WAKTU saya remaja, dunia saya tidak besar. Ia hanyalah sekolah, rumah, dan alam sekitar yang sederhana. Tetapi dalam dunia kecil itulah saya temui sesuatu yang besar, minat terhadap lukisan. Seni lukis bagi saya bukan sekadar hobi, tapi satu cara meluahkan isi hati yang tak dapat diungkap dengan kata.
Di sekolah, kelas seni adalah saat yang paling saya tunggu. Bukan kerana saya mahu markah tinggi, tapi kerana waktu itulah saya rasa bebas. Bebas melakar apa yang saya lihat, apa yang saya rasa, dan apa yang saya rindukan.
Saya sangat suka melukis pemandangan kampung, walaupun saya tidak membesar di kawasan kampung yang ada sawah padi. Tetapi saya pernah melawat kawasan sawah padi, dan keindahannya kekal dalam ingatan saya.
Saya masih boleh nampak barisan petak sawah yang luas terbentang, air yang memantulkan langit, dan suasana damai yang menyelubungi seluruh kawasan. Gambaran itu saya bawa balik ke rumah, dan saya terjemahkan di atas kertas lukisan, dengan pensel dan warna air.
Walaupun saya tidak tinggal di sana, kenangan terhadap keindahan sawah itu cukup kuat untuk saya lukis berulang kali. Saya juga melukis pokok kelapa yang melambai ditiup angin, awan putih berarak di langit biru, dan burung-burung yang pulang waktu senja.
Semua itu mewakili satu suasana kampung yang tenang dan damai, satu perasaan yang tak boleh dicari dalam bangunan tinggi atau jalan raya yang bising. Lukisan kampung itu bukan sekadar pemandangan. Ia adalah pantulan rasa syukur dan kasih terhadap alam semula jadi yang tulen.
Setiap titisan peluh petani, setiap langit terbuka, semuanya memberi rasa damai.
Bila saya melukis pemandangan itu, saya sebenarnya sedang mengikat kembali diri kepada sesuatu yang murni, yang sederhana, dan yang dekat dengan fitrah.
Dunia hari ini serba canggih dan kompleks, tetapi bila saya kembali ke lukisan kampung, saya kembali menjadi manusia yang sederhana, yang masih tahu menghargai alam dan kehidupan apa adanya.
Selain itu, saya juga sangat gemar melukis wajah-wajah artis lama seperti Elvis Presley, Cliff Richard, dan Ricky Nelson. Gambar-gambar mereka saya simpan. Saya perhatikan betul-betul bentuk wajah, sorotan cahaya, dan ekspresi yang mereka tunjukkan.
Saya melukis guna pensel, dalam hitam putih, kerana bagi saya, hitam putih itu lebih jujur, lebih tenang, dan lebih menonjolkan emosi wajah.
Melukis wajah bukan mudah. Ia perlukan kesabaran dan pengamatan yang tajam. Tapi saya suka cabaran itu. Saya belajar bahawa di balik senyuman atau pandangan mata, ada cerita. Ada manusia. Wajah-wajah artis lama itu mungkin tidak saya kenal secara peribadi, tapi melalui lukisan, saya seolah-olah dapat menyelami perasaan mereka.
Dalam dunia seni, emosi tidak kenal bangsa, bahasa atau sempadan.
Namun daripada semua yang saya lukis, subjek yang paling saya suka, dan yang paling banyak saya ulang lukis, ialah air terjun, terutama air terjun di Kota Tinggi, yang pernah saya lawati waktu kecil. Saya masih ingat bagaimana saya terpesona melihat air yang jatuh dari tebing tinggi, berderai membentuk buih dan percikan. Bunyinya kuat tapi menenangkan, airnya sejuk, dan suasananya seperti membawa kita keluar dari dunia yang biasa.
Saya cuba lukis air terjun itu berkali-kali. Ada yang kecil, ada yang tinggi. Saya guna cat air, medium yang sesuai untuk menggambarkan elemen yang mengalir dan hidup. Saya teliti cara air jatuh, arah alirannya, cahaya yang memantul, warna batu dan dedaunan sekeliling.
Saya cuba sedaya mungkin untuk ‘menghidupkan’ air itu atas kertas. Saya mahu penonton rasa seolah-olah mereka sedang berdiri di hadapan air terjun yang sebenar. Tapi walaupun saya ulang dan ulang, rasa puas itu tetap tidak datang sepenuhnya. Lukisan saya masih tidak dapat menandingi keindahan yang sebenar.
Saya mula bertanya dalam hati, kenapa saya tak mampu capai kesempurnaan itu, walau sudah cuba sedaya upaya? Jawapannya datang dalam bentuk kesedaran yang tenang. Bahawa keindahan yang saya cuba tangkap itu bukan datang dari saya. Ia datang dari sesuatu yang jauh lebih agung. Dari Allah SWT, Pencipta segala.
Air terjun itu hidup. Bunyinya membawa damai. Setiap percikan air membawa maksud. Ia bukan objek biasa. Ia adalah ciptaan Allah SWT yang membawa tanda.
Dan ketika saya sedar bahawa saya hanya sedang meniru, saya rasa sangat kecil. Segala usaha saya yang penuh semangat itu hanyalah usaha manusia meniru keindahan Allah yang sempurna.
Waktu itu, saya rasa sesuatu berubah dalam diri saya. Saya tidak lagi melihat lukisan sebagai hasil seni semata-mata, tapi sebagai jalan untuk mengenal Allah.
Setiap warna, setiap garis, setiap bayang, semuanya menjadi bentuk pujian kepada Dia. Saya mula sedar bahawa seni adalah satu bentuk zikir. Bukan dalam lafaz, tapi dalam rasa dan penghayatan.
Melalui lukisan air terjun itu, saya rasa jiwa saya disucikan perlahan-lahan. Bukan kerana cantiknya lukisan, tapi kerana saya mula mengenal asal-usul keindahan itu. Ia bukan dari tangan saya. Ia datang dari Yang Maha Mencipta. Bila hati ini terdetik untuk memuji, maka lukisan itu sudah menjadi satu bentuk ibadah.
Kesedaran itu suci. Ia tidak datang dengan paksaan. Ia datang bila hati mula melihat, bukan hanya dengan mata, tapi dengan jiwa yang terbuka.
Dan saya percaya, ramai di luar sana pernah melalui pengalaman yang sama, menyedari keagungan Allah bukan hanya di masjid, tapi juga dalam sawah yang terbentang, langit yang luas, wajah manusia yang penuh cerita, dan dalam air terjun yang mengalir tenang.
Hari ini, saya tidak lagi melukis seperti dahulu. Tangan ini mungkin sudah lama tidak memegang pensel lukisan, cat air, atau kertas bersaiz besar. Tetapi jiwa melukis itu masih ada.
Ia hidup di dalam hati, dalam cara saya melihat alam, dalam cara saya merenung keindahan ciptaan Allah.
Dan dalam diam, ia terus membisikkan makna, bahawa setiap keindahan itu datang dari Yang Esa, dan tugas kita hanyalah untuk menyedari serta mensyukurinya.
Alhamdulillah.
Melalui lukisan, terutama lukisan air terjun, saya bukan sahaja belajar tentang seni, saya belajar tentang Allah.
Dan itu adalah anugerah terbesar dalam hidup saya.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan atas penulisan artikel yang begitu mendalam maknanya. Olahan bahasa yang mudah difahami namun membawa pembaca menyelami kesedaran tentang alam semula jadi dan keagungan Tuhan. Syabas di atas usaha yang amat bermakna ini.