
Sebelum ini, watak Wan Ismail Golok dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu telah mempopularkan Sabri Yunus, seniman Kampung Landak, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Ke mana sahaja Sabri pergi ketika sitkom itu popular, nama Wan Ismail Golok akan meniti dibibir peminatnya.
Namun pada 2018, nama Wan Ismail Golok seolah-olah dilupakan setelah watak Pok Ya Cong Codei (PYCC) yang dilakonkan Sabri melekat dalam fikiran penonton.
PYCC ditayangkan di Astro CITRA pada 20 Januari 2018. Watak utama, Pok Ya – seorang gedebe dari Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur untuk melaksanakan tugas mencari anak seorang Datuk yang kononnya dilarikan lelaki. Di Kelantan, watak seperti Pok Ya itu memang wujud malah perkataan ‘Cong Codei’ pernah menjadi bualan masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang satu masa dahulu.
PYCC tular dan popular hingga ada peminat-peminat yang menghasilkan lukisan watak utama tersebut. Himpunan karya-karya peminat PYCC itu kemudiannya dibukukan oleh Institut Terjemahan & Buku Negara (ITBM) dengan judul Pok Ya Cong Codei (Kompilasi Fan Art).
Bukan setakat itu, ada juga yang menghasilkan t-shirt dengan wajah PYCC untuk dijual dan seterusnya dimiliki oleh peminat drama tersebut. Sudah agak lama sesebuah drama atau filem yang dihargai peminat seperti dilakukan terhadap PYCC.
Itulah kelebihan PYCC, sebuah drama antiklise filem gangster Malaysia. PYCC adalah sebuah drama atau filem yang tidak dibuat-buat kata pengarah tersohor, U-Wei HajiSaari. PYCC bukan komedi tetapi sebuah drama yang mempunyai sense of humor.

Filem-filem gangster yang dihasilkan di negara ini selalunya lebih merupakan gambaran palsu yang direka tentang dunia kongsi gelap dan samseng.
Kata U-Wei lagi, menerusi PYCC, Sabri telah memberi nafas baru kepada drama tempatan, ketika mana ramai pengarah dan penerbit yang lebih suka kepada kisah cinta dan kehidupan orang kaya yang tidak berpijak di bumi nyata.
Pok Ya bukan samseng atau gengster walaupun dia seorang yang berani, mempunyai ramai pengikut dan sangat dihormati serta disegani, tetapi Pok Ya Cong Codei memberi makna sebenar ‘gedebe’ yang sekian lama disalah erti oleh ramai pihak.
Bagi Pengarah Filem Mencari Rahmat, Al-Jafree Md Yusop, PYCC antara telefilem yang terbaik pernah dibuat di Malaysia.
Gedebe satu istilah yang berasal dari Selatan Thai merujuk kepada Tok Nebe atau Tok Penghulu, satu sosok yang sangat dihormati dan disegani serta mampu menyelesaikan banyak masalah antaranya pergaduhan melibatkan kumpulan samseng dan hal lain di kawasan sekitarnya. Mengikut kata Sabri, istilah gedebe hanya muncul di Kelantan sekitar era 70-an.
Seniman sejati karya-karyanya sentiasa dekat dengan masyarakat. Begitu juga Sabri, karya-karyanya, baik menerusi filem atau drama sering menyentuh kisah disekeliling masyarakat.
U-Wei menganggap Sabri sebagai seorang yang sensitif (begitulah sikap seorang seniman), yang sering mengambil kisah-kisah kecil yang besar ceritanya. Sama seperti PYCC, bagi orang lain ia cuma kisah kecil tetapi Sabri mampu menjadikan kisah kecil Pok Ya itu menjadi sebuah cerita yang besar. Mampu menyinggung masyarakat dalam watak dan kisah dalam PYCC.


Berbeza dengan pengarah lain (tidak semua) yang mengambil kisah-kisah besar yang kecil ceritanya.
Tahun lepas, Sabri meneruskan kisah gedebe Kelantan menerusi filem Duan Nago Bogho.
Namun Duan Nago Bogho bukanlah kisah gedebe anak Kelantan semata-mata tetapi juga tentang pertarungan mempertahankan maruah seni makyung dan harga diri.
Duan Nago Bogho merupakan filem Malaysia yang tidak melupakan asal-usulnya. Biarpun premis yang disiapkan adalah makyung dan anak Kelantan, tetapi pemikiran dari buah tangan Sabri itu turut ‘melimpah’ lebih luas dan menyentuh kita – rakyat Malaysia.
Sabri agak licik menyembunyikan apa yang tersirat dalam filem ini. Di sebalik jalan cerita yang sederhana, di dalamnya ada lapisan demi lapisan makna yang mendalam.
Seperti kata Al-Jafree, karya karya Sabri sangat dekat dengan Masyarakat. Sesuatu yang susah kita nak lihat sekarang sebab banyak pengkarya sibuk nak jadi ‘orang lain’.
Sabri tidak berusaha menjadi ‘orang lain’ dalam karyanya kerana dia sedar menjadi diri sendiri lebih bermakna kepada diri kesenimannya.
Tahun lepas juga, Sabri juga Berjaya merealisasikan impiannya untuk mementaskan kisah Tok Janggut. Ramai yang menganggap teater Tok Janggut dalam dikir barat yang dipentas selama dua malam berturut di Dewan Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disifatkan sebuah eksperimen yang berhasil.
Sabri berjaya menjadikan pementasan teater Tok Janggut dalam dikir barat sebagai sesuatu yang unik.
Pok Ya Cong Codei, Dua Nago Bogho, pementasan Tok Janggut dalam dikir barat dan banyak lagi membuktikan kehebatan seorang seniman.
Seni budaya yang sentiasa dekat dalam karya-karyanya merupakan bukti kehebatan seorang seniman bernama Sabri Yunus.
