SETIAP pagi, kadang-kadang seawal jam tujuh, saya pasti menerima mesej WhatsApp daripada Irwan. Dia tidak pernah gagal menghantar pautan artikel-artikel baharu di Seni Malaya, dan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pautan untuk siri podcast yang sedang dia bangunkan dengan penuh semangat. Ia sudah jadi rutin hariannya. Tatkala saya menulis ini, saya pasti sudah ramai yang merindui mesej-mesej hariannya.

Rutin saya pula, saya akan klik, baca dan kembali ke WhatsApp untuk meninggalkan apa saja emoji yang ibu jari saya tekan: love, thumbs up atau kadang-kadang ketawa sampai keluar air mata walaupun saya sebenarnya mahu beri love. Biasalah, pagi-pagi mata masih kabur. Jika saya suka apa yang saya baca, saya akan bertanya soalan, “siapa ni bro?” dan Irwan, seperti biasa, akan menjawab setiap satu tanpa culas.
Dia akan perkenalkan kepada saya nama-nama yang disiarkan di portal ini. Saya akui ramai yang saya tidak kenal, kecuali Abdullahjones dan Fazleena Hishamuddin. Irwan akan beri sedikit latar belakang, dahulu penggiat apa, sekarang buat apa, pensyarah di universiti sekian-sekian dan macam-macam lagi jawapan untuk soalan-soalan saya. Irwan tidak pernah letih melayan, seolah-olah ini sebahagian daripada tugasnya sebagai ketua editor portal.
Saya melihat dua fungsi utama mesej-mesej daripada rakan saya ini, pertamanya pastilah berhubung Seni Malaya yang sentiasa saya sokong sejak awal lagi, dan kedua pula lebih bersifat peribadi di mana saya dapat berinteraksi dengan seorang rakan yang jarang saya jumpa sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Maka mesej-mesej itu sebenarnya bawa dua kemas kini, tentang Seni Malaya, dan tentang Irwan dan set sosial saya.
Jam 6:52 pagi 11 Disember, Irwan hantar pautan artikel terbaharu untuk hari itu. Malam sebelumnya saya tonton podcast Seni Malaya yang membincangkan isu buku dan penerbitan bersama Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron. Kebetulan minggu itu memang saya banyak buat kajian tentang dunia penerbitan terutamanya penerbitan kecil, indie atau alternatif. Memang saya berniat untuk banyak bertanya pagi itu.
Namun, saya fikir nantilah dulu. Belah petang nanti mungkin lebih sesuai, ketika rentak hari sudah relaks sedikit. Pagi-pagi begini dia mungkin sibuk uruskan hal keluarga. Saya cuma sempat selitkan jenaka, sekadar bertanya sama ada lagu tema podcast itu dinyanyikan oleh seorang rock star rakan kami. Irwan jawab bukan, dan tinggalkan “hahahaha” sebelum kami tamatkan perbualan dan sama-sama meneruskan hari masing-masing.
Saya tidak tahu “hahahaha” itu akan jadi mesej terakhirnya kepada saya.
Jam 3 petang saya dikejutkan dengan mesej daripada rakan saya Fahmi yang memaklumkan Irwan sudah tiada. Saya baca dua kali dengan harapan tersalah baca. Ada beberapa orang rakan saya bernama Irwan juga, jadi saya baca betul-betul, memang tertulis Irwan Seni Malaya/Awani. Beberapa minit kemudian, sepupu saya Syafik wartawan Awani pula hantar mesej bertanya jika saya sudah dengar berita.
Saya kalut dan terus hantar mesej kepada Rahim, rakan baik saya yang juga rakan seperjuangan Irwan dalam Seni Malaya. Saya cuma hantar “Brooooo”. Dia balas ringkas, “Ya. Aduh.” Tiada huraian, tiada ayat panjang, tapi saya tahu dia faham sepenuhnya apa yang saya rasakan. Saya juga faham sepenuhnya apa yang dia rasakan. Dua mesej pendek itu cukup untuk mengesahkan bahawa rakan baik kami itu sudah tiada lagi.
Di Hospital Cyberjaya, waktu kami semua duduk di kafe menunggu kemas kini daripada pihak keluarga dan forensik hospital, saudara Uwei Haji Saari berkata kepada saya yang dia tidak pernah dengar apa-apa cerita tidak menyenangkan tentang arwah. Saya yang sebelum itu hanya duduk diam, masih kalut dan keliru, terus buka mulut dan bersetuju. Saya akui saya tidak ada memori yang tidak baik tentang rakan saya itu. Sifar.
Sepanjang tahun-tahun persahabatan kami, Irwan tidak pernah bawa masalah, tidak tambah beban dan tidak heret orang lain ke dalam kekusutan peribadi. Dia jarang bercakap tentang dirinya, apatah lagi mengeluh. Sebaliknya, dia hadir sebagai rakan yang memudahkan, membantu dan menyokong dengan cara yang tenang, kerana itu memang sudah menjadi tabiat hidupnya. Irwan memang relaks dan steady.
Saya mula mengenalinya di Central Market melalui Rahim. Sosoknya tinggi kurus, kepala dicukur licin, dia kelihatan pendiam dan serius. Saya tidak pernah benar-benar percaya pada zodiak, namun pengalaman hidup menunjukkan saya mudah rapat dengan mereka yang sebintang dengan saya, Capricorn. Mereka biasanya serius, tekun, kadang-kadang gila (pujian, bukan hinaan) dalam cara mereka sendiri.
Nama yang tersemat padanya waktu itu, Iwan Penulisan, menambah lagi keeratan kami. Saya akui saya banyak membesar dan bergelut dengan sastera Inggeris, dan satu-satunya karya sastera Melayu yang saya pernah baca hanyalah Salina. Pada waktu itu saya cuba membiasakan diri dengan seni dan sastera tempatan, jadi rakan-rakan saya di Central Market waktu itulah yang banyak memberikan pendedahan.
Setelah dinasihatkan oleh Allahyarham Salleh Ben Joned untuk menulis dalam Bahasa Melayu (anekdot yang saya selitkan dalam tulisan saya Suara Yang Tidak Pernah Diam), saya mula berjinak dalam dunia blog secara senyap dan rahsia. Saya menulis dan mengepos entri hampir setiap hari dengan nama timangan yang hanya keluarga saya tahu. Tidak seorang pun rakan saya tahu, kecuali mungkin Rahim sahaja kerana kami tinggal serumah waktu itu.
Beberapa minggu, atau mungkin bulan kemudian, kami duduk berbual sambil minum teh. Irwan tiba-tiba kata, “aku ada jumpa satu blog Melayu ni, bagus.” Saya hanya diam, berharap dia sedang bercakap tentang orang lain. Waktu itu zaman blogging dan semua orang ada blog. Bila dia sebut nama blog saya, Rahim terus tuding ke arah saya dan kata, “ini oranglah!” Irwan pandang saya dan senyum. Itu sudah cukup untuk saya teruskan menulis.
Momen kecil itu melekat dalam ingatan saya kerana ia memperlihatkan tabiat Irwan yang sebenar. Dia sentiasa membaca dan mencari tulisan baharu, tanpa mengira siapa penulisnya. Apa yang menarik perhatiannya adalah suara dan kejelasan fikiran, bukannya nama. Sokongannya lahir daripada minat yang tulen terhadap tulisan, bukan pujian yang dibuat-buat. Dari situlah keserasian semakin terbina, dan pastilah kami jadi semakin rapat.
Tahun demi tahun berlalu, Iwan Penulisan kami perlahan-lahan berubah menjadi Iwan Reporter. Irwan menyertai Astro Awani sebagai wartawan, membawa bersamanya semangat yang sama seperti dahulu: keseriusan, ketelitian, rasa ingin tahu dan disiplin terhadap cerita. Dia tidak sekadar menyampaikan berita, tetapi berusaha memahami latar, konteks dan manusia di sebalik setiap peristiwa.
Kadang-kadang saya bertembung dengannya di mana-mana acara atau majlis. Irwan masih orang yang sama: tenang, fokus dan tidak banyak bercakap di luar keperluan. Kami akan bertukar salam, beberapa ayat ringkas, mungkin satu dua jenaka kecil, sebelum masing-masing kembali kepada peranan sendiri. Walaupun singkat, pertemuan itu sentiasa mencerminkan konsistensi peribadinya. Dia hadir tanpa perlu menonjol, namun kehadirannya sentiasa dirasai.
Tidak lama selepas itu, kami mula tinggal serumah. Dua-dua pendiam, saling menghormati ruang peribadi masing-masing. Tiada konflik, tiada drama, cuma rutin harian yang sederhana tetapi memberi rasa selesa. Kadang-kadang kami bertembung di dapur atau ruang tamu, bertukar sepatah dua kata atau jenaka ringan. Perbualan yang ringkas itu menguatkan ikatan dan menjadikan perkongsian ruang terasa ideal.
Irwan tidak memandu, tapi dia ada kereta. Waktu saya mula bekerja di Damansara Perdana, dia beri saya guna keretanya tanpa banyak soal. Itulah kereta yang saya pandu setiap hari ke pejabat, pulang ke kampung pada hujung minggu, atau ke mana-mana saja. Saya guna kereta itu lebih setahun, sehinggalah saya mampu beli kereta sendiri. Ia bukan sekadar bantuan, tetapi satu kebaikan yang datang tanpa syarat dan tidak pernah diungkit.
Selepas fasa itu berakhir, kami meneruskan perjalanan hidup masing-masing. Apabila kami bertemu atau bertembung, perbualan kami masih sama seperti dahulu, ringkas dan bersahaja, cuma kini sering diselitkan dengan cerita keluarga, anak dan kehidupan yang semakin berubah. Saya melihat dia gembira dengan peranan baharunya sebagai suami dan bapa, dan itu cukup jelas tanpa perlu diucapkan. Saya gembira melihat dia gembira.
Dua tahun lepas, Irwan buat keputusan untuk tinggalkan Astro Awani. Dia pilih jalan yang lebih peribadi dan dari situlah Seni Malaya bermula. Tiada pengumuman besar, tiada gimik, hanya sebuah ruang yang menjaga penulisan dan perbualan tentang seni dengan jujur dan tekal. Bagi Irwan, kerja yang baik tidak perlu dilaungkan, cukup sekadar diteruskan dengan disiplin. Ia bukan sekadar projek, tetapi amanah yang dipegang dengan hati.
Dalam proses itu, Irwan secara perlahan mengajak saya menulis semula. Tiada paksaan, tiada dorongan yang berbunyi seperti nasihat. Dia sekadar memberi ruang, bermula dengan menghantar bahan untuk diterjemah, kemudian membiarkan saya bekerja dalam diam. Dia menunggu tanpa bertanya bila atau menekan apa-apa. Sedikit demi sedikit, tulisan kembali hadir dalam hidup saya walaupun agak berat pada mulanya.
Irwan memberi sokongan kepada ramai orang dengan cara yang sama seperti dia menyokong saya. Senyap, konsisten dan tanpa syarat, dia membuka ruang, mengajak orang menulis, membaca dan berfikir semula tentang seni. Dia tidak pernah membezakan antara nama besar atau suara baharu. Dia tidak banyak bercakap tentang kejayaan atau angka. Apa yang lebih penting baginya ialah kesinambungan dan kesungguhan.
Irwan jarang muncul sebagai pusat perhatian, tetapi kehadirannya terasa dalam jangka masa panjang. Banyak perkara yang dia lakukan hanya disedari selepas ia menjadi sebahagian daripada rutin, daripada cara membaca dengan lebih teliti, kesabaran terhadap proses hingga caranya memberi ruang kepada orang lain tanpa cuba mengawal apa yang akan terhasil. Dia buat semua itu tanpa mengharapkan apa-apa balasan atau pengiktirafan.
Hubungan dengannya tidak dibina melalui perbualan panjang atau janji besar. Ia terbentuk melalui tindakan kecil yang diulang-ulang, hari demi hari, tanpa bising dan tanpa drama. Pada waktu itu, semuanya kelihatan biasa sahaja, malah mudah terlepas pandang. Hanya selepas Irwan tiada, barulah saya sedar betapa besar peranannya yang sedang berlangsung dalam diam. Sesetengah orang tidak meninggalkan kesan melalui kata-kata, tetapi melalui cara mereka hadir, dan terus hadir.
Dunia seni kehilangan seorang penggiat yang tekun, yang sentiasa memupuk, mencari dan menjaga kerja kreatif dengan penuh rasa tanggungjawab. Dunia kewartawanan kehilangan seorang colleague berintegriti yang mendekati berita dengan kejujuran, ketelitian dan keadilan. Anak-anak muda kehilangan seorang mentor yang membimbing bukan dengan ceramah atau arahan, tetapi melalui contoh, kesabaran dan kepercayaan.
Saya, dan ramai lagi, kehilangan seorang rakan yang sangat baik. Kehadirannya mungkin senyap, tapi kesannya kekal selama-lamanya.
Al-Fatihah.
- AHMAD KAMAL ABU BAKAR boleh dihubungi di tulislajulaju@gmail.com.
