Apabila Benz Ali diserang bertubi-tubi kerana kandungan novelnya yang dikatakan lucah, saya tersenyum memandang buku sendiri, Angh— yang penuh dengan kata-kata haram. Apalah reaksi wargabuku negara ini melihat aneka nama alat sulit yang saya guna dalam buku itu, agaknya?
Saya tidak melihat kontroversi yang melanda Benz ketika ini sebagai ‘perjuangan’ menentang kandungan lucah dalam sastera yang serius sebab saya fikir, adakah hal ini mendapat perhatian berskala sebegini jika Benz tidak terlebih dahulu menegur sikap seorang agamawan yang kurang sensitif dalam isu rogol?
Sebenarnya, sebelum itu lagi kandungan novel Bumi yang mengandungi babak intim telah dikritik, oleh seorang pengulas buku yang menjenamakan diri sebagai pakar bedah buku. Tetapi ketika itu, kelompok yang bising-bising ketika ini tidak berbunyi apa-apa.

Hanya setelah Benz mengkritik sikap seorang agamawan yang mengangkat kisah gadis bawah umur yang memperalat undang-undang rogol statutori untuk kepentingan sendiri ketika isu rogol bawah umur sedang mendapat perhatian ramai, barulah kelompoknya membangkitkan hal kandungan intim tersebut.
Maka, mahu atau tak, walau bagaimana dinafi, saya tetap menganggap serangan tersebut sebagai sebuah reaksi, bukan aksi yang sepenuhnya tulus.
Yang intim itu lucah?
Isu itu menjadi lebih menarik apabila Aidil Khalid membangkitkan isu kasta bahasa dalam pengharaman karya berkandungan intim dan lucah. Sebab, yang lazim kita dengar, kandungan intim dan lucah hanya diharam dalam buku berbahasa Melayu. Sedangkan, banyak saja kandungan sama, atau lebih teruk, dalam bahasa Inggeris.
Contoh yang dibawa Aidil ialah buku yang dianggap “novel hebat” oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Until August oleh Gabriel Garcia Marquez. Ia novel yang “mengandungi” babak intim, sama seperti Bumi. Mengandungi, bukan keseluruhan temanya adalah tentang hubungan badan manusia.
Ini hal yang gagal difahami banyak warganet yang berkobar-kobar mahu novel Bumi diharamkan: Mereka anggap novel itu setanding kotornya dengan novel-novel lucah lunak yang menjadikan fantasi cinta sebagai tema utama. Buku-buku terbitan semula karya Wattpad berkulit hitam yang banyak dibaca kanak-kanak dan remaja.

Saya belum sempat membaca Bumi tetapi saya tahu, itu bukan novel fantasi cinta murahan. Genrenya sains fiksyen yang digaul bersama komentari politik. Babak intim yang dimasukkan, setakat yang dibaca dalam ulasan dan hentaman orang, adalah sampingan.
Yang saya belum pastikan, adakah babak-babak intim itu diperlukan dalam penceritaan Bumi? Tetapi itu tidak penting sebab saya bukan mahu mempertahankan Bumi sangat (malah, saya tak mampu pun sebab belum baca), saya cuma menggunakan kesempatan yang ada untuk merenung sikap negara ini terhadap seni.
Lolong Ginsberg masuk mahkamah
68 tahun lalu, pada 1957, buku terbitan City Lights yang ditulis penyajak Beat Generation, Allen Ginsberg, Howl and Other Poems dibicarakan di Mahkamah Perbandaran San Francisco atas tuduhan kandungan lucah (obscene). Tuduhan itu, boleh dikatakan, khusus untuk sajak Howl yang dikarang Ginsberg.
Sajak panjang itu meletakkan banyak imej yang dianggap lucah, jelik dan cabul. Namun, keputusan mahkamah berpihak kepada Howl. Ia disahkan tidak lucah dan penjualannya dibenarkan. Malah, keputusan itu juga membuka ruang kepada buku-buku lain yang dianggap lucah sebelumnya, seperti Tropic of Cancer oleh Henry Miller dan Lady Chatterly’s Lover oleh D.H. Lawrence.
Dalam alasan penghakiman, ada beberapa perkara yang menarik untuk kita fikirkan. Tapi, ada disclaimer—penghakiman ke atas Howl dibuat bersandarkan Perlembagaan Amerika Syarikat dan Perlembagaan California, yang pastinya ada beza dengan nilai-nilai yang Malaysia pegang melalui Perlembagaan Persekutuan.
Cuma ada juga alasan yang bersifat sejagat, terutamanya dalam penentuan sesebuah karya sastera sebagai “lucah”. Menarik apabila penekanan yang sangat besar diberikan kepada nilai sastera sesuatu karya, sehingga disebut dalam alasan penghakiman: “Jika naskhahnya mempunyai walau sedikit kepentingan sosial yang baik, ia tidak lucah…”
Alasan ini, dan alasan lain yang berkaitan, menunjukkan mahkamah meletakkan sastera di tempat yang tinggi—sebuah karya sastera harus dinilai sebagai sebuah karya sastera, mesti dinilai secara keseluruhan dan mengambil pandangan mereka yang pakar tentang sastera.
Dalam penghakiman tersebut, hakimnya, Clayton W. Horn menegaskan, “Mahkamah bersetuju bahawa dalam menentukan (kelucahan sesebuah karya), buku tersebut mesti diertikan secara keseluruhannya dan penentuan itu perlu dibuat pada tempatnya dalam seni.”
Malah, dalam perbicaraan, ulasan sajak Howl oleh The New York Times Book Review, San Francisco Chronicle dan Nation turut diambil kira, selain kenyataan pakar sastera (pembelaan memanggil sembilan pakar, manakala pendakwaan memanggil dua).
Ini bermakna, dalam menentukan apa-apa dakwaan ke atas sebuah karya sastera, ia perlu dibuat dalam konteks sastera dan seni. Bukan dakwaan membuta tuli oleh mereka yang bukan ahli.
Satu hal lagi yang menarik dalam alasan penghakiman Howl, mahkamah memberi kredit kepada penilaian pembaca, khususnya pembaca dewasa.
Dalam Perkara 5, Horn menulis: “Buku atau bahan tersebut mesti dihakimi secara keseluruhan dengan kesannya kepada rata-rata orang dewasa (average adult) dalam sesebuah komuniti.” Dalam Perkara 12, dia berkata: “Dalam mempertimbang kelucahan sesebuah bahan, haruslah diingat pada motto: ‘Honi soit qui mal y pense.’ (Jahatlah mereka yang berburuk sangka.)”
Kegilaan yang disorok
Keadilan terhadap sesebuah karya sastera di Malaysia jarang dipenuhi dalam dua hal ini. Dalam menilai keburukan, kelucahan atau kecabulannya, tidak selalu ia dibuat dalam kerangka sastera.
Begitu juga berkenaan tahap umur. Seringkali, hujah-hujah yang dilaung berkenaan pengharaman karya seni akan memetik kanak-kanak—mereka takut kanak-kanak terpengaruh dengan hal-hal buruk dalam sesebuah karya.
Pastilah niatnya – jika dinilai secara permukaan – adalah baik tetapi adakah ia sepenuhnya tulus, atau kita sedang menggunakan kanak-kanak sebagai perisai kepada kegilaan kita dalam menapis, mengharam dan mengawal?
Sesebuah novel, puisi, filem atau drama dihasilkan dengan kesedaran seni oleh pembikinnya. Ia mengandung tujuan—sebagai ekspresi, bagi memaparkan keindahan, memberi pengajaran, meneroka alam fikir, menggali ciri bangsa, membongkar kelemahan dan keburukan, meramal masa hadapan, merobek masa lalu dan pelbagai lagi niat seni; ada yang unik, ada yang sejagat.
Perbuatan menapis dan mengharam tanpa kawalan, tanpa pertimbangan sasterawi akan menyempitkan ruang berseni dalam kalangan karyawan. Gelombang puritan dan kepolisan moral sebegini hanya mendorong seni menjadi banal, bosan, tawar, sehala dan tidak mencabar.
Ada banyak tema dan topik yang boleh diteroka akal dewasa. Adakah wajar ia disekat kerana tidak sesuai untuk remaja dan kanak-kanak? Saya kata, tidak wajar. Kalau mahu diwajibkan label pada karya (seperti yang dibuat Fixi pada buku-bukunya), dipersilakan tetapi untuk diharam melulu, ia merugikan.
Ini berbeza dengan kandungan-kandungan yang sememangnya lucah seperti pornografi, atau membahayakan fikiran seperti propaganda ekstremisme. Seperti yang dinyatakan tadi, sesebuah karya perlu dinilai secara keseluruhannya. Jika secara keseluruhannya karya itu memang bertujuan membangkitkan nafsu, fikiran kotor dan perbuatan ganas, maka wajar ia dikenakan tindakan undang-undang.
Pembaca boleh berfikir?
Saya tiada penilaian terhadap novel Bumi dalam artikel ini, sebab saya belum baca. Malah, kalau dah baca pun, pandangan saya seorang tidak cukup untuk membuktikan apa-apa. Ini merupakan cubaan untuk menyuntik sedikit panduan dalam menilai sebuah karya sastera.
Saya percaya, kalaulah novel Bumi itu sebuah karya lucah, berdasarkan beberapa perenggan yang ditepek orang di media sosial, buku itu tak akan laku. Jualannya bakal merudum dan dalam tempoh tak sampai setahun, ia akan dilupakan.
Ini kuasa pandangan awam (public opinion) yang banyak dipetik dalam penghakiman terhadap Howl. Kalau karya tersebut tidak membawa wawasan masyarakat, malah bertentangan dengan nilai moral yang dipegang masyarakat secara umum, ia tidak akan bertahan. Itu hukum alamnya, tak perlu penguatkuasaan kerajaan pun.
Dan jika membaca beberapa perenggan babak intim dalam sebuah novel sains fiksyen buat saya ketuk lutut, saya salahkan diri sendiri.
Dalam menilai sesebuah karya seni, saya suka mengambil nasihat guru sastera saya, John Keating, yang hanya muncul di skrin apabila saya menonton filem Dead Poets Society. Katanya: “Apabila membaca, jangan hanya ambil apa yang pengarang fikir, ambil apa yang awak fikir.”
Dan “apa yang saya fikir” itu ialah tanggungjawab saya. Kalau membaca sebuah novel sains fiksyen tetapi yang saya ingat hanya babak lucah di dalamnya, itu masalah otak saya sendiri.
Untuk dapat “ambil apa yang awak fikir”, pembaca perlu matang dalam membaca. Ini yang susah kita nak dapat sekarang.
Susah kalau kebanyakan kita membaca untuk menghafal, atau sejak sekolah diajar untuk salin blurb jadi sinopsis dalam Buku Nilam. Akhirnya, kita jadi bangsa menapis, bangsa mengharam dan bangsa mengawal, sebab kita tak percaya bahawa pembaca pun boleh berfikir.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik, filem dan sastera negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
