USAHA beberapa negara eropah dalam mengangkat sastera mereka sewajarnya dicontohi dalam usaha untuk mengantarabangsakan sastera Melayu.
Tokoh akademik, Profesor Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim menjelaskan negara seperti Norway, Itali, Sweden, Poland dan beberapa negara lain menyediakan dana yang besar dalam usaha membawa karya-karya penulis mereka ke peringkat antarabangsa.
Ruzy Suliza berkata, terdapat negara yang memberikan dana kepada penerbit luar untuk menterjemahkan karya-karya penulis mereka.
“Kita juga perlu menganjurkan festival-festival sastera yang bersifat antarabangsa untuk mempromosikan karya-karya penulis kita.
“Selain itu kita perlu juga bekerjasama dengan institusi-institusi budaya antarabangsa,” katanya pada sesi pertama Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) edisi ketiga.
Perbincangan bertemakan “Arah Tuju Sastera Kebangsaan” itu turut menampilkan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Muhaimin Sulan dan Pensayarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohd Zariat Abdul Rani.
Bagi Dr Mohd Zariat, beberapa perkara perlu dilakukan untuk memastikan sastera Melayu mencapai kemajuan seperti yang diinginkan penggiatnya.
“Jika kita bercakap kemajuan sastera Melayu satu perkara yang perlu kita lakukan ialah menyemak semula maksud sastera.
“Kita perlu melihat kembali iaitu takrifan kita terhadap sastera iaitu konsep fiksyen,” katanya.
Sementara, Dr Muhaimin pula menyarankan agar penulis-penulis berani memberikan teguran kepada kerajaan menerusi karya mereka.
“Perlu ada suara yang memberi teguran kepada kerajaan kerana itulah sifat madani.
“Kalau penulis hanya mahu memberi kesenangan kepada pemerintah maka negara menuju kehancuran,” ujarnya.
Pada sesi ketiga penganjuran SKPM, tema utama yang akan dibincangkan adalah “Penulis Teras Malaysia Madani”.
Tema ini dipilih dengan tujuan untuk menggambarkan peranan penting penulis dalam membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, berbudaya, dan berpandangan jauh dalam era moden.
SKPM berlangsung dari 19 hingga 20 Disember di Royal Park Hotel Bangi.

