang berinteraksi dengan komuniti OKU telah mengubah tanggapannya mengenai keupayaan.
Pak Delulu memainkan peranannya sebagai ahli tafsir kebudayaan. Dongeng lama tentang keupayaan OKU harus diruntuhkan. Menurut pengamatannya, super hero ada di mana-mana. Setiap insan mempunyai sisi super hero masing-masing. Keupayaan manusia dapat berkembang apabila wujud persekitaran yang mendokong setiap kebolehan yang dimiliki oleh manusia.
Saya tertarik dengan satu keputusan visual dalam iklan ini. Penggunaan CGI memancing penonton untuk meneka-neka gambaran sebenar. Dalam plot pertama, super hero digambarkan menggunakan CGI. Sementara plot kedua pula, OKU sebenar digambarkan melalui camera close up dan rakaman realistik. Ini menciptakan satu kontras yang sangat menarik. Pertarungan episteme fantasi digital dengan realiti manusia. Secara tidak langsung, filem ini mengatakan bahawa super hero sebenar bukan dalam dunia CGI tetapi dalam kehidupan sebenar.
Permohonaan maaf generasi baru melalui watak Aiman menghantar pesan kehidupan bahawa setiap dongeng harus difahami dengan baik. Dalam pertimbangan yang manusiawi, setiap cerita yang kelihatannya tidak dapat diterima akal dapat diperdamaikan jika kita berani membacanya secara akrab. Semua ini menuntut kejujuran manusiawi yang bersedia melihat seluruh manusia itu setara di hadapan Tuhan.
Adakah imaginasi ‘keupayaan’ akan terus retak?
Atau mitos ‘keupayaan’ dalam dongeng akan sentiasa wujud?
“Pakcik tahu orang semua kata pakcik ni kaki kelentong. Tapi sebenarmya itulah kuasa istimewa pakcik sebagai tukang cerita. Jadi, cerita-cerita yang penting ini tentu orang akan hargai. Hidup kita ini mungkin berbeza tapi jatuh bangun semua rasa. Pakcik percaya, yang kebaikan dan ketabahan itu ada dalam setiap insan. Walau pun tak selalu terlihat. Setiap orang mampu membawa perubahan walau pun tak terdengar. Sebab itu pakcik ceritakan kisah mereka. Supaya ia terus hidup. Walau pun kita dah tak ada”

Pak Delulu sedang merintis wacana baru mengenai keupayaan setiap manusia. Pentakwil yang menyampaikan fikiran-fikiranya kepada khalayak. Masyarakat itu yang harus berfikir dengan pertimbangan akal budi. Mereka tidak perlu menjadikan autoriti ahli tafsir ini sebagai pusat pengetahuan. Masyarakat yang berinteraksi dengan oku akan dapat menghasilkan pengetahuan yang lebih autentik.
“Apa itu keupayaan” Saya bertanya kepada pengarah iklan raya semasa kali pertama kami bertemu.
“Setiap orang ada sisi keupayaan masing-masing. Itu sebagai tanda keindahan ciptaan Tuhan” Saya menyambung percakapan.
Ini bermakna kata “kurang upaya’ atau ‘kelainan upaya” sedang menampaikan naratif keupayaan yang ditentukan. Pada hal, setiap orang ada ‘kurang’ dan ‘kelainan’ keupayaan mereka.
Adakah pustaka kebudayaan sendiri tidak menyediakan apa-apa naratif mengenai keupayaan?
Dalam peribahasa mengatakan bagai Si lumpuh pergi berbelut, bagai Si pekak menumbuk lesung, bagai Si bisu bercakap, Bagai Si gagap menyanyi dan bagai Si buta berbini cantik.
Saya berhenti sejenak lagi.
Atau naratif super hero OKU sekadar mendamaikan jiwa ketika berdepan dengan realiti keupayaan diri sendiri?
Atau sebenarnya ukuran imaginative adalah ciptaan palsu manusia?
Dan manusia menciptakannya bagi mendamaikan jiwa mereka?
Dan dongeng keupayaan itu digunakan bagi mewujudkan strata sosial kemasyarakatan?
Kita dapat mengatakan bahawa dongeng pak delulu adalah cerita mitos masyarakat urban. Masyarakat yang merasakan diri mereka mempunyai seluruh pengetahuan mengenai keupayaan manusia. Mereka terpegun seketika. Mereka berbisik-bisik sendiri. Mereka kagum dengan keupayaan Si buta, Si lumpuh dan Si buta. Mereka tidak bertindak seumpama pengalaman Pak Delulu yang berinteraksi dengan komuniti OKU. Mereka merasa puas dengan tontonan tadi.
“Pak Delulu bukannya kaki kelentong. Cuma kita kena dengar dengan hatti terbuka. Super hero bukan saja wujud dalam komik atau wayang, Tapi di sekeliling kita dam dalam diri kita sendiri”
Atau tafsir baru mengenai keupayaan tidak hanya dihasilkan oleh pak Delulu?
“Mereka sudah lama terikat kaki dan tangan. Masyarakat sudah mencampakkan mereka dalam laut. Mereka diminta berenang ke tepian. Jika mereka Berjaya, orang tadi disebutnya super hero”. Seorang teman memberikan pandangannya.
Si buta yang Berjaya berdepan dengan bahaya, Si lumpuh yang bergerak tanpa kaki dan Si bisu yang bercakap tanpa suara itu terhasil dari proses berterusan melatih kemahiran tubuh yang beradaptasi dengan persekitaran?
Tapi mengapa mereka tetap disebut kurang upaya dan kelainan upaya?
Apakah kebolehgunaan penyebutan tersebut?
Adakah Dongeng Pak Delulu benar-benar mencabar imaginative terdahulu?
Atau sekadar menghiburkan penonton saja?
Dongeng Pak Delulu menghimpunkan cerita yang dapat membuka cara baru melihat dunia ‘keupayaan’ OKU. Idealisme super hero tidak berada dalam komik atau filem, tetapi dalam kehidupan harian. Naratif yang disediakan berusaha mengubah imaginasi masyarakat tentang OKU dengan menunjukkan kemampuan mereka dalam menjalani kehidupan. Ini merupakan penghormatan terbuka kepada kewujudan OKU di dunia ini.
OKU tidak digambarkan sebagai objek simpati. Mereka digambarkan sebagai individu aktif. Mereka mampu berfungsi dalam masyarakat. Ia tidak selaras dengan naratif yang menonjolkan penderitaan OKU. Ia tidak menonjolkan tragedi peribadi kekurangupayaan. Ia tidak memberikan fokus bagi mendapatkan simpati khalayak.
Namun watak OKU tidak mempunyai dialog. Penceritaan masih dilihat dari perspektif Aiman dan Pak Delulu. Citra OKU masih ditentukan oleh perspektif orang lain. OKU sebagai akar pengetahuan pertama hanya dicitrakan dalam wajah yang disenyapkan.
Di sisi lain, dongeng pak delulu sedang membawa anjakan paradigma kepada industri iklan raya. Penglibatan OKU secara langsung sebagai para pelakon sedang mengiktiraf kehidupan mereka. Melalui pencitraan sendiri OKU dalam ranah budaya popular ia akan memudahkan lagi aspirasi oku disampaikan kepada khalayak. Capaian yang luas sedikit sebanyak akan menyuntik kesedaran kepada masyarakat agar mereka meniru kemahiran Pak Delulu mentafsir semula dongeng keupayaan OKU.
Dongeng Pak Delulu adalah cerita yang menghiburkan. Watak Pak Delulu memainkan peranan bagi mencabar persepsi masyarakat, mentafsir pengalaman manusia dan membuka ruang empati terhadap perbezaan. Pak Delulu bukan tukang cerita “delusi”. Dia adalah sang pentafsir naratif budaya yang mengajak masyarakat melihat semula makna keupayaan, perbezaan, dan kemanusiaan. Di celah-celah rekahan tafsir ini, OKU harus merumuskan pemahamannya sendiri mengenai dongeng keupayaan.

– MOHD ROSLI IBRAHIM merupakan seorang penulis dan aktivis Orang Kurang Upaya (OKU). Beliau telah menulis tiga buah buku iaitu, O.K.U. Bangkit, Gelap Mata: Percikan Renungan Seorang OKU dan Masyarakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU.
