CIMB Artober Art & Soul kembali untuk edisi ketiganya tahun ini dengan gaya yang lebih meriah dan penuh inspirasi, membawa para penggemar seni dari seluruh Malaysia untuk merasai keindahan dunia seni kontemporari. Bermula 24 hingga 27 Oktober 2024, acara ini berlangsung di Dewan 1, Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), mempamerkan lebih 1,000 karya seni oleh lebih 100 artis tempatan dari pelbagai galeri terkemuka termasuk Galeri Puteh, Cult Gallery, Sareng dan beberapa lagi.
Majlis pelancaran Artober 2024 disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah , bersama-sama dengan Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad. Dengan dukungan pemimpin CIMB, Artober telah menjadi platform untuk menyokong perkembangan seni tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi seni dan budaya bertaraf dunia.
Mohd Nasir memuji peranan CIMB Artober dalam memajukan ekosistem seni Malaysia.
Beliau berkata,CIMB Artober Art & Soul telah menjadi pendorong ekonomi penting untuk seni Malaysia, menjana lebih daripada RM15 juta dan memberi manfaat kepada lebih 200 artis sejak ia dimulakan.
“Pameran seni ini telah meraih ikutan ramai, mendapat sambutan yang kukuh dan mempunyai jumlah pengunjung yang lebih besar, dan kami berharap agar legasi Artober dapat diteruskan bagi menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi artis dan pereka fesyen tempatan.”
“Dijalankan seiring sambutan 100 tahun sejarah CIMB, merupakan penghargaan mendalam untuk bidang seni, yang membuktikan komitmen kami untuk mengukuhkan ekosistem seni dan budaya Malaysia.
“CIMB yakin terhadap seni sebagai nadi kepada pemeliharaan budaya dan pembentukan komuniti, selain dilihat penting dalam meningkatkan ekonomi kreatif tempatan.
“Kami berbangga dapat memainkan peranan kami dalam menyediakan akses kepada seni buat pengunjung yang lebih besar, memacu reputasi awal Kuala Lumpur sebagai pusat seni terkemuka di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.
Kita Bagi Jadi: Gerakan Sosial
Sambutan 100 tahun CIMB juga diangkat melalui inisiatif Kita Bagi Jadi, yang menumpukan kepada keterangkuman ekonomi dan sokongan kepada bakat-bakat muda. Melalui persembahan Orkestra Belia Filharmonik Malaysia (MPYO) sepanjang hujung minggu, acara ini menggabungkan elemen muzik klasik dan seni visual, menjadikan pengalaman ini lebih menyeluruh dan memikat hati pengunjung.
Antara tarikan utama CIMB Artober tahun ini adalah koleksi karya seniman Datuk M.Nasir yang dipamerkan di reruai Galeri Puteh. Selain karya M.Nasir, Galeri Puteh turut mempamerkan karya-karay seniman muda seperti Kide Baharudin dan isterinya Ika Sharom serta Ronnie Muhammad.

CIMB Artober turut menampilkan The AFK Collection yang mempamerkan 30 karya penting seni kontemporari Malaysia. Koleksi ini turut menampilkan karya transformatif Fauzan Omar, seorang ikon seni kontemporari yang terkenal dengan pendekatan visual yang mendalam dan penuh makna. Pameran ini bukan sahaja menonjolkan keunikan seni tempatan, malah membuka ruang untuk menyemai penghargaan terhadap bakat-bakat seni Malaysia yang disegani.
Menarik perhatian ramai adalah pertunjukan fesyen bertajuk ‘Bungolado’, yang mempersembahkan koleksi songket tenunan tangan oleh banduan Penjara Marang. Program rehabilitasi penjara ini bukan sahaja membawa nilai seni, tetapi juga merupakan satu usaha untuk memulihkan dan membina semula kehidupan mereka yang terlibat. Pertunjukan ini memberikan perspektif baharu tentang bagaimana seni dapat menjadi alat perubahan dalam masyarakat, menyentuh hati dan minda penonton.
Pencinta fesyen bakal disajikan dengan persembahan koleksi rekaan oleh pereka ternama seperti Dato Radzuan Radziwill dan Ezuwan Ismail, bersama karya dari bakat muda Universiti Teknologi MARA, Universiti Tunku Abdul Rahman, dan Universiti Limkokwing. Menariknya, pereka muda berusia 13 tahun, LeiYa Lim, turut akan mempersembahkan hasil karyanya, menandakan kebangkitan generasi baru yang menjanjikan masa depan fesyen yang cerah di Malaysia.
Sebagai platform untuk pengunjung berinteraksi dan berbincang berkenaan seni, CIMB Artober tahun ini turut menganjurkan sesi dialog seni oleh tokoh terkemuka dalam bidang seni tempatan. Sesi dialog seni ini dikendalikan oleh penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin dan Datuk Tiffanee Marie Lim dari Limkokwing University of Creative Technology.
Sebagai penghargaan kepada pemegang kad CIMB, Artober menawarkan diskaun eksklusif hingga 15% untuk pembelian melebihi RM25,000 di galeri-galeri yang mengambil bahagian. Inisiatif ini adalah tanda komitmen CIMB untuk memperkasakan komuniti seni tempatan, sekaligus memberikan nilai tambah kepada pelanggan setianya.
CIMB Artober 2024 bukan sekadar pameran seni, ia adalah sebuah perayaan yang mengangkat identiti Malaysia sebagai pusat seni dan budaya yang unggul. Bagi anda yang ingin merasai sendiri keindahan seni, kunjungi MITEC dan nikmati karya-karya yang mampu mencetuskan inspirasi mendalam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi CIMB Artober 2024.

