DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu memainkan peranan yang sewajarnya dalam usaha mengangkat sastera kebangsaan, kata tokoh akademik Profesor Dr Hashim Ismail.
Dr Hashim berkata ramai penulis beranggapan sekiarnya dasar dan halatuju DBP tidak memenangkan penulis segalanya akan terbengkalai.
Beliau berkata, ramai yang menganggap DBP sebagai badan yang menjaga kebajikan penulis.
“Jadi jika darisegi penerbitan DBP lambat misalnya, penulis akan anggap sudah tidak main peranan.
“Kalau dasar DBP tidak memenangkan penulis, maka segalanya akan dilihat terbengkalai.
“Jadi peranan DBP sebagai punca kuasa sangat penting dalam pembangunan sastera,” katanya pada sesi kedua Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) edisi ketiga.
Perbincangan bertemakan “Peranan Punca Kuasa Dalam Pembangunan Sastera” itu turut menampilkan Ahli Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Jeniri Amir dan Sasterawan Negara datuk Dr Rahman Shaari.
Mengulas cadangan agar Malaysia menganjurkan satu acara yang memberikn anugerah sastera bertaraf antarabangsa, Dr Hashim menjelaskan DBP pernah menubuhkan satu jawatankuasa untuk melihat anugerah-anugerah sastera peringkat antarabangsa satu ketika dahulu.
“Selepas dua kali mesyuarat jawatankuasa it uterus senyap dan mungkin sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, Dr Jenuri menjelaskan DBP telah memainkan peranan yang sewajarnya sebagai punca kuasa dalam usaha membangunkan sastera negara.
Katanya, penerbitan majalah-majalah oleh DBP telah membantu ramai penulis di negara ini.
“Ada majalah yang kita rugi tetapi kita tetap terbitkan untuk membantu penulis.
“DBP terbitkan banyak majalah sebagai platform untuk memajukan sastera dan Bahasa Melayu.
“Jadi pada saya, kita semua perlu bersama mengembleng tenaga untuk mencapai hasrat dan aspirasi agar sastera Melayu mendapat pencapai di peringkat antarabangsa,” katanya.
SKPM berlangsung dari 19 hingga 20 Disember di Royal Park Hotel Bangi.
Pada sesi ketiga penganjuran SKPM, tema utama yang akan dibincangkan adalah “Penulis Teras Malaysia Madani”.
Tema ini dipilih dengan tujuan untuk menggambarkan peranan penting penulis dalam membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, berbudaya, dan berpandangan jauh dalam era moden.

