Judul buku: Di Sebalik Jalur Cahaya
Penulis: Mohamed Syazwan Osman
Genre: Kumpulan Cerpen Remaja
ISBN: 978-967-5485-89-3
Halaman: 96 muka surat
Harga: 25.00
Mohamed Syazwan Osman, pensyarah kanan kejuruteraan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), melakar nama sebagai penulis baharu dalam dunia sastera Malaysia melalui kumpulan cerpen remaja Di Sebalik Jalur Cahaya. Tersenarai dalam 123 buku yang diterbitkan melalui Projek Penerbitan Buku PENA–Malaysia Madani, buku ini menampilkan koleksi 15 cerpen yang memadukan naratif kreatif dan elemen kejuruteraan. Cerpen-cerpen tersebut memberikan ruang kepada pembaca untuk meneroka tema-tema seperti teknologi, ekologi, dan hubungan kemanusiaan. Ia menjadikannya bahan bacaan yang sesuai untuk pembaca remaja yang sedang membina jati diri dan aspirasi.
Buku setebal 96 halaman ini menyampaikan mesej berkenaan aspirasi, inovasi, dan semangat untuk menghadapi cabaran. Dalam cerpen “Langit Terbelah di Atas Jambatan Sunyi”, protagonis muda, Irfan, menggunakan kemahirannya sebagai jurutera untuk membina jambatan yang bukan sahaja menghubungkan dua komuniti, tetapi juga hati dan fikiran penduduknya. Naratif ini memberikan inspirasi kepada remaja untuk menjadi agen perubahan dan menggalakkan keberanian untuk bermimpi besar.
Cerpen seperti “Pelangi yang Menjengah pada Tengah Malam” pula mengetengahkan tema keprihatinan terhadap alam sekitar dan teknologi hijau. Watak Amira, seorang jurutera elektrik, menunjukkan bagaimana teknologi solar dapat memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya di pedalaman luar bandar. Kisah ini relevan kepada remaja yang semakin sedar akan isu-isu kelestarian dan inovasi teknologi. Cerita-cerita lain dalam buku ini juga menggarap tema perjuangan, nilai kerja keras, dan impian yang sering menjadi sebahagian daripada pengalaman remaja.
Karya Syazwan wajar dibandingkan dengan penulis Malaysia lain yang memiliki latar belakang profesional bukan sastera. Misalnya Rebecca Ilham, jurutera di salah satu konglomerat terbesar Malaysia, menampilkan karya seperti Perempuan Paling Sunyi, Kimono Ungu Bersulam Bunga, dan Hujan Hujung Januari yang kaya dengan emosi dan falsafah. Karyanya sering memanfaatkan perspektif teknikal untuk menambah lapisan kepada naratifnya, sesuatu yang turut dikesan dalam penulisan Syazwan.
Fahd Razy, doktor perubatan di hospital kerajaan yang terkenal dengan karya seperti kumpulan cerpen Pascasejarah dan kumpulan puisi Kota Subuh, berjaya mengintegrasikan elemen saintifik dengan falsafah, memberikan naratif yang mendalam tentang perjuangan manusia. Sebagai jurutera, Syazwan turut menggunakan pendekatan yang serupa dengan menyampaikan isu-isu teknologi dan kemanusiaan secara bersahaja, tetapi penuh makna.
Ramzah Dambul, pakar klimatologi yang terkenal dengan buku seperti Alien Menchari Chinta dan yang terbaharu, Seperti Laut, Cinta Tak Pernah Surut daripada Gelora, membawa unsur-unsur ekologi dan spiritual dalam puisi-puisinya. Syazwan, dengan cerpen seperti “Di Dasar Sungai yang Tak Berbisik”, turut mengangkat isu-isu kelestarian alam melalui naratif yang realistik dan berasaskan sains.
Begitu juga, Saharil Hasrin Sanin, seorang jurutera yang menghasilkan karya seperti Kentang dan Dentang, sering memanfaatkan pengalaman teknikalnya untuk mencipta cerita yang provokatif. Syazwan menggunakan pendekatan teknikal yang serupa, tetapi memberikan tumpuan lebih kepada elemen komuniti dan kerjasama.
Salah satu kekuatan utama Di Sebalik Jalur Cahaya adalah keupayaan penulis untuk menyampaikan konsep teknikal secara mudah dan relevan kepada pembaca. Dalam cerpen “Harapan dalam Runtuhan Besi”, contohnya, Azmi mencipta robot penyelamat untuk membantu mangsa bencana. Naratif ini mengajar remaja bahawa teknologi bukan sekadar alat, tetapi juga platform untuk menyelesaikan masalah sosial.
Selain itu, penceritaan Syazwan menyerlahkan semangat kerja keras dan keberanian bagi mengatasi kegagalan. Ia merupakan nilai penting dalam membina jati diri remaja. Gaya bahasanya yang mudah, tetapi mendalam juga memastikan cerita ini dapat dihayati pelbagai peringkat pembaca.
Walau bagaimanapun, buku ini tidak terlepas daripada beberapa kekurangan. Beberapa cerpen seperti “Mesin Masa di Lembah Terlupa” terlalu tertumpu pada penjelasan teknikal, sehingga menenggelamkan unsur naratif. Untuk menarik lebih ramai pembaca remaja, penceritaan yang lebih santai dan emosi mungkin boleh dipertimbangkan dalam karyanya akan datang.
Selain itu, watak-watak sampingan kurang diberikan ruang untuk berkembang, menjadikan mereka sekadar pelengkap naratif. Dalam cerpen seperti “Hijau yang Berbisik di Antara Debu”, contohnya, Siti, karakter pembantu hanya muncul untuk menyokong protagonis tanpa latar belakang yang jelas. Jika elemen ini diperbaiki, karya Syazwan boleh menjadi lebih mantap dan pelbagai.
Namun demikian, Di Sebalik Jalur Cahaya tetap merupakan karya yang mengangkat naratif kejuruteraan dan kemanusiaan dengan cara yang segar dan inovatif. Karya ini bukan sahaja sesuai untuk remaja yang mencari inspirasi, malah sesuai untuk pembaca umum yang ingin melihat bagaimana teknologi boleh dimanifestasikan dalam sastera. Seperti Rebecca Ilham, Fahd Razy, Ramzah Dambul, Saharil Hasrin Sanin, dan lain-lain, Syazwan membuktikan bahawa latar belakang bukan sastera bukan penghalang untuk menghasilkan karya kreatif yang berkualiti.
Dengan sedikit lagi kematangan dalam teknik penceritaan dan pembangunan watak, Syazwan berpotensi menjadi salah seorang suara penting dalam sastera moden Malaysia. Buku ini wajar menjadi bacaan wajib bagi remaja kerana ia bukan sahaja mendidik, malah mengetengahkan inspirasi untuk mencipta perubahan di dunia sebenar.
Setiap helaian Di Sebalik Jalur Cahaya adalah cerminan jiwa yang tidak pernah menyerah, merangkai harapan, dan keberanian untuk bermimpi di tengah liku kehidupan. Jika anda mencari cerita yang tidak hanya menghibur, malah turut menginspirasikan untuk melangkah lebih jauh dalam membina masa depan, buku ini adalah teman terbaik anda.

