HARI ini hari cuti sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong. Hari ini juga merupakan hari berehat para pekerja yang terlibat dengan PBAKL 2024 yang melabuhkan tirainya semalam.
Sebahagian mereka mengambil peluang untuk bermalas-malas di atas katil atau pergi berurut kaki atau sedang duduk minum kopi sambil membayangkan percutian yang akan mereka nikmati setelah angka jualan buku rumah penerbitan tempat mereka bekerja melepasi sasaran yang telah ditetapkan. Sesetengah rumah penerbitan menjanjikan pakej umrah kepada pekerja mereka sebagai satu bentuk motivasi.
“Kalau ikutkan hati… saya nak pergi Paris. Tapi, tak apalah, bang. Pergi umrah pun bagus juga!” Kata seorang eksekutif rumah penerbitan apabila ditanyakan tentang janji majikan mereka kalau jualan melebihi RM1juta.
Bagi sebahagian ketua rumah penerbitan pula, mereka mungkin sedang membelek-belek resit dan laporan jualan untuk 10 hari PBAKL 2024 berlangsung sambil memikirkan hal itu ini. Ada yang untung dan ada yang balik modal dan tidak kurang ada yang rugi. Semuanya bergantung kepada kerja keras dan sedikit tuah. Segala strategi perniagaan dan pemasaran untuk PBAKL tahun hadapan bermula hari ini.
“Bolehlah buat beli tiket konsert ‘cipta’ M. Nasir.” Jawab satu dua penerbit yang sedikit berahsia apabila ditanya tentang jumlah pendapatan mereka pada kali ini. “Tempat duduk Awan Nano ‘je, bruh!”
PBAKL yang pada mulanya sedikit tercalar dengan rasa tidak puas hati beberapa pempamer menawarkan sebanyak 969 reruai berbanding 823 reruai pada 2023, iaitu peningkatan sebanyak 11.7%.
Ini membuktikan pihak penganjur berfikiran terbuka dengan mengambil kira pandangan kesemua pempamer yang terlibat dan berusaha untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul pada sebelumnya.
Sekalung tahniah buat Pengerusi Pengelola PBAKL 2024, Mohd Khair Ngadiron, serta seluruh team yang berusaha bersungguh-sungguh dalam menjayakan ‘Hari Raya Perbukuan’ yang telah merekodkan sebanyak 1.8 juta pengunjung pada kali ini melebihi sasaran 1.5 juta pengunjung seperti yang telah ditetapkan terdahulu. (Sebagai rekod, PBAKL 2014 pernah menerima sejumlah 2.4juta pengunjung pada tahun berkenaan).
Pun begitu, terdengar beberapa rungutan daripada pengunjung dan pempamer pada PBAKL kali ini.
Bunyi bingit pembesar suara dari reruai penerbit-penerbit masih lagi berlaku. Sedikit sebanyak hal ini menyumbang kepada label yang diberikan kepada PBAKL sebagai ‘pasar malam buku’. Hal ini di luar kawalan penganjur sebenarnya dan kalau dilarang boleh menyebabkan pergaduhan. Penyelesaian kepada hal ini terletak atas sikap toleransi pempamer yang terlibat.
“Nak tukar gaya hidup ke nak tukar ubat gigi? Kamu pilihlah!”
Panji-panji promosi syarikat yang berceracakan di luar pintu masuk dewan pameran dan di sekeliling ruang eskalator tidak membawakan banyak fungsi dan kelihatan hanya menambah semak mata memandang. Kadang, kita terpaksa menyelak sebahagian panji-panji ini untuk melihat pengalun lagu Lemak Manis, Roslan Madun, yang sedang membuat persembahan di pentas utama di sebelah bawah.
“Nak tengok Roslan Madun ke nak beli buku? Ermmm, Roslan Madun lah.”
Roslan Madon memang rock!
Adalah lebih molek dan lebih berfungsi jika penganjur menyediakan papan tanda maklumat bersaiz besar tentang kedudukan reruai di setiap aras bagi memudahkan pengunjung.
Terdapat juga rungutan oleh satu dua pempamer tentang papan tanda besar yang dipasang di atas tumpu kasau (fascia) pempamer lain yang dikatakan menutup pandangan pengunjung kepada reruai mereka yang terletak di bahagian belakang dewan pameran.
Hal ini mungkin dapat diselesaikan jika penganjur (dan kontraktor ruang pameran) menyeragamkan tumpu kasau (fascia) setiap reruai dengan satu reka bentuk yang minimalis tetapi bergaya tinggi dan setaraf dengan pameran-pameran antarabangsa di dunia. Upahlah pereka dalaman yang mahir dan ada citarasa untuk kerja-kerja tersebut. Ketahuilah bahawa ‘look’ dan ‘style’ juga memainkan peranan besar dalam mencipta kesepaduan yang berfungsi.
Terdapat juga pandangan untuk meletakkan penerbit buku dan kedai buku pada lantai yang berlainan. Ia boleh dilaksanakan jika mahu. Cuma, apa perlunya? Dan hal ini perlu dikaji baik buruknya sebelum dilaksanakan. Bagaimana pun, saya menyokong pandangan ini tanpa rasa prajudis.
Di laman Facebook hari ini penuh dengan gambar-gambar di PBAKL 2024 untuk disandarkan pada kenangan. Mungkin pada penganjurannya yang akan datang kita akan dapat lihat ‘look’ PBAKL yang benar-benar antarabangsa.
************************************
JIMI MAHMUD adalah kawan Abdullah Jones.
