Historiografi, Kebenaran, dan Kebertanggungjawaban Ilmiah
Ungkapan lazim “sejarah dikisahkan oleh orang yang menang” seringkali membugar perbahasan mengenai rentetan peristiwa masa lalu yang disarati oleh kemajmukan makna.
Perihal sejarah dan kesejarahan secara umumnya, merupakan susur galur peradaban serta ingatan kolektif yang berfungsi sebagai inspirasi, bahkan percikan iktibar.
Sebagaimana yang diiltizamkan oleh Ahmat Adam (2016), yang mengungkapkan bahawa sejarah menuntun manusia berfikir secara mendalam tentang masa silam, demi memahami realiti serta menatijahkan zaman.
Namun, timbul ketidakseimbangan epistemologi tatkala perihalan tawarikh sekadar difahamkan melalui naratif mereka-mereka yang ‘menang’. Justeru, historiografi yang sedaya upaya cuba menggalas amanah, buat menuntut kepatuhan ilmiah, ketidakberpihakan, serta keteguhan, agar dapat pula ia tegak di atas paksi kebenaran.
Ertinya, melalui keampuhan untuk memisahkan fakta nan sahih daripada segenap timbunan mitos, legenda, hikayat, lipur lara mahupun retorika-retorika semu.
Dengan menyorot gagasan Hill dan Kerber (1967), yang menegaskan bahawa nilai pensejarahan wajar menawarkan pencerahan kepada permasalahan semasa dan masa depan, di samping dapat menilai semula keberagaman spekulasi serta teori lewat data yang absah.
Sejarah mutlak ditunjangi oleh kebenaran bukti. Sebagaimana pesan sosiolog klasik Ibn Khaldun bahawa sejarah sentiasa mengulang jejaknya, George Santayana pula menyimpul bahas dalam karya The Sense of Beauty, dengan berdalil: “Mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan mengulangi kesilapan mereka berkali-kali”.
Akan tetapi, pensejarahan tidak terhad kepada susur masa siasah semata-mata. Ia turut melingkupi kebudayaan, falsafah, dan tentunya, wilayah kesenian.
Cabaran sejarawan adalah menyediakan rangsangan kritis yang merentasi garis masa, baik perkara lampau, kini, dan yang akan datang (Kuntowijoyo, 2003).
Jadi, karangan kali ini cuba untuk membedah daya pertimbangan nan mendasar dalam konteks pembelajaran Sejarah Seni menerusi neraca teori dan praktisnya.
Ontologi Seni dan Disiplin Sejarah Seni
Seni, serupa hakikat keindahan dan kehidupan, bersifat dinamik serta tidak terpasung oleh sebarang takrifan tunggal. Ia menzahirkan ekspresi kehalusan imaginasi serta ketelitian penciptaan manusia. Secara fungsional, manifestasi seni dapat dihubungkan menerusi beberapa wahana:
- Peniruan (Imitation): Berpaksikan gagasan Plato dan Aristotle, seni ditanggapi sebagai tiruan alam realiti (imperfect copy), suatu pandangan yang diteruskan oleh Giorgio Vasari.
- Hiburan (Pleasure): Seni sebagai ruang keindahan yang dikongsi buat mencetus rasa bahagia.
- Penghubung (Communication): Seni sebagai bahasa perantara emosi dan gagasan idealistik.
- Pernyataan (Information): Saluran mengekpresikan naluri tersembunyi menerusi bentuk dan kualiti bahan.
- Kualiti Pengalaman (Quality of Experience): Ruang pengalaman estetika yang semakin unik serta terpisah daripada kebiasaan seharian.
Pembelajaran Sejarah Seni merupakan ikhtiar memahamkan ikhtiar tersurat dan tersirat seseorang seniman. Karya seni diposisikan sebagai data utama (primary), melampaui institusi atau figura.
Pengkaji menjejak keperihalan gaya (style), era, dan identiti visual (Ackerman, 1963). Dalam hujah Schapiro (1953), gaya merupakan sistem bentuk berserta ekspresi pemaknaan, yang menghubungkan personaliti seniman dengan persekitarannya.
Bagi merungkai kompleksiti ini, wujudlah disiplin kritikan seni. Sebagaimana digariskan Wolff dan Geahigan (1997), kekangan umum dalam memahami karya seni berpunca daripada keterasingan khalayak daripada tradisi estetik.
Posisi Seni dalam Kontinuum Ilmu Pengetahuan
Seni tidak hanya tegak di atas pasak intuisi, tetapi memberdaya kendali kognitif yang signifikan dalam peta ilmu pengetahuan.
Walaupun wujud sangkaan dangkal bahawa seni tidak mengandungi nilai kognitif seumpama Sains Tabii atau Ilmu Sosial, andaian ini sebetulnya agak tersasar haluan.
Seni merupakan manifestasi bersepadu antara pengalaman kebendaan, pemikiran, dan kerohanian (Osborne, 1970; Tjetjep Rohendi Rohidi, 2000).
Sekiranya kita perbincangkan secara saksama dan ilmiah, mengenai hal posisi atau kedudukan ilmu seni di dalam peta Ilmu Pengetahuan, yang mana teradun di dalamnya disiplin Ilmu Sains Tabii, Ilmu Sains Sosial (kemasyarakatan) dan Ilmu Budaya, akan kita dapati Ilmu Kesenian dan Kesusasteraan, turut berperanan serta dapat menyerlahkan sumbangannya yang tersendiri.
Tatanan ini dapat dirujuk, terutama sekali dalam konteks kedudukannya dalam Peta Ilmu Pengetahuan. Hal ini sedayanya cuba dikupas, kerana ingin memberikan justifikasi akademik, berkenaan peranan ilmu budaya, yang semacam dipandang kelas kedua dalam konteks kemandirian ilmu.
Dogma kontemperer, yang menghujahkan hanya disiplin ilmu dalam bidang saintifik yang menjadi tunjang ilmu pengetahuan sejagat, sebaik-baiknya diperjelaskan dalam bahasan yang lebih adil serta neutral. Ingin diperjelaskan bahawa, bukan hanya saintis Sains Tulen, yang secara paradigmatik mengkaji benda-benda mati, diangkat statusnya sebagai ilmuan, malah saintis sosial dan saintis budaya juga, tidak kalah menyumbang dalam menyemarakkan perluasan dimensi ilmu.
Terdapat beberapa teori yang dibahaskan oleh Ahli Teori di bidang Sains Sosial yang mengaitkan unsur-unsur seni, dalam menzahirkan teori-teori yang mereka bangunkan.
Misalnya, Teori tingkah laku (behaviourism), yang didokongi oleh Edward L. Thorndike dan B.F. Skinner, yang mendalami tentang peri akhlak dan gerak tindak balas, sebagai salah satu unsur penting pembelajaran.
Pembangunan teori ini, boleh pula diaplikasikan didalam pembelajaran Ilmu Pendidikan Seni. Seterusnya, kita telusuri pula Teori kognitif, gagasan Jean Piaget (1950), yang turut memperlihatkan keterlibatan proses keupayaan berfikir dalam menilai data mahupun maklumat, sebelum sesuatu tindak balas atau respon terjadi, yang dapat dijadikan pedoman kepada seniman dan pengkarya seni dalam mencipta hasil seni yang bermutu.
Pandangan ini diperkukuhkan pula oleh gagasan teori Gestalt, yang mula diperkenalkan oleh tiga orang ahli psikologi Jerman, Max Wertheimer (1880-1943), Kurt Koffka (1886-1941) dan Wolfgang Kohler (1887-1967), yang memberi pendedahan bagaimana otak manusia bertindak pada persepsi yang diterima daripada penglihatan, lalu otak akan membuat tafsiran, untuk cenderung melihat sesuatu tanggapan itu secara bersama, dan bukannya secara berasingan serta terpisah.
Huraian-huraian ini bolehlah dikaitkan dengan ilmu Pendidikan Seni, yang mana soal persepsi turut menjadi kaedah (method) dalam berkarya. Kupasan sedemikian disokong pula oleh pandangan Arnheim (1954) yang menyatakan;
“penampilan sesuatu unsur itu bergantung kepada lokasi persekitaran dan fungsi secara menyeluruh”
Dalam kontinuum ilmu pengetahuan, kedudukan disiplin dapat dipetakan seperti berikut:

Persilangan teori sains sosial dan pemikiran estetik membuktikan kekayaan dimensi kognitif seni:
Teori Tingkah Laku (Behaviourism): Gagasan Thorndike dan Skinner mengenai gerak tindak balas diaplikasikan dalam pedagogi Pendidikan Seni.
Teori Kognitif: Jean Piaget (1950) mendedahkan proses keupayaan berfikir dan penafsiran maklumat sebelum cetusan respon.
Teori Gestalt: Wertheimer, Koffka, dan Kohler membuktikan bagaimana persepsi penglihatan diorganisasikan oleh otak secara menyeluruh. Rudolf Arnheim (1954) mengukuhkan bahawa penampilan elemen estetik bergantung kepada konteks persekitaran dan fungsinya secara holistik.
Metodologi Pensejarahan Seni: Analisis Formal & Kontekstual
Mempelajari Sejarah Seni melatih intelek bertanya soalan-soalan yang tidak klise, meneliti karya secara mendalam, serta membina hujah berdaya tahan (Anne D’Alleva, 2013). Sejarah seni merentasi batasan teks tulisan; ia merupakan wacana hermeneutik visual.
Mihaly Czikszentmihalyi (1990) dalam FLOW: The Psychology of Optimal Experience menggambarkan keterujaan minda sewaktu meneroka wilayah ilmu baharu.
Pengkaji Sejarah Seni bertindak seumpama “detektif seni”, merentasi zaman dan sempadan budaya, misalnya menghubungkan semangat pemikiran Leonardo Da Vinci dengan dinamika seni tanah air.
Dalam menggarap maklumat yang terpercaya, Sejarah Seni bersilang rapat dengan pelbagai disiplin: Kritikan Seni, Sosiologi, Antropologi, Estetika, Pengajian Budaya, Budaya Visual, dan Kepakaran Seni (Connoisseurship).
Dua tiang metodologi utama dalam analisis sejarah seni ialah:
- Analisis Formal (Fokus kepada Komposisi & Karakteristik Visual):
– Penekanan tumpuan pelukis dan daya tarik visual pemerhati.
– Teknik, skala, garisan, dan olahan warna.
– Struktur geometri, irama, dan kesatuan elemen.
– Unjuran emosi serta kecenderungan bentuk (figuratif atau abstrak). - Analisis Kontekstual (Fokus kepada Persekitaran & Sosiokultural):
– Identiti dan peranan penaung (patron), pelukis, serta khalayak sasaran.
– Motif penajaan (individu, institusi, atau organisasi).
– Rekod-rekod sejarah, ruang/lokasi pameran, dan fungsi karya yang terhasil.
– Latar belakang politik, agama, sosial, serta mesej idealistik yang disalurkan.
Kupasan serta analisis karya visual melalui pendekatan kaedah sejarah seni, secara sederhana dapat dipercontohkan seperti karya di bawah ini:

Diego Velázquez melalui Las Meninas (1656) menghadirkan sebuah karya yang melampaui fungsi representasi potret diraja, kerana komposisi, cahaya, perspektif, gestur dan susunan ruangnya membentuk suatu kompleksiti visual yang menjadikan tindakan memerhati sebagai fokus utama.
Dari sudut formalistik, perhatian penonton diarahkan melalui figur Infanta Margarita, para meninas, Velázquez sendiri, cahaya serta cermin di latar, manakala melalui tatanan ikonografi, kehadiran keluarga diraja, pelukis dan lingkungan istana mencerminkan struktur sosial serta budaya kuasa Sepanyol abad ke-17, yang bernaung di bawah kekuasaan Philip IV.
Namun, pada tingkat ikonologi, cermin dan kedudukan pelukis menghasilkan suatu paradoks makna. Siapakah sebenarnya subjek yang dilukis, siapakah yang melihat, dan dari sudut pandang siapakah kita sebagai penonton berdiri?
Dengan demikian, Las Meninas bukan sekadar gambaran tentang istana, tetapi sebuah renungan visual mengenai hubungan antara realiti, representasi, kuasa dan persepsi.
Lukisan seolah-olah memperlihatkan bahawa melihat bukanlah tindakan pasif, kerana setiap pandangan sentiasa melibatkan kedudukan subjek yang melihat, bahkan sekaligus menentukan apa yang dicermati.
Dalam konteks sejarah seni, karya ini memperlihatkan bagaimana Velázquez mengangkat seni lukis daripada sekadar imitasi realiti kepada suatu bentuk pemikiran visual, umpama renungan philosophia in visu (kefalsafahan tampak) yang mempertanyakan hakikat representasi itu sendiri.
Rujukan:
Ackerman, J.S. (1963). Style: In Aesthetics and Criticism in Art Education. Chicago: Rand McNally.
Ahmat Adam. (2016). Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia. Petaling Jaya: SIRD.
Arnheim, R. (1954). Art and Visual Perception. London: University of California Press.
D’Alleva, A. (2013). How to Write Art History. London: Laurence King Publishing.
Harold Osborne (1970). The Art of Appreciation. London: Oxford University Press
Hill, J.E dan Kerber, A. (1967). Models, Methods and Analytical Procedures in Educational Research. Detroit: Wayne State University Press.
Kuntowijoyo. (2003). Metodologi Sejarah (Edisi Kedua). Yogyakarta: PT. Tiara Wacana.
Mihaly Czikszentmihaly (1990). FLOW: The Psychology of Optimal Experience.
New York :Harper & ROW.
Piaget, J. (2001). The Psychology of Intelligence. New York: Routledge & Kegan Paul.
Schapiro, M. (1953). Style. In A Modern Book of Aesthetics: An Anthology. New York: Holt, Rinehart and Winston.
Tjetjep Rohendi Rohidi. (2000). Kesenian Dalam Pendekatan Kebudayaan. Bandung: STISI.
Wolff, T.F., & Geahigan, G. (1997). Art Criticism and Education. Illinois: University of Illinois Press.
