Edisi keenam CIMB Artober 2026 memperkuatkan posisinya sebagai platform acara dan pameran seni visual tanahair dengan penyertaan artis visual dari pelbagai latar dan praktik serta inisiatif kemanusiaan dan juga sokongan terhadap pengkarya kurang upaya, sekali gus mengangkat persoalan tentang akses, nilai dan kelestarian ekosistem seni kreatif dalam edisi kali ini.
Dalam suasana seni visual Malaysia yang agak berkembang, pameran seni bukan lagi sekadar ruang mempertemukan karya dengan khalayak.
Ia turut menjadi medan untuk meneliti bagaimana seni bergerak, siapa yang memperoleh akses kepada pasaran, dan sejauh mana institusi serta sektor korporat mampu menyumbang kepada pembentukan ekosistem dunia seni kreatif yang lebih inklusif.
Persoalan ini menjadi antara titik tumpu CIMB Artober 2026, yang kembali untuk edisi keenam dengan agenda menghubungkan seni, komuniti dan tanggungjawab sosial.
Berlangsung selama lima hari di Ombak KLCC, Kuala Lumpur, dari 28 Oktober hingga 1 November 2026, acara tahunan anjuran CIMB Group Holdings Berhad ini memperluas formatnya sebagai platform yang menghimpunkan artis, galeri, pengumpul dan peminat seni.
Penganjuran tahun ini turut menekankan peluang untuk artis baharu dan pengkarya kurang upaya, selain menghubungkan kegiatan seni dengan usaha kemanusiaan.
Sejak diperkenalkan pada 2020, CIMB Artober dilaporkan telah menjana lebih RM23 juta untuk komuniti seni. Angka tersebut memberikan gambaran tentang skala penglibatan sektor korporat dalam menyokong usaha pelestarian dari aspek komersial dalam bidang seni kreatif tempatan.

Memperluas akses kepada seni
Salah satu ciri utama Artober 2026 ialah penekanannya terhadap penyertaan artis yang berhadapan dengan halangan untuk memasuki pasaran seni konvensional.
Dalam industri yang banyak bergantung pada rangkaian galeri, hubungan dengan pengumpul serta akses kepada pameran, keterlihatan merupakan antara faktor yang dapat mempengaruhi peluang seseorang artis untuk membina kerjaya.
Penyertaan Frienden Arts memperlihatkan dimensi ini dengan lebih jelas.
Diasaskan oleh Branden Lim, seorang artis yang hidup dengan atrofi otot spina (SMA), platform dan galeri seni ini mempamerkan karya artis kurang upaya serta individu dengan keadaan kesihatan yang langka.
Melalui platform tersebut, karya mereka berpeluang mencapai khalayak yang lebih luas, di samping membuka ruang untuk menjana pendapatan melalui amalan seni.
Kehadiran Frienden Arts mengalihkan perhatian daripada representasi semata-mata kepada persoalan yang lebih substantif: bagaimana artis boleh memperoleh autonomi ekonomi dan membina hubungan berterusan dengan penggemar seni visual?
Penyertaan dalam acara berskala besar boleh menjadi satu langkah penting, tetapi keterangkuman yang bermakna turut bergantung pada akses fizikal, kemudahan komunikasi, kesinambungan peluang pameran dan sokongan terhadap perkembangan kerjaya jangka panjang.
Dalam hubungan ini, usaha memperluas penyertaan artis kurang upaya wajar dikembangkan menjadi sebahagian daripada perancangan yang lebih meluas tterhadap struktur industri seni kreatif di masa hadapan.
Daripada ruang pameran kepada usaha kemanusiaan
Dimensi sosial Artober turut diteruskan melalui lelongan seni yang dikendalikan oleh MERCY Malaysia yang dijadualkan diadakan pada pada 1 November 2026. Hasil lelongan tersebut akan disalurkan kepada Dana Kemanusiaan Am MERCY Malaysia, sekali gus menghubungkan pemilikan dan pertukaran karya seni visual dengan sokongan terhadap usaha kemanusiaan.
Lelongan amal mempunyai kedudukan tersendiri dalam hubungan antara seni dan masyarakat. Selain menawarkan peluang kepada pengumpul untuk memperoleh karya, mekanisme ini boleh menggerakkan sumber kewangan kepada organisasi yang menjalankan kerja bantuan.
Untuk Artober kali ini, inisiatif tersebut memperluas fungsi acara daripada platform pameran dan pasaran kepada ruang yang menghubungkan komuniti seni dengan keperluan sosial yang lebih besar.
Apabila seni digunakan sebagai wahana untuk menyokong tujuan kemanusiaan, hubungan antara nilai estetik, nilai pasaran dan juga nilai sosial, model ini menjadi semakin penting untuk ekosistem seni visual di Malaysia.
Pendekatan CIMB ini selari dengan aspirasi kumpulan tersebut untuk menghubungkan kegiatan perniagaan dengan pembangunan masyarakat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin, nilai seni melangkaui apa yang dapat dilihat, khususnya melalui keupayaannya membuka peluang, menghubungkan manusia dan membina hubungan antara sektor seni, perniagaan serta komuniti.

Kepelbagaian amalan dan jaringan galeri
Untuk program kali ini, Artober 2026 menawarkan pameran terkurasi, program apresiasi seni dan juga sesi perkongsian ilmu. Para pengunjung turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan artis, galeri, pengumpul dan pakar seni.
Susunan ini bertujuan menarik khalayak yang merangkumi pengumpul berpengalaman hingga mereka yang baru mula berjinak-jinak dalam dunia seni visual tempatan.
Antara artis yang mengambil bahagian kali ini ialah Mohd Al-Khuzairie, Fawwaz Sukri, Najib Bamadhaj, Eiffel Chong, Khabir Roslan, Haafiz Shahimi, James Seet dan Bayu Utomo Radjikin.
Galeri serta organisasi yang terlibat termasuk Art Plus Contemporary, The Bauhaus Gallery, Capital Fine Art, Core Design Gallery, G13 Gallery, O Sculpture Art Space, TAG, Taksu, Tokö dan Wei-Ling Gallery.
Penyertaan mereka bersama pelbagai galeri dan penggerak kreatif memperlihatkan keluasan jaringan yang ingin dihimpunkan oleh CIMB Artober 2026.
Turut mengambil bahagian ialah Frienden Arts, Kakao Origins, Pahang Pavilion, Rovski dan Yayasan Hasanah.
Kehadiran pelbagai penggerak ini menjadikan Artober ruang pertemuan antara pengamal seni, pengurusan galeri, pemasaran karya serta pembangunan khalayak.
Dalam jaringan yang sering memerlukan hubungan antara artis dengan pembeli untuk memastikan kelangsungan kerjaya, platform yang mempertemukan pihak-pihak ini boleh memainkan peranan penting dalam membina rangkaian dan memperluas pasaran.
Seni dalam kerangka ekonomi kreatif
Pemilihan Ombak KLCC sebagai lokasi penganjuran tahun ini menandakan peluasan Artober ke sebuah mercu tanda seni bina terbaru di Kuala Lumpur.
Pembukaan Artober 2026 telah dirasmikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, yang diiring oleh Pengerusi CIMB Group, Datuk Syed Zaid Albar dan Novan Amirudin.
Berlangsung setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam, Artober turut menawarkan diskaun kepada para pelanggan CIMB di galeri yang mengambil bahagian. Insentif ini memperlihatkan bagaimana acara seni dapat menghubungkan pengalaman budaya dengan mekanisme pasaran.
CIMB Artober 2026 membawa bersama beberapa agenda yang saling berkaitan: memperluas akses kepada seni visual tempatan, menggalakkan penyertaan artis daripada latar yang berbeza, menyokong usaha kemanusiaan serta mengukuhkan jaringan ekonomi seni kreatif negara.

Pameran seni visual CIMB Artober 2026
Tarikh/Masa: 28 Okt – 1 Nov 2026 (Rabu – Ahad) / 10 pagi – 10 Malam
Lokasi: Aras 1, Ombak KLCC, Kuala Lumpur.
Masuk percuma.
