
SELEPAS mengembara ke masa lalu menerusi imaginasi tentang pekan-pekan lama dan kampung-kampung, Mohamad Khiddir Baharudin yang lebih mesra disapa Kide, mempelawa peminat seni berkelana bersamanya ke merata ceruk.
Kide seniman muda, usianya awal 30-an, namun pengaruhnya agak besar. Buktinya, beberapa tahun lalu, peminat Bob Dylan ini disunting oleh jenama dari Amerika Syarikat, Vans untuk bekerjasama.
Kalau tidak kerana pengaruh yang ada, masakan Vans, satu jenama yang dianggap anak muda memiliki kelas tersendiri itu mahu berkolaborasi dengan Kide.
Dua tahun lalu, anak muda kelahiran Kampung Sawah Lebar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan tampil dengan pameran solo dengan judul Sa-Hari-Hari.

Menerusi pameran itu, Kide membawa peminat-peminat seni menziarahi kenangan masa lalu menerusi imaginasinya tentang pekan-pekan lama dan kampung-kampung.
Kenangan-kenangan itu diimaginasikan dari cerita yang disampaikan oleh ayah dan ibunya serta pakcik dan makciknya. Lalu dia mencurahkan imaginasinya itu ke kanvas dengan cerita dan watak-watak yang direka.
Itu cerita dua tahun lalu. Ketika kita semua belum bebas sepenuhnya dari kuncitara akibat pandemic Covid-19, pameran solo itu dibuat dalam keadaan banyak kekangan.
Selepas dua tahun, Kide bekerjasama dengan Galeri Puteh dengan pameran solonya berjudul Kulu Kilir, yang menghimpunkan hampir 50 karya baharu.

Kepada Seni Malaya Kide bercerita tentang karya baharunya yang mengisahkan tentang kembaranya ke beberapa tempat antaranya Tokyo, Berlin, Leipzig dan beberapa tempat lain.
Ya kali ini karya Kide tidak lagi bercerita tentang pekan Kuala Pilah. Dia berkelana ke luar negara mencari pengalaman dan balik bercerita kepada khalayak.

Lebih kurang tiga minggu bermula 19 Ogos ini hingga 10 September nanti, Kide akan mempamerkan karya-karya kisah kembaranya kepada peminat dan pengumpul seni.
