Artikel ini diinspirasikan daripada penulisan Dr. Jalaini Abu Hassan bertajuk Aduhai Adinda: Warkah Buat Pelukis Muda yang diterbitkan di portal Senimalaya. Tulisan tersebut mengangkat satu kegusaran yang penting, iaitu kecenderungan sebahagian seniman muda menghasilkan karya yang kurang disokong oleh pemikiran yang kukuh, gagal mengartikulasikan gagasan secara meyakinkan, serta kurang berupaya berhujah secara kritis.
Saya memahami keresahan tersebut dan bersetuju bahawa gejala ini memang wujud. Namun begitu, saya berpendapat bahawa permasalahan ini tidak boleh difahami semata-mata sebagai kelemahan individu, sebaliknya perlu dilihat sebagai kesan daripada perubahan ekosistem seni yang semakin mengubah cara seniman bekerja, berfikir dan berkembang.
Benarkah Seniman Muda Semakin Kurang Berdaya Intelektual?
Bagi saya, agak kurang tepat jika kita menggeneralisasikan bahawa generasi baharu hari ini semakin kurang berdaya intelektual. Dalam setiap zaman sentiasa ada seniman yang lebih cenderung kepada aspek visual berbanding pemikiran, dan begitu juga sebaliknya. Saya ada menemui seniman muda yang menghasilkan karya berkualiti, aktif berdialog, menulis dan mampu mempertahankan idea mereka dengan baik. Cumanya, jumlah seniman yang kini jauh lebih ramai, menyebabkan seniman- seniman seperti ini sukar dikesan.
Komuniti seni juga semakin berpecah kepada pelbagai jaringan kecil yang dipisahkan oleh ruang alternatif, galeri, institusi, geografi, ideologi mahupun media sosial. Dalam keadaan sebegini, ukuran kejayaan sering kali mengecil kepada persoalan keterlihatan (visibility) dalam galeri komersial, sedangkan banyak perbincangan dan eksperimen berlaku di luar medan tersebut.
Maka, persoalannya bukan semata-mata sama ada seniman muda kurang berfikir, tetapi sama ada kita masih mempunyai cara yang sesuai untuk mengenal pasti dan menghargai bentuk-bentuk pengkaryaan yang berkembang di luar arus perdana.
Budaya Intelektual Tidak Terbina di Universiti Sahaja
Saya percaya universiti tetap memainkan peranan penting dalam membentuk seniman yang mempunyai daya fikir kritis. Namun budaya intelektual tidak akan kekal hidup sekiranya ia berhenti sebaik sahaja tamatnya pengajian. Apa yang dipelajari di studio dan bilik kuliah memerlukan kesinambungan dalam dunia sebenar melalui penulisan, forum, dialog, perdebatan dan budaya saling mengkritik secara sihat.
Tanpa ruang-ruang ini, graduan seni akhirnya hanya menyesuaikan diri dengan acuan yang telah tersedia dalam industri, iaitu menghasilkan karya, menyertai pameran dan membina reputasi, sementara wacana semakin menjadi perkara sampingan.
Jika menoleh ke belakang, perkembangan seni rupa Malaysia pernah menyaksikan kemunculan generasi yang bukan sahaja menghasilkan karya, malah turut membina budaya perdebatan.
Graduan yang pulang dari United Kingdom dan Amerika Syarikat sekitar tahun 1970-an dan 1980-an membawa bersama tradisi penghujahan yang memperkayakan perbincangan tentang identiti, budaya dan falsafah seni. Perbezaan pandangan diraikan sebagai sebahagian daripada perkembangan ilmu.
Selepas manifesto Towards a Mystical Reality, kita masih menyaksikan pelbagai perkembangan penting dalam seni tempatan, namun sukar menemui gagasan besar yang benar-benar menggerakkan perdebatan berpanjangan. Penulisan kuratorial yang kritis semakin berkurangan, manakala banyak katalog pameran lebih berfungsi sebagai bahan promosi berbanding ruang penghujahan.

Apabila Pasaran Menentukan Arah Pemikiran
Fenomena ini boleh difahami melalui konsep hegemoni budaya yang dikemukakan oleh Antonio Gramsci dalam Prison Notebooks. Menurut Gramsci, sesuatu bentuk dominasi tidak semestinya berlaku melalui paksaan secara langsung, tetapi melalui proses pembentukan persetujuan sosial (consent) sehingga nilai tertentu diterima sebagai sesuatu yang normal dan tidak lagi dipersoalkan.
Dalam konteks seni rupa, hegemoni ini dapat dilihat apabila ukuran kejayaan seorang seniman semakin banyak ditentukan oleh kemampuan menembusi pasaran, jumlah pameran, reputasi galeri, liputan media atau nilai jualan karya. Perkara-perkara tersebut sememangnya tidak salah dan merupakan sebahagian daripada kelangsungan profesional seorang seniman. Namun, masalah muncul apabila ukuran ekonomi ini menjadi satu-satunya bentuk pengiktirafan yang dianggap sah.
Pada tahap tertentu, seniman sendiri mungkin mula menerima logik tersebut tanpa sedar. Kejayaan bukan lagi sekadar diukur melalui kekuatan idea, keberanian eksplorasi atau sumbangan terhadap perkembangan wacana, tetapi melalui sejauh mana seseorang itu berjaya membina keterlihatan dalam sistem yang sedia ada.
Pandangan ini senada dengan pemikiran Pierre Bourdieu melalui konsep field of cultural production, iaitu dunia seni bukan ruang yang neutral, tetapi satu medan yang melibatkan persaingan pelbagai bentuk modal; termasuk modal ekonomi, modal sosial dan modal simbolik. Dalam medan ini, galeri, institusi, kurator, kolektor, pengkritik dan seniman sendiri memainkan peranan dalam menentukan apakah yang dianggap bernilai.

Maka, persoalan intelektualisme dalam seni tidak boleh hanya diletakkan di bahu seniman muda. Jika keseluruhan medan seni lebih memberi ganjaran kepada produktiviti, keterlihatan dan nilai pasaran berbanding proses pemikiran, maka budaya ilmu secara semula jadi akan berada di kedudukan kedua.
Oleh itu, tanggungjawab mengembangkan wacana perlu dikongsi bersama oleh semua pihak dalam ekosistem seni. Kurator, penulis seni, pengkritik dan sejarawan memainkan peranan penting sebagai pengantara intelektual yang membuka lapisan makna sesebuah karya. Mereka juga berperanan mencabar andaian, meletakkan karya dalam konteks sejarah serta menghubungkannya dengan persoalan sosial, budaya dan politik semasa.
Hubungan timbal balik inilah yang diperlukan. Seniman menghasilkan karya sebagai satu bentuk persoalan, manakala ekosistem pemikir menyambutnya melalui penghujahan, kritikan dan perdebatan. Tanpa hubungan ini, karya seni hanya berisiko menjadi objek yang dipamerkan tanpa proses pemikiran yang menghidupkannya.
Tanpa respons kritis daripada pihak luar, penulisan seniman tentang karya sendiri akhirnya hanya menjadi penjelasan peribadi. Sebaliknya, apabila karya bertemu dengan kritikan yang jujur dan berasas, kedua-duanya akan berkembang bersama. Dalam konteks ini, penulisan bukan sekadar mendokumentasikan seni, tetapi menjadi sebahagian daripada proses menghasilkan makna.
Seniman Hari Ini Memainkan Peranan yang Berbeza
Landskap seni hari ini jauh berbeza daripada era Redza Piyadasa, Sulaiman Esa atau Ismail Zain yang mampu memainkan pelbagai peranan sebagai pengkarya, penulis dan pengkritik secara serentak.
Seniman kontemporari kini turut dibebani dengan pengurusan studio, dokumentasi, media sosial, pemasaran digital, permohonan geran dan hubungan dengan institusi. Keperluan-keperluan ini semakin menyita masa yang suatu ketika dahulu boleh diperuntukkan kepada pembacaan, penyelidikan dan penulisan.


(Dari kiri) Josseph Tan, Suleiman Esa, Redza Piyadasa, Syed Ahmad Jamal dan Ismail Zain
foto & kapsyen (edited): Sudut Penulis dan Menuju Realiti Mistik (faizalsidik.blogspot.com)
Perubahan ini bukan alasan untuk meninggalkan intelektualisme, tetapi menjelaskan mengapa sesebuah ekosistem yang sihat memerlukan pembahagian peranan. Seniman melontarkan idea melalui karya, manakala kurator, penulis dan pengkritik membantu mengembangkannya melalui dialog yang berterusan.
Belajar daripada Ruang Alternatif
Dalam hal membina infrastruktur sosial yang menyokong pertumbuhan pemikiran, pengalaman Indonesia menawarkan contoh yang menarik. Walaupun turut berdepan cabaran ekonomi dan pasaran, mereka berjaya mengekalkan tradisi ruang alternatif seperti Cemeti Art House yang bukan sekadar menjadi tempat berpameran, malah berfungsi sebagai pusat dokumentasi, penyelidikan dan pertukaran idea.

Di Malaysia, usaha seumpama ini pernah muncul dalam pelbagai bentuk, namun kebanyakannya tidak dapat bertahan lama. Ini menunjukkan bahawa budaya intelektual bukan bergantung kepada kehebatan individu semata-mata, tetapi memerlukan infrastruktur sosial yang mampu menghubungkan generasi, institusi dan komuniti seni secara berterusan.
Budaya Kritikan yang Masih Belum Matang
Satu persoalan yang masih belum benar-benar selesai dalam seni rupa tempatan ialah sejauh mana kita bersedia menerima kritikan sebagai sebahagian daripada proses perkembangan. Kritikan yang dimaksudkan bukanlah serangan peribadi, penghinaan atau usaha menjatuhkan seseorang, tetapi satu bentuk dialog intelektual yang bertujuan memperluaskan pemahaman terhadap karya. Namun, budaya kritikan sering berdepan cabaran kerana wujudnya sensitiviti berkaitan usia, status dan hierarki.
Persoalannya, adakah seniman senior sentiasa bersedia menerima cabaran daripada generasi muda? Dan adakah generasi muda pula mampu memberikan kritikan tanpa menafikan pengalaman dan sumbangan generasi terdahulu?
Dalam sejarah perkembangan ilmu, perbezaan pandangan bukan sesuatu yang perlu dielakkan. Bahkan, ilmu berkembang kerana adanya pertentangan idea. Hubungan antara guru dan murid tidak seharusnya difahami sebagai hubungan kepatuhan mutlak, tetapi sebagai proses pewarisan yang sentiasa terbuka kepada penafsiran semula.
Jika seorang murid membina pandangan baharu selepas menerima ilmu daripada gurunya, ia bukan tanda melupakan jasa, tetapi sebahagian daripada proses perkembangan pemikiran. Tradisi ilmu hanya akan hidup apabila setiap generasi mempunyai keberanian untuk meneruskan, mempertanyakan dan memperbaharui apa yang diwarisi.
Budaya kritikan yang matang juga penting dalam menghubungkan seluruh infrastruktur seni; antara seniman dan galeri, universiti dan institusi, kurator dan masyarakat. Tanpa budaya dialog, setiap kelompok akan terus bergerak dalam ruang masing-masing tanpa peluang untuk memahami perspektif yang berbeza.
Akhir Kata
Setiap generasi mempunyai cabaran tersendiri. Jika generasi terdahulu berhadapan persoalan identiti, tradisi dan pencarian jati diri seni tempatan, generasi hari ini pula berhadapan tekanan pasaran, keterlihatan digital dan tuntutan kelangsungan ekonomi. Oleh itu, cabaran intelektualisme tidak boleh diselesaikan melalui nostalgia terhadap masa lalu, tetapi melalui pembinaan ruang baharu yang sesuai dengan realiti semasa.
Saya tetap melihat perkembangan positif dalam landskap seni hari ini, khususnya melalui peningkatan penulisan seni dalam platform digital, kewujudan ruang alternatif dan program residensi yang memberi peluang kepada seniman muda memperluaskan pengalaman mereka. Usaha-usaha ini mungkin kecil, tetapi merupakan bibit penting dalam membina semula budaya wacana yang lebih subur.
Akhirnya, persoalannya bukan sama ada generasi muda hari ini kurang berfikir berbanding generasi sebelumnya, tetapi sama ada kita masih bersedia membina ruang yang membolehkan pemikiran itu berkembang. Seni yang matang bukan hanya lahir daripada tangan yang mahir menghasilkan bentuk, tetapi daripada masyarakat seni yang bersedia membaca, berdialog dan bersedia untuk mencabar dirinya sendiri.
