Asal Muasal Karya Seni
Apabila kita cuba untuk mendefinisikan seni melalui pengamatan falsafah, semestinya konsentrasi utama akan terus berpijak kepada persoalan keindahan (beauty), peniruan (mimesis), lega emosi (katarsis), letusan ekspresi hingga menyentuh jua akan hal pengalaman estetik.
Bermuara daripada ranah fikir Plato, Aristotle, Kant hingga merambah ke pemikiran Hegel, seni seringkali ‘terpasung’ melalui hubungan di antara subjek yang memerhati dengan objek yang diperlihatkan.
Menginsafi betapa kakunya takrif seni sejak sekian lama, muncullah Martin Heidegger (1889–1976), failasuf kritis Kontinental yang justeru mengjukirbalikkan secara radikal orientasi ini.

Heidegger mempersiapkan dalil bahawa persoalan utama seni bukanlah hal tentang ‘Apa yang kita tanggapi sebagai indah?’, namun ia perlu dilampaui dengan penyingkapan ‘dasein’, yakni ‘Bagaimanakah kebenaran hadir atau ‘ber-Ada’ melalui karya seni?’.
Lalu, melalui sesi syarahan yang ‘bertunas’ pada tahun 1935 dengan lantunan judul ‘Asal Muasal Karya Seni’ (The Origin of the Work of Art), Heidegger mengemukakan suatu tesis terhadap seni dan pengkaryaan.
Sang filsuf menolak tanggapan bahawa karya seni hanyalah objek estetika yang cuma mempesonai kenikmatan visual. Sebaliknya, karya seni merupakan medan di mana hakikat kewujudan (Being) sedang menjelmakan dirinya.
Seni bukan sekadar percikan kreativiti manusia, tetapi merupakan peristiwa (event) yang memberdaya penyingkapan kebenaran terhadap umat manusia itu sendiri.
Heidegger cuba mengangkat bicara seni melalui renungan falsafah, termasuk persoalan asal-usul karya seni, konsep alam (world) dan bumi (earth), erti kebenaran sebagai ‘singkapan tabir nan tersembunyi’ (aletheia), peranan para seniman, serta ungkapan bahasa dalam menzahirkan hakikat wujud.

Seni dan Tafsiran Kritis
Heidegger secara ontologis, membahaskan perkara yang kelihatannya agak sederhana, tetapi menyiratkan makna mendasar. Perihak karya seni, di manakah permulaannya?
Jawapan lazim menyatakan bahawa karya seni berasal daripada seniman, manakala seniman pula dikenali melalui karya yang dihasilkannya. Namun pada Heidegger, hubungan tersebut bersifat timbal balas (hermeneutic circle), yang tidak mungkin secara basa-basinya terpisah.
Heidegger berdalih, asal-usul sebenar bukan hanya dinisbahkan kepada seniman ataupun objek yang dikaryakannya, tetapi bertumbuh pada hakikat ‘wujud’ seni itu sendiri. Seni menjadi ‘wadah’, bagaimana sesuatu kebenaran itu hadir, bahkan berupaya untuk menyerap ke dalam dunia manusia.
Ertinya, karya seni tidaklah terpandang disebabkan sang seniman secara tunggal, tetapi oleh kerana karya tersebut telah membuka ‘cakerawala’ makna yang sebelum-sebelum ini terhijab.
Dalam pengamatan filosofis, seni tidak boleh difahami sebagai hasil daya khayal, imaginasi, sinergi kreatif, kemahiran teknikal ataupun manifestasi emosi peribadi semata-mata.
Heidegger secara langsung menyinggung kecenderungan metafizik Barat yang memahami sesuatu benda hanya sebagai objek.
Pada hematnya, sejarah falsafah telah lama mereduksi hal benda kepada tiga bentuk utama, yakni sebagai pembawa sifat-sifat tertentu, sebagai kesatuan antara bahan dan bentuk, malahan sebagai objek yang berhadapan dengan subjek.
Walaupun pendekatan tersebut berguna dalam ilmu pasti (sains), ia tidak berupaya untuk menjelaskan hakikat sebenar karya seni. Lukisan, arca ataupun puisi bukan sekadar sepuhan warna, teknik mengukir atau permainan langgam kata.
Sebuah karya seni akan sentiasa melampaui dunia materi, kerana ia mengungkapkan dimensi makna yang tidak dapat disederhana, waima kepada unsur fizikal apapun. Nah, di sinilah Heidegger sedang cuba untuk membezakan antara objek biasa dengan karya seni.
Sesuatu objek boleh digunakan, diukur serta dimiliki, namun karya seni sentiasa mengatasi segenap fungsi yang bersifat material.
Kebenaran adalah Penyingkapan (Aletheia).
Buah fikir sentral Heidegger mungkin terletak pada tafsirannya mengenai konsep kebenaran. Tradisi moden sering mentakrifkan kebenaran sebagai kesepadanan di antara kenyataan dengan kebenaran (correspondence theory of truth).
Heidegger menganggap pengertian tersebut agak longgar, lesu, malahan hampa!
Dengan menginsafi dan merenung ulang istilah Yunani aletheia, yakni ‘penyingkapan’ atau ‘nir-rahsia’, hakikat kebenaran justeru bukanlah memerihalkan sahih atau tidaknya kenyataan itu, tetapi sebenarnya adalah tentang bagaimana sesuatu yang tersembunyi dapat ‘dibawa keluar’ untuk menampung realiti.
Dalam konteks seni, karya seni bukan gambaran kebenaran, ia adalah serlahan terhadap kebenaran itu sendiri. Melalui karya seni, manusia mengalami suatu bentuk pendedahan terhadap realiti yang sebelumnya tidak terjelma secara simbolik.
Oleh kerana itu, seni tegak melalui gagasan ontologi, bukan cuma dipesonai melalui nikmat keestetikaan. Lebih jauh, Heidegger turut mengubah sisi pandang kita terhadap sang seniman. Dalam budaya moden, seniman lukis, ukir dan tulis sering dianggap sebagai manusia genius yang punya bakat luar biasa.
Heidegger tidak pernah mempersoalkan itu, tetapi beliau tetap berkeras bahawa sumber mutlak kepada penghasilan karya tidaklah datang daripada sang seniman secara menyeluruh. Sebaliknya, seniman menjadi pencetus, bahkan nadi ‘penyambung’ bagi membolehkan hadirnya sesuatu kebenaran.
Maka, apabila karya seni tercipta, ia memperoleh kehidupannya sendiri yang melangkaui niat pembikinnya. Sebuah karya agung terus berbicara kepada beragam susur waktu serta generasi, kerana ia sedang membuka dunia yang sentiasa boleh ditafsirkan kembali.
Seniman Van Gogh dan interpretasi catan ‘Kasut’
Misalan masyhur yang digunakan Heidegger, adalah melalui lukisan seniman Pasca-Impresionisme, Vincent van Gogh mengenai sepasang kasut petani.
Pada pandangan biasa, lukisan tersebut hanyalah representasi visual sepasang kasut lusuh. Namun sebaliknya, Heidegger memandangnya dalam landskap dan kacamata fenomenologi.
Heidegger menyiratkan maksud bahawa catan ini sedang menyingkapkan keseluruhan dunia kaum tani. Tanah yang dibajak, kudrat yang tercurah, lelahnya bekerja, ketabahan menghadapi musim yang beragam, hubungan manusia dengan alam dan pergantungan terhadap rezeki bumi, adalah hakikat kepada wujudnya golongan petani.
Imej kasut tua, usang dan buruk itu, bukan sekadar kasut, ia adalah jelmaan simbolis kepada pengalaman keberadaan manusia yang bergelar ‘Pak Tani’.
Kritik ini sedang menduga bahawa seni tidak sekadar menyalin realiti, sebaliknya membolehkan realiti tersebut menzahirkan dirinya dengan lebih mendalam, daripada apa yang dapat dilihat oleh ‘makrifat’ mata kasar.

Konsepsi ‘Alam’ dan ‘Bumi’
Salah satu konsep terampuh dalam pemikiran Heidegger ialah hubungan di antara ‘alam’ (world) dan ‘bumi’ (earth). ‘Alam’ merujuk kepada keseluruhan rangkaian makna, budaya, sejarah, kepercayaan dan cara manusia memahami kehidupannya.
Alam ini ditanggapi Heidegger sebagai ruang yang menempatkan manusia sebagai makhluk hidup yang sentiasa mengamati serta menafsir.
Sebaliknya, ‘bumi’ menjadi matra yang sentiasa menyembunyikan dirinya. Bumi bukan sekadar tanah secara maujud, tetapi perlambangan rahsia, kedalaman dan segala yang tidak dapat dibongkar tuntas.
Dengan itu, Heidegger membahas bahawa karya seni lahir melalui regangan kreatif di antara ‘alam’ dan ‘bumi’. Alam berusaha membuka makna, manakala bumi sentiasa mengekalkan unsur kerahsiaannya.
Selisih simbolik ini bukanlah suatu konflik yang memudaratkan, tetapi menjadi teras pembuktian bahawa pemaduan kreatif sebegini membolehkan karya seni terus hidup menelusuri segenap jejak zaman.
Sebagai misal, jika kita mencermati karya Caspar David Friedrich, Wanderer above the Sea of Fog (1818), melalui kerangka ontologi Heidegger, ia bukan sekadar lukisan seorang pengembara yang memandang hamparan gunung dan kabus, tetapi memperlihatkan detik penyingkapan (aletheia) yang mempertemukan ‘alam’dan ‘bumi’.
Sosok manusia yang berdiri teguh di puncak gunung batu melambangkan hal ‘yang ada’ (Dasein), yang sentiasa berusaha membina percikan maksud.
Ketegangan antara pandangan manusia yang ingin memahamkan alam dunia yang penuh rahsia, menjadikan karya ini bukan sekadar sebuah landskap romantik, tetapi jujukan peristiwa kemanusiaan yang sedar akan keterbatasannya di dalam kewujudan (Being).

Penyingkapan ‘Dasein’ Terhadap Falsafah Seni Kontemporari
Ranah fikir Heidegger telah ‘mendaratkan’ dampak kritis terhadap falsafah seni di abad ke-20.
Tokoh besar hermeneutik, penerus semangat ‘Heideggerian’, Hans-Georg Gadamer misalnya mengembangkan idea bahawa pengalaman seni ialah petanda manusia memahami struktur dunia.
Jika kita sandarkan kepada bidang seni kontemporari pula, konsentrasi tentunya sudah beranjak daripada persoalan ‘adakah karya ini cantik?’ kepada renungan falsafi; ‘apakah dunia yang sedang ‘disingkapkan’ oleh karya ini?’
Justeru, azimat gagasan ilmu fenomenologi, hermeneutik dan seni konseptual banyak dipengaruhi oleh geseran paradigma para ‘Heideggerian’.
Bahkan tidak menjadi perkara yang canggung sekiranya hal reka bentuk, seni bina dan komunikasi visual melalui acuan falsafah Heidegger, sedang memberikan isyarat bahawa sesuatu hasil kreatif tidak seharusnya dimaknai semata-mata berdasarkan fungsi atau estetika, namun perlu dinilai berdasarkan keupayaannya untuk mengungkapkan makna kewujudan manusia.
Biarpun pemikiran Heidegger sangat ‘lancang’ serta berpengaruh, kritikan yang diterima juga tetap bertali arus. Pertama, konsep abstrak seumpama hakikat wujud (Being), ‘alam’, ‘bumi’ dan aletheia sering sahaja menerima tempelak, kerana ia sukar diuji secara hakiki (empirical).
Kedua, penggunaan contoh karya lukisan Van Gogh telah dipersoalkan oleh Sejarawan Seni seperti Meyer Schapiro yang berhujah bahawa, Heidegger melakukan tafsiran falsafah tanpa mengambil kira konteks sejarah sebenar karya tersebut.
Ketiga, pendekatan Heidegger kurang memberikan perhatian kepada dimensi sosial, politik dan ekonomi dalam penghasilan seni, sedangkan faktor-faktor tersebut sering mempengaruhi makna sesebuah karya.
Renungan Ikhtisar
The Origin of the Work of Art merupakan antara esei monumental dalam sejarah falsafah seni moden. Heidegger menggagaskan sebuah kefahaman bahawa, seni bukan sekadar menikmati objek yang indah ataupun medium luahan jiwa.
Berangkat lebih jauh, seni menjadi jalur peristiwa secara apa adanya, yang memungkinkan kebenaran tersingkap dalam layar sejarah manusia.
Melalui konsep ‘alam’ dan ‘bumi’, Heidegger sedang ‘memandu’ serta ‘megolah’ pengamatan kita, bahawasanya karya seni itu sentiasa lahir daripada ketegangan antara apa yang dapat diketahui dengan apa yang harus menjadi misteri, menjadi rahsia yang tersembunyi jauh di dalam kelam.
Dengan insaf, dapat jua kita mengerti yang sesuatu nilai seni itu terletak pada keupayaannya untuk membuka horizon baharu tentang erti manusia, makna dunia, bahkan perihal kewujudannya di alam raya.
Maka, benar jualah dalih Heidegger bahawa karya seni itu adalah “the happening of truth” (das Sich-ins-Werk-Setzen der Wahrheit), yakni kebenaran yang ‘berlaku’ atau terjadi’ lewat karya atau penghasilan seni!
Rujukan:
Dreyfus, H. L. (1991). Being-in-the-World: A Commentary on Heidegger’s Being and Time, Division I. MIT Press.
Gadamer, H.-G. (1989). Truth and Method (2nd rev. ed., J. Weinsheimer & D. G. Marshall, Trans.). Continuum. (Karya asal terbit pada 1960).
Heidegger, M. (1971). The Origin of the Work of Art, dalam A. Hofstadter (Terjemahan), Poetry, Language, Thought (m/s. 15–86). Harper & Row. (syarahan asal pada 1935; esei diterbitkan pada 1950).
Inwood, M. (1997). Heidegger: A Very Short Introduction. Oxford University Press.
Young, J. (2001). Heidegger’s Philosophy of Art. Cambridge University Press.
