Apakah yang boleh dibaca dari sebuah pameran akhir para graduan seni sebelum mereka melangkah masuk ke alam realiti dunia professional?
Jawapannya bukan sekadar himpunan karya terbaik mahasiswa, tetapi petunjuk awal terhadap arah pemikiran, metodologi dan imaginasi visual yang sedang membentuk generasi seniman akan datang.
Pada lingkungan seni kontemporari, pameran graduan berfungsi sebagai seismograf budaya, merakam perubahan dalam pendidikan seni, perkembangan media baharu dan cara generasi muda memahami dan mentafsir kehidupan yang semakin kompleks.
Dalam hubungan tersebut, DENAI: Fine Art Degree Show 2026 (Bachelor of Fine Arts (Hons.) anjuran Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, menawarkan lebih daripada sebuah pameran mahasiswa semester akhir.
Majlis perasmian DENAI 2026 telah disempurnakan oleh tokoh seni visual negara, Dato’ Haji Yusof Ghani dan kini sedang berlangsung dari 3 hingga 8 Ogos di Kompleks Ilham, FSSR UiTM Shah Alam.

Pameran ini memperlihatkan bagaimana institusi pendidikan seni tempatan sedang mempersiapkan pengkarya yang melihat studio bukan lagi sekadar ruang menghasilkan objek seni, tetapi sebagai medan penyelidikan, eksperimen dan pembinaan pengetahuan.
Dalam dekad yang menyaksikan seni visual bergerak melangkaui kategori tradisional, karya-karya di DENAI 2026 memperlihatkan perubahan yang ketara terhadap cara mahasiswa memahami amalan seni.
Catan, seni cetak, arca, seramik dan time-based media tidak lagi dipersembahkan sebagai disiplin yang terpisah, sebaliknya saling bertindih dalam usaha membentuk naratif yang lebih terbuka. Medium bukan lagi menjadi matlamat, tetapi bahasa yang dipilih untuk mengemukakan persoalan.
Perubahan ini mencerminkan perkembangan artistic research yang semakin mendapat tempat dalam pendidikan seni global. Ahli akademik, penyelidik artistik dan teori seni Belanda, Henk Borgdorff, berhujah bahawa penyelidikan artistik menghasilkan pengetahuan yang tidak dapat digantikan oleh penyelidikan akademik konvensional kerana proses penciptaan itu sendiri merupakan bentuk investigasi.
Dalam hubungan DENAI, pendekatan tersebut dapat dibaca melalui karya-karya yang lahir daripada eksperimen material, pemerhatian terhadap masyarakat serta refleksi terhadap pengalaman peribadi, bukannya sekadar demonstrasi kemahiran teknikal.
Persoalan identiti, memori, budaya, alam sekitar, perubahan sosial dan teknologi muncul sebagai tema yang berulang sepanjang pameran. Namun yang lebih menarik ialah bagaimana isu-isu tersebut tidak dipersembahkan sebagai kenyataan yang mutlak.
Sebaliknya, para mahasiswa menggunakannya sebagai ruang untuk bertanya, menguji dan merundingkan makna melalui pelbagai bentuk visual. Pendekatan ini memperlihatkan kematangan pedagogi seni yang semakin memberi penekanan kepada proses berfikir berbanding pencapaian estetik semata-mata.
Pemikiran tersebut turut bergema dalam ucapan perasmian Dato’ Haji Yusof Ghani dimana beliau turut mengingatkan bahawa universiti merupakan ruang bagi para graduan merebut peluang untuk mempelajari serta mendalami bahasa visual, suatu bahasa yang membolehkan seseorang memahami hubungan antara idea, material dan pengalaman yang menjadi teras kepada amalan seni yang mapan.
“Belajar di universiti belum menjadikan seseorang itu artis, tetapi di sinilah tempat untuk mempelajari visual language. Proses lebih penting daripada hasil semata-mata. Kefahaman terhadap material juga sangat penting kerana karya yang baik memerlukan proses berfikir yang mendalam. Never stop drawing. Draw every day,”
Penekanannya terhadap disiplin melukis setiap hari serta kepentingan memahami sifat material mengingatkan bahawa dalam era kecerdasan buatan dan penghasilan imej digital yang serba pantas, pengalaman tubuh dan hubungan langsung dengan medium masih menjadi asas penting kepada pembentukan seorang pengkarya.
Pandangan tersebut mempunyai resonans yang menarik dengan gagasan Donald Schön, ahli falsafah dan profesor perancang bandar dari MIT, tentang konsep ‘reflective practice‘ yang beliau bangunkan, mengenai idea bahawa pengetahuan profesional berkembang melalui tindakan, refleksi dan pengulangan terhadap pemikiran, emosi, tindakan, keputusan, andaian, dan pengalaman dalam mengambil pendirian atau bersikap kritis ke arah memperbaiki amalan, kefahaman, pertimbangan, serta tindakan di masa hadapan.
Dalam pendidikan seni, studio menjadi makmal pemikiran di mana setiap percubaan, kesilapan dan pembetulan membentuk pengetahuan yang tidak dapat diperoleh melalui teori semata-mata. Justeru, karya-karya di DENAI boleh dibaca sebagai dokumentasi kepada proses pembelajaran yang sedang berlangsung, bukannya kesimpulan yang muktamad.
Makna ini diperkuatkan lagi melalui pemilihan nama DENAI. Menurut Timbalan Dekan Akademik FSSR, Profesor Madya Dr. Zainuddin Ibrahim, denai merujuk kepada jejak yang ditinggalkan sepanjang perjalanan mereka di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka.

Simbolisme tersebut bukan sekadar metafora kepada pengalaman mahasiswa, tetapi juga menggambarkan bagaimana pendidikan seni sebenarnya membentuk cara seseorang melihat, menyoal dan memahami dunia. Dalam pengertian ini, setiap karya yang dipamerkan ialah rekod kepada proses intelektual yang berkembang melalui penyelidikan studio, bukannya objek yang berdiri secara terasing.
Beliau turut berkongsi pengalaman sewaktu bertanya kepada Dato’ Haji Yusof Ghani berapakah harga sebuah karya beliau ketika berada di Galeri Tapak milik artis tersebut, dengan jawapan; beliau tidak mampu membelinya. Peristiwa itu menyedarkannya untuk memahami bahawa nilai sesebuah karya yang benar benar hebat tidak mungkin dapat dipisahkan daripada pengalaman, pemikiran serta perjalanan kreatif yang membentuknya.
Pandangan ini menjadi semakin penting ketika pasaran seni global sering mengukur kejayaan melalui nilai komersial, sedangkan institusi pendidikan masih mempertahankan idea bahawa proses merupakan teras kepada amalan seni yang mampan.
Selain pameran, DENAI 2026 turut menganjurkan sesi Art Talk bersama Nazura Rahimie, Co-Founder Manggis Group, yang membuka dialog mengenai laluan kerjaya dalam industri kreatif.
Program seperti ini memperlihatkan perubahan fungsi institusi seni yang kini bukan sahaja melahirkan graduan, tetapi turut menyediakan mereka untuk berunding dengan realiti pasaran, institusi budaya dan jaringan profesional yang semakin kompleks.
Di Malaysia, pameran graduan sering menjadi titik pertemuan antara dunia akademik dan ekosistem seni profesional. Kurator, galeri, pengumpul serta institusi budaya menjadikan ruang seperti ini sebagai medan awal untuk mengenal pasti bakat yang bakal membentuk naratif seni visual negara.
Oleh itu, kepentingan DENAI tidak terletak pada persoalan siapa yang menghasilkan karya terbaik, tetapi pada keupayaannya memperlihatkan bagaimana generasi baharu sedang mentakrifkan semula hubungan antara seni, penyelidikan dan masyarakat.
DENAI 2026 menunjukkan bahawa pendidikan seni bukan sekadar melahirkan pengamal seni, tetapi membentuk penghasil pengetahuan.
Jejak yang ditinggalkan oleh para graduan hari ini mungkin masih berupa lurah denai yang kecil, namun daripada laluan-laluan inilah akan lahir wacana, institusi dan sejarah baharu yang bakal menentukan hala tuju seni kontemporari Malaysia pada dekad mendatang.

Sila kunjungi pameran DENAI: Fine Art Degree Show 2026 dari 3 hingga 8 Ogos 2026
Lokasi: Ilham Complex, Faculty of Art & Design
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor, Malaysia
Sumber teks & foto: Nik Syahida Sabri
Pensyarah Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR)
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Pengkhususan Seni Cetak
