Ada karya muzik yang menjadi nostalgia, dan ada yang akhirnya berubah menjadi warisan budaya muzik popular dunia.
Setelah lebih lima dekad kemenangan ABBA menerusi Waterloo di pentas Eurovision 1974, lagu-lagu ciptaan Benny Andersson dan Björn Ulvaeus masih bergema di radio, teater muzikal, filem, festival muzik hingga ke media baru seperti platform penstriman.
Melodinya terus dikenali, liriknya masih dinyanyikan, manakala pengaruhnya kekal membentuk imaginasi muzik pop moden.
Selepas lebih sedekad tidak beraksi di Malaysia, fenomena muzik ABBA bakal kembali menghangatkan Kuala Lumpur menerusi Björn Again – The ABBA Forever Tour, yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Ogos ini.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert tribute, kemunculan semula kumpulan dari Australia yang mendapat pengiktirafan rasmi daripada anggota asal ABBA itu mencerminkan bagaimana warisan muzik popular mampu terus hidup, berkembang dan menemukan khalayak baharu merentasi generasi yang dijangka dapat mengembalikan suasana disko yang pernah mendominasi budaya pop antarabangsa pada penghujung 1970-an.
Persembahan Björn Again bukan sekadar sebuah malam yang dipenuhi lagu-lagu malar segar. Ia turut memperlihatkan bagaimana sesebuah karya seni mampu melampaui zaman kelahirannya dan terus memperoleh makna baharu apabila bertemu khalayak daripada latar budaya yang berbeza.
Ditubuhkan di Melbourne pada 1988, Björn Again sering dianggap sebagai penanda aras kepada dunia persembahan tribute antarabangsa.
Berbeza daripada kumpulan yang hanya meniru penampilan atau gaya artis asal, mereka membangunkan sebuah produksi yang menggabungkan muzik, teater, komedi dan improvisasi pentas sehingga menghasilkan pengalaman hiburan yang berdiri dengan identitinya sendiri.
Pengiktirafan daripada anggota asal ABBA menjadikan kedudukan mereka lebih istimewa. Selama hampir empat dekad menjelajah dunia, Björn Again telah membuktikan bahawa persembahan tribute juga boleh berkembang sebagai sebuah produksi seni persembahan yang mempunyai nilai artistik tersendiri, bukannya sekadar bergantung kepada sentimentaliti masa lalu.
Menjelang konsert di Kuala Lumpur, anggota kumpulan yang menggunakan persona Agnetha Falstart dan Benny Anderwear mengakui mereka sentiasa menyimpan kenangan istimewa terhadap penonton Malaysia.

Menurut Benny, persembahan mereka di Kuala Lumpur sekitar 12 hingga 15 tahun lalu masih menjadi antara pengalaman yang paling diingati sepanjang jelajah antarabangsa mereka.
“Kami tahu penonton Malaysia antara yang terbaik. Mereka suka menyanyi, menari dan benar-benar menikmati persembahan. Sebab itulah kami sentiasa mahu kembali.”
Sambutan sedemikian bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kuala Lumpur semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi penting bagi jelajah artis antarabangsa di Asia Tenggara.
Kepelbagaian persembahan yang dibawa ke ibu negara, daripada muzik klasik, jazz, rock dan K-pop hinggalah produksi tribute bertaraf dunia, menunjukkan khalayak tempatan semakin terbuka kepada pengalaman muzik yang pelbagai.
Bagi Agnetha Falstart pula, matlamat Björn Again tidak pernah berubah walaupun kumpulan itu sudah mengadakan ribuan persembahan di seluruh dunia. Apa yang ingin diraikan ialah kegembiraan yang lahir daripada muzik ABBA, muzik yang terus menyatu tanpa mengira usia dan latar budaya.
Perkara itu dapat dilihat setiap kali tirai persembahan dibuka. Penonton yang hadir lazimnya terdiri daripada beberapa generasi dalam sebuah keluarga.
Mereka yang membesar dengan album-album vinil ABBA duduk bersebelahan anak-anak yang mengenali kumpulan tersebut menerusi filem dan muzikal Mamma Mia!, sementara generasi yang lebih muda pula menemui lagu-lagu itu melalui media sosial dan platform penstriman.

Keadaan ini menjelaskan mengapa karya ABBA masih mempunyai hayat budaya yang luar biasa. Lagu-lagu tersebut tidak sekadar dikenang sebagai produk zamannya, sebaliknya terus menemukan pendengar baharu yang mentafsirnya mengikut pengalaman hidup masing-masing.
Persembahan di Zepp Kuala Lumpur dijangka berlangsung selama kira-kira dua jam setengah dengan himpunan lagu-lagu yang menjadi identiti ABBA, termasuk Dancing Queen, Fernando, Mamma Mia, Waterloo, Gimme! Gimme! Gimme! dan Take a Chance on Me.
Susunan persembahan itu turut merangkumi balada, muzik disko dan beberapa karya bernuansa rock yang memperlihatkan kepelbagaian eksplorasi muzik kumpulan legenda Sweden tersebut.
Produksi kali ini turut diberi nafas baharu menerusi pembaharuan kostum, tata cahaya, visual multimedia dan susunan muzik yang lebih segar. Unsur humor yang sinonim dengan Björn Again kekal menjadi sebahagian daripada persembahan, menjadikan konsert mereka lebih menyerupai sebuah produksi teater muzikal yang interaktif berbanding persembahan tribute konvensional.
Bagi menyemarakkan lagi suasana malam tersebut, para peminat turut digalakkan mengenakan busana bertemakan era 1970-an. Cadangan itu mungkin tampak ringkas, namun ia memperlihatkan perubahan budaya konsert hari ini yang semakin menggalakkan penyertaan aktif penonton.
Khalayak bukan lagi sekadar menyaksikan persembahan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pengalaman kolektif yang dibina sepanjang persembahan.

Di sebalik penganjuran konsert ini, Shiraz Projects Sdn. Bhd. melihat kejayaan sesebuah acara daripada sudut yang lebih mendalam berbanding pencapaian komersial semata-mata.
Penerbit Eksekutifnya, Shirazdeen Karim berkata, usaha membawa Björn Again ke Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira enam bulan dengan pelbagai persiapan dilakukan bagi memastikan produksi antarabangsa itu dapat dipersembahkan mengikut standard yang diharapkan.
Menurut beliau, kepuasan sebenar hadir apabila melihat para peminat meninggalkan dewan dengan senyuman serta membawa pulang kenangan yang akan terus dikenang.
Pandangan tersebut menggambarkan perubahan peranan konsert pada hari ini. Persembahan muzik bukan lagi sekadar ruang hiburan, tetapi menjadi medan yang menghimpunkan memori, identiti dan pengalaman sosial yang dikongsi bersama.
Dalam dunia yang semakin dipengaruhi interaksi digital, pengalaman menikmati muzik secara langsung bersama ribuan penonton lain mempunyai nilai yang semakin sukar digantikan.
Kepulangan Björn Again ke Kuala Lumpur akhirnya bukan hanya meraikan nostalgia terhadap sebuah kumpulan legenda. Ia turut mengingatkan bahawa sesetengah karya seni mempunyai keupayaan luar biasa untuk terus hidup, menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan menemukan khalayak baharu tanpa kehilangan daya tarik asalnya.
Apabila lampu pentas Zepp Kuala Lumpur dinyalakan pada 12 Ogos nanti, apa yang diraikan bukan sekadar lagu-lagu ABBA, tapi pertemuan diantara sejarah muzik popular, memori serta pendengar generasi baharu, membuktikan bahawa karya yang benar-benar hebat sentiasa mempunyai kemampuan untuk memanjangkan perjalananya.
Björn Again – The ABBA Forever Tour
Lokasi: ZEPP Kuala Lumpur
Tarikh/Masa: 12 Ogos 2026 – 8:30 malam
Dapatkan tiket-tiket di: ticket2u.com.my
