KAMI suka jika Aloy Paradoks rajin menulis. Pelakon dan penulis skrip yang bila kami cadangkan supaya nampak lebih mesra ini selalu menjawab, “orang Bagan Datuk, memang dah begini rupanya”. Dia mempertahankan rupa sombongnya itu dan membandingkan dirinya dengan Timbalan Perdana Menteri kita yang selalu disalah erti oleh orang banyak itu. Menurut dia, orang Bagan Datuk sentiasa dilihat sebagai bongkak sedangkan mereka sebenarnya adalah diantara manusia yang paling berhemah jika dibandingkan dengan seluruh penduduk negeri Perak.
Pun begitu, seperti yang kami katakan awal-awal tadi, kami suka jika Aloy lebih rajin menulis, di media sosial maksudnya. Kami berharap dia sudi berbuat demikian kerana kami rasa dia adalah seorang penulis yang baik. dan sayugia kami berpesan kepada Aloy dan kita semua termasuk diri sendiri untuk mengelak dari bercakap tentang hal dalam kain kita atau pun orang lain misalnya. Kita orang yang berdosa dan yang silapnya adalah bila kita bergembira mahu bercerita semua hal pun kepada dunia. Sepatutnya segala penderitaan yang kita sangka sedang kita hadapi biar kita tanggung sendiri sambil kepada Tuhan kita menyerah diri.
Jika kamu pelakon misalnya maka tuliskan mengenai dunia lakonan. Semua orang suka untuk tahu tentang proses sesebuah filem atau drama tv dihasilkan dan tugas kamu hanya membawa sedikit cerita dari dunia itu. Pelukis juga sebenarnya begitu. Ceritakan inspirasi dan jalan bagaimana kamu menghasilkan karya dan stop di sana. Karya tidak laku atau yang belum dibayar orang misalnya, bukan dosa yang harus kamu tanggung. Itu hal kekuatan pertahanan diri kamu dan jadi kuatlah. Lainlah jika kamu lihat ketidakadilan dalam dunia kamu itu misalnya. Seperti pesta anugerah filem baru-baru ini misalnya. Kebodohan yang mengakibatkan kehancuran wajib ditangani dengan cara yang benar. Dan ini pun yang akan kami ceritakan dibawah nanti.
Bukanlah maksud kami mahu menulis mengenai Aloy di sini, Ia sekadar sebuah pembukaan kepada satu cerita lain. Dan dengan membawa Aloy dalam cerita ini kami berharap untuk menumpang popularitinya. Dan mungkin juga menambah sedikit pembaca tulisan kami. Atau dalam kata yang lebih polos, kami menyebut nama-nama orang terkenal dengan harapan kami juga akan menjadi lebih terkenal.
Sebagai amaran, kami juga akan menyebut beberapa nama yang dikenali selepas dari bahagian ini. Diharapkan agar mereka berkongsi tulisan ini dimedia sosial agar kami menjadi lebih terkenal. Dan ia juga teknik atau tektik untuk memanjangkan sesebuah artikel. Sepatutnya tulisan ini boleh selesai dalam dua perenggan namun kerana dibayar mahal, kami merasa perlu menghargai usaha yang dibawa oleh portal ini. Ialah, apa ertinya terkenal dan dipuja jika ia tidak datang bersama kekayaan.
Yang mahu kami ceritakan adalah mengenai hal karya pelukis yang diciplak yakni sambungan dari tulis yang baru lepas. Kami tidak bermaksud untuk menulis artikel setiap minggu namun editor portal ini memaksa kami berbuat demikian. Salah kami juga apabila berjanji akan menulis artikel mengenai perkara tersebut pada ‘isnin depan’.

Dia ditanya bertubi-tubi oleh ramai seniman mengenai siapa yang terlibat lalu tekanan itu disalurkan kepada kami. Tipikal melayu.
Dan yang paling membuatkan kami terasa hati ialah apabila Laki Hanim mengatakan bahawa tulisan kami yang lalu amat mengecewakan.
Sebelum itu, jika kamu jenis yang membaca di antara garisan, kata ‘tidak bermaksud untuk menulis setiap minggu’ itu adalah sebuah tikaman kepada Ku Syafiq, ini adalah tusukan kerana kami dengki bagaimana dia boleh menulis setiap hari. Namun untuk berlaku adil, Ku Syafiq adalah seorang penulis yang bagus. Dan dalam keterpaksaan kami mengaku suka apa yang ditulisnya.
Kata-kata Laki Hanim itu memberi kesan yang mendalam kepada kami. Laki Hanim seperti semua orang tahu adalah seorang penulis, pemikir dan juga aktivis dunia buku dan segala jenis penulisan yang sangat dihormati di Ipoh dan mungkin juga di sesetengah kawasan di Terengganu. Bahkan dia sampai digelar sebagai ‘wali Ipoh!’. Begitu sekali sesatnya warga Ipoh ini rupanya.
Lalu kata ‘mengecewakan’ yang datang darinya memberikan impak yang besar terhadap kami. Dan tidak pernah kami merasa diri ini sekecil itu. Luka ditinggalkan kekasih pertama juga tidak sesakit pernyataan si Laki Hanim ini. Seperti semua orang yang memerlukan pengesahan orang ramai tentang kegemilangan diri, kami merasa seperti tidak berguna langsung. Diri yang tidak berapa tinggi ini merasa teramat kerdil. Mahu rasanya mengecilkan diri, meresap dan lenyap begitu saja.
Sebelum kami nyatakan siapakah yang terlibat dalam kes peniruan karya seperti diminta, jika kamu baca by-line di akhir setiap penulisan kami, kamu akan dapati ia seperti sebuah pernyataan mengangkat diri. Ketahuilah, sebenarnya kami sudah lama tidak menulis sendiri by-line berkenaan. Semuanya kami serahkan kepada editornya. Dan dua portal dimana kami selalu menghantar tulisan akan menggunakan bahagian berkenaan untuk berjenaka dengan kami.
Kadang ditulisnya kami ini ‘suka Mercedes berbanding Alphard’ atau ‘berminat menjadi pengusaha musang king’ misalnya. Dan dalam artikel yang lalu kami dikatakan sebagai ‘tidak memiliki PHD tetapi disenangi orang ramai orang’. Ini semua adalah falasi.
Seperti yang diketahui, jika diberi pilihan kami lebih suka memandu Kancil berbanding jenama lain dan kerana tahu betapa mahalnya durian musang king, kami dari lama dulu sudah bercita-cita untuk memiliki ladang durian dimana hasilkan akan kami berikan percuma kepada semua. Kamu doakan agar kami berjaya melakukannya.
Tentu saja ramai pemegang PHD seperti Dr, Rosli Zakaria atau Dr, Jamil Mat Isa misalnya yang disukai orang dan kami sangat tidak pasti apabila dikatakan sebagai disukai. Kami sedar diri betapa mencintai dan dicintai tidak datang dengan keterpaksaan. Ia adalah alami. Lalu kami juga akan katakan bahawa cinta antara dua insan yang bersandarkan ‘ketegangan’ adalah petaka yang dibawa oleh syaitan.
Sebut fasal dicintai, baru-baru ini orang yang rajin memicit kaki kami sebelum tidur bertanya sama ada benar yang kami telah menambah satu lagi cawangan. Soalan begini jika ditanya oleh orang lain akan dijawab dengan pelempang namun kerana penuh dengan kasih sayang, kami mengatakan, siapalah yang mahu dengan lelaki yang separa botak, rongak gigi sebatang serta perut yang lebih tinggi dari buah dada ini.
Jawapan itu mungkin tidak meyakinkan namun ia adalah satu pernyataan mengenai betapa kami sebenarnya seorang yang rendah diri.
Ok. Balik kepada tujuan sebenar artikel ini.

Kami diberitahu oleh Zaim Durulaman bahawa Jamil Mat Isa telah melihat beberapa karya yang seakan-akan karyanya dan juga beberapa artis lain dipamerkan di Institut Kanser Negara (IKN) .
Jamil kemudian memberitahu pihak IKN mengenai kecurigaannya itu kepada pihak IKN.
Setelah diberitahu, pihak IKN kemudiannya telah berhenti dari mempamerkan semua karya-karya yang dipertikaikan itu . Ini adalah suatu tindakan yang terpuji. Tahniah kepada IKN yang segera bertindak.
Kami sertakan juga foto karya asal Zaim Durulaman dan lukisan yang diciplak sebagai perbandingan. Hah!, seperti yang kami katakan dari awal tadi, semua keterangan yang diperlukan untuk kes berkenaan boleh saja kami habiskan dalam dua perenggan. Dan kami juga ingin menyarankan kepada semua agensi Kerajaan yang berminat untuk memiliki karya-karya seniman tempatan mengikut jejak Langkah yang dilakukan oleh Institut jantung Negara (IJN).
Lihat Bagaimana IJN dengan bergayanya mempamerkan karya Raja Azhar di lobinya. Ia bukan saja menambah prestij kepada agensi tersebut malah ia juga menjadi kebanggaan seluruh anggota yang galak melestarikan seni di negara ini.
Lalu jika IJN, IKN atau mana-mana agensi Kerajaan berminat untuk memiliki karya kami misalnya,
misalnya kami kata, maka pihak berkenaan boleh menghubungi editor portal ini. Hehehe..
– ABDULLAHJONES merupakan penulis dan pelukis yang amat meminati tulisan Ku Syafiq Ku Fozi tetapi tidak memilki satu pun buku tulisan Ku Syafiq.
