USAHA untuk mengantarabangsakan sastera Melayu ke peringkat antarabangsa memerlukan peruntukan yang besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah), Datuk Dr. Ramzah Dambul berkata, peruntukan yang diberikan kepada bidang sastera terlalu kecil berbading sains dan teknologi.
Menguatkan hujahnya, Dr. Ramzah berkata sejak sekian lama telah terbukti bahawa tamadun dibina dengan sastera dan persuratan bukan menerusi sains dan teknologi.
“Setiap tamadun dicirikan oleh sastera dan persuratan bukan sains dan teknologi.
“Disebabkan itu, peruntukan untuk sastera sepatutnya lebih besar berbanding dengan apa yang diperolehi sekarang.
“Apa salahnya kalau peruntukan diberikan sebanyak RM1 bilion setahun untuk sastera,” katanya dalam satu forum di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) edisi ketiga.
Dr Ramzah juga menegaskan, selain peruntukan usaha mengantarabangsakan sastera juga memerlukan ekosistem yang baik.
“Kalau nak terbitkan sebuah buku pun mengambil masa yang lama macam mana kita nak mengatarabangsakan sastera.
“Jangan kata nak peringkat antarabangsa, nak berkembang di peringkat nasional juga susah kalau ambil masa yang lama untuk menerbitkan sesebuah buku,” katanya lagi.
SKPM berlangsung dari 19 hingga 20 Disember di Park Royal Hotel Bangi.
Pada sesi ketiga penganjuran SKPM, tema utama yang akan dibincangkan adalah “Penulis Teras Malaysia Madani”.
Tema ini dipilih dengan tujuan untuk menggambarkan peranan penting penulis dalam membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, berbudaya, dan berpandangan jauh dalam era moden.

