Di tengah-tengah kepesatan dunia seni Asia Tenggara, CIMB Artober Art and Soul 2025 muncul kembali sebagai pentas utama yang mengangkat seni dan budaya Malaysia ke persada antarabangsa. Dikenali sebagai inisiatif seni unggul anjuran CIMB Group Holdings Berhad, festival ini memasuki edisi kelima dengan misi berani untuk menempatkan Malaysia sebagai pusat kreativiti dan pertukaran budaya di rantau ASEAN.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, CIMB Artober telah berkembang menjadi antara platform seni paling menonjol di negara ini. Setiap tahun ia memperlihatkan sekitar 1000 karya seni dan berjaya menjana lebih daripada RM20 juta untuk komuniti seni tempatan. Tahun ini festival menghimpunkan lebih 30 galeri dan pedagang seni dengan penyertaan lebih 100 seniman merentas pelbagai disiplin.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz yang memuji impak besar festival ini dalam melahirkan generasi seniman baharu.
“Ini sudah masuk tahun keempat Artober, jadi tahniah kepada CIMB atas visi anda. Program ini bukan sekadar menyokong seniman tempatan, tetapi tentang memberi kembali kepada masyarakat.
“Ketika kami berjalan di ruang pameran hari ini, kami melihat bagaimana ramai seniman muda Malaysia sudah berkembang menjadi nama yang berjaya.
“Tanpa sokongan semua yang hadir di sini, bakat luar biasa ini mungkin tidak akan kita saksikan,” katanya.

Turut sama memeriahkan acara ialah Pengerusi CIMB Group Datuk Syed Zaid Albar serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Novan Amirudin. Kehadiran para delegasi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN menyerlahkan lagi peranan Artober sebagai jambatan budaya yang menghubungkan Malaysia dengan rantau sekitarnya.
Bagi Novan, penganjuran CIMB Artober bukan sekadar pesta seni sebaliknya ia turut memberi inspirasi untuk berfikir.
“CIMB Artober adalah tentang seni untuk semua. Seni yang memberi inspirasi kepada cara kita berfikir, yang mencabar kita untuk membuat pendirian, dan yang mendorong kita membayangkan dunia baharu dan tidak sekadar mewarisinya.
“Seni juga memperkuat suara yang terpinggir, membina empati dan mengukuhkan komuniti.
“Seperti seni, CIMB percaya kepada kepelbagaian dan memastikan semua pihak mendapat manfaat.
“Itulah sebabnya Artober jauh melampaui sebuah pameran seni kerana ia merupakan platform inspirasi,” jelas beliau.
Menariknya, CIMB Artober 2025 turut menampilkan inovasi digital dengan katalog interaktif baharu yang membolehkan pengumpul membayangkan karya seni pilihan terus dalam ruang kediaman mereka sebelum membuat pembelian.
Selain itu, festival ini akan mengadakan lelongan amal pada 28 September dengan hasil jualan disalurkan kepada usaha bantuan Gaza melalui Mercy Malaysia.

CIMB Artober 2025 berlangsung dari 26 hingga 28 September di Hall 1 Malaysia International Trade and Exhibition Centre Kuala Lumpur.
Pameran dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 8 malam dan masuk adalah percuma. Pemegang kad CIMB juga menikmati keistimewaan tambahan iaitu diskaun 10 peratus bagi pembelian bernilai RM10,000 ke atas serta 15 peratus bagi pembelian melebihi RM25,000 dalam satu resit di galeri yang mengambil bahagian.
Dengan gabungan seni, solidariti dan teknologi, Artober 2025 bukan sahaja meraikan karya kreatif malah mengangkat Malaysia sebagai hab seni dan budaya yang berdaya saing di rantau ASEAN.
