SEWAKTU membelek-belek katalog Pameran Conteng di Tukang Arca Art Space (TUAS) pada 30 Oktober 2024 lalu, saya terpandang sebaris kapsyen atau lebih merupakan tajuk dalam salah satu lakaran Abdullah Jones yang berbunyi, “Apa dalam otak, keluar jadi kata” (media campuran, saiz 29.7 cm x 42 cm, 2021).
Lalu saya berfikir, sambil meneliti karya-karya lain yang diperagakan, mungkin juga apa yang Abdullah Jones catatkan itu boleh dihubungkan dengan frasa “Apa dalam otak, keluar jadi conteng.”Conteng yang mencerminkan minda, pemikiran dan perasaan.
Hal ini kerana “kata” atau “teks,” boleh merujuk kepada imejan, bukan semata-mata kata-kata, tulisan, ayat ataupun dialog. “Teks” adalah tanda yang mempunyai makna-makna tertentu (Tony Schirato dan Jen Webb, 2007. Understanding the visual. Los Angeles: SAGE Publications).

Dalam esei kuratorial untuk Pameran Conteng bertajuk “Chronicle of the non finito: sketch and conteng,” Musaddiq Mohamad Khalil telah menghuraikan dan membincangkan definisi lakaran atau sketch daripada pelbagai sudut. Secara ringkas, lakaran adalah lukisan, catan atau model yang dibuat sebagai deraf kasar sesuatu komposisi, asas kepada penghasilan sesebuah karya seni. Dalam konteks pameran ini, conteng pula adalah kata bahasa Melayu yang dikaitkan dengan lakaran atau lakaran kasar.
Jika diperluaskan, kata lakaran atau conteng boleh juga kita hubungkan dengan kata “coret” atau “doodle.” Mengikut buku Glosari Seni Lukis (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993: 60), “doodle” atau dalam istilah bahasa Melayu disebut “coret”, bermaksud “cara melukis yang tidak memikirkan kesudahannya atau hasilnya.” Oleh hal yang demikian, “conteng” pun bermaksud “coret.”
Coret atau lebih dikenali dengan istilah “doodle” semakin popular di kalangan umum, bukan sahaja bagi golongan pelukis mahupun kartunis seperti Dr. Rosli Zakaria, Khairulsani Ismail, Ronasina dan Abdullah Jones yang menyertai pameran ini, atau penggiat seni visual lain sebelum mereka seperti Zulkifli Dahlan, malahan di kalangan khalayak umum.
Dalam konteks seni moden global, pelukis-pelukis besar seperti Picasso dan Cezanne juga menghasilkan coret dan conteng sebagai lakaran awal karya, mahupun merakam potret serta karikatur rakan mereka. Ini dapat dilihat dalam buku berjudul The art of satire: painters as caricaturists and cartoonists from Delacroix to Picasso oleh Ralph E. Shikes dan Steven Heller (Pratt Graphics Center and Horizon Press, 1984).
Antara karya coret yang terkenal dan terpenting dalam seni moden Malaysia ialah “Realiti Berasing-Satu Hari di Bumi” (244 cm x 366 cm, 1977, Koleksi Balai Seni Negara) oleh pelukis Kumpulan Anak Alam, Zulkifli Dahalan. Berunsurkan kartun, figura-figura manusia dalam karya ini digambarkan berada di luar alam nyata dengan imejan-imejan lain yang keseluruhannya bersifat surealistik.
Hal ini selaras dengan konsep dan pendekatan pengkaryaan Anak Alam, yang berhasrat meneroka pendekatan-pendekatan baharu dalam berkarya, sama ada dalam bidang seni lukis, puisi mahupun kesusasteraan.
Umumnya, coret atau doodle adalah suatu bentuk lukisan yang dihasilkan secara kasual sewaktu seseorang individu itu melakukan perkara-perkara lain, seperti sedang berbual-bual atau mendengar sesuatu seperti muzik dan syarahan. Namun begitu, coret atau conteng, kini disifatkan boleh sahaja terhasil dalam bentuk lakaran atau cakaran tanpa makna kepada lukisan yang terperinci tentang sesuatu subjek, konkrit dan bermakna, dalam bentuk representasi ataupun abstrak.
Saya yakin lakaran-lakaran dalam Pameran Conteng ini telah dihasilkan dengan penuh kesedaran dan teliti, bukan sekadar sambil lewa atau kasual ketika membuat kerja-kerja lain. Oleh kerana penghasilannya memerlukan daya fikir dan ketrampilan bakat melukis, maka sudah sewajarnya conteng itu mencerminkan pemikiran pengkaryanya. Di samping mencerminkan minda, conteng dan coret menjadi suatu bentuk terapi, meluahkan emosi dan ekspresi.
Bagi banyak penggiat seni visual, conteng atau coret, iaitu dalam bentuk lakaran dan lukisan menjadi asas percambahan dan pengembangan idea. Pelukis tegar sering kali menganggap atau menjadikan lakaran sebagai suatu kemestian dalam proses kreatif dan mereka tidak dapat dipisahkan daripada buku lakaran, walaupun mungkin pada masa kini buku konvensional atau fizikal dan kaedah itu sudah digantikan dengan pelbagai jenis peranti dan aplikasi digital.
Meskipun tidak terbatas dari segi bentuk dan rupa, karya coret dan conteng lazimnya bersifat linear atau bergaris, berpusar, berulang-ulang,bercorak dan bergambar,sesuai dengan kespontanan menghasilkannya dalam ruang masa yang terhad dan singkat.
Walaupun begitu, pada masa kini, aktiviti mencoret ini dihasilkan menerusi perancangan yang lebih sistematik dan teliti penuh keasyikan dan ketelitian. Coret atau conteng sudah dianggap sebagai suatu genre seni visual yang berdiri sendiri, bukan semata-mata bersifat sampingan, sebagaimana ditujukkan oleh Rosli Zakaria, Khairulsani Ismail, Ronasina dan Abdullah Jones dalam Pameran Conteng di TUAS.
Pameran Conteng yang berlangsung daripada 30 Oktober hingga 30 Disember 2024 di Tukang Arca Art Space (TUAS) milik pengarca Dr. Rosli Zakaria di Masjid Tanah, Melaka itu telah dilancarkan oleh ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada hari Ahad 10 November 2024 lalu. Memuji usaha murni Rosli membangunkan TUAS dan mengadakan pameran tersebut, beliau juga berkeyakinan TUAS berupaya mendekatkan seni dengan komuniti, terutamanya dengan penglibatan pelajar-pelajar sekolah di sekitar Lendu, dan menjadi lokasi tarikan pelancongan yang baharu.
Dalam Pameran Conteng, Rosli Zakaria memperagakan bukan sahaja lakaran dan lukisan, malahan model-model arca kecil, yang kalau mengikut tulis Musaddiq Mohamad Khalil dalam esei kuratorial pun boleh dikategorikan sebagai lakaran atau conteng.
Antara perkara yang menarik perhatian saya dalam lakaran-lakaran Rosli ialah bukan sahaja pada kepelbagaian bahan yang digunakan serta kekuatan dan kespontanan garis yang ditampilkan, tetapi juga pada bait-bait kata dan ayat yang mengiringi lakaran-lakaran tersebut. Kata-kata ini ada pelbagai jenis, bentuk, rupa dan gaya, termasuklah terjemahan ayat suci al-Quran, puisi, nota seni dan fikir, dan pernyataan-pernyataan seni.
Contohnya dalam karya Rosli yang berjudul “Lakaran 3D#5” (besi, kayu, clamp, saiz 18 cm x 23 cm x 10 cm, 2024), tercatat petikan Surah Al-Haj, ayat 46 yang berbunyi: “Maka apakah mereka tidak pernah berjalan di bumi sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada.”
Dalam konteks ini, Rosli secara tersirat menghubungkan persoalan seni dengan nilai estetik, yang pernah digarap al-Ghazali, bahawa keindahan sebenar bukan sahaja pada bentuk luar, tetapi keindahan dalaman yang terbit di dalam hati: melihat bukan hanya dengan mata kasar, tetapi juga dengan mata hati.
Dalam “Lakaran 3D#7” (besi, saiz 23 cm x 41 cm x 23 cm, 2024), terdapat catatan berikut: “arca berhak mengubah fungsi asal sesuatu objek.” Ini adalah suatu pernyataan seni yang bukan sahaja mencerminkan prinsip dan kefahaman Rosli dalam pengkaryaan, malahan bersifat sejarah sekiranya kita melihat kepada perkembangan sejarah seni arca dan karya konsepsual, khususnya arca Marcel Duchamp berjudul “Fontaine” (1917) yang menampilkan objek sedia cipta sebagai karya seni, atau karya-karya arca Pablo Picasso yang menggunakan pendekatan serupa. Dalam konteks ini, idea dan teori menjadi seni, justeru mengubah makna objek berdasarkan konteks dan persekitaran baharu.
Saya percaya teks dan kata-kata yang mengiringi lakaran bukan sahaja merupakan catatan idea dan minda Rosli, tetapi juga sebagai strategi dan perancangan penghasilan karya, pada masa yang sama memberi isyarat kepada penghayat perihal makna karya-karyanya, di samping mendidik.
Jiwa Rosli bukan hanya jiwa seorang seniman, tetapi juga jiwa seorang pendidik, mantan pensyarah yang telah mendidik ramai graduannya. Hal ini juga terserlah dalam karya “Seni tanpa prejudis” (pen, saiz 22 cm x 15 cm, 2017) di mana dia menulis “Tok Guru tidak ingin tergesa-gesa, mengatur masa untuk meletakkan prejudis di hadapan sebelum membuat penilaian.” Dalam konteks ini, karya-karya Rosli menyarankan bahawa karya seni visual perlu dihayati secara total, merangkumi rupa dan jiwanya, imej dan teks yang ditampilkannya.

Salah satu aspek dikesan yang menghubungkan keempat-empat pengkarya ini adalah keupayaan mereka dalam melukis dan menulis, serta kecenderungan kepada puisi dan kesusasteraan. Hal ini dapat dilihat dengan bait-bait kata puitis ataupun kata-kata dan dialog bermakna yang mengiringi imejan atau lakaran yang ditampilkan mereka.
Sebagai contoh, Khairulsani Ismail dalam karya berjudul “Self-portrait no 38” (pen dan dakwat atas kertas, 10.5 cm x 14.8 cm) meletakkan teks berbunyi “melurut wajah menajam pandangan rintik peluh membasah badan/tubuh” di kanan imej, sementara di kirinya, “dunia semakin gelap bulan tidak lagi menyinar bintang tidak berkelip.” Sementara dalam karya berjudul “Hidup bukan satu bebanan” (media campuran atas kertas, 14.8 cm x 21 cm, 2020), dia menulis, “hidup bukan satu bebanan maka bertabahlah jiwa.”
Bait-bait ayat ini membawa makna yang tertentu, dengan ilustrasi atau lakaran yang menyokong atau berhubungan dengannya. Dalam banyak lakaran Khairulsani, kita ditemukan dengan figura-figura absurd dan bersifat karikatur dengan imejan objek seperti pedang atau benda tajam menusuk tubuh. Ini bagaikan kiasan hidup, meskipun sukar, manusia harus terus bertabah dan bersabar.
Dalam perbualan ringkas bersama saya, Sani menyebut, biasanya apabila sudah mula mendapat rentak dan memulakan sesebuah lakaran, dia semacam terus mengikut alunan minda dan gerakan tangannya dalam melakar. Gerakan tangannya bergerak lancar dan mindanya bagaikan mengalir dengan selesa. Karya-karyanya agak surealistik, sering kali mengingatkan saya kepada lakaran-lakaran Hieronymus Bosch dan Tim Burton. Menurut Sani, kebanyakan kolektornya berada di luar negara, kerana ada komuniti seniman dan kolektor seni yang cenderung kepada karya-karya sebegini.

Abdullah Jones dan Ronasina berkongsi kecenderungan pada karya-karya berbentuk kritik sosiopolitik dengan pendekatan sarkasme. Hal ini bertolak daripada latar belakang mereka yang telah sekian lama terlibat dalam penghasilan genre sedemikian baik dari segi penulisan mahupun lukisan, khususnya seni kartun dan karikatur.
Tulisan satira Abdullah Jones mengingatkan saya kepada ruangan pojok tokoh kewartawanan moden Abdul Rahim Kajai yang mengiringi lakaran karikatur “Wak Ketok” oleh Ali Sanat dalam akhbar Utusan Zaman pada akhir tahun 1930-an dan awal 1940-an, sementara Ronasina pula pernah menjadi editor majalah satira tajam Gedung Kartun dan majalah humor nasional Gila-Gila. Justeru itu, tidak menghairankan kita dapati unsur-unsur kartun, karikatur dan sarkasme yang kuat dalam karya-karya mereka.
Ronasina (Mohd Affandi Ramli) dalam karya “Senyum itu sedekah” (dakwat dan akrilik, 210 mm x 295 mm, 2023) menampilkan suasana beberapa figura di ruang masuk ke sebuah masjid. Dengan kapsyen “Mencari senyuman di masjid” di bahagian atas karya, dia menggunakan pendekatan konvensional seni kartun dalam menyampaikan naratif, mesej dan makna, iaitu menggabungkan label, kapsyen atau teks dengan imejan. Di dinding kiri, tertampal poster dengan kata “SENYUM” serta beberapa figura kelihatan tersenyum dan mengalu-alukan kedatangan jemaah.
Dua figura kelihatan di latar hadapan dengan seorang daripadanya berkata yang ada orang menyebut susah untuk menemui orang tersenyum di masjid, walhal semua orang Islam itu bersaudara, dan tidak mungkin masjid dipenuhi orang sombong. Karya ini berbicara dengan khalayak secara sinis, dan mungkin ada yang terasa atau barang kali kembali menilai diri sendiri.

Hakikatnya, memang tidak semua orang di masjid mudah memberikan senyuman, walaupun perbuatan itu merupakan satu sedekah. Sarkasme lain adalah perihal masyarakat hari ini yang taksub dengan media sosial seperti facebook, meskipun punya ramai kawan di alam maya, realitinya mereka kesunyian. Ini yang dilakar Ronasina dalam “Jangan sedih… hari ini kita ada ramai kawan…”
Selain daripada karya berjudul “Apa dalam otak keluar jadi kata” yang semacam merumuskan Pameran Conteng, antara karya Abdullah Jones yang kritis dalam meneliti realiti kehidupan hari ini ialah lakaran berjudul “Rakyat” (media campuran, saiz 29.7 cm x 42 cm, 2022) yang diiringi dengan kapsyen : “durian dan mentimun.”

Secara literal, dapat ditafsirkan, karya ini memerihalkan nasib dan kehidupan rakyat kebanyakan yang sentiasa perlu berusaha dan berjuang dalam meneruskan kelangsungan hidup, berbanding dengan golongan berada dan pemimpin yang mempunyai “kuasa dan harta.” Karya ini berbicara tentang perbezaan darjat dan kedudukan dalam kehidupan.
Meneliti dan menghayati karya-karya dalam Pameran Conteng ini, kita dapati salah satu aspek yang menghubungkan keempat-empat pengkarya ini adalah kecenderungan dan ketrampilan mereka dalam menghubungkan pengucapan bahasa seni visual dengan kesusasteraan. Hal ini dapat dilihat menerusi penggunaan bait-bait kata puitis ataupun kata-kata dan dialog bermakna yang mengiringi imejan atau lakaran yang ditampilkan. Dalam konteks ini, teks atau tulisan turut membantu khalayak dalam memahami imejan, justeru menjadikan penghayatan karya lebih terpimpin sifatnya. Karya-karya dalam Conteng mencerminkan pemikiran dan persepsi pelukis terhadap seni, alam, kehidupan dan persekitaran mereka. Pameran Conteng di TUAS juga menunjukkan bahawa seni itu perihal membaca, bukan sahaja membaca imejan dan kata-kata, tetapi juga membaca mesej, makna dan minda.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.

