‘Makan! Makan!’ kata lelaki itu kepada anaknya.
Dia sedikit marah, suaranya tegas dan sedikit meninggi.
Seluruh pelanggan Kafè Inchum & Aziz dapat mendengarnya.

Malah kami juga ada bukti video kejadian tersebut, mana tahu nanti kami juga boleh ‘viral’ dan dikenali anak anak ‘jenzi’ zaman sekarang,
Hati kami juga merasa sedikt hampa kerana kami pasti, mustahilah lelaki tersebut akan berkata “kau tahu aku siapa?” kepada anaknya sendiri dalam ketegangan itu.
Jika tidak kerana bimbang disaman atau punya akaun tiktok, mahu saja kami tepek video tersebut di sini dan diserata media sosial, dan mungkin nanti ada stesen radio yang akan menghubungi kami untuk bersiaran diawal pagi.
Tapi sebenarnya, kamu akan salah faham jika menyangka yang lelaki tersebut memarahi anaknya kerana tidak mahu makan.
Ceritanya begini; di Kafè Inchum & Aziz yang terletak di Beranang itu ada disediakan permainan papan, ada Dam Haji, Catur dan juga Dam Ular.
Anak kepada lelaki itu teruja apabila melihat permainan tersebut lalu mengajak bapanya bermain bersama-sama.
Agaknya inilah kali pertama dia melihat permainan tersebut lalu meminta bapanya itu mengajar bagaimana cara untuk bermain.
Lelaki tersebut yang sedang sibuk bercakap di telefon kelihatan sedikit terganggu bila didesak anaknya itu, dia kemudian mengakhiri perbualan dan mula melayan anaknya.
Lalu diajarlah bagaimana bermain Dam Haji dan bila tiba bab ‘makan’, dia pun mengarahkan anaknya itu untuk ‘memakan’ buah dam yang tertewas.
Budak berumur mungkin 9 atau 10 tahun itu manalah dia faham, agaknya di dalam kepalanya berfikir, ‘apa benda yang nak dimakan?’.
Berkali-kali bapanya menyuruh dia ‘makan’ dan dia hanya tercegat kerana tidak faham.
Bapanya makin marah dan dia pula makin keliru.
Kami yang melihat dari jauh itu juga jadi keliru.
Mahu kasihan kah atau mahu ketawa kah.
Ini agaknya gambaran paling jelas mengenai apa yang dikatakan sebagai jurang generasi.
Kami tidak menunggu untuk melihat pengakhiran drama tersebut kerana segera ke kereta dan ketawa.
Bercakap mengenai jurang generasi, kita jarang menjadikan artis-artis yang duduk di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay sebagai contoh kolektif seni.
Walhal, jika dihitung dengan masa, kumpulan ini adalah sebuah kolektif yang paling lama bertahan.
Rasanya kumpulan ini sudah bersama hampir lebih dari 30 tahun dan sepatutnya sudah boleh diberi anugerah kepada mereka.
Artis-artis yang berkampung di sana masih ada yang kekal dari awal penubuhannya.
Nizar Kamal Ariffin, Kamaruddin, Ajis, Zaharuddin, Shima, Hassan dan juga Zaki adalah di antara pelukis yang masih tekun menghasilkan karya di sana.
Kami sendiri mula datang ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur tersebut seawal tahun-tahun 1990-an, semesti kerana orang kampung kami, si Nizar itu ada di sana.

Ketika itu jika tidak silap, masih ada Shukri, Adeputra, Sabri, Haris Ribut, Mustaffa dan juga Kamal serta Aida, Ronnie, adik Ajis, pula masih muda remaja ketika itu.
Semua nama-nama yang kami sebutkan di atas akhirnya menjadi sahabat kami.
Menyesal sebenarnya bersahabat dengan mereka, tapi itulah, apa lagi yang nak dikata, benda dah jadi.
Kolektif Jalan Conlay ini sebenarnya adalah contoh bagaimana pihak yang mempunyai daya boleh membantu para seniman.
Kami dengar sewa pondok tempat mereka bekerja tidak begitu membebankan dan dengan kedudukannya di tengah-tengah bandaraya tentu saja memudahkan para penggemar karya seni untuk berkunjung.
Rungutan dari artis yang berkampung di sana dan juga rungutan pihak yang berkuasa ke atas mereka bolehlah dianggap sebagai perkara biasa dalam kehidupan.
Semua orang ada masalah dan akan berbuat masalah, namun jika kita bersungguh, semua perkara boleh diselesaikan dengan baik.
Hari ini ada lebih kurang tujuh atau lapan orang artis yang masih berkarya di pondok atau studio yang dibina menarik itu.
Elok juga sebenarnya jika ditambah beberapa orang lagi pengkarya untuk lebih memeriahkan tempat berkenaan.
Balai Seni Negara mungkin boleh menempatkan alumni YAE mereka di sini.
Lagi pun Kraftangan dan Balai Seni Negara duduk di bawah Kementerian, mungkin tidak ada masalah untuk bekerjasama.
Jangan hadkan kepada artis seni halus sahaja.
Bawa budak-budak yang membuat kraf ke tempat itu dan jadikan kawasan ini sebagai medan kesenian yang lebih marhaen berbanding Central Market dan GMBB.
Jangan ada angan-angan untuk menutup terus tempat ini kerana jika diusahakan dengan sungguh-sungguh ia akan menjadi satu tarikan bukan saja untuk pelancong tetapi juga penggemar seni dalam negara kita sendiri.
Apa yang perlu dilakukan adalah menggalakkan lagi promosi supaya lebih ramai pelawat datang ke sana dan tidak hanya menunggu berlangsungnya Hari Kraf Kebangsaan.
Kadang jika berkelapangan, kami selalu juga singgah di Jalan Conlay.
Selain melukis, kami dapati semua pelukis yang ada di sana sebenarnya layak untuk bertanding dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega.
Mereka semua kelakar terutama Zaharuddin Sarbini bila dia tidak marah kepada Gus Baha.
Kami juga banyak belajar tentang dunia catan dari mereka, dalam bersembang, kami juga mencuri-curi melihat mereka bekerja.
Melihat bagaimana menghasilkan karya, bagaimana memilih warna dan sebagainya dan sebagainya selain mendengar loyar buruk mereka.
Namun mutakhir ini, mereka seolah-olah tahu niat kami.
Lalu bila kami ke sana, mereka akan berhenti bekerja dan mengajak kami ke kantin untuk makan dan minum.
Jenis kedekut ilmu kemudian berangan nak masuk syurga. Baser.
Biasanya mereka belanja kerana seperti yang diketahui umum, mereka adalah di antara pelukis-pelukis yang berjaya di Malaya ini.
Sedikit mengenai Kafè Inchum & Aziz.
Kafe ini terletak di Beranang dekat dengan Bukit Kepong.
Bukan Bukit Kepong Jins Shamsuddin tetapi Bukit Kepong di Beranang.
Jika ke sini kami suka asam laksa-nya.
Dan kedai ini diusahakan oleh Masnoor Ramli, pelukis terkenal itu bersama isterinya.
Jika kamu ke sana, sebut nama kami, manalah tahu dia akan memberi sedikit diskaun.
Sebenarnya, kamu tidak memerlukan diskaun tersebut kerana jika dibandingkan dengan kafe-kafe hipster yang lain, harga menu di Kafè Inchum & Aziz adalah sangat berpatutan sehingga kamu akan merasa bersalah ketika hendak membayar apa yang kamu makan dan minum disitu.
Abdullahjones merupakan seorang pelukis dan penulis yang sedang mencari jalan untuk membuka akaun tiktok demi sebuah viral yang akan menjulang namanya dikalangan ‘jenzi’.
