MUSIM hadiah datang lagi. Tetapi ia bukan untuk semua. Hanya yang layak sahaja dijemput. Tidak seperti menanti Santa Claus. Segalanya sudah dimuktamadkan. Ada yang tersenyum bangga. Dan selebihnya duduk termenung di jendela dan mula berwasangka. Pahit manis golongan pengarang, sedikit-sebanyak terkaitkan dengan hadiah untuk mengesahkan kehadiran mereka di persada kesusasteraan. Hadiah sastera (dijangka) meninggikan darjat seseorang karyawan. Segelintir pengarang kerap mendaki podium, namun segelintir lagi menongkat dagu. Ia persaingan sengit antara kualiti dan rezeki. Mereka menunggu ketibaan musim hadiah seterusnya dan berharap nama dipilih oleh pihak sekretariat.
Tidak seperti acara kesenian yang lain, gah dengan kehadiran para selebriti dengan liputan siaran langsung, diikuti oleh audiens di televisyen dan telefon pintar, hari meraikan golongan penulis sastera di tanah air, sedihnya, seakan-akan tidak membawa apa-apa makna. Ia bukan kepentingan nasional. Ada atau tidak, tiada siapa yang ambil peduli, kecuali, penggiat sastera. Biarpun Perdana Menteri dijemput sebagai tetamu kehormat. Karya sastera yang dihasilkan buat mencerdaskan akal fikiran bangsa, belum mampu lagi mengatasi pengaruh sebuah lagu dendangan artis tersohor negara. Lalu, apa yang hendak dibangga dengan kesusasteraan kita?
‘‘Kesusasteraan telah gagal mencerdikkan bangsa Melayu dan pelajar kita, dengan itu kita telah membuang masa begitu lama bergayut pada dahan buruk yang dinamakan sastera’’ – Mohd. Affandi Hassan (dipetik dari buku Wajah Sastera Melayu Moden, Wadi Al-Irfan, imprint Akademi Jawi Malaysia, terbitan 2025. Alangkah pedasnya kata-kata sedemikian. Andai gambaran yang dilemparkan oleh tokoh pengkritik kontroversi itu disangkal, kerana tidak sepenuhnya benar malah agak dangkal, mengapa kesusasteraan kita masih lagi umpama melukut di tepi gantang? Apa lagi perlu dilakukan (pembaharuan dan perubahan) supaya kedudukan sastera relevan dan setaraf dengan bidang kesenian yang lain di mata masyarakat?
Isu paling sensitif dalam ranah kesusasteraan kita bukan tentang kekurangan pengkritik berwibawa dan berkredibiliti dalam menangani kelemahan dan kekuatan sesebuah karya. Salah jangkaan anda, kalau isu lapuk itu dipersoalkan. Tetapi kekecewaan dan rungutan kerana gagal meraih hadiah dan kelonggaran objektiviti penentuan naskhah dalam setiap kali anugerah kesusasteraan dilangsungkan. Inilah isu yang hangat dan makin diperhangatkan dengan beberapa teguran dan cadangan daripada peminat kesusasteraan. Hadiah sastera adalah tolok ukur kepada ketinggian pencapaian seseorang pengarang. Ia bukan urusan kecil. Prestij dan imej hadiah sastera menentukan kepiawaian pihak penilai. Maka, isu lama, diulang dan dibahas dari tahun ke tahun. Bagaimana jikalau tiada langsung hadiah sastera?
Golongan karyawan muda mahukan karya-karya mereka diangkat dan diperakui sewajarnya sebagaimana kerja penulisan para pengarang yang sudah memiliki nama gah. Kononnya mereka mencetuskan gelombang baharu dan lebih revolusioner. Maaf, ia sudah klise. Nada emosi sedemikian, juga kedengaran apabila sekelompok pengarang ‘’veteran’’ tersingkir jauh daripada senarai nama-nama penerima. Akhirnya barisan juri dijadikan sasaran dengan mempersoalkan profesionalisme mereka. Situasi akan menjurus kepada andaian-andaian negatif. Apa makna rasa ketidakpuashatian ini dan sumbangan kapasitinya kepada kemajuan evolusi sastera tanah air? Adakah semata-mata ekspresi keegoan dan menganggap diri mereka tidak diperakui dengan adil?
Jika hadiah diberikan atas kecenderungan tertentu, kerana kemudaan dan kedudukan nama seseorang pengarang, lalu di manakah (merit) nilai prestij dan tujuan asal penganugerahan diadakan? Hadiah itu untuk apa sebenarnya? Ia bukan anugerah bintang popular. Muda atau sudah mempunyai nama tersohor, ia bukan kriteria. Namun aras kualitilah yang seharusnya ditumpukan dan itulah asas yang dipertahankan. Apatah lagi jika hadiah dan anugerah bertaraf kebangsaan. Bukan peringkat sekolah menengah. Ada pengarang yang baharu menulis tetapi telah meninggalkan impak dan mengejutkan landskap sastera yang selama ini mendatar. Sementara pengarang berpengalaman, entah atas ketepuan dan faktor usia, maka mata pena mereka mulai tumpul diselaputi nostalgia.
Sungguh mengharukan dan lucu. Rupa-rupanya sastera kita tidak ke mana-mana. Setiap kali hadiah dan anugerah sastera selesai dilaksanakan, suara-suara kritikal/skeptikal bertebaran di ranah media sosial. Karya yang bagaimana dianggap terbaik, bertaraf perdana dan memancarkan wacana serta falsafah yang, sebagaimana kata Mohd Affandi Hassan sebagai, berilmu, bernas dan tidak dangkal? Adakah karya yang datang dari tangan anak muda belum mencapai kesempurnaan dan kematangan? Penerokaan baharu yang bagaimana benar-benar diperincikan sebagai luar biasa daripada para penerima hadiah? Dan, adakah karya yang diukur secara harfiah sederhana, tidak sewajarnya diangkat sebagai karya berwawasan? Bahkan dianggap sudah ketinggalan zaman. Ia sebuah misteri dalam dunia sastera tanah air yang belum mampu dirungkai.
Pada tahun 1970, sempena Simposium Sastera di Kolej Islam Malaysia, SN Keris Mas menulis sebuah esei yang inti patinya untuk memanfaatkan kemodenan dan idea-idea inovatif, namun seseorang (sasterawan) harus mengimbangi nilai-nilai baharu dan tradisi dengan saksama. Dalam, tulisan SN Keris Mas, pergeseran antara nilai-nilai lama dengan nilai-nilai baharu yang berguna sebagai asas perikemanusiaan dan tentang kejituan nilai-nilai baharu untuk menimbulkan satu sistem baharu dalam kehidupan manusia yang lebih kukuh, lebih maju dan lebih bererti daripada kehidupan lama. Kesusasteraan sepatutnya suatu manifestasi tentang kebenaran.
Pada bahagian penutup, SN Keris Mas sekali lagi mengingatkan bahawa nilai-nilai etik dan estetik pada saat seperti ini tidak seharusnya ditimbang dengan emosi yang meluap-luap, tetapi harus dengan pertimbangan akal yang cerdas. Emosi yang meluap-luap dalam kesusasteraan memungkinkan pergantungan yang taksub pada yang lama atau sebaliknya penerimaan yang melulu pada yang baharu. Peringatan itu datang dari seorang jauhari yang tidak rela melihat warisan tradisi dimusnahkan oleh penerimaan semberono kepada apa-apa sahaja idea westernisasi. Aspek mujarad dan mendalam sebegitu memang lambat dimengerti kerana bersangkut-paut dengan daya perspektif intelektual seseorang.
Sedangkan suara SN A Samad Said dalam esei Sasterawan Ke Arah Visi 2020, Dewan Sastera, Julai 1992, lebih terbuka dengan kemunculan barisan pengarang muda. Bahkan sangat menyanjung kelahiran generasi pelapis dan menyedarkan hakikat bahawa sudah tiba masanya sastera berlapang dada dengan pengarang-pengarang kontemporari yang lebih sofistikated dalam teknik penyampaian. Apatah lagi mereka terdedah dengan perkembangan sastera antarabangsa. Wan Nor Azriq misalnya, mencipta novel-novel yang bernuansa terkini. Langgam dan medium penceritaannya mencerminkan suasana kontemporari di bandar raya. Itulah wahananya untuk pengarang tersebut menyampaikan cerita. Sedangkan karya kreatif lain masih kekal dengan naratif bercerita.
Benar kata SN A Samad Said. Sudah tentu ada yang lebih bagus selain pengarang-pengarang sedia ada. Ranah sastera terlalu luas untuk digenggam oleh individu-individu tertentu. Rumah-rumah penerbitan kecil yang mandiri menjadi laluan alternatif untuk menzahirkan karya-karya di luar daripada skema DBP. Sudah tentu ada pengarang yang berbeza teknik penceritaanya selain Mawar Shafei dan Faisal Tehrani. Nama-nama baharu yang menginjak seinci demi seinci ruangan sastera di media massa, jika konsisten menghasilkan karya-karya berkualiti, akan meneruskan kesinambungan ranah kesusasteraan dengan gagasan dan sumbangan bermakna. Soal hadiah, letak tepi dulu. Malulah sedikit kepada masyarakat di luar. Apa yang mustahak, naratif sastera kita tidak selamanya linear tapi semakin ke depan.
Pesan SN A Samad Said: ‘‘Malangnya, kebanyakan kita masih juga mudah terpesona oleh karya penulis mapan sehingga terlupakan bakat berkemungkinan. Kita terlalu lama terpesona oleh gergasi lama sehingga kurang memerhatikan wira baharu yang sedang tumbuh. Kita perlu belajar menghargai dan mengasihi wira kecil kita. Sebab, merekalah sebenarnya bibit visi 2020, kalau itulah kita ingin perjuangkan. Tidak mustahil daripada kalangan mereka akan terloncat karya yang dapat mengatasi Tunggul-tunggul Gerigis, Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dan Daerah Zeni.’’
Pertembungan baharu lama, karyawan muda melawan pujangga tua dan generasi masa depan serta perintis kesusasteraan, tidak pernah berhenti biarpun beratus-ratus seminar pemikiran diadakan, roda sastera kita masih belum ke mana-mana. Sementara anak muda mahukan suasana yang lebih santai, bingit, gila-gila dan bebas daripada protokol. Teknik mendeklamasikan sajak perlu dirubah. Bukan sekadar membaca teks dan berdiri kaku di atas pentas. Maka, tidak menghairankan sekiranya teks sajak harus disuntik elemen-elemen interaktif. Baris dan rangkap yang mendominasi kaedah genre sajak sudah dianggap (konon) lapuk dan palsu.
Sedangkan golongan karyawan yang berpengalaman menelusuri liku-liku aliran kesusasteraan, telah pun menemui jalan terbaik sesuai dengan keperibadian dan kedewasaan. Jiwa dan pancaindera mereka menuju ke ruang rohani. Masa untuk melakukan refleksi diri. Sastera hanyalah ranting kecil dalam kehidupan. Bukan boleh dibawa lubang kubur. Jadi, kesederhanaan menjadi kaedah penyampaian dalam menghasilkan naskhah-naskhah. Bagi pengarang-pengarang berusia, sudah habis tempoh untuk melakukan keributan, eksperimental dan berharap terlalu tinggi dengan kesusasteraan. Inilah transisi internal yang mendorong pengarang kembali kepada asal tujuan penulisan – menjadi manusia dan mendalami makna kehidupan.
Seseorang tidak memerlukan gelaran kedoktoran dan nama yang besar (teruji dengan pencapaian) dalam dunia kesusasteraan untuk mengungkapkan pandangan-pandangan berbeza dan melawan naratif umum. Hal ini kerana, sastera milik semua manusia, tidak kira latar dan profesion mereka. Suara-suara yang bermunculan tidak wajar dipandang enteng (toksik) atau tidak layak untuk mempersoalkan keputusan. Karya penulisan yang baik dan tersendiri, kadang-kadang tidak datang dari perakuan hadiah dan anugerah diidam-idamkan oleh sasterawan tanah air. Jadi, mengapa hadiah sastera terlalu mustahak buat seseorang pengarang? Setelah bertahun-tahun melibatkan diri dalam kancah penulisan kreatif tanpa sebarang hadiah, adakah ia suatu beban yang menghinakan?
Musim hadiah tiba lagi. Diingatkan sekali lagi, ia bukan untuk semua. Hanya yang berkenaan sahaja dijemput. Bersabar, jika nama anda tidak disenaraikan pada kali ini. Segalanya sudah dimuktamadkan – sebarang bantahan tidak akan dilayan. Sila hormati keputusan barisan juri yang bertungkus-lumus menilai setiap karya-karya yang dihantar untuk penilaian. Sama ada menulis sehingga sepanjang hayat atau baharu dua tahun, jika memang bukan rezeki, teruslah menulis. Berpaut pada dahan sastera yang semakin lama semakin reput, hanya akan menjatuhkan seseorang ke jurang kekecewaan emosi. Percayalah, karya yang bermutu, akan ada rezekinya.
Dahulu, para seniman dan pujangga berkarya hanya untuk meluahkan perasaan dan pemikiran demi cinta kepada bangsa dan negara. Tidak pernah mencalonkan diri sebagai seniman dan pujangga negara. Sungguhpun demikian, tetap sahaja karya-karya mereka, misalnya pantun, peribahasa dan bidalan yang dikarang pada masa silam, tetap meninggalkan impak luar biasa kerana digubah dengan jujur dan pintar. Namun, kini para sasterawan menuntut lebih seiring dengan perubahan zaman dan mentaliti. Seolah-olah kelangsungan sastera ditentukan oleh hadiah dan tanpa anugerah yang direbut itu, kedudukan seorang pengarang itu masih belum diperakui. Tidak ubah bagaikan perlumbaan. Mereka yang menang akan dipanggil namanya untuk naik ke podium. Manakala yang ditewaskan, duduk di hujung arena, menggigit jari, dan mula dirasuk kecurigaan. Lalu, apa pilihan yang ada untuk meleraikan kekusutan yang sentiasa diulang dari tahun ke tahun ini?
– ROSLAN JOMEL merupakan pengarang kelahiran Kuching< Sarawak dan kini berkarya di Kuala Lumpur.
