“Ingat lagi?” Tanya seorang lelaki, kami singgah di sebuah masjid di hujung Jalan Gambang lalu disapa. Kami lupa siapa dia, dan dia pun mula bercerita bagaimana dia pernah tinggal di Studio Rajawali, kemudian baru kami ingat bahawa dia bukannya seorang pelukis, dia cuma tinggal di studio kami untuk beberapa ketika setelah ada sedikit perselisihan faham dengan keluarga, dan hari itu dia menceritakan bagaimana kini dia sudah memiliki rumah sendiri, “dapat rumah PPRT” kata dia. Kami mengucapkan tahniah dan dia pun kelihatan sudah amat bahagia dengan kehidupannya, tidak lagi kusam seperti waktu mula-mula sampai ke Rajawali.
Studio Rajawali memang begitu, bukan hanya menempatkan pelukis yang huru-hara, tetapi juga tempat berkumpul manusia-manusia yang tidak tentu arah, ‘lalah’, seperti kata bidalan, jika pangkalnya keruh tak keruan hujungnya juga akan cemas dan kusam.
Syed Muzammil, seorang anak muda dari Terengganu juga pernah singgah untuk beberapa lama, dia seorang pelukis yang hebat, dan kami sudah agak lama tidak bertemu dengannya, harapnya dia juga akan sentiasa sihat dan maju dalam apa jua kegiatan yang dilakukan.

Diantara kenangan yang paling kami hargai adalah bila sedang berada di studio berkenaan, disana pelukis datang dan pergi, bekerja dari awal pagi hingga tengah malam, cuma dalam kes budak hitam yang membawa sejarah hitam itu, dia suka bekerja dari tengah malam sehingga sebelum subuh.
Kami suka akan suasana di studio tersebut, bila kami mula meneroka kawasan hutan kecil dihadapannya, maka suasananya bertambah meriah dan kami rasa Nazri Chot ini ada penyakit tidak boleh duduk diam, kerana penyakit itu juga, dia telah membangunkan kawasan tersebut dengan jayanya.
Dibinanya sebuah pondok untuk dirinya sendiri, kemudian sedikit demi sedikit dia mengusahakan kawasan tersebut menjadi semacam studio terbuka. Kami paling suka jika melukis di kawasan berkenaan, bukan kerana kehijauan dan bukan juga kerana ketenangan yang datang dari bunyi-bunyi lama, sementelah pula kami buka jenis romantis seperti itu, kami gemarkan kawasan tersebut kerana keterbukaaan, lalu kami pun lepas bebas untuk melempar warna mengikut sesuka hati tanpa perlu memikirkan kotor bersih keadaan, terasa seperti seorang artis yang sejati, kononnya!

Suatu hari, kami didatangi oleh seorang pelukis dari Kelantan, dan seperti selalu kami tidak dapat mengingati bila kami pernah memberitahunya tentang Studio Rajawali. Zuhairi Zainal (Joe) menceritakan betapa ada sekali, kami bertemu di Kelantan, di pusat kraf di tengah bandar Kota Bharu, dia melukis di sana waktu itu, menurut Joe, di situlah kami bermegah-megah bercerita tentang betapa hebatnya studio tersebut, dan tidak lama setelah itu, dia mengambil keputusan untuk bergerak bersama kami.
Dia meninggalkan keluarganya di Kelantan dan tinggal bersama kami, kami lupa samada dia sendiri yang membina pondok atau si Chot yang membuatnya, namun di situ dia tekun melukis, orangnya tidak banyak bercakap dan kerjanya memang boleh diharap. Namun begitu, tidaklah dia tidur di pondok tersebut, ia hanya digunakan sebagai studio. Dia, Ajis dan Acai berkongsi bilik di studio asal.
Mungkin kerana rezekinya, minggu pertama kedatangannya, kami menerima tempahan besar, dan kami serahkan semua kerja-kerja tersebut kepadanya, dan mungkin kerana kewalahan, dia sedikit terlewat dalam menyiapkan kerja-kerja tersebut, Najihah Lee kemudiannya datang sebagai penyelamat untuk menyiapkan kerja tersebut bersama sama. Setelah dihantar karya-karya tersebut, kami dapati pihak berkenaan mengambil masa yang agak lama untuk menjelaskan upah, lalu dengan jaringan yang ada, kami mula menggesa dan akhirnya menerima upah sebagaimana layaknya.

Baris-baris terakhir di atas itu sebenarnya ayat lawa. Yang sebenarnya, setelah tahu pihak terlibat ada jalur Istimewa dengan ‘orang Pekan’, kami pun pergi melalui jalan yang sama, ialah, apa guna jadi cucu-cicit Che Endut Abdul Halin Bin Jaafar jika mengalah begitu saja, keturunan Imam Perang kan…Jalan Halimi di Pekan itu mengambil sempena nama moyang kami kot.
Joe adalah di antara pelukis paling lama berkarya di Studio Rajawali dan dari cerita-cerita yang kami dengar, dia adalah di antara pelukis yang pernah berkarya bersama dengan Pak Aris Aziz di Kuala Lumpur satu masa dulu. Dia kemudiannya berpindah ke Rompin iaitu kampung asalnya, kami pernah satu atau dua kali kerumahnya, terakhir mungkin satu atau dua tahun lalu dan dia memang sentiasa gembira menyambut kami. Semasa di Rompin dia aktif melukis di Bangunan MARA di tengah bandar tersebut, jika tidak silap, kami bersama dengan Nazri Chot dan beberapa orang pelukis lain pernah melakukan lawatan muhibbah untuk melihat kegiatannya di sana.
Hari ini kami mendapat berita dia meninggal dunia, ada suatu macam kesedihan bila menerima berita tersebut, mungkin kerana terkenang masa-masa lalu dan juga mengingati akan kebaikannya, dia seorang yang sangat sederhana dalam melazimi hidup seadanya. Salam takziah dari seluruh anggota Studio Rajawali kepada keluarganya. Kami mendoakan agar diberikan tempat yang lebih baik dari apa yang dia dapat di dunia ini.

Abu Yusof masih di hospital, Lan Khalid masih mengejar ‘payment’ dan Ajis sudah kembali sihat setelah ditahan lebih enam bulan di hospital, cikgu Duan sudah mahu bersara katanya dan Ali Kamera masih sibuk mengejar matahari terbit dan tenggelam. Amin Daud sibuk mengaut emas di Lancang sementara Ali Adenan sedang dalam kesedihan, bapanya di hospital akibat serangan jantung. Stone pula ditemui di rumahnya dan dikejarkan ke hospital akibat kelaparan yang kritikal, sebelum kamu memikirkan yang bukan-bukan, dia sebenarnya dengan rela hati tidak mahu keluar rumah untuk mencari makanan, sedangkan dia mempunyai semua keperluan untuk berbuat demikian, Omorq sibuk dengan anak kecil sehingga tidak lagi menemani kami kemana-mana…Baser. Mek Yorke kini sudah jadi orang besar dan beranak kembar dan Inez seperti cikgunya (Acai) entah di mana.
Jika kamu ada masa, pergilah berziarah, minta doa dari mereka yang sakit kerana kata ustaz, doa orang sakit ini makbul, tak kisahlah mahu minta kaya atau mahu minta jadi popular, yang penting pergi jumpa keluarga, sahabat, kenalan atau siapa saja sementara mereka masih ada.
– Abdullahjones– Pelukis, penulis, pemuisi, kurator dan juga ‘ Sek Makar’ yang berbusana Selvedge Denim Levi’s “Made in Japan” ketika keluar menziarahi sahabat handai dan taulan.
